Perkahwinan adalah antara tuntutan bagi semua manusia, tepai Nabi SAW dalam hal perkahwinan, Baginda mempunyai Sunnah-sunnah dan adab-adab. Perkahwinan merupakan semanis-manis, secantik-cantik, selembut-lembut perkara dan memberi banyak manfaat dan faedah bagi manusia di dunia dan akhirat.

Tujuan perkahwinan bagi manusia sangat banyak, setiap orang berkahwin dengan sebab sendiri. Namun Nabi SAW mengangkat tujuan perkahwinan kepada tingkatan yang tertinggi. Nabi SAW menjadikan perkahwinan sebagai penghubung antara kita dan Baginda bersabda, “Berkahwinlah dan ramaikan ummatku, sesungguhnya aku berbangga denganmu, umatku pada hari kiamat”.

Bayangkan, dengan berkahwin kamu telah meramaikan ummat Nabi SAW dan Baginda gembira denganmu. Anda adalah antara sebab kebanggaan Nabi SAW. Bayangkan Nabi SAW berbangga dengan ummatnya pada hari kiamat, dan engkau merupakan sebab kebanggaan Nabi SAW, engkau akan memperolehi ganjaran yang baik daripadaNya.

Antara tujuan terpenting perkahwinan ialah sebagai pelindung. Apabila engkau berkahwin, niatkanlah ia sebagai melindungi dan memelihara dirimu, melindungi dan memelihara gadis-gadis muslimah. Tujuan ini merupakan tujuan yang besar dalam membaiki masyarakat dan menjadi benteng kepada perkara-perkara buruk yang menimpa sesuatu masyarakat.

Perkara terpenting di dalam perkahwinan yang menentukan kebahagiaan yang berpanjangan ialah proses pemilihan. Memilih calon yang sekufu sangat penting bagi setiap pemuda dan pemudi. Nabi SAW memberikan kita isyarat dan garis panduan di dalam memilih, jadi kita mesti mengambil perhatian tentang hal ini. Nabi SAW bersabda, “Seorang wanita dikahwini kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan bahagia.”

Apabila seseorang berkahwin kerana kecantikan, jadilah kecantikan itu lebih darinya. Apabila dia berkahwin kerana keturunan, mungkin keturunan itu akan hilang dan dia menjadi hina kerana sesuatu sebab. Sekiranya dia berkahwin kerana hartanya, mungkin dia akan menjadi hina dan miskin disebabkan itu. Namun jika mengahwini seseorang kerana agama pasti ada keberkatan padanya.

Nabi SAW mengingatkan kita akan hal yang penting. Nabi SAW bersabda, “Berhati-hatilah dengan ‘hadraauddiman (hijau yang buruk)!” Apakah ia ‘hadraauddiman’ wahai Rasulullah? Perkataan yang menimbulkan tanda tanya. Nabi bersabda ‘wanita cantik yang hidup dalam persekitaran yang buruk’. Ia adalah pokok yang hijau namun ditengahnya rosak. Ia dijangkiti tumbuhan perosak. Contohnya seorang wanita yang cantik namun dididik dengan buruk, maka berhati-hatilah!

Adapun bagi seorang wanita, dia juga perlu memilih calon suaminya. Nabi SAW bersabda, “Jika datang kepadamu seorang lelaki yang baik agamanya dan bertanggungjawab, maka kahwinilah dia!” Jika ada padanya agama, akhlak dan amanah, dia memelihara hakmu dan takutkan Allah, apabila dia datang meminang maka terimalah dia.

Nabi SAW telah menyebutkan satu ungkapan penting yang perlu diberi perhatian dan penekanan. “Jika kamu tidak menerimanya, maka ia akan menjadi fitnah dan kemusnahan yang besar di atas muka bumi ini”

Pada hari ini, kita mengetahui akan perkara ini dan keburukan yang terjadi disebabkan tidak mengambil perhatian dalam soal memilih pasangan. Jadi seseorang perlu berhati-hati di dalam memilih pasangan samada pemuda ataupun gadis.

