Pengelasan Unsur

Semua jirim dibina daripada atom (原子), iaitu zarah-zarah yang seni dan diskret.

Atom merupakan zarah jirim yang paling ringkas. Dalam bahasa Yunani, atom atau atomos bermaksud "tidak boleh dibelah bahagi".

Struktur Atom

Atom terdiri daripada tiga zarah subatom, iaitu proton 质子 (p), neutron 中子 (n) dan elektron 电子 (e).

Atom mempunyai satu nukleus (核) di tengahnya yang terdiri daripada proton yang bercas positif (+) dan neutron yang bercas neutral. Elektron yang bercas negatif (-) bergerak di dalam petala (orbit) mengelilingi nukleus.

Atom adalah neutral kerana bilangan proton dan bilangan elektron dalam atom adalah sama.

Molekul

Atom-atom boleh bergabung secara kimia untuk membentuk molekul (分子 ).

Satu molekul mempunyai dua atau lebih atom yang sama jenis atau yang berlainan jenis.

Oksigen (O2) molekul yang terdiri daripada 2 atom oksigen

Karbon dioksida (CO2) ialah molekul yang terdiri daripada 1 atom karbon dan 2 atom oksigen

Unsur

Unsur (元素) terdiri daripada hanya satu jenis zarah (atom) dalam setiap jenis unsur. Unsur mungkin terbentuk daripada atom atau molekul dengan atom yang serupa.

Unsur ialah bahan paling ringkas yang tidak boleh diuraikan secara fizikal atau kimia kepada dua atau lebih bahan yang lebih ringkas lagi.

Sebatian

Sebatian (化合物) pula terdiri daripada dua atau lebih unsur yang bergabung secara kimia. Zarah-zarah dalam suatu sebatian merupakan molekul atau ion.

Sebatian boleh dihasilkan di dalam makmal atau terhasil secara semula jadi di sekeliling anda.

Unsur-unsur dalam sebatian tidak boleh dipisahkan secara fizikal tetapi hanya boleh dipisahkan secara kimia, iaitu dengan menggunakan tenaga elektrik (elektrolisis 电解 ).