Perubahan Keadaan Jirim (Bahagian II)

Adakah suhu kekal tidak berubah semasa peleburan ais dan pendidihan air?

Suhu sesuatu bahan akan meningkat apabila dipanaskan dan menurun apabila disejukkan.

Walau bagaimanapun, suhu akan kekal tidak berubah apabila mencapai takat lebur (熔点), takat didih (沸点) atau takat beku (凝固点).

Keadaan ini berlaku kerana tenaga kinetik zarah-zarah tidak meningkat. Tenaga haba yang diserap atau dibebaskan telah digunakan untuk memastikan daya tarikan antara zarah diatasi atau dibentuk. maka suhu adalah tetap.

A: Suhu ais meningkat sehingga mecapai takat lebur ais iaitu 0 °C dan peleburan ais bermula.

B: Semasa peleburan, suhu menjadi tetap. Tenaga haba yang diserap oleh zarah-zarah ais digunakan untuk mengatasi daya tarikan antara zarah supaya pepejal dapat berubah menjadi cecair.

C: Semua ais telah melebur menjadi air. Apabila pemanasan diteruskan, zarah-zarah air menyerap haba, tenaga kinetik bertambah dan zarah-zarah bergerak lebih cepat. Suhu air meningkat.

D: Air mula mendidih pada takat didih air iaitu 100 °C. Suhu menjadi tetap kerana tenaga haba yang diserap oleh zarah-zarah air digunakan untuk mengatasi daya tarikan antara zarah supaya cecair dapat berubah menjadi gas.

Adakah jisim jirim kekal semasa perubahan fizik?

Kuantiti zarah di dalam jirim tidak berubah semasa perubahan fizik.

Perubahan fizik yang berlaku hanya melibatkan perubahan pergerakan dan susunan zarah sahaja.

Maka, jisim jirim kekal tidak berubah semasa perubahan fizik seperti perubahan keadaan jirim. melarut pepejal dan pengembangan bahan oleh haba berlaku.

A) Perubahan jisim semasa ais bertukar menjadi air

Jisim ketulan ais dan jisim air adalah sama.

Apabila ketulan ais dipanaskan, ais melebur menjadi air kerana susunan dan pergerakan zarah-zarahnya berubah. Kuantiti zarah-zarah jirim adalah tetap apabila ais (pepejal) melebur menjadi air (cecair).

B) Perubahan jisim semasa garam melarut

Jisim air bersama garam di dalamnya adalah sama dengan jisim larutan garam.

Apabila garam melarut di dalam air, zarah-zarah garam berpisah antara satu sama lain dan setiap zarah dikelilingi oleh zarah-zarah air sehingga sekata untuk membentuk larutan garam. Kuantiti zarah-zarah garam dan air tidak berubah.

C) Perubahan jisim semasa pengembangan pepejal

Jisim bebola logam dan gelang sebelum dan selepas pemanasan adalah sama.

Pengembangan bebola adalah disebabkan oleh pertambahan jarak di antara zarahnya. Kuantiti dan saiz zarah tidak berubah.