PEMBELAJARAN KENDIRI, FLIP CLASSROOM
عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: " إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ". رَوَاهُ إِمَامَا الْمُحَدِّثِينَ أَبُو عَبْدِ اللهِ مُحَمَّدُ بنُ إِسْمَاعِيل بن إِبْرَاهِيم بن الْمُغِيرَة بن بَرْدِزبَه الْبُخَارِيُّ الْجُعْفِيُّ [رقم: 1]، وَأَبُو الْحُسَيْنِ مُسْلِمٌ بنُ الْحَجَّاج بن مُسْلِم الْقُشَيْرِيُّ النَّيْسَابُورِيُّ [رقم: 1907] رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا فِي "صَحِيحَيْهِمَا" اللذَينِ هُمَا أَصَحُّ الْكُتُبِ الْمُصَنَّفَةِ.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a., beliau berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya, segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya, setiap orang akan memperoleh apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa yang berhijrah semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya, hijrahnya adalah kepada Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana habuan dunia yang hendak diperoleh atau kerana wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya dikira mengikut apa yang dia niatkan."
Hadis ini diriwayatkan oleh dua orang imam dalam bidang hadis iaitu Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Bukhari, dan Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi dalam kedua-dua kitab mereka yang merupakan kitab hadis paling sahih.
• Hadis ini memberi peringatan kepada kita agar sentiasa mengikhlaskan niat hanya kerana Allah SWT dalam melakukan kebaikan. Hadis ini menekankan tentang kepentingan ikhlas supaya amalan yang dilakukan diterima Allah SWT.
• Niat adalah maksud atau tujuan untuk melakukan sesuatu perbuatan. Sesuatu perbuatan yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT akan dikira sebagai ibadah. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 2: Terjemahan: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah dan bawaanmu kepada-Nya. "
• Dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa hanya para sahabat yang berhijrah ke Madinah ikhlas kerana Allah dan Rasul-Nya mendapat pahala hijrah.
• Dalam peristiwa hijrah ini terdapat seorang lelaki dalam kalangan sahabat yang berhijrah kerana ingin mengahwini seorang wanita (dikatakan bernama Ummu Qais). Beliau dikenali dengan penghijrah (muhajir) Ummu Qais.
• Niat merupakan motivasi dalaman yang menggerakkan kita untuk beramal di samping faktor luaran yang mendorong untuk terus berjaya.
• Kita digalakkan untuk memperbanyakkan niat kerana seseorang itu diganjari pahala mengikut kadar niatnya.
PENGAJARAN
Niat membezakan antara ibadah dengan adat. Sesuatu kebiasaan yang dilakukan seperti makan dan minum, menuntut ilmu boleh menjadi ibadah dan mendapat pahala daripada Allah SWT sekiranya dilakukan dengan niat untuk mendapat keredaan-Nya.
• Sesiapa yang berniat untuk mengerjakan amalan yang baik seperti menuntut ilmu, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana sesuatu halangan seperti sakit, maka niatnya sudah dikira pahala di sisi Allah SWT.
• Penghijrahan sikap dan tindakan merupakan faktor utama kejayaan seseorang dalam apa jua lapangan yang diceburi. Penghijrahan di sini bermaksud berubah kepada keadaan yang lebih baik.
• Niat dan tindakan hendaklah seiring dalam kehidupan seharian.
PENGHAYATAN
• Murid hendaklah melaksanakan setiap amalan kerana Allah SWT.
• Murid hendaklah melaksanakan amalan dengan penuh kesungguhan untuk memperoleh kejayaan dunia dan pahala di akhirat.
• Murid hendaklah hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT, bukan disebabkan oleh suruhan ibu bapa, mengikut kawan, mendapat wang saku atau sebagainya.
• Murid membantu rakan sebaya dengan ikhlas kerana Allah SWT.
• Murid hendaklah sentiasa berusaha memperkukuh hubungan persahabatan dengan rasa hormat dan ikhlas tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
FOKUS NILAI • Keyakinan • I hsan • Ikhlas
CADANGAN AKTIVITI
• Usrah mingguan • Forum hijrah
عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ: " بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم . فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ، وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا. قَالَ: صَدَقْت . فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ! قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ. قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْت. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ. قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ ". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ] .
HADIS 40 IMAM NAWAWI : 02
ISLAM, IMAN DAN IHSAN
Terjemahan: Daripada Saiyidina Umar r.a. juga, beliau berkata: “Pada suatu hari ketika kami sedang bersama-sama Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian sangat putih, rambutnya sangat hitam serta tidak kelihatan padanya kesan perjalanan jauh dan tiada seorang pun dalam kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk begitu hampir dengan baginda SAW, dia merapatkan kedua-dua lututnya dengan lutut baginda SAW dan meletakkan kedua-dua tapak tangannya di atas paha baginda SAW lalu berkata, “Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu ialah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Muhammad itu ialah utusan Allah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah sekiranya mampu sampai ke sana.” Dia berkata, “Kamu benar.” Maka kami berasa hairan kerana dia yang bertanya kemudian dia pula yang membenarkan jawapan itu. Dia bertanya lagi, “Khabarkan kepadaku tentang iman.” Baginda SAW bersabda, “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat dan beriman dengan takdir sama ada yang baik atau yang buruk.” Dia berkata, “Kamu benar.” Dia berkata lagi, “Khabarkan kepadaku tentang ihsan.” Baginda SAW bersabda, “Ihsan ialah kamu beribadah kepada Allah (dengan penuh tumpuan) seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak dapat merasakan seperti melihat-Nya maka sesungguhnya, Dia sentiasa melihat kamu.” Dia berkata, “Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat.” Baginda SAW bersabda, “Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui berbanding yang bertanya.” Dia berkata, “Maka khabarkan kepadaku tentang tandanya.” Baginda SAW bersabda, “(Antara tandanya) ialah seorang hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri dan kamu akan melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian (sempurna), berasal daripada golongan miskin serta bekerja sebagai penggembala kambing. Mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi (megah).” Kemudian lelaki itu beredar. Selang beberapa ketika baginda SAW bertanya kepadaku, “Wahai Umar, adakah kamu tahu siapa yang datang bertanya tempoh hari?” Aku menjawab, “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya dia ialah malaikat Jibril. Dia datang untuk mengajarkan kepada kamu mengenai urusan agama kamu.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan tiga teras agama yang mesti difahami oleh setiap orang Islam iaitu Islam, iman dan ihsan. Seseorang Islam dinamakan Muslim, yang beriman dinamakan mukmin dan muhsin merujuk kepada sifat ihsan. Ketiga-tiga teras ini mesti ada dalam diri setiap orang beragama Islam.
