SURAH AS-SYARAH
PEMBELAJARAN KENDIRI, FLIP CLASSROOM
SURAH AS-SYARAH
MUQADDIMAH SURAH AL-INSYIRAAH
Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat. Dinamakan surah ”Al-Insyiraah (Perihal Melapangkan Dada Nabi), kerana pada awal surah ini, Allah Ta’ala menegaskan salah satu ni’matNya yang dikurniakanNya kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah melapangkan dadanya (serta mengisinya dengan iman dan hidayah pertunjuk).
Intisari kandungannya: Menerangkan ni’mat-ni’mat Allah yang telah diberikan kepada Baginda, di antaranya melapangkan dadanya untuk menerima hidayah pertunjuk ke jalan yang betul.
Meringankan beban tugas Baginda dalam menyiarkan Islam, dengan diberiNya pelbagai kemudahan dalam melaksanakannya.
Meninggikan sebutan nama Baginda dengan mengurniakan kepadanya pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan.
Di antara kemuliaan-kemuliaan itu ialah wajibnya seseorang mengakui kerasulan Baginda di samping mengakui keesaan Allah Ta’ala bagi mengesahkan Islamnya, juga wajibnya seseorang menyebut nama Baginda dalam “Kalimah Syahadat” bagi mengesahkan sembahyangnya.
Setelah itu Allah Ta’ala memberi semangat dan harapan dengan menegaskan:.
“Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan!”
Untuk menghapuskan sebarang perasaan putus asa yang lazimnya terdapat dalam kalangan manusia semasa menemui jalan buntu, lalu ditegaskan sekali lagi:
“Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan!”
Asalkan kesukaran itu dihadapi dengan tabah hati disertakan dengan usaha ikhtiar mencari jalan keluar, setelah berazam dan berserah bulat-bulat kepada Allah Yang Maha Melimpah rahmatNya.
Surah ini diakhiri dengan ajaran yang mengarahkan supaya tiap-tiap seorang sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh mematuhi perintah Tuhannya dan berbakti untuk kebaikan dirinya dan masyarakatnya.