Rasulullah SAW baik dalam bertutur, baik dalam berkata-kata. Baginda SAW suka menggunakan lafaz dan perkataan yang begitu baik, cantik dan lembut. Bayangkan, jika ada insan yang cuba menggantikan perkataan tersebut dengan perkataannya, pasti takkan dia temui. Sebaik-baik pertuturan adalah milik Nabi SAW.

Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya SAW “Katakanlah kepada hamba-hambaku, ucapkanlah perkataan yang lebih baik, sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan antara mereka.” Ayat ini seakan-akan ingin memberitahu kita berkata-katalah dengan baik kerana syaitan menggunakan pertuturan dan lafaz kamu untuk menimbulkan perselisihan.

Oleh itu, kita lihat ramai yang menghadapi masalah disebabkan mulut mereka. Ada individu yang menggunakan ayat tertentu tapi di salah erti oleh individu yang lain. Allah SWT berfirman : Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, Ucapkanlah perkataan yang lebih baik.

Salah satu adab Nabi SAW, kadang kala mewakilkan orang lain untuk bercakap. Jika Nabi SAW ingin menegur beberapa kesalahan syarak yang dilakukan oleh orang lain, Baginda SAW tidak menegurnya terus tetapi Baginda akan berkata : Kenapa mereka melakukan begitu? Baginda hanya bertanya dan tidak suka menyebut keburukan orang lain.

Salah satu adab Nabi SAW kadangkala apabila ingin memberitahu seseorang yang dia ada melakukan kesalahan baginda akan bercakap dengan orang yang rapat dengan individu tersebut supaya bukan Baginda yang menegur kesalahan individu tersebut.

Manusia yang berjaya ialah yang menutup mulutnya sebelum orang lain menutup telinga mereka. Kini, sebahagian kita lebih suka pertuturan yang kasar, maksudnya mereka tak sukakan pertuturan yang baik.

Sebahagian kita berubah kerana tidak memahami ini adalah Sunnah Nabi SAW. Sebab itulah sebahagian kita menjadikan perkataan yang tak elok, kejian dan kutukan, juga ungkapan yang pelik sebagai sapaan antara mereka.

Bagi mereka inilah penampilan terbaik dan sesuai untuk pemuda. Sahabat Nabi SAW bernama Jabir telah bertemu Nabi SAW dia berkata kepada Nabi : Ya Rasulullah, berika peringatan kepadaku, Nabi SAW bersabda kepadanya : Janganlah kau mencela orang lain. Maka dia berkata : Demi Allah, sejak itu aku tidak pernah mencela orang lain sama ada dia lelaki, perempuan, orang merdeka, hamba atau haiwan bermaksud, dia setelah itu tak pernah mencela, hinggakan haiwan pun sudah tidak dicela olehnya. Dia memahami peringatan daripada Nabi dan sejak itu, dia tidak pernah mencela sesiapa pun.

Pernah seorang wanita mengutuk binatangnya, iaitu seeokor unta telah dilaknatnya, lalu Nabi SAW bersabda: Turunkan barang daripada unta tersebut dan lepaskannya, unta yang dilaknat tak patut berjalan bersama kita. Maka unta tersebut berjalan bersendirian kerana Nabi tak redha unta itu bersama dalam kumpulan.

Otot tubuh yang paling kuat dalam tubuh manusia ialah lidah. Nabi SAW bersabda mungkin satu pertuturan daripada seorang lelaki membuatkan khalayak ramai ketawa akan menghumbankan dia ke dalam api neraka yang lebih jauh dari gugusan bintang.

Kadangkala manusia ingin berjenaka untuk membuatkan orang lain ketawa maka dia menggunakan lafaz yang biadap terhadap Allah SWT atau yang tak layak terhadap Allah.

Nabi SAW melarang kita bertutur kepada orang dengan kata-kata kutukan dan leteran atau kata-kata yang melupakan kita dengan nikmat yang diberikan Allah kepada kita. Hari ini kita namakannya dengan kata-kata negatif kerana ia menjatuhkan motivasi masyarakat, menjadikan manusia sentiasa melihat kegelapan.

Dengan kata-katanya telah memadam perasaan tenang dan kedamaian yang ada dalam hati manusia. Fikir dahulu sebelum berkata, ruangkan masa untuk mematangkan pertuturan, kata-kata seperti buah yang memerlukan masa untuk menjadi matang. Indah sungguh kerana Sunnah ini masih berterusan. Jika semua pertuturan kamu adalah baik maka kamu akan sentiasa mencontohi Nabi SAW kerana kamu sentiasa ingin bertutur dengan kata-kata yang baik.

Setiap percakapan sama ada kepada pegawai, ahli keluarga dan kanak-kanak adalah apa yang terbuku dari dalam diri manusia. Seperti yang disebut: “Setiap yang ada di dalam bekas pasti akan membasahi, Lidah dijadikan bukti, apa yang terbuku dalam hati.”

Hati Nabi SAW adalah yang paling suci sebab itulah tuturnya begitu suci. Timbangkan, adakah kamu memilih ini atau yang ini? Inilah yang ditawarkan Allah SWT kepada kita dalam firmannya : Katakanlah, jika kamu mencintai Allah ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu. Penting untuk kita fahami iaitu mencontohi Nabi SAW dalam bertutur dan berkata-kata bukan hanya perbuatan dan keadaan, agar kita dapat mendisiplinkan pertuturan kita.