Antara perkara penting sebelum perkahwinan, iaitu semasa bertunang dan ia dibenarkan oleh syariat ia melihat bakal isteri ditemani ahli keluarganya. Mengapa? Melihat bakal pasangan ini mempunyai rahsia. Nabi SAW bersabda, “Jika kamu ingin mengahwini seseorang lihatlah dirinya” Sesungguhnya ini dapat mendekatkan di antara kalian. Ia umpama perasa (di dalam makanan) yang akan membibitkan kasih sayang di antara kamu. Melihat pasangan semasa proses pemilihan akan mendatangkan ketenangan hati.

Mas kahwin yang terlampau mahal menyebabkan banyak masalah kepada masyarakat. Ramai pemuda, apabila menjelang perkahwinan kepenatan dan si gadis juga kepenatan, si bapa kepenatan, si ibu kepenatan, begitu juga keluarga gadis itu. Mengapa kamu memenatkan dirimu sendiri? Ini adalah masalah yang merunsingkan. Mereka semua kepenatan dan mereka suka memenatkan diri mereka sendiri.

Seseorang perlu memiliki kesedaran bahawa aku bukanlah menjual anak gadisku. Jika seorang lelaki ingin memiliki anakku dengan wang, harta dunia tidak pernah sama dengan anakku. Namun, jika lelaki itu sesuai, apa gunanya harta yang banyak, aku hanya inginkan anakku bahagia dan ia bukanlah pada banyaknya harta. Kebahagiaan sebenar adalah apabila lelaki itu memuliakan anakku dan memberikannya kehidupan yang bahagia.

Walimah dan kenduri merupakan Sunnah dalam perkahwinan. Nabi SAW semasa berkahwin melakukan kenduri dan menjemput sahabatnya mengikut kemampuannya. Kali pertama dengan seekor kambing, pernah juga lebih dari seekor kambing. Ada juga ketikanya Baginda tidak mampu menyembelih kambing. Sesetengah dari perkahwinan Nabi SAW dihidangkan sawiq, iaitu campuran tamar dan gandum. Apabila kita dijemput ke kenduri, hendaklah kita menjawabnya dengan menghadirinya untuk turut sama bergembira atas kegembiraan saudara semuslim kita, mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka.

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ialah doa yang penting “Wahai Allah berkatilah pada mereka, ke atas mereka, dan keluarkanlah daripada mereka banyak kebaikan.” Doa ini didoakan kepada siapa? Kepada anaknya az-Zahraa (Fatimah) dan Saidina Ali.

Menjelang hari perkahwinan, ayah atau abang lelaki perlu rapat kepada bakal pengantin. Bagi anak gadis, ibunya perlu rapat dengannya dan menasihati mereka dengan nasihat yang penting dan berguna untuk hari kemudian.

Malam pertama merupakan malam yang menyatukan seorang suami dan isterinya. Detik pertama ini merupakan detik yang paling membahagiakan. Padanya ada Sunnah yang penting yang perlu diberi perhatian oleh para pemuda. Kebanyakkan orang melupakan Sunnah ini.

Namun pemuda yang baik tidak akan melupakan Sunnah ini, lebih-lebih lagi pada saat yang penting ini. Dia solat 2 rakaat sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan tidak sekali-kali melupakan Tuhannya. Jadi solatlah 2 rakaat sebagai tanda syukur.

Perkara pertama apabila mengangkat penutup muka isterinya adalah meletakkan tapak tangan di atas ubun-ubunnya dan bacalah “Ya Allah, jadikan padanya kebaikan dan keberkatan” Hubungan yang kuat di antara kita dan Nabi SAW. Nabi SAW bersabda kepada kita, “Nikah itu adalah sunnahku, maka siapa yang membenci sunnahku dia bukanlah dari kalanganku”. Jika kamu merupakan dari kalangan Nabi Muhammad SAW, juga pengikut sunnahnya, pastilah kamu mempunyai hasrat yang kuat untuk berkahwin dan membina sebuah keluarga yang mengikut acuan Nabi SAW. Dan kamu termasuk mereka yang dikhususkan Allah di dalam firmanNya “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”.