MALU YANG DIKEJI


Ramai dalam kalangan anak-anak muda diberikan kelebihan daripada Allah SWT dan dikurniakan dengan kecerdikan. Sebahagian yang lain mempunyai kreativiti samada dalam bidang perkomputeran atau sebahagian pekerjaan yang lain.


Tiada seorang pun dalam kalangan manusia, melainkan Allah SWT mengurniakan kepadanya dengan keintelektualan, kepakaran, bakat dan keistimewaan. Tetapi yang menghalang mereka daripada menonjolkan kebolehan mereka adalah sifat malu yang disebut oleh para ulamak sebagai malu yang dikeji.


Nabi SAW adalah manusia yang paling tinggi sifat malunya dan baginda lebih pemalu daripada seorang anak dara di balik tabirnya. Baginda SAW telah bersabda bahawasanya malu itu adalah di antara cabang-cabang iman. Tetapi sekiranya malu ini menghalang seseorang itu daripada menonjolkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah dari kebaikan maka malu ini adalah malu yang dicela.


Di dalam Sahih Bukhari, Nabi SAW pernah menyoal para sahabat, “Pokok apakah yang mirip seperti orang mukmin?” Nabi SAW membuat satu teka teki. Para sahabat diam. Para sahabat berkata “Fikiran kami melayang ke padang pasir, pokok-pokok dan kebun-kebun..” Apabila tamat majlis, tiada seorang pun dapat menjawab maka Nabi SAW jawab “Sesungguhnya pokok itu adalah pokok kurma,” Waktu itu, Abdullah bin Umar al-Khatab hanyalah seorang anak kecil. Apabila keluar dari majlis tersebut, dia memberitahu ayahnya Saidina Umar “Wahai ayah, aku sebenarnya tahu pokok itu adalah pokok kurma, tetapi aku malu,” Maka Saidina Umar berkata “Sekiranya kamu jawab soalan tadi, nescaya lebih aku suka daripada sekian dan sekian,” kalau kamu jawab, padahal kamu masih lagi budak kecil dan menjawab soalan Nabi SAW, aku berbangga dengan kamu dan kamu dapat menonjolkan kecerdikan yang Allah SWT kurniakan kepada kamu, “Saidina Umar menyalahkan anaknya kerana dia tahu jawapan tersebut tetapi tidak menjawabnya.


Oleh itu, kami menasihatkan kepada para remaja, sesiapa sahaja yang mampu untuk membuat apa-apa sahaja kerja jangan tangguh-tangguh! Walaupun bertemu dengan kegagalan atau cercaan sesetengah manusia atau berasa bersalah atau malu, atasilah penghalang ini! Akan lahir dari kamu kemampuan yang luar biasa. Kemudian akan tercapai tahap-tahap kecemerlangan serta kejayaan dengan izin Allah. Ini merupakan suatu isu penting yang memerlukan perhatian dari para pemuda sehingga akan lahir dalam masyarakat kita suatu hari nanti orang-orang yang kreatif, orang-orang yang berkeupayaan, ahli-ahli pemikir. Dan lahir dari kalangan para pemuda Islam orang yang mencetuskan pelbagai keajaiban yang menjadi kebanggaan Rasulullah SAW.

#pendidikanislam

#fattabiuni