Islam ialah kepatuhan yang tertegak atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah bagi yang berkemampuan.
Iman ialah meyakini sesuatu tanpa keraguan. Keyakinan tersebut berdasarkan keimanan kepada Allah SWT, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan ketentuan qadak dan qadar. Iman itu membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota.
Ihsan ialah melakukan amalan dengan sebaik-baiknya kerana meyakini Allah SWT sentiasa melihat apa yang kita lakukan.
Hari kiamat merupakan hari kebangkitan untuk menerima pembalasan sama ada syurga atau neraka. Hanya Allah SWT yang mengetahui bila berlakunya hari kiamat. Kita hanya mengetahui tanda-tanda berlakunya hari kiamat seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT dalam surah al-A'araf ayat 187:
Terjemahan: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
PENGAJARAN
Para sahabat sentiasa mendampingi Rasulullah SAW dengan memberi tumpuan terhadap pengajaran baginda.
Pertanyaan tidak hanya diajukan untuk memperoleh jawapan, tetapi juga bertujuan memberikan manfaat kepada mereka yang hadir.
Penghayatan kepada Islam, iman dan ihsan ialah kesempurnaan bagi seseorang Muslim.
Setiap Muslim hendaklah mengambil iktibar pesanan Rasullullah SAW berkaitan dengan tanda-tanda kiamat.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah berusaha mempelajari dan menghayati ilmu akidah, ibadah dan akhlak.
Murid hendaklah mengutamakan ilmu fardu ain dan tidak meninggalkan ilmu fardu kifayah dalam kehidupan.
Murid mestilah menjaga penampilan diri, berdisiplin dan beradab semasa menuntut ilmu.
Murid dituntut untuk sentiasa mentaati kedua-dua ibu bapa.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Hormat
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Usrah mingguan
Bacaan hadis
Hafazan hadis
عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: " بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ". [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ].
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.a., beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Islam dibina di atas lima rukun; bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini berkaitan rukun Islam yang lima iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Mengucapkan dua kalimah syahadah ialah pengakuan terhadap kewujudan dan keesaan Allah SWT serta kenabian Nabi Muhammad SAW.
Solat ialah perbuatan yang dimulakan dengan lafaz takbiratul ihram dan disudahi dengan lafaz salam mengikut rukun dan syarat-syarat tertentu. Solat merupakan kewajipan dan juga munajat seorang hamba kepada Tuhannya.
Puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Matlamat puasa untuk menjadikan seseorang itu hamba Allah SWT yang bertakwa.
Zakat ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu untuk diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya dengan syarat yang ditetapkan oleh syarak. Ibadah zakat mampu melahirkan rasa kasih sayang dan saling membantu antara anggota masyarakat.
Haji ialah mengunjungi Baitullah (Kaabah) pada masa tertentu (bulan haji) untuk mengerjakan ibadah tertentu menurut syaratnya. Haji adalah ibadah yang berkaitan dengan tubuh badan dan harta. Ibadah ini wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi orang yang berkemampuan.
Hanya Islam sahaja agama yang diakui benar oleh Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 19:
Terjemahan: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”
PENGAJARAN
Islam merupakan cara hidup sempurna yang menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Dalam rukun Islam terdapat hubungan antara manusia dengan Allah SWT iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Malahan ibadah zakat menunjukkan terdapat nilai hubungan sesama manusia melalui bantuan terhadap golongan yang berhak menerimanya.
Orang yang berpuasa, berzakat dan menunaikan haji tetapi tidak mendirikan solat ialah orang yang meninggalkan ibadah yang utama. Hal ini disebabkan oleh solat merupakan tiang agama seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: Terjemahan: “Solat adalah tiang agama”
Setiap orang yang beriman mestilah patuh melaksanakan segala tuntutan rukun Islam bagi mendapat keredaan Allah SWT. Apa yang diyakini hendaklah dibuktikan dengan tindakan dalam bentuk ketaatan terhadap perintah Allah SWT dan ajaran Rasullah SAW.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah memahami bahawa lslam umpama sebuah binaan dengan lima asas utama. Tanpa lima asas utama ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh.
Murid hendaklah istiqamah mengamalkan dan menghayati rukun Islam dengan ikhlas.
Murid yang menjaga lima rukun lslam dengan bersungguhsungguh akan berjaya dalam kehidupan mereka.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Pengucapan awam di perhimpunan harian/mingguan/bulanan
Halaqah ilmu seperti Kuliah Lima Minit
Sudut informasi rukun Islam di dalam kelas
Mengamalkan doa keteguhan iman dan Islam selepas solat: Terjemahan: “Wahai Tuhan Kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu: sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” ( Surah Ali ‘Imran: Ayat 8)
عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم -وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ-: "إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ؛ فَوَاَللَّهِ الَّذِي لَا إلَهَ غَيْرُهُ إنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا". [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ] .
