Tidur merupakan hikmah dari Allah SWT, dengannya kita dapat merehatkan badan, ketenangan, mencergaskan fizikal dan mental. Terdapat banyak Sunnah dan adab yang diamalkan oleh Nabi SAW. Pertama persediaan tidur awal bagi memudahkan kita bangun sebelum subuh. Jika seseorang mahu tidur, disunnahkan berwudhu’ dan menggosok gigi.

Disunnahkan mengibas cadar atau tempat tidur barangkali terdapat sesuatu di atasnya.

Seterusnya, jika dia mahu tidur, tidurlah di atas sisi kanannya dan disunnatkan meletakkan tapak tangan kanan di bawah pipi kanannya.

Disunnatkan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW, seperti

بِاسْمِكَ رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، فَإِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا، بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Dengan nama Allah aku letakkan sisiku dan denganMu aku angkatnya kembali, Wahai Allah, jika kamu genggam nyawaku maka ampunkan aku dan jika kau hantarkan ia kembali maka peliharalah ia sebagaimana Kau pelihara hamba-hamba Mu yang soleh.

Dan dengan itu, disunnatkan membaca Ayat Kursi dan Surah alKafirun, dan disunnatkan membaca surah al-Ikhlas dan Muawwizatain (Surah al-Falaq dan an-Nas sebanyak 3 kali, kemudian ditiupkan di atas tapak tangan dan disapukan ke seluruh badan.

Ibubapa boleh mengamalkan perkara ini kepada anak-anak mereka kerana ia dapat menjaga dan membenteng daripada perkara yang buruk.

Allah SWT berfirman: “dan Kami menjadikan tidurmu untuk istirahat”. Dan dengan itu disunatkan bertaubat kepada Allah SWT dari segala dosa sebelum tidur, dan tidur dengan hati yang bersih dan memaafkan semua manusia.


Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu mampu menjadi seperti Abu DhamDham? Maka para sahabat tertanya-tanya, “Siapakah Abu DhamDham wahai Rasulullah? “Beliau adalah lelaki biasa di kalangan orang Islam, apabila dia berbaring di atas tilamnya, dia berkata, Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sedekahkan kehormatanku ke atas manusia, siapa yang menyakitiku, berkata tentangku dan mengumpatku, aku ampunkan dan maafkan mereka semua. Maka, kemaafan ini akan menjadikan manusia tidur dengan hati yang bersih dan suci.

Tidur ialah ibadah jika ianya disertakan dengan niat takwa dalam mentaati Allah. Adapun keadaan Nabi SAW semasa tidur, Baginda tidak tidur dalam keselesaan (kemewahan). Baginda tidur di atas tikar jerami, di atas kulit haiwan sehinggakan Baginda pernah tidur di atas tanah. Baginda mempunyai katil namun ia dibuat dari tali.

Saidina Umar al-Khattab masuk menemui Rasulullah SAW dan Baginda sedang tidur di atas tikar jerami dalam cuaca yang panas, dan ia telah meninggalkan kesan merah pada jasad Baginda. Maka Saidina Umar menangis, Baginda bertanya, “Apa yang engkau tangisi wahai Umar?” Dia berkata, “Ya Rasulullah, Kisra dan Kaisar tidur di atas tilam yang empuk, dan engkau Rasulullah SAW hanya tidur di atas jerami?” Baginda bersabda, “Itu tidak memudaratkanku. Bagi mereka dunia dan bagi kita akhirat.” Kaedah yang telah dipakai oleh Nabi ini, perlulah manusia amalkan iaitu memendekkan tidurmu.

Pernah Nabi SAW tidur nyenyak pada satu malam dan Baginda bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan pada tilamku?” Mereka berkata, “Kami telah melipat tilammu wahai Rasulullah supaya ia lebih empuk” Maka Baginda bersabda, “Sesungguhnya itu telah menghalangku untuk bangu qiyamullail”. Jadi, hendaklah manusia tidak bermewah (terlampau selesa) semasa tidur agar dia mampu bangun qiyamullail.

Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki di dalam masjid sedang tidur di atas perutnya (meniarap), maka Baginda telah menuju kepada lelaki itu dan berkata, “Bangunlah!” sesungguhnya tidur seperti ini dimurkai Allah!”. Dalam riwayat lain, “Ini merupakan tidur ‘Jahanammiah’ iaitu tidur penghuni Neraka!”.

Baginda SAW telah bersabda “Tidurlah sebentar (sebelum waktu Zohor), Sesungguhnya syaitan tidak melakukannya”. Daripada Sunnah Nabi SAW ialah qailullah iaitu tidur sebentar sebelum waktu zohor, yang akan membantunya bangun pada tengah malam. Namun, ia hanyalah tidur yang ringan (sekejap).

Dan Nabi SAW membenci tidur selepas Subuh dan Asar, kerana pada waktu-waktu ini, Allah SWT sedang membahagikan rezekiNya. Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu tentang insomnia iaitu tidak dapat tidur pada waktu malam. Maka Baginda telah mengajar doa ini, Mohonlah kepada Allah untuk tidur nyenyak dan tenang

اللَّهُمَّ غَارَتِ النُّجُومُ ، وَهَدَأَتِ الْعُيُونُ ، وَأَنْتَ حَيٌّ قَيُّومٌ

يَا حَيُّ ، يَا قَيُّومُ ، أَنِمْ عَيْنَيَّ وَأَهْدِئْ لَيْلِي

“Wahai Allah, bintang-bintang sudah hilang, mata-mata sudah terpejam, dan Engkau Maha Hidup dan Berdiri dengan sendiri, Wahai Yang Maha Hidup, Yang Maha Berdiri dengan Sendiri, tidurkan mataku dan pandulah malamku.”

Dan apabila manusia melihat sesuatu yang menakutkan di dalam mimpinya, Nabi SAW mengkhabarkan agar membaca ta’awwuz dari syaitan yang direjam dan meludah 3 kali ke sebelah kiri.

Siapa yang beramal dengan adab tidur, maka tidurnya seperti jaga. Antara Sunnah yang penting ialah bangun sebelum waktu subuh. Sebahagian manusia tidur sehingga terbit matahari, maka Rasulullah SAW telah mengkhabarkan “syaitan telah kencing di telinga lelaki itu” kerana semasa tiba waktu solat, dia sedang tidur.

Antara Sunnah Rasulullah semasa bangun dari tidur, apabila Baginda bangun, Baginda menyapu mukanya dengan tangannya, iaitu menyapu kesan tidur dari wajahnya. Kemudian Baginda mengingati Allah SWT, Baginda berdoa,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Baginda berdoa, “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepadaNya kami kembali”

Dan Baginda bersiwak, berwudhuk dan solat. Baginda memberitahu kita bahawa syaitan mengikat kepala manusia dengan 3 simpulan semasa dia tidur. Apabila dia bangun dan mengingati Allah, terlepas satu simpulan, semasa dia berwhudu’ terlepas satu simpulan. Semasa dia solat, terlepas satu simpulan. Maka dengan itu, jika manusia tidak melakukan perkara ini, dia bangun dalam keadaan tidak baik. Apabila terlepas kesemua simpulan, manusia bangun dalam keadaan yang baik. Maka dia menjalani harinya dengan bahagia, penuh kerehatan.

Manusia jika mengamalkan adab-adab tidur, tidurnya sama seperti jaganya. Ibnu Mas’ud telah berkata, “Aku mahu tidurku sama seperti jagaku” Dan kita mengetahui bahawa Nabi SAW matanya tidur, namun hatinya jaga.

Kita berharap dengan beramal dengan adab Rasulullah SAW, ia akan menjadi rahsia bagi kesedaran (jaga) ini, dan kita dimuliakan oleh Allah melihat Rasulullah di dalam mimpi, dan dikumpulkan bersamanya di negeri akhirat. Dan itu adalah kerana berkatnya firman Allah, “Katakanlah (Muhammad), jika engkau mencintai Allah maka ikutilah aku, engkau akan dicintai Allah”.