Sistem dan Struktur Bumi (I)

Mari kita belajar:

  • Berkomunikasi mengenai sistem Bumi.

  • Menjelaskan perbezaan antara lapisan-lapisan Bumi berdasarkan komposisi dengan sifat fizik.

  • Menyedari keadaan fizik yang sesuai untuk menampung kehidupan hanya wujud di Bumi.

Sistem Bumi terdiri daripada empat komponen yang utama, iaitu atmosfera, biosfera, hidrosfera dan geosfera yang saling berhubung kait.

Atmosfera - Zon udara yang menyeliputi permukaan Bumi.

Biosfera - Zon hidupan yang terdiri daripada beraneka hidupan seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan hidupan seni.

Geosfera - Zon batu dan tanah di atas permukaan Bumi.

Hidrosfera - Zon air yang merangkumi sungai, tasik, lautan dan juga air yang terperangkap sebagai ais, di bawah tanah dan wap air dalam atmosfera.

Stratifikasi Atmosfera

Lapisan atmosfera terdiri daripada lima lapisan yang mempunyai peranannya masing-masing.

Lapisan troposfera (0 – 13 km)

Lapisan tempat benda hidup bernafas, angin bertiup, serta awan, hujan dan salji terbentuk.

Lapisan stratosfera (13 – 50 km)

  • Lapisan ini adalah sesuai dan stabil untuk penerbangan kapal terbang.

  • Terdapat lapisan ozon yang mengandungi gas ozon yang dapat menyerap sinaran ultraungu matahari.

  • Masalah penipisan ozon berlaku apabila bahan klorofluorokarbon (CFC) yang dihasilkan oleh racun serangga, peti sejuk dan penyaman udara menguraikan molekul-molekul ozon dalam lapisan ozon ini.

Lapisan mesosfera (50 – 80 km)

Pembakaran dan penghancuran meteorit berlaku di lapisan ini.


Lapisan termosfera (80 – 480 km)

  • Juga dikenali sebagai ionosfera kerana lapisan ini mempunyai ion-ion yang dapat memantulkan gelombang-gelombang radio.

  • Aurora (极光), iaitu jalur-jalur cahaya yang berwarna-warni hasil daripada tindakan zarah-zarah bercas dengan medan magnet Bumi dan gas-gas atmosfera berlaku di sini.


Lapisan eksosfera (480 km ke atas)

  • Mengandungi gas-gas ringan seperti helium dan hidrogen.

  • Udara bertambah nipis menghala ke angkasa lepas.

  • Satelit komunikasi yang mengorbit Bumi di lapisan eksosfera membolehkan panggilan telefon dan siaran televisyen dapat diterima oleh manusia.

Stratifikasi dalam Lautan

Lautan juga boleh dibahagikan kepada zon-zon yang berbeza, daripada zon yang boleh ditembusi cahaya kepada zon yang langsung tidak boleh ditembusi oleh cahaya atau zon gelap.

Zon permukaan

Dalam zon ini, air adalah sangat cetek dan cahaya boleh bergerak menembusinya. Hal ini membolehkan zon ini sesuai untuk habitat tumbuhan.


Zon tengah malam

Zon ini mempunyai sedikit cahaya atau tiada cahaya. Tumbuhan sukar untuk hidup pada kedalaman ini tetapi tahap kedalaman ini menjadi habitat untuk haiwan laut yang besar, misalnya sotong raksasa dan pelbagai spesies ikan paus.


Zon gelap

Zon ini amat dalam dan tiada cahaya yang boleh sampai. Oleh itu, kebanyakan haiwan dalam zon ini mempunyai badan yang berkilau atau bersinar dalam gelap.