Membuat Anggaran Sebelum Membuat Pengukuran Sebenar

Apabila alat pengukur yang sesuai tidak dijumpai oleh seseorang saintis semasa menjalankan kajian atau penyiasatan saintifik, cara yang terbaik adalah dengan membuat anggaran terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan penggunaan alat yang lebih tepat dan jitu.

AKTIVITI 1

Tujuan

Membuat perkaitan antara kemahiran membuat anggaran dengan pengukuran sebenar.

Bahan dan radas

Penutup pen, pembaris, buku teks Sains Tingkatan 1

Arahan

  1. Ukur panjang penutup pen = p cm.

  2. Ukur panjang buku teks Sains Tingkatan 1 dengan penutup pen tersebut (Ukuran anggaran).

Panjang buku = bilangan penutup pen x p

  1. Kemudian ukur panjang buku teks Sains Tingkatan 1 dengan pembaris.

  2. Catatkan ukuran panjang buku dengan pembaris (Ukuran sebenar).

  3. Ukur lebar buku teks Sains Tingkatan 1 dengan penutup pen tersebut.

Lebar buku = bilangan penutup pen x p

  1. Kemudian ukur lebar buku teks Sains Tingkatan 1 dengan pembaris.

  2. Catatkan ukuran lebar buku dengan pembaris.

  3. Anggarkan luas buku teks Sains Tingkatan 1 dengan rumus berikut:

Anggaran Luas buku = anggaran panjang x anggaran lebar

  1. Kirakan luas buku teks Sains Tingkatan 1 dengan rumus berikut:

Luas buku = panjang sebenar x lebar sebenar

Soalan

  1. Apakah perbezaan antara ukuran anggaran panjang buku dan ukuran sebenar panjang buku yang dilakukan.

  2. Apakah perbezaan antara ukuran anggaran luas buku dan ukuran sebenar luas buku yang dilakukan.


Tugasan

Sediakan 1 laporan aktiviti yang lengkap dalam kertas kajang.


A. Membuat anggaran panjang

Panjang merupakan jarak di antara dua titik. Panjang dapat dianggar dengan membuat bandingan dengan objek yang panjangnya diketahui.

B. Membuat anggaran luas

Luas ialah besar sesuatu kawasan. Unit S.I. untuk luas ialah . Untuk objek sekata, luas boleh diukur menggunakan rumus. Contohnya, luas segi empat ialah panjang × lebar.

Untuk objek tidak sekata, luas boleh dianggarkan menggunakan kaedah kertas graf.

i) Garis luar objek disurih pada kertas graf.

ii) Tandakan ‘✔’ pada petak yang lengkap dan juga petak yang separuh atau lebih dari separuh lengkap.

iii) Kirakan jumlah petak bertanda ‘✔’ dan rekodkan keputusan anda.

Jumlah petak bertanda ‘✔’ = 23

Luas setiap petak = 1 cm x 1 cm = 1 cm²

Luas daun = 23 x 1 cm² = 23 cm²

C. Membuat anggaran jisim

Jisim merupakan kuantiti jirim yang terkandung di dalam suatu objek. Jisim sesuatu objek yang kecil boleh dianggarkan dengan menggunakan sampel yang besar.

Contoh: Berapakah jisim sehelai kertas? Jika jisim bagi 100 helai kertas ialah 500 g, maka jisim sehelai kertas dianggarkan 5 g.

D. Membuat anggaran isipadu

Isipadu merupakan jumlah ruang yang dipenuhi oleh suatu objek. Isi padu objek sekata dapat dikira menggunakan rumus, manakala objek tidak sekata perlu dianggarkan menggunakan kaedah sesaran air.