Persenyawaan dan Kehamilan

Sewaktu persetubuhan, berjuta-juta sperma dibebaskan dari zakar dan dipindahkan ke dalam faraj perempuan. Sperma berenang melalui serviks ke dalam uterus lalu menghala ke tiub Falopio untuk sampai ke ovum.

Hanya kepala satu sperma yang berjaya menembusi membran ovum untuk bersenyawa dengan nukleus ovum manakala ekor sperma tertinggal di luar ovum.

Satu membran baharu akan terbentuk mengelilingi ovum untuk menghalang sperma lain masuk ke dalamnya.

Proses Persenyawaan dan Penempelan Embrio

Pengovulan (A) - Ovum matang dilepaskan dari ovari ke dalam tiub Falopio.

Persenyawaan (B) - Percantuman nukleus sperma dengan nukleus ovum membentuk zigot.

Perkembangan Zigot (C) - Zigot membahagi berulang kali membentuk satu bebola sel yang dikenal sebagai embrio. Embrio bergerak melalui tiub Falopio ke uterus akibat pengecutan dinding uterus.

Penempelan (D) - Apabila sampai di uterus, lebih kurang 7 hingga 8 hari selepas persenyawaan, embrio menempel di dinding uterus yang telah menebal. Perempuan yang mengalami penempelan embrio dikatakan hamil.

Perkembangan Zigot kepada Embrio dan seterusnya kepada Fetus sehingga Kelahiran

  1. Zigot yang terbentuk di dalam tiub Falopio mengambil kira-kira 7 hari untuk berkembang melalui pembahagian sel berulang kali untuk membentuk embrio.

2. Embrio mengambil masa kira-kira 2 bulan untuk berkembang dan membesar sehingga menjadi fetus yang lengkap dengan semua organ bahagian badan dan kelihatan menyerupai bayi.

3. Seterusnya, dalam masa kira-kira 7 bulan, fetus berkembang dan membesar sehingga menjadi bayi dan dilahirkan selepas kira-kira sembilan bulan atau 38 hingga 40 minggu kehamilan.

Kepentingan dan Fungsi Plasenta dan Tali Pusat

Plasenta merupakan satu organ sementara yang terbentuk daripada tisu embrio dan tisu dinding uterus ibu semasa kehamilan. Embrio akan membesar dan berkembang di dalam satu pundi yang dikelilingi oleh membran yang dikenal sebagai amnion. Amnion mengandungi bendalir yang dikenali sebagai bendalir amnion.

Plasenta dihubungkan dengan fetus oleh tali pusat. Tali pusat mengandungi salur darah untuk mengangkut darah kepada dan daripada fetus. (Darah fetus tidak bercampur dengan darah ibu.)

Fungsi tali pusat:

  1. Mengangkut darah yang kaya dengan oksigen dan nutrien dari plasenta ke fetus

  2. Membawa bahan buangan seperti urea dan karbon dioksida keluar dari fetus ke plasenta dan disingkirkan melalui darah ibu.

PERMAINAN

TUGASAN

Lengkapkan peta alir di atas untuk menunjukkan perkembangan zigot sehingga menjadi bayi.

Sumber: Buku Teks, m.s. 133