Kekasih kita Nabi Muhammad SAW sentiasa di dalam kesedihan, dan Baginda SAW telah melalui sebahagian ujian dan rintangan. Baginda juga berpisah dengan ramai orang yang dikasihinya. Maka bagaimana baginda menguruskan kesedihanNya. Pada sifatnya, Baginda SAW sentiasa di dalam kesedihan. Namun beliau tidak menyembunyikan kegembiraan dan keseronokannya daripada para sahabat.

Sentiasa bersedih kerana Baginda banyak risau terhadap umatnya. Baginda mahukan kebaikan bagi umatnya, namun ramai yang melarikan diri darinya, kerana tidak mengenali Baginda dan kebaikan yang dibawanya.

Maka Baginda SAW bersedih disebabkan mereka. Satu jenazah telah diangkat pada ketika Nabi SAW sedang duduk, maka apabila Nabi melihatnya, Baginda pun menangis, jenazah itu ialah jenazah seorang yahudi yang mati dalam kekufuran. Maka Nabi SAW telah menangis, Baginda ditanya, “Apa yang engkau tangisi wahai Rasulullah?, Baginda menjawab, “Jiwa yang baru ditunjukkan kepadaku akan ke neraka. Baginda sangat bersedih atas perkara ini.

Nabi SAW bersabda “Alangkah hebatnya keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaanya adalah kebaikan dan ini hanya ada pada seorang mukmin : jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya”.

Nabi SAW merupakan orang yang paling banyak berpisah dengan orang kesayangannya di dunia ini. Baginda telah berpisah dengan isterinya Khadijah, iaitu kekasihnya dan orang yang banyak berkorban dengan diri dan hartanya. Baginda juga telah berpisah dengan orang yang banyak menyokongnya, iaitu pakciknya Abu Talib. Maka tahun tersebut telah dinamakan “Tahun kesedihan”.

Begitu juga dengan kematian anak-anak lelaki Baginda Qasim, Abdullah dan Ibrahim serta anak-anak perempuannya, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kulthum. Mereka semua telah ditimpa penyakit dan meninggal dunia.

Maka Nabi SAW telah mengebumikan mereka dengan tangan Baginda sendiri. Apabila anaknya Ibrahim meninggal dunia, Nabi SAW telah menangis dan bergenang air matanya. Maka seorang budak lelaki telah melihatnya dan bertanya, “Ya Rasulullah, engkau juga menangis?” Baginda bersabda, “Sesungguhnya mata menangis, dan hati berasa sedih, dan tidaklah kita mengatakan sesuatu melainkan yang diredhai Allah. Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahan ini.

Beginilah hal Nabi SAW ketika Baginda bersedih dengan kematian orang-orang yang tersayang. Nabi Yaaqub telah berkata : Sesungguhnya aku meluahkan dukacita dan kesedihanku kepada Allah.

Nabi SAW menolong mereka yang sedang bersedih. Baginda meredakan kesedihan sehinggakan kepada kanak-kanak. Apabila Baginda mendatangi seorang budak yang baru kematian burungnya, budak itu sangat sedih dengan kematian burungnya, maka Baginda SAW menenangkannya, dan berkata “Wahai Ayah Umair, apa yang sedang Nughair lakukan?”. Baginda berkata begitu kerana ingin meredakan kesedihan dan melupakannya, serta menampakkan musibah itu kecil buat kanak-kanak itu.

Nabi SAW mengajar kita semasa bersedih, agar mengembalikan segala perkara kepada Allah. Seperti dalam firman Allah, “Dan berilah berita gembira kepada mereka yang bersabar, iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah tempat kami kembali.” Ini merupakan ucapan orang-orang yang sabar “Inna Lillahi wainna ilaihi raaji’un”.

Antara sifat Baginda SAW apabila terlalu bersedih atau gelisah, Baginda SAW menyapu kepala dan janggutnya, lalu mengatakan “Hasbiyallah / Hasbunallah wani’mal wakil” (Cukuplah Allah sebagai penolongku / kami).

Baginda SAW bersabda kepada Ummi Salamah semasa kematian suaminya, “Katakanlah, Ya Allah, berilah pahala di dalam musibahku, dan gantikanlah bagiku sesuatu yang lebih baik darinya”. Maka Ummu Salamah tidak menjumpai seseorang yang lebih baik dari Abu Salamah, namun Allah menggantikan baginya Rasulullah SAW dan beliau telah menjadi Ummul Mu’minin.

Nabi SAW mengajarkan kita suatu doa yang hebat dan ia merupakan intipati penting untuk dipelajari dari pelajaran ini. Nabi SAW bersabda, “Tidaklah seseorang ditimpa musibah, kerunsingan dan kesedihan maka dia mengucapkan, “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahankukecuali Allah akan menghilangkan kerisauan dan kesedihannya dan melapangkan baginya. Sahabat bertanya, “Perlukah kami mempelajarinya?” Bahkan, bagi sesiapa yang mendengarnya mestilah dia mempelajarinya. Jadi sekarang kamu sudah mendengarnya, maka kamu mesti mempelajarinya seperti sabdaan Nabi SAW. Inilah doa yang agung yang perlu dilafazkan semasa ditimpa kesedihan.

Setiap perkara ada penawarnya, Bagi kesedihan juga ada penawarnya. Antara penawar semulajadi bagi kesedihan yang telah diajarkan oleh Nabi ialah “Talbinah”. Talbinah ialah minuman daripada gandum, ia dimasak sehingga putih kemudian diminum. Maka ia dipanggil “Talbinah” kerana ia menyerupai susu. Maka Nabi SAW memberitahu bahawa ia memberikan ketenangan kepada hati dari kesedihan dan kerisauan. Ini merupakan antara penawar yang diberitahu oleh Nabi SAW.

Antara perkara yang dipentingkan Nabi SAW ketika kesedihan ialah larangan melanggar batas-batas syariat seperti menjerit, tangisan yang melampau, mengoyakkan pakaian, menampar wajah, begitu juga meratap dan menyebut kata-kata yang tidak beradab dengan Allah SWT. Hal ini semakin banyak dilakukan oleh manusia dan Nabi SAW keras melarang hal ini.

Setiap orang yang ditimpa musibah di dunia perlulah memikirkan tentang perpisahannya dengan Rasulullah SAW. Tiada musibah yang paling besar melainkan perpisahan kita dengan Rasulullah SAW di dunia ini. Justeru ingatan ini akan menyedarkan kita akan hubungan kita dengan Rasulullah SAW di dalam kesedihan dan seluruh aspek kehidupan kita. Maka ini merupakan makna yang tersurat dan tersirat dari firman Allah SWT “Katakanlah sekiranya engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah SWT.”