Proses Utama Bumi

Mari kita belajar:

  • Berkomunikasi mengenai proses eksogen dan endogen.

Permukaan Bumi terbentuk melalui dua proses, iaitu proses eksogen (外源过程) dan proses endogen (内源过程) .


PROSES EKSOGEN

(ekso = luar)

  • Proses yang berlaku di permukaan Bumi.

  • Contoh: Luluhawa, hakisan, susutan jisim, susutan darat, angkutan dan pengenapan.

Luluhawa

Merupakan satu proses pemecahan dan penguraian atau pereputan batuan akibat tindakan agen-agen luluhawa seperti perubahan suhu, air hujan, tindakan fros, pancaran cahaya matahari dan mikroorganisma.

Hakisan

Merupakan proses penghausan yang dialami oleh permukaan Bumi akibat tindakan agen-agen yang bergerak seperti air, angin dan ombak. (Tenaga kinetik & Geseran)

Susutan jisim dan susutan darat

Melibatkan pergerakan tanah dari atas cerun ke bahagian bawah akibat daya tarikan graviti. Misalnya, tanah runtuh.

Angkutan dan pengenapan

Bahan-bahan yang telah diluluhawa atau terhakis akan dibawa oleh agen-agen angkutan seperti aliran air, angin, ombak dan glasier. Bahan-bahan tersebut akan dienapkan apabila halaju agen menjadi perlahan.

PROSES ENDOGEN

(endo = dalam)

  • Proses yang berpunca daripada bahagian dalam Bumi.

  • Membentuk dan mengubah permukaan Bumi.

  • Contoh: Proses olakan mantel, aktiviti magma dan proses pergerakan kerak Bumi (plat tektonik).

Proses olakan mantel

Suhu yang tinggi dalam bahagian mantel dan teras Bumi menghasilkan arus-arus perolakan di lapisan astenosfera. Arus-arus ini berupaya menggerakkan kerak Bumi yang mengakibatkan terjadinya gempa bumi dan gunung berapi.

Proses pergerakan kerak Bumi (Plat Tektonik)

Menurut Teori Plat Tektonik, kerak Bumi dibahagikan kepada beberapa keping plat. Plat-plat ini sentiasa bergerak menyebabkan proses pertembungan dan pencapahan yang menghasilkan pelbagai bentuk Bumi serta hanyutan benua.

Aktiviti magma

Gunung berapi ialah satu lohong dari dalam kerak Bumi yang membolehkan magma yang cair dan panas keluar melaluinya dalam bentuk letusan yang kuat. Bahan-bahan letusan tersebut akan tertimbun di sekeliling cerun lohong dan membentuk kon gunung berapi.