Terjemahan: Daripada Abu Abdul Rahman Saiyidina Abdullah bin Mas’ud r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW - yang sangat sentiasa berkata benar lagi diakui kebenarannya - telah memberitahu kami: “Sesungguhnya, dihimpunkan (unsur) penciptaan setiap kamu di dalam rahim ibunya selama 40 hari, kemudian bertukar menjadi segumpal darah selama itu juga, kemudian bertukar menjadi seketul daging selama itu juga. Kemudian diutuskan malaikat lalu dia pun meniup roh padanya. Dan malaikat itu diperintahkan agar menulis empat ketetapan: rezeki, ajal, amal perbuatannya dan (sama ada dia menjadi orang yang) celaka atau bahagia. Maka, demi Zat yang tiada tuhan selain-Nya, sesungguhnya ada antara kamu orang yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak dia dengan syurga hanya satu hasta tetapi takdir telah mendahuluinya. Lalu, dia melakukan amalan ahli neraka sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka. Sesungguhnya, ada antara kamu orang yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak dia dengan neraka hanya satu hasta, tetapi takdir telah mendahuluinya lalu dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia dimasukkan ke dalam syurga. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menerangkan proses kejadian manusia iaitu bermula daripada air mani menjadi segumpal darah dan bertukar menjadi seketul daging kemudian tulang-belulang dibalut dengan daging. Proses kejadian tersebut juga dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 12-14
Terjemahan: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) dari tanah. (12) Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh (13). Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami mencipta daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-belulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka, nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (14)”
Roh ditiupkan dalam janin selepas tempoh empat bulan berada dalam rahim ibu. Allah SWT memerintahkan malaikat mencatat empat perkara iaitu mengenai rezekinya, ajalnya, amalannya dan kesudahannya sama ada bahagia atau sebaliknya.
Hadis ini juga menekankan berkaitan amalan manusia. Menurut Ibn Daqid al-‘Id ada orang dilihat pada zahirnya melakukan amalan yang benar sehingga dianggap sebagai ahli syurga. Walau bagaimanapun dia tidak dimasukkan ke syurga kerana melakukan amalan ahli neraka. Begitu juga sebaliknya, orang yang melakukan amalan yang dimurkai Allah SWT sehingga pada zahirnya dianggap sebagai ahli neraka. Namun, akhirnya dia dimasukkan ke syurga kerana melakukan amalan ahli syurga.
Menurut al-Hafiz ibn Hajar, hadis ini menyatakan dengan jelas tentang setiap yang berlaku adalah mengikut qadak dan qadar Allah SWT. Justeru, kita sebagai hamba hendaklah sentiasa memohon petunjuk dan hidayah supaya dapat mengakhiri kehidupan di dunia dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah).
Sebagai hamba Allah SWT, kita hendaklah sentiasa istiqamah melakukan amalan yang baik dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang merugikan. Pada masa yang sama kita dituntut berdoa supaya ditetapkan hati dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti berikut:
Terjemahan: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Kita juga hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan kebaikan di dunia dan akhirat seperti mengamalkan doa berikut:
Terjemahan: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah: ayat 201)
Hadis ini juga menekankan untuk tidak mudah menghukum orang yang melakukan kejahatan sebagai ahli neraka. Kemungkinan orang yang jahat pada mata kita diberi hidayah oleh Allah SWT untuk melakukan kebaikan di akhir hayatnya dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga.
Kita dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah SWT, bukan semata-mata amalan yang dilakukan. Syurga milik Allah SWT dan Dia berhak menentukan sesiapa sahaja untuk dimasukkan ke dalamnya.
Rahmat Allah SWT sangat luas. Keampunan-Nya mendahului kemurkaan-Nya. Selain daripada mengampunkan dosa orang yang bertaubat, Allah SWT juga mengampunkan dosa orang yang membuat kebaikan kepada makhluk lain.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a.:
Terjemahan: “Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, Allah SWT menghargai amalannya (bantuan) dan mengampuninya.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?” Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala.” [Riwayat al-Bukhari (2363)]
PENGAJARAN
Manusia perlu menjauhkan diri daripada sifat sombong, angkuh dan bongkak kerana asal kejadian manusia bermula dari tanah.
Proses kejadian manusia secara berperingkat membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.
Setiap peristiwa yang berlaku bukan secara kebetulan tetapi menurut takdir yang ditentukan oleh Allah SWT.
Sentiasa berusaha mengajak orang kepada kebaikan dan tidak menghukum orang yang melakukan kejahatan sebagai ahli neraka. Kemungkinan mereka akan melakukan kebaikan di akhir hayatnya dan masuk ke syurga.
PENGHAYATAN
Murid perlu menyedari bahawa manusia merupakan sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain.
Murid hendaklah sentiasa istiqamah melakukan kebaikan dan berdoa agar mendapat husnul khatimah.
Murid hendaklah bekerjasama sesama rakan secara harmoni dengan menghargai dan memanfaatkan kelebihan masing-masing.
Murid hendaklah mengelakkan diri daripada memandang hina terhadap orang yang melakukan kesalahan dan sentiasa mendoakan kebaikan untuknya.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Menziarahi rumah kebajikan orang tua
Halaqah ilmu: Menonton video proses kejadian manusia
Menziarahi kematian saudara seagama
عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أُمِّ عَبْدِ اللَّهِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ: رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ،[وَمُسْلِمٌ] وَفِي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ"
Terjemahan: Daripada Ummul Mukminin Ummu Abdillah Saidatina ‘Aisyah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mereka-reka dalam urusan (agama) kami ini perkara yang tiada asas (dalilnya) daripada agama maka ia tertolak.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Dalam satu riwayat yang lain daripada Imam Muslim, “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak berasaskan ajaran agama kami maka ia tertolak.”
