Sistem dan Struktur Bumi (II)

Mari kita belajar:

  • Berkomunikasi mengenai sistem Bumi.

  • Menjelaskan perbezaan antara lapisan-lapisan Bumi berdasarkan komposisi dengan sifat fizik.

  • Menyedari keadaan fizik yang sesuai untuk menampung kehidupan hanya wujud di Bumi.

Taburan Air di Bumi

Lautan mempunyai kandungan air yang banyak. Air laut mengalami penyejatan oleh sinaran matahari dan dibawa ke daratan oleh awan sebelum turun semula ke sungai sebagai hujan. Air sungai ini pula akan mengalir ke lautan. Proses kitar air ini berterusan. Oleh itu, dikatakan bahawa jumlah air yang terkandung dalam Bumi, di permukaan Bumi dan di atmosfera Bumi adalah sentiasa tetap.

Kepentingan hidrosfera Bumi:

  • Mengekalkan kandungan air di Bumi

  • Mengekalkan keadaan cuaca

  • Menjadi habitat kepada hidupan akuatik

  • Sumber makanan kepada manusia

  • Sumber tenaga elektrik yang dibekalkan oleh stesen jana kuasa hidroelektrik

Lapisan Bumi

Bumi boleh dibahagikan kepada tiga lapisan utama berdasarkan sifat fizikalnya iaitu kerak, mantel dan teras. Lapisan mantel terdiri daripada komponen litosfera, astenosfera dan mesosfera. Litosfera meliputi kerak dan bahagian atas mantel.

Kerak

  • Lapisan paling luar Bumi yang menjadi tempat hidup bagi semua hidupan

  • Keras dan bersifat pepejal

  • Ketebalan 0 - 100 km

  • Merupakan bahagian atas litosfera yang terdiri daripada Benua dan Basalt

  • Benua - Lapisan atas (25 - 75 km) yang terdiri daripada batuan granit (silika dan aluminium)

  • Basalt - Lapisan bawah (5 - 75 km) yang terdiri daripada silika, magnesium dan besi

Mantel

  • Lapisan tengah yang terletak di antara kerak dan teras

  • 84% daripada isipadu Bumi

  • Ketebalan 100 - 2900 km

  • Kaya dengan silikon, sulfur, aluminium, besi dan magnesium

  • Terdiri daripada Litosfera, Astenosfera dan Mesosfera

    • Litosfera - terdiri daripada kerak dan bahagian atas mantel, wujud dalam keadaan pepejal yang rapuh. Litosfera yang pecah membentuk kepingan besar (plat tektonik) yang terapung di atas astenosfera

    • Asetenosfera - lapisan setebal 250 km, bersuhu 1400°C, terbentuk daripada bahan separa pepejal yang likat dan mengalir dengan perlahan serta mengapungkan plat tektonik

    • Mesosfera - lapisan setebal 2550 km, bersuhu 2000°C, wujud sebagai pepejal di bawah tekanan yang tinggi

Teras

  • Lapisan paling dalam (Pusat Bumi)

  • Terbahagi kepada teras luar dan teras dalam

    • Teras luar - lapisan setebal 2200 km, bersuhu 3000°C, mengandungi besi, nikel dan silikon dalam keadaan leburan yang mengalir secara perolakan untuk membentuk medan magnet Bumi

    • Teras dalam - lapisan setebal 1250 km, bersuhu 5000°C, wujud dalam keadaan pepejal kerana termampat di bawah tekanan yang amat tinggi

TUGASAN

Tujuan: Mencipta model untuk struktur Bumi (Mencipta, TP 6)

Arahan:

  1. Reka bentuk satu model Bumi yang mempunyai empat lapisan dengan tanah liat atau bahan lain yang difikirkan sesuai.

  2. Dengan bantuan aplikasi komputer atau telefon bimbit yang sesuai, bentangkan setiap lapisan struktur Bumi berdasarkan model yang dicipta.

Bumi ialah Satu-satunya Rumah bagi Semua Hidupan

Bumi ialah planet ketiga dari Matahari dan merupakan satu-satunya planet yang sesuai untuk didiami dalam sistem suria kita.

Sifat Bumi yang menyebabkan Bumi sesuai untuk semua hidupan ialah

  • suhu Bumi tidak terlalu panas atau sejuk berbanding dengan planet lain disebabkan oleh kedudukan Bumi yang berada tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh dari Matahari

  • kewujudan air dan oksigen di Bumi

Manusia perlu mencintai Bumi dengan menjaga alam sekitar dengan baik!