Penyerakan Cahaya

Mari kita belajar:

  • Berkomunikasi mengenai penyerakan cahaya.

  • Menjelaskan penyerakan cahaya dalam kehidupan harian dengan contoh.

Mengapakah langit kelihatan kebiruan pada waktu tengah hari dan matahari kelihatan kemerahan pada waktu senja? Kedua-dua fenomena semula jadi ini disebabkan oleh penyerakan cahaya.

Penyerakan cahaya berlaku apabila sinar cahaya dihalang dan dipantulkan ke semua arah oleh awan atau zarah-zarah dalam udara.

Cahaya dengan jarak gelombang yang panjang seperti cahaya merah akan sampai ke Bumi tanpa gangguan manakala cahaya dengan jarak gelombang yang pendek seperti cahaya biru akan diserak oleh zarah-zarah di dalam atmosfera.

KEBIRUAN LANGIT

Pada waktu tengah hari, matahari tegak di atas kepala kita. Lintasan cahaya melalui atmosfera adalah pendek. Cahaya merah hingga hijau dapat melalui atmosfera tanpa gangguan.

Cahaya biru dengan jarak gelombang yang pendek diserak paling banyak ke semua arah oleh zarah-zarah halus dalam atmosfera. Cahaya biru yang terserak ini ditaburkan di seluruh langit dan menyebabkan langit kelihatan biru.

KEMERAHAN MATAHARI TERBENAM

Pada waktu senja, cahaya matahari bersinar secara mengufuk. Lintasan cahaya melalui atmosfera adalah lebih panjang.

Cahaya merah dan jingga paling kurang diserak di sepanjang lintasan cahaya dan dapat sampai ke Bumi tanpa gangguan. Cahaya lain seperti biru dan ungu yang banyak diserak akan diserap dan hilang daripada lintasn cahaya asal.

Ini menyebabkan matahari kelihatan merah dan langit kelihatan merah kejinggaan pada waktu senja.

TUGASAN

Tujuan: Mengkaji penyerakan cahaya

Arahan:

Dengan merujuk kepada arahan Aktiviti 8.8 dalam Buku Teks, m.s. 240, jalankan Aktiviti 8.8 di rumah anda dengan bantuan ahli keluarga serta rakamkan prosedur kerja anda untuk dihantar kepada guru anda.

Catatan: Kotak sinar boleh diganti dengan lampu suluh. Serbuk susu boleh diganti dengan tepung warna putih yang lain.


Soalan:

  1. Apakah fungsi penambahan serbuk susu ke dalam air?

  2. Apakah perbezaan antara alur cahaya yang dilihat dari sisi bekas dengan di belakang bekas? Apakah yang telah berlaku?