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan bahawa perbuatan mengada-adakan sesuatu berkaitan urusan agama yang tiada asas dalam syarak adalah tertolak. Ini menunjukkan amalan yang dilakukan oleh orang yang mukallaf adalah terikat dengan hukum syariat.
Setiap amalan yang tidak berasaskan syariat Allah SWT adalah batil dan tertolak. Perkara ini terbahagi kepada dua, iaitu; ibadah dan muamalat. Ibadah seperti menambah atau mengurangkan bilangan rakaat dalam solat. Muamalat seperti jual beli barang yang diharamkan contohnya arak dan bangkai.
Perkara yang tertolak dalam agama termasuk juga mengubah hukum yang telah ditetapkan oleh syarak. Contohnya mengubah hukuman sebatan kepada bayaran bagi perbuatan zina, seperti seorang yang bertanya kepada Rasulullah SAW; “Anakku menzalimi si fulan dan berzina dengan isterinya maka aku ingin menebus kesalahannya (daripada dihukum sebat) dengan seratus ekor kambing dan seorang hamba.” Maka Rasulullah SAW bersabda; “Seratus ekor kambing dan hamba akan dikembalikan kepadamu dan anakmu dirotan dengan seratus kali sebatan dan dibuang daerah selama satu tahun.”
Selain itu, terdapat juga amalan yang tidak ada dalam nilai ibadah. Dalam satu hadis Rasulullah SAW melarang melakukan nazar seperti berikut: Daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata: Ketika Nabi SAW sedang berkhutbah, baginda dapati ada seorang lelaki berdiri di bawah terik matahari lalu baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat berkata: “Dia ialah Abu Israel bernazar untuk berdiri, tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh dan tidak mahu bercakap, dan dia sedang berpuasa.” Baginda SAW bersabda: “Suruh dia bercakap, berteduh, duduk dan sempurnakan puasanya.” (Riwayat Abu Daud)
PENGAJARAN
Islam ialah agama yang telah sempurna seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Setiap Muslim mestilah menjauhkan diri daripada perbuatan yang bercanggah dengan syariat Allah SWT supaya tidak menjadi fitnah terhadap kesucian Islam.
Setiap Muslim hendaklah memastikan amalan yang dilakukan bersandarkan petunjuk al-Quran dan al-Sunah.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah beramal dengan amalan yang berasaskan al-Quran dan al-Sunah agar terhindar daripada perkara yang bercanggah dengan syariat Allah SWT.
Murid hendaklah ikhlas dalam setiap amalan supaya diterima oleh Allah SWT.
Murid hendaklah mempelajari ilmu daripada guru yang berautoriti, bukan semata-mata daripada media sosial tanpa panduan.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Keyakinan
CADANGAN AKTIVITI
Kempen solat berjemaah dan puasa sunat
Forum
Kempen amalan sunah dalam kehidupan seharian
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: "إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ".
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ]، [وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu ‘Abdullah al-Nu’man bin Basyir r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas dan di antara kedua-duanya terdapat perkara yang syubhah (tidak jelas hukumnya), yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang berhati-hati terhadap perkara yang syubhah, maka dia telah memelihara agamanya dan maruahnya. Namun sesiapa yang terjebak dengan perkara yang syubhah maka dia terjerumus ke dalam perkara haram. (Keadaannya) seperti penggembala yang membawa binatang gembalaannya berhampiran kawasan larangan, lambat laun dikhuatiri dia akan memasukinya. Ketahuilah sesungguhnya setiap raja mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah sesungguhnya kawasan larangan Allah ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka seluruh jasad akan baik. Dan apabila ia rosak maka seluruh jasad akan rosak. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menyatakan tentang perkara halal dan haram itu jelas dan antara kedua-duanya ada perkara yang samar iaitu syubhah.
Contoh perkara halal yang jelas ialah memakan makanan yang halal lagi baik daripada tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan binatang ternakan. Manakala contoh perkara yang haram ialah memakan bangkai, daging babi dan minum arak.
Perkara syubhah ialah perkara yang ada kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, contohnya: Makanan atau minuman yang tidak jelas status halal atau haram. Keuntungan daripada pelaburan yang tidak jelas halal atau haram sesuatu perniagaan. Pakaian yang mempunyai simbol maksiat. Menyewakan rumah kepada pelaku maksiat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah SWT, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya."
Ayat ini mengingatkan kita supaya mengambil makanan dan minuman yang baik serta mensyukuri nikmat Allah SWT.
Hati yang baik ialah hati yang sentiasa ingat dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Kita juga diperintah untuk meninggalkan segala larangan Allah SWT dan sedaya upaya untuk menjauhi perkara syubhah agar tidak terjerumus kepada yang diharamkan.
PENGAJARAN
Mengambil berat tentang perkara yang berkaitan halal, haram dan syubhah.
Tidak peka terhadap perkara halal, haram dan syubhah akan memberi kesan negatif kepada kehidupan.
Melakukan perkara haram dan syubhah akan menjejaskan kesucian hati.
PENGHAYATAN
Murid perlu memastikan makanan, minuman, pakaian dan lain-lain daripada sumber yang diyakini halal.
Murid perlu berusaha menjauhi perkara yang syubhah.
Meminta izin untuk mengambil atau menggunakan hak milik rakan merupakan amalan mulia.
Murid bertanggungjawab untuk memilih produk yang diyakini halal seperti yang mempunyai logo halal Jakim.
