Respirasi Sel dan Fotosintesis

Apakah Respirasi?

Respirasi terbahagi kepada respirasi luar (pernafasan) dan respirasi dalam (respirasi sel).

Pernafasan merupakan pertukaran gas antara organisma dengan persekitarannya manakala respirasi sel pula ialah proses pengoksidaan dan penguraian glukosa yang berlaku di mitokondria dalam sel hidup sepanjang masa untuk membebaskan tenaga.

Semasa respirasi sel, tindak balas kimia berlaku antara glukosa dengan oksigen untuk menghasilkan karbon dioksida, air dan tenaga.

Tenaga yang dibebaskan digunakan untuk menjalankan semua proses hidup yang berlaku dalam badan.

Respirasi Sel

Apakah Fotosintesis?

Tumbuhan hijau dapat mensintesis makanan sendiri melalui fotosintesis.

Fotosintesis ialah proses penghasilan makanan oleh tumbuhan hijau daripada air dan karbon dioksida dengan kehadiran cahaya dan klorofil.

Struktur sel yang terlibat dalam fotosintesis ialah kloroplas yang mengandungi klorofil yang berfungsi untuk menyerap cahaya matahari.

Makanan yang dibuat oleh tumbuhan iaitu glukosa kemudiannya disimpan dalam bentuk kanji di dalam daun, batang, buah dan akar tumbuhan.

Kehadiran kanji dalam daun boleh diuji dengan larutan iodin (Ujian Kanji). Bahagian daun yang mengandungi kanji akan bertukar menjadi biru tua apabila ditambah dengan iodin.

Sila tonton video ini untuk belajar tentang langkah-langkah menjalankan ujian kanji dan 4 eksperimen untuk mengkaji keperluan untuk proses fotosintesis.

(Buku Teks: m.s. 60-63)

PERBEZAAN ANTARA PROSES

RESPIRASI SEL DAN FOTOSINTESIS

Sila tonton video ini untuk belajar tentang perbezaan antara respirasi sel dan fotosintesis.

(Buku Teks: m.s. 64)

Proses respirasi sel dan fotosintesis saling melengkapi. Semasa respirasi sel, gas oksigen diserap dan gas karbon dioksida disingkirkan. Karbon dioksida yang disingkirkan akan digunakan oleh semua tumbuhan hijau untuk melakukan fotosintesis. Oksigen yang dihasilkan daripada proses fotosintesis pula digunakan oleh semua organisma untuk respirasi sel.