Kitar Karbon dan Kitar Oksigen

Mari kita belajar:

  • Menghargai dan mengagumi kitar karbon dan kitar oksigen dalam mengekalkan kandungan gas dalam udara.

  • Menyelesaikan masalah apabila terdapat gangguan pada kitar oksigen atau kitar karbon di Bumi.

Kitar karbon ialah kitar yang mengekalkan kandungan karbon dioksida dalam udara dengan mengambil karbon dioksida dari udara dan mengembalikannya semula ke udara secara berterusan.

  • Kitar karbon bermula dengan pengambilan gas karbon dioksida oleh tumbuhan hijau melalui proses fotosintesis.

  • Haiwan yang memakan tumbuhan memperoleh unsur-unsur karbon daripadanya.

  • Apabila tumbuhan dan haiwan mati, tumbuhan dan haiwan akan mereput. Pereputan yang dilakukan oleh bakteria dan kulat dalam tanah membebaskan karbon dioksida.

  • Pembakaran bahan api fosil yang mengandungi karbon seperti arang batu dan petroleum juga membebaskan karbon dioksida.

  • Semasa respirasi, kesemua tumbuhan dan haiwan juga membebaskan karbon dioksida.

  • Jadi, proses-proses seperti pereputan, pembakaran dan respirasi diseimbangkan oleh fotosintesis.

Kitar oksigen ialah kitar yang melibatkan pengambilan oksigen daripada udara dan pengembalian oksigen semula ke udara secara berterusan.

Oksigen yang diperlukan untuk proses respirasi, pengaratan, pembakaran dan pereputan diperoleh daripada hasil fotosintesis.

Kita hendaklah sentiasa menghargai dan mengagumi kitar karbon dan kitar oksigen dalam mengekalkan komposisi gas dalam udara. Segala aktiviti yang boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada udara hendaklah dihentikan.

Aktiviti manusia seperti penebangan pokok dan penggunaan racun serangga dalam pertanian secara tidak terkawal menyebabkan peningkatan gas karbon dioksida dan mengganggu kitaran-kitaran semula jadi termasuklah kitar oksigen dan kitar karbon. Antara kesannya kepada hidupan dan persekitaran ialah pemanasan global dan kesan rumah hijau.

Langkah untuk mengelakkan gangguan kepada kitar oksigen dan kitar karbon di Bumi.

TUGASAN

Sebagai seorang murid yang menghargai kepentingan kitar karbon dan kitar oksigen, cadangkan beberapa cara untuk memastikan keseimbangan kandungan karbon dioksida dan oksigen dalam udara dalam bentuk poster.