Murid perlu menghindari perkara yang dilarang seperti meniru dalam peperiksaan, menghina, mencaci, mengejek, membuli dan lain-lain.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Keyakinan
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Usrah mingguan
Bacaan hadis selepas solat
عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: "الدِّينُ النَّصِيحَةُ." قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: "لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ."
[رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dari r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Agama itu nasihat (tulus dan setia menunaikan tanggungjawab).” Kami bertanya, “Kepada siapa?” Baginda SAW bersabda, “Kepada Allah, kitab-Nya, rasul-Nya dan pemimpin kaum Muslimin serta kesemua orang Islam.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Nasihat merupakan asas dalam agama. Menurut Ibn Daqiq al-Id, nasihat ialah segala bentuk kebaikan yang disampaikan kepada seseorang demi kebaikan dirinya.
Nasihat meliputi peringatan untuk beriman kepada Allah SWT, mengesakan-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Nasihat juga merupakan peringatan untuk beriman dengan kitab Allah SWT dan beramal dengannya.
Nasihat kepada ulama adalah dengan menghormati dan mengikut ajaran mereka. Manakala nasihat kepada pemimpin adalah dengan menyokong usaha kebaikan yang dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan agama.
Ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW serta pemimpin turut menzahirkan konsep nasihat sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Nisa’ ayat 59: Terjemahan: “Wahai orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (alQuran) dan (al-Sunah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Nasihat kepada orang Islam pula boleh dilaksanakan dengan memberikan tunjuk ajar dan contoh teladan ke arah kebaikan.
PENGAJARAN
Memberi nasihat adalah tuntutan daripada Allah SWT. Mereka yang melaksanakannya akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Menjadikan al-Quran dan al-Sunah sebagai panduan dalam amalan harian.
Kita perlu menzahirkan kasih sayang sesama insan melalui amalan saling menasihati.
Masyarakat yang harmoni akan terbentuk apabila setiap individu berlapang dada menerima peringatan dan membaiki diri.
PENGHAYATAN
Murid perlu mengamalkan budaya nasihat-menasihati.
Murid perlu menghargai nasihat yang diberi oleh sesiapa sahaja dengan melaksanakan segala tunjuk ajar mereka.
Murid hendaklah sentiasa berlapang dada menerima nasihat yang baik.
FOKUS NILAI
Ihsan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Tazkirah
Dakwah rakan sebaya
Street Dakwah
Perkongsian berunsur nasihat dalam media sosial.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ؛ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى" .
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ،[وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan supaya memerangi (penentangan) manusia sehingga mereka (sendiri) bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT dan bahawa Muhammad ialah pesuruh Allah SWT, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka menunaikan perkara tersebut, maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripada (tindakan yang diperintahkan kepada) aku melainkan dengan hak (yang dibenarkan oleh) Islam. Selebihnya, perhitungan terhadap mereka diserahkan kepada Allah SWT.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Perkataan قاتل dalam hadis ini bermaksud peperangan yang terjadi kerana tindak balas antara dua pihak. Peperangan dalam Islam tidak boleh berlaku melainkan setelah proses dakwah dengan hikmah. Peperangan boleh tercetus apabila pihak musuh melancarkan serangan secara keras dan ganas. Keputusan untuk berperang ditentukan oleh pemerintah bukannya keputusan secara individu. Oleh itu, hadis ini hendaklah difahami dalam konteks tersebut. Peranan umat Islam adalah menyampaikan dakwah secara berhikmah tanpa paksaan.
Rasulullah SAW diperintahkan membela kehormatan Islam dan kaum Muslimin ketika dianiayai dan dizalimi oleh orang kafir Quraisy. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 190: Terjemahan: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.
Hadis ini sama sekali tidak menyeru kepada perbuatan menyerang kaum atau agama lain yang tidak melakukan kezaliman atau serangan terhadap kaum Muslimin. Islam agama yang membawa kesejahteraan dan keamanan sejagat sebagaimana jelas dalam prinsip Islam tiada paksaan dalam beragama.
Walaupun Rasulullah SAW diizinkan untuk menyerang orang kafir Quraisy yang zalim itu, kita dapat melihat sebagaimana tercatat dalam sejarah peristiwa pembukaan kota Mekah, baginda masih memilih jalan damai dengan memaafkan mereka.
Salah faham terhadap hadis ini boleh membawa kepada tindakan melulu dan melampau yang bertentangan dengan nilai Islam.
Peperangan bukan jalan penyelesaian dalam Islam. Kedamaian adalah keutamaan sebagaimana telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Manusia yang diperintahkan untuk diperangi dalam hadis ini hanyalah kelompok yang menolak segala jalan perdamaian dengan melakukan permusuhan melampau. Peperangan hanya dilancarkan terhadap kelompok yang memerangi, mencabuli perjanjian dan menzalimi orang lain.
Islam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Pencabulan terhadap perkara tersebut adalah dilarang keras. Hukuman mati atau diyat (gantian yang melibatkan harta) hanya boleh diputuskan oleh hakim.
Hadis ini turut menjelaskan bahawa penilaian manusia terhadap seseorang hanya berdasarkan zahir semata-mata. Manakala, yang melibatkan zahir dan batin diserahkan kepada Allah SWT. Justeru, seseorang yang mengerjakan ibadah, maka dia telah melakukan ketaatan. Adapun di sebaliknya sama ada ikhlas, jujur dan sebagainya, maka terserahlah kepada Allah SWT untuk mengadilinya.
Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 256: Terjemahan: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)...”
