Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Fetus dan Bayi

Pengambilan Gizi yang Seimbang

Keperluan kalori dan nutrien yang diperlukan oleh wanita hamil dalam sehari adalah lebih tinggi berbanding wanita yang tidak hamil. Wanita hamil mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi. Mereka perlu mendapatkan makanan yang berkhasiat dan seimbang, serta menjaga kesihatannya dengan baik untuk melahirkan bayi yang sihat.

Gizi wanita hamil perlu seimbang dan mengandungi lebih banyak karbohidrat, lemak, protein, asid folik, vitamin C, kalsium, fosforus, ferum dan serat. Setiap kelas makanan ini memainkan peranan yang penting bagi kesihatan ibu dan bayi. Fetus yang berkembang dalam uterus ibu bergantung sepenuh pada ibunya untuk mendapatkan nutrien.

Gaya Hidup Wanita Hamil

Selain daripada makanan berkhasiat, seorang ibu hamil memerlukan rehat dan tidur yang secukupnya. Wanita hamil memerlukan pemeriksaan yang kerap oleh doktor.

Gaya hidup ibu hamil yang tidak sihat seperti merokok, mengambil alkohol dan dadah boleh memudaratkan kesihatan fetus dan menyebabkan masalah keguguran atau kelahiran bayi yang tidak normal atau tidak sihat.

Wanita hamil perlu menjaga kesihatannya dengan baik kerana setiap makhluk yang bernyawa mempunyai hak untuk hidup walaupun masih dalam kandungan. Oleh itu, seseorang ibu haruslah memastikan bayi yang berada di dalam kandungan mendapat nutrien yang mencukupi dan mengelakkan diri daripada mengambil bahan-bahan yang boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayi.

Kepentingan Susu Ibu

Susu ibu merupakan makanan terbaik untuk bayi yang baharu lahir kerana susu ibu mengandungi keperluan makanan bayi yang lengkap untuk tumbesaran dan kesihatan bayi.

Susu ibu terdiri daripada laktosa, protein dan lemak yang lebih mudah dicernakan oleh bayi. Penghadaman bayi lebih baik dengan meminum susu ibu berbanding dengan susu formula. Bayi akan kurang menghidapi cirit-birit dan sembelit.

Susu ibu mempunyai antibodi yang dapat melindungi bayi daripada sesetengah penyakit dan menguatkan sistem keimunan bayi.

Penyusuan susu ibu boleh mencegah alahan dan membantu mengawal berat badan bayi.

Penyusuan susu ibu juga mengeratkan hubungan bayi dan ibunya yang penting untuk emosi bayi yang lebih tenang dan gembira.

TUGASAN

Kaji rajah di atas tentang kandungan susu ibu dan susu formula.

  1. Kenal pasti bahan-bahan dalam susu ibu yang diperlukan oleh bayi untuk menentang jangkitan penyakit yang tidak terkandung dalam susu formula.

  2. Kenal pasti bahan dalam susu ibu yang dapat membantu pencernaan pada bayi yang tidak terkandung dalam susu formula.

Sila tonton video tentang Penjagaan Ibu Hamil di atas dan tuliskan ulasan mengenai penjagaan ibu hamil di dalam kertas kajang. (TP4)