NUZUL AL-QURAN
PEMBELAJARAN KENDIRI, FLIP CLASSROOM
NUZUL AL-QURAN
Hari Nuzul Al-Quran 18 Mac 2025 (Selasa) - 17 Ramadan 1446H
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
Surah al-Baqarah 2 : 185
Nuzul al-Quran dari segi bahasa an-Nuzul bererti penurunan atau perpindahan sesuatu dari atas ke bawah.
Dari segi istilah - Penurunan al-Quran daripada Allah SWT ke Luh Mahfuz, seterusnya ke baitul 'Izzah di langit dunia (penurunan kedua-dua peringkat ini adalah secara sekaligus). Seterusnya dari Baitul 'Izzah di langit dunia ke dalam dada Rasulullah SAW (penurunan secara beransur-ansur) melalui perantaraan Malaikat Jibril (AS).
CARA NUZUL AL-QURAN
Penurunan Secara Sekaligus
Antara dalil yang membuktikan bahawa al-Quran diturunkan secara sekaligus ialah
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
Surah al-Baqarah 2 : 185
إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).
Surah ad-Dukhan 44 : 3
Penurunan Secara Beransur-ansur
Al-Quran diturunkan kepada Baginda SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun. Antara dalil yang membuktikan bahawa Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW ialah
وَقُرْءَانًا فَرَقْنَـٰهُ لِتَقْرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَـٰهُ تَنزِيلًا
Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. Surah al-Israk 17 : 106
PERINGKAT NUZUL AL-QURAN
Al-Quran diturunkan dalam 3 peringkat
Peringkat Pertama : Penurunan al-Quran daripada Allah SWT ke Luh Mahfuz. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT
بَلْ هُوَ قُرْءَانٌ مَّجِيدٌ فِى لَوْحٍ مَّحْفُوظٍۭ
(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.
Surah al-Buruj 21-22
Peringkat Kedua : Penurunan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke baitul 'Izzah di langit dunia. Penurunan pada peringkat ini masih secara sekaligus. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah SWT
إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Surah al-Qadr 97:1
Peringkat Ketiga : Penurunan al-Quran daripada Baitul 'Izzah di langit dunia ke dalam dada Rasulullah SAW. Penurunan pada peringkat ini adalah secara beransur-ansur selama 23 tahun. Antara dalil yang menyokong pendapat ini ialah firman Allah SWT
وَقُرْءَانًا فَرَقْنَـٰهُ لِتَقْرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَـٰهُ تَنزِيلًا
Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. Surah al-Israk 17 : 106
KEPENTINGAN NUZUL AL-QURAN SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT DAN BERANSUR-ANSUR
Memudahkan para sahabat menghafaz dan mengamalkan al-Quran.
Menguat dan meneguhkan hati Rasulullah SAW sehingga Rasulullah SAW dapat menyelesaikan permasaalahan yang menimpa masyarakat umat Islam dengan pantas.
Bukti bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah SWT bukan pertuturan Rasulullah SAW semata-mata
Beransur-ansur dalam menetapkan sesuatu hukum seperti pengharaman arak.
Hukum-hukum lebih mudah difahami dan dilaksanakan agar manusia tidak terbeban dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
USAHA DAN TINDAKAN UNTUK MENJADIKAN NUZUL AL-QURAN SEBAGAI PENDOMAN MEMAHAMI KANDUNGAN AL-QURAN
INDIVIDU
Memahami dan menghayati peristiwa nuzul al-Quran terutamanya apabila memasuki bulan Ramadan
Membaca buku-buku ilmiah dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang berkaitan Nuzul al-Quran
MASYARAKAT
Mengadakan program ceramah perdana di masjid-masjid dan surau-surau yang membahaskan topik Nuzul al-Quran
Membuat aktiviti menghayati peristiwa Nuzul al-Quran di masjid atau di surau seperti halqah al-Quran dan sebagainya
NEGARA
Menghebahkan kepada masyarakat program-program sambutan Nuzul al-Quran melalui media seperti televisyen dan internet.
Menghasilkan jurnal peristiwa Nuzul al-Quran dan menyebarkan kepada masyarakat awam.