Atas prinsip tiada paksaan dalam beragama, Islam menjamin hak kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan damai. Contohnya, Rasulullah SAW sendiri memberi jaminan kebebasan beragama kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani sebagaimana termaktub dalam isi surat perjanjian baginda SAW yang antaranya menyebut: “… Penduduk Najran berada dalam perlindungan Allah dan pembelaan Muhammad Rasulullah berkaitan jiwa, harta benda, tanah, agama mereka baik yang hadir (dalam pertemuan ini) mahupun yang tidak hadir. Termasuk juga keluarga mereka, tempat-tempat ibadah mereka, dan segala sesuatu yang berada dalam wewenang mereka, sedikit mahupun banyak…”
Menurut al-Qaradawi, jaminan baginda SAW kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani ini jelas membuktikan pelaksanaan prinsip tidak ada paksaan dalam beragama sebagaimana ditekankan dalam surah al-Baqarah ayat 256. Justeru, perbezaan agama semata-mata tidaklah menghalalkan peperangan mahupun pembunuhan, sebaliknya Islam melarang sebarang bentuk paksaan beragama sekali gus memberi hak untuk memilih kepercayaan masing-masing.
Islam juga memerintahkan agar berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8: Terjemahan: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
Menurut ahli tafsir, ayat ini bersifat umum iaitu Islam tidak menghalang untuk umatnya berbuat baik (al-birr) dan berlaku adil (al-qist) kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam sebagaimana arahan Nabi SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar agar mengekalkan hubungan silaturahim dengan ibunya yang masih musyrik.
Jelas al-Qarafi, al-birr bermaksud orang Islam perlu berbuat baik kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam. Berbuat baik merangkumi sikap lemah lembut, menampung kekurangan orang yang fakir, memberi makanan orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian dan bersopan santun dalam tutur kata.
Maksud al-qist menurut Ibn al-‘Arabi, bukanlah bersikap adil semata-mata kerana keadilan sememangnya dituntut sama ada terhadap mereka yang berdamai mahupun yang berperang, sebaliknya al-qist bermaksud memberikan sebahagian daripada harta sebagai usaha membina kerukunan hubungan sosioagama. Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Ma‘idah ayat 8: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
PENGAJARAN
Islam menekankan kepentingan dakwah secara berhikmah tanpa sebarang paksaan mahupun tekanan.
Kehormatan manusia wajib dipelihara kerana Allah SWT telah mengangkat kemuliaan insan dalam kalangan manusia.
Semangat masyarakat majmuk yang harmoni menuntut kita menyantuni kepelbagaian dengan penuh kemesraan berpandukan syariat.
Setiap Muslim hendaklah memelihara nyawa dan harta saudara Muslim yang lain selagi mereka menunaikan tanggungjawab dan kewajipan dalam Islam.
Setiap manusia hanyalah dihukum berdasarkan perkara yang zahir pada diri mereka.
PENGHAYATAN
Murid perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunah.
Murid perlu berkasih sayang sesama insan tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa.
Murid perlu saling menghormati perbezaan termasuk dalam beragama kerana hidayah agama merupakan ketentuan Allah SWT.
Murid perlu jelas bahawa prinsip Islam konsisten dalam mendaulatkan kepentingan menjaga kehormatan diri, agama dan harta.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Kesejahteraan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Dakwah rakan sebaya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: "مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ ".
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ،[وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah ‘Abdul Rahman bin Sakhr r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apa-apa sahaja yang aku larang kamu daripada melakukannya, maka jauhilah dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka tunaikanlah sedaya upaya kamu. Kerana sesungguhnya, perkara yang membinasakan umat yang terdahulu adalah banyak bertanya dan mempertikai para nabi mereka.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan bahawa kita mestilah sedaya upaya meninggalkan perkara yang dilarang dan melaksanakan perkara yang disuruh mengikut kemampuan.
Suatu masa Rasulullah SAW berkhutbah: “Wahai manusia! Allah telah mewajibkan kepada kamu menunaikan haji, maka tunaikanlah.” Seorang sahabat telah bertanya: “Apakah haji itu setiap tahun wahai Rasulullah?” Rasulullah diam sehingga sahabat itu mengulang soalan sebanyak tiga kali. Maka, Rasulullah pun bersabda: “Kalaulah saya jawab ya, tentu haji itu menjadi wajib setiap tahun, lalu kamu tidak mampu melaksanakannya.” Baginda menyambung, “Janganlah kamu bertanya apa yang tidak aku sebutkan, kerana binasanya orang sebelum kamu disebabkan mereka banyak bertanya dan tidak mematuhi para nabi mereka. Apabila aku perintahkan kamu sesuatu, laksanakanlah mengikut kemampuan kamu. Apabila aku melarang kamu sesuatu, maka tinggalkanlah.”
Suruhan dan larangan yang ditetapkan oleh Allah SWT merupakan peraturan hidup bagi kebaikan manusia itu sendiri. Tanpa peraturan, kehidupan manusia akan menjadi sukar dan tidak terurus bahkan akan berlaku banyak keburukan. Ketaatan kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya adalah faktor kejayaan sesuatu kaum.
Bertanya adalah digalakkan agar lebih jelas dan difahami sesuatu perkara bagi melaksanakannya. Namun, sikap bertanya kerana mencari helah tidak mahu melaksanakan suruhan adalah sikap yang buruk. Apatah lagi jika bertanya hanya dengan tujuan sinis dan mempermainkan serta bermatlamat menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 101: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) daripada (kesalahan bertanyakan) perkara itu (yang tidak dinyatakan dalam al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.”
PENGAJARAN
Suruhan dalam agama merupakan peraturan yang menyusun kehidupan manusia menuju kejayaan.
Larangan dalam agama bukanlah perkara yang menyekat kebebasan bahkan memberi kebaikan kepada manusia.
Tidak mempertikaikan perkara yang telah ditetapkan dalam agama.
