Homeostasis dalam Tumbuhan

Pokok pisang menggulungkan daunnya apabila hari panas untuk mengurangkan kehilangan air. Apakah yang telah menyebabkan berlakunya keadaan pokok pisang ini?

Tumbuhan memerlukan air yang mencukupi untuk mengelakkan tumbuhan menjadi layu dan mati. Kandungan air dalam tumbuhan bergantung kepada kuantiti air yang diserap oleh akar dan kuantiti air yang hilang melalui permukaan tumbuhan. Bagaimanakah tumbuhan mengawal atur kandungan air pada hari panas dan hari sejuk?

Tumbuhan mengawal atur kandungan airnya melalui proses transpirasi. Dalam proses ini, tumbuhan kehilangan air dalam bentuk wap air melalui penyejatan pada liang stoma.

  1. Akar tumbuhan menyerap air dan mineral dari tanah.

  2. Air diangkut melalui batang (xilem) ke daun tumbuhan.

  3. Transpirasi pada daun menarik air dari bahagian batang tumbuhan.

  4. Air tersejat dari permukaan daun melalui stoma. Proses ini membantu meyejukkan tumbuhan semasa hari panas.

Transpirasi membantu tumbuhan menyerap dan mengangkut air dan mineral dari tanah ke seluruh bahagian tumbuhan serta menyejukkan tumbuhan pada hari panas melalui penyejatan air daripada daun.

Stoma merupakan liang-liang seni yang terdapat pada permukaan daun yang membenarkan pertukaran gas dan pergerakan wap air melaluinya. Pembukaan dan penutupan stoma dikawal oleh sel-sel pengawal. Pada hari siang, liang stoma terbuka untuk membenarkan penyejatan berlaku melalui transpirasi. Wap air yang terhilang merangsang peningkatan kadar penyerapan air oleh akar. Walau bagaimanapun, pada hari yang terlampau panas, stoma ditutup bagi mengurangkan air daripada tersejat dan mengekalkan kandungan air dalam tumbuhan.

RUJUKAN TAMBAHAN