Allah SWT menggambarkan bantahan orang kafir terhadap kesederhanaan Nabi SAW mereka berkata : “Nabi jenis apakah ini? Dengan makan dan berjalan ke pasar? Baginda SAW memang berjalan ke pasar malah baginda sendiri yang mengasaskan pasar untuk umat Islam di Madinah al-Munawwarah selepas baginda melihat pasar kaum Yahudi dan lain-lain terdapat penyelewengan dan penganiayaan maka baginda berdiri di sebuat tempat lalu bersabda : “Ini adalah tapak pasar kamu”. Maka terdirilah sebuah pasar untuk mereka dan Rasulullah SAW sendiri datang ke pasar tersebut.

Terdapat pelbagai sunnah yang berkaitan dengan pasar. Antara adab yang terpenting dan yang paling dituntut adalah Nabi SAW bersabda kepada sesiapa yang memasuki pasar membaca

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ حَيٌّ لاَ يَمُوْتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ.

dituliskan baginya sejuta kebaikan dan sejuta kejahatan akan dipadam dan Allah menaikkan darjatnya ke sejuta darjat lebih tinggi dan Allah juga akan sediakan untuknya sebuah rumah di syurga.

Sesetengah orang mempersoalkan mengapa ganjarannya sangat besar? Pertama ganjaran ini adalah daripada Allah yang maha pemurah. Kedua ramai orang di pasar akan leka daripada mengingati Allah, jadi jika anda mengingati Allah di tempat ramai orang melupakannya ganjaran tersebut akan dilipat gandakan kerana anda mengingatiNya ketika orang lain melupakanNya.

Ada doa lain yang diajarkan oleh Nabi SAW “Apabila memasuki pasar, haruslah membaca : Dengan nama Allah, Ya Allah, kurniakan kepadaku kebaikannya dan lindungilah aku dari kejahatannya.” Ya Allah aku berlindung dari akad yang palsu dan jual beli yang merugikan.” Dengan cara ini, pembeli dan penjual akan diberkati Allah kerana mereka telah memohon perlindungan Allah dan meminta supaya berjaya dalam jual beli.

Nabi SAW bersabda “Peniaga yang jujur akan bersama dengan para syuhada’ pada hari kiamat.” Nabi SAW juga akan bersikap mesra terhadap para pedagang apabila memasuki pasar dan selalu menasihati mereka. Inilah antara perkara terpenting ketika berada di pasar. Jika terdapat penjual yang melakukan kesilapan dia harus dinasihati dengan baik seperti sabda Nabi SAW kepada seorang pemuda “Barangsiapa yang menipu maka dia bukanlah dari kalangan kita.” Ini kerana pemuda itu menyembunyikan barang yang rosak di bawah barang yang elok.

Jika peniaga itu jujur, Nabi SAW bersabda bahawa mereka akan bersama dengan para syuhada’ pada hari kiamat kelak. Bermakna dia akan ditinggikan ke darjat para syuhada’ jika bersikap jujur.

Pernah sekali Nabi SAW memasuki pasar bersama Abu Hurairah dan beliau membawa pakaian untuk dibaiki. Apabila Nabi SAW menerima pakaian tersebut Abu Hurairah menghulurkan tangan untuk mengambilnya tapi Nabi SAW tak membenarkan beliau melakukannya lalu bersabda Wahai Abu Hurairah “Pemilik barang lebih berhak untuk membawanya.” Ini merupakan antara sunnah yang sangat indah iaitu seseorang bertanggungjawab mengambil barangnya sendiri.

Pasar umat Islam seperti tempat beribadah. Seseorang yang membelanjakan wang untuk membeli keperluan keluarganya dia harus ingat bahawa wang yang dibelanjakan dan bungkusan yang dibawa itu ada nilai tertentu di sisi Allah SWT. Wang itu lebih berharga daripada wang yang dibelanjakan di jalan Allah dan wang yang disedekahkan kepada fakir miskin itulah nilai wang yang dibelanjakan untuk anak- anak dan ahli keluarga.

Nabi SAW juga disifatkan sebagai seorang yang tidak riuh rendah di pasar. Baginda tidak sukakan pekikan dan kekecohan yang kebiasaannya berlaku di pasar-pasar, sebaliknya baginda seorang yang tenang dan kita sangat digalakkan mencontohinya. Kerana Nabi SAW merupakan ikutan kita.

Antara perkara penting yang perlu kita perhatikan dan ia sering berlaku di pasar adalah akad yang terlalu banyak. Lebih banyak dari pihak penjual daripada pihak pembeli.

Nabi SAW mengajar kita dengan sabdanya :”Bersumpah baik untuk barang tapi menghilangkan keberkatannya.” Ini jika bersumpah ke atas perkara yang benar. Kepada mereka yang bersumpah dengan nama Allah SWT ke atas perkara yang salah sesungguhnya orang tersebut berdosa dan dianggap menderhaka kepada Allah SWT.

Di pasar kebiasaannya terdapat lelaki dan wanita. Ramai orang mungkin melakukan dosa bila berada di pasar. Namun Nabi SAW ada bersabda kepada kita “Pandangan itu merupakan anak panah beracun dari syaitan. Barangsiapa yang mengelaknya kerana takutkan Allah, Allah akan kurniakannya kemanisan iman.” Selepas ini jika anda memasuki pasar dan mendapati ramai wanita berjalan di sebelah anda seorang demi seorang, jika anda merendahkan pandangan, Allah akan kurniakan kasih sayangNya.

Jika kita faham makna sunnah Rasulullah SAW ini, pasar akan menjadi tempat untuk kita mendapat ganjaran dari Allah SWT kerana mengikuti sunnah Nabi SAW yang akan memberikan kita ganjaran daripada Allah SWT. Jika anda dalam keadaan yang dah faham tentang sunnah ini, berseronoklah di pasar dengan mengamalkan sunnah ini. Allah SWT berfirman :

Katakanlah:”Jika kamu benar-benar cintakan Allah ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihimu. (Ali-Imran:31)