Soalan yang dilontarkan hendaklah memberi manfaat dan maslahah buat individu demi kepentingan umum.
PENGHAYATAN
Murid wajib mentaati perintah Rasulullah SAW dan menjauhi larangannya.
Murid perlu menjauhi sikap sering mempersoal perintah dan larangan secara keterlaluan sehingga menimbulkan kesulitan untuk melaksanakannya.
Murid mestilah sentiasa menjaga adab ketika mengemukakan soalan.
Murid mestilah akur dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Murid perlu meraikan pandangan yang dikemukakan oleh rakan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
FOKUS NILAI
Hormat
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Forum
Bacaan hadis selepas solat
Perbincangan ilmiah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا"، وَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ" ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟"
[رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Maha Baik, Dia tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Dan sesungguhnya, Allah telah memerintahkan kepada orang yang beriman dengan perintah yang sama kepada para rasul-Nya. Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai para rasul! Makanlah daripada perkara yang baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.” (al-Mukminun: 51) Allah juga berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada perkara yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu” (al-Baqarah: 172). Kemudian baginda SAW menceritakan perihal seorang yang menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut masai dan berdebu, dia menadah kedua-dua tangannya ke langit seraya berdoa, “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Bagaimanakah diperkenankan doa orang yang sedemikian?”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan bahawa Allah SWT menerima amalan yang baik, suci dan bersih daripada segala keburukan amalan dan harta benda berdasarkan ketetapan syarak.
Setiap makanan, minuman dan pakaian yang digunakan hendaklah baik mengikut hukum, faedah dan khasiat serta sumber yang halal.
Penyucian jiwa dan kekuatan rohani berpunca daripada sesuatu yang baik dan bersumberkan yang halal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172: Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada perkara yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya.”
Orang yang makan, minum dan pakaiannya daripada sumber yang haram, doanya tidak diterima oleh Allah SWT.
PENGAJARAN
Meyakini bahawa Allah SWT Maha Baik lagi Maha Sempurna dan tidak menerima kecuali perkara yang baik.
Sentiasa berusaha mencari sesuatu yang halal lagi baik dan menjauhkan diri daripada perkara yang haram.
Kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam berdoa dan memahami doa dengan sepenuh hati.
Mengangkat tangan dalam berdoa merupakan satu daripada adab ketika berdoa.
PENGHAYATAN
Murid perlu peka terhadap kepentingan mengambil makanan, minuman dan pakaian yang halal daripada sumber yang halal.
Murid yang mengambil sesuatu yang diharamkan seperti barang curi akan menyebabkan doanya tertolak.
Murid perlu jujur dalam semua tindakan termasuklah tidak meniru dalam peperiksaan dan tidak mengambil hak orang lain tanpa izin.
Murid perlu sentiasa bersikap baik dan positif kerana Allah SWT Maha Baik dan sukakan kebaikan.
FOKUS NILAI
Ihsan
Daya Cipta
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Tazkirah
Halaqah ilmu
Bacaan hadis dalam perhimpunan
عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم وَرَيْحَانَتِهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: حَفِظْت مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "دَعْ مَا يُرِيبُك إلَى مَا لَا يُرِيبُك". رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم: 2520]، [وَالنَّسَائِيّ] وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib cucunda Rasulullah SAW dan kesayangan baginda SAW, beliau berkata, aku menghafaz sabda Rasulullah SAW, “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan Imam al-Nasa’i. Imam alTirmizi berkata, “Hadis ini hasan sahih.”
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan kepada kita supaya meninggalkan semua perbuatan yang meragukan.
Perbuatan yang meragukan ialah perkara yang tidak menyenangkan perasaan, rasa sangsi, samar-samar dan kabur terutama dalam perkara ibadah dan akidah.
Keyakinan berteraskan kefahaman ilmu merupakan jalan untuk menghindarkan diri daripada syak dan menjadi faktor pemeliharaan agama.
Peranan sifat yakin yang didasari kefahaman ilmu merupakan elemen utama dalam hukum-hakam ibadah. Hal ini menjadikan seseorang mampu menghilangkan syak atau keraguan dalam diri.
Ulama menetapkan kaedah mengutamakan keyakinan dan meninggalkan keraguan. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Terjemahan: “Jika seseorang kamu merasai sesuatu di dalam perutnya, maka timbul kemusykilan pada dirinya sama ada angin keluar atau tidak, maka janganlah ia keluar daripada masjid sehingga seseorang mendengar bunyi kentut itu atau terhidu baunya.”
Allah SWT juga telah menegaskan dengan memperingatkan kita tentang bisikan hati melalui firman-Nya dalam Surah Qaf ayat 16: Terjemahan: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya...”
PENGAJARAN
Hadis ini mengingatkan setiap individu mengenai keperluan membina kehidupan yang baik dengan menjauhi segala perkara yang meragukan diri.
Sekiranya bertembung antara keyakinan dengan syak, maka seseorang seharusnya berpegang pada perkara yang diyakini olehnya.
Meninggalkan sesuatu yang meragukan kerana ingin menjaga maruah diri dan kehormatan agama adalah sifat yang terpuji.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah sentiasa berhati-hati terhadap masalah syak dan keraguan dalam diri.
Murid mesti mendapatkan nasihat daripada guru yang boleh membimbing supaya dapat menghindarkan diri daripada perkara syak dan keraguan.
Murid wajib menguasai ilmu terutama perkara yang melibatkan ibadah bagi mendapatkan keyakinan semasa melaksanakannya.
Murid melazimi diri melakukan perkara yang baik untuk menghilangkan rasa syak.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Sudut info
Halaqah ilmu
Pembelajaran berasaskan projek
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ". حَدِيثٌ حَسَنٌ، رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم: 2318] ، ابن ماجه [رقم: 3976].
