Homeostasis dalam Benda Hidup

APAKAH MAKSUD HOMEOSTASIS?

Homeostasis (Homeo: sama, stasis: tidak bergerak) merujuk kepada pengekalan keadaan persekitaran dalam badan sesuatu organisma supaya berada dalam keadaan yang seimbang dan stabil untuk mengekalkan kemandirian sel.


Persekitaran dalam badan kita seperti aras suhu dan tekanan darah (faktor fizikal) serta pH, kepekatan air dan garam mineral dan aras gula (faktor kimia) sentiasa berubah-ubah pada setiap masa.


Perubahan pada persekitaran dalam badan akan membawa kesan buruk kepada sel-sel badan jika tidak dibetulkan oleh proses kawalan homeostasis.

PROSES KAWALAN HOMEOSTASIS

Apabila keadaan persekitaran dalam badan kita berubah daripada aras normal, pusat kawalan di otak akan mengesan perubahan itu. Mekanisme pembetulan akan bertindak supaya keadaan persekitaran dalam badan kembali ke aras normal.

Sebarang perubahan nilai daripada julat normal akan mencetuskan suatu mekanisme pembetulan. Dalam mekanisme pembetulan:

  1. Nilai yang melebihi julat normal diturunkan semula ke nilai normal

  2. Nilai yang turun di bawah nilai normal ditingkatkan semula kepada nilai normal


Kawalan homeostasis adalah penting untuk menyediakan satu keadaan optimum dalam badan untuk membolehkan semua proses hidup dalam badan organisma berjalan dengan lancar.

HOMEOSTASIS DALAM MANUSIA

70% daripada jumlah jisim badan kita terdiri daripada air. Sebahagian besar air hilang daripada badan kita setiap hari dan perlu diganti semula. Kehilangan air berlebihan akan menyebabkan kita berasa dahaga dan akan membawa maut dalam jangka masa panjang.

Suhu badan kita perlu dikawal atur supaya sentiasa kekal pada 37 °C. Suhu badan yang melebihi 6°C daripada suhu normal boleh menjejaskan fungsi-fungsi sel badan dan menyebabkan kematian.

Oleh itu, kawal atur kandungan air dan kawal atur suhu badan adalah kawalan homeostasis yang penting kepada kita untuk terus hidup.

KAWAL ATUR KANDUNGAN AIR

Pengawalaturan kandungan air dalam badan melibatkan sistem perkumuhan dan sistem endokrin.

Organ yang terlibat dalam mengawal atur kandungan air dalam badan manusia ialah ginjal dan otak.

Kawal atur kandungan air di dalam badan kita dicapai dengan mengawal isipadu penghasilan air kencing dari ginjal melalui mekanisme pembetulan.

KAWAL ATUR SUHU BADAN

Pengawalaturan suhu badan melibatkan sistem perkumuhan dan sistem endokrin.

Organ yang terlibat dalam mengawal atur suhu badan manusia ialah kulit, otot rangka dan otak.

Mekanisme pembetulan dalam kawal atur suhu badan dicapai dengan mengawal tindakan penghasilan haba dan kehilangan haba melalui tindakan salur darah, kelenjar peluh, bulu roma, otot rangka dan hormon.

KADAR DEGUPAN JANTUNG

Kadar degupan jantung adalah berapa kali jantung berdegup dalam masa seminit dan biasanya diukur dengan mengira nadi pada pergelangan tanga selama seminit. Kadar nadi rehat dalam julat 60 hingga 90 dianggap kadar degupan jantung yang normal.


Kiraan nadi semakin meningkat apabila melaksanakan tugas yang berat kerana lebih banyak oksigen diperlukan untuk respirasi sel. Jantung perlu mengepam lebih banyak darah kepada sel-sel badan menyebabkan kadar degupan jantung dan kiraan nadi meningkat.


Suhu badan kita juga meningkat apabila kita berjalan dan melompat tali. Perpeluhan akan berlaku bagi menyejukkan badan kita semasa melaksanakan tugas yang berat supaya suhu badan yang meningkat dapat dikembalikan ke suhu badan yang normal.


TUGASAN

Dengan merujuk kepada Buku Teks, m.s. 76-78, jalankan Eksperimen 3.1 dan Eksperimen 3.2 untuk mengkaji tindakan biologi yang memberikan gerak balas kepada perubahan suhu dan kiraan nadi dengan bantuan ahli keluarga di rumah. Hasilkan 2 laporan eksperimen yang lengkap untuk melaporkan hasil eksperimen anda.