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a., beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Antara keindahan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengan dirinya.”
Hadis hasan. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan imam yang lain.
HURAIAN HADIS
Hadis ini mengingatkan kita agar melakukan perkara yang bermanfaat dalam kehidupan sebagai bekalan di akhirat.
Hadis ini telah disebut oleh ulama sebagai hadis yang menghimpunkan nilai ajaran Islam. Hadis ini menjadi sumber dalil yang menunjukkan larangan terhadap seseorang Muslim daripada melakukan perkara sia-sia.
Penekanan meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan faedah atau manfaat antaranya menjaga lisan daripada kata-kata yang melalaikan. Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: “Banyakkan beramal dan kurangkan bercakap kecuali perkara yang perlu sahaja.”
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 114: Terjemahan: “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali (bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”
Perkataan berbisik-bisik yang disebut oleh Allah SWT dalam ayat ini memberi maksud berkata-kata yang tiada manfaat kecuali perkataan yang mendatangkan faedah.
Diceritakan dalam kitab Jami’ al-Ulum wa al-Hikam bahawa Luqman al-Hakim pernah menasihati seorang lelaki tentang al-hikmah (kebijaksanaan) iaitu berkata benar dan banyak mendiamkan diri daripada perkara yang tiada manfaat pada diriku.
PENGAJARAN
Sentiasa muhasabah diri terhadap amalan harian.
Seorang Muslim seharusnya mengutamakan dirinya dengan urusan diri sendiri dan tidak campur tangan dalam urusan orang lain melainkan yang dibenarkan oleh Islam.
Seorang Muslim sentiasa mengisi ruang waktu dengan mempelajari ilmu dan kemahiran baharu yang memberi manfaat.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah berusaha meninggalkan perkara yang sia-sia dan tiada kaitan dengan dirinya seperti berlebih-lebihan dengan media sosial.
Murid yang baik sentiasa mengamalkan pengurusan masa yang berhemah.
Murid hendaklah menjaga tutur kata agar dapat mewujudkan suasana harmoni di sekolah seterusnya dapat melahirkan kemuliaan insan.
FOKUS NILAI
Ihsan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Pengucapan Awam
Pengurusan Masa
Forum
عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ خَادِمِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ". رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ [رقم: 13]، وَمُسْلِمٌ [رقم: 45].
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hamzah Anas bin Malik r.a., pembantu Rasulullah SAW, bahawa baginda SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyukai saudaranya memperoleh apa-apa (kebaikan) yang dia sukakan untuk dirinya sendiri.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini membimbing kita agar mengeratkan hubungan sesama masyarakat, berkasih sayang dan saling mencintai. Mukmin yang sempurna imannya akan berasa gembira dengan kejayaan rakannya dan akan berasa sedih dengan kesusahan rakannya. Iman seseorang akan kukuh apabila dia menjadi manusia yang baik serta menghindarkan rasa dengki dan kebencian sesama masyarakat.
Islam mementingkan nilai kasih sayang sesama insan. Inilah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW iaitu kemesraan hubungan sesama Muslim dan saling bersimpati. Bak kata pepatah, ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa sakit.’
Semua mukmin bersaudara seperti firman Allah SWT dalam surahal-Hujurat ayat 10: Terjemahan: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat .”
Orang beriman hendaklah peka terhadap kesusahan orang laindengan menghulurkan bantuan dan berdoa untuknya. Setiap mukminyang baik akan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan yangmerupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman.
PENGAJARAN
Iman meningkat apabila kita melakukan kebaikan dan menurun apabila melakukan maksiat.
Menasihatkan seseorang rakan dengan nasihat yang baik merupakan tanda kasih sayang.
Menyukai kebaikan sesama Muslim ialah tanda kesempurnaan iman. Seorang Muslim yang mendapat sesuatu nikmat kebaikan perlu berharap agar kebaikan yang sama diterima oleh saudaranya.
Persekitaran sosial yang baik dapat mewujudkan sifat berlumbalumba melakukan kebaikan.
PENGHAYATAN
Murid perlu prihatin dalam semua perkara dan saling berkasih sayang untuk mewujudkan suasana sekolah yang sejahtera.
Murid perlu sentiasa berasa gembira dengan kebaikan yang diterima orang lain dan empati dengan kesusahan mereka.
Murid boleh mengucapkan tahniah kepada rakan yang berjaya dan mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa.
FOKUS NILAI
Hormat
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Gotong-royong
Aktiviti berpasukan
Bimbingan rakan sebaya
عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ: الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْس بِالنَّفْسِ، وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Ibnu Mas‘ud r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal (menumpahkan) darah seorang Muslim kecuali disebabkan satu daripada tiga perkara; berzina setelah berkahwin, membunuh orang (tanpa hak), dan meninggalkan agama serta memisahkan diri daripada jemaah orang Islam.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Islam telah menetapkan hukuman yang tegas terhadap jenayah yang sangat berat sehingga pemerintah berhak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pelaku. Tiga kesalahan utama yang boleh menyebabkan pemerintah menjatuhkan hukuman bunuh iaitu, penzina yang telah berkahwin, pembunuh dan orang yang murtad.
Hadis ini menetapkan hukuman bunuh bagi penzina yang telah berkahwin iaitu direjam dengan batu sehingga mati. Syarat pelaksanaan hukuman ini ialah penzina itu pernah berkahwin, merdeka, baligh dan berakal. Sesungguhnya, zina adalah jenayah yang sangat berat di sisi Islam.
Larangan Allah SWT mengenai zina dinyatakan dalam surah al-Isra’ ayat 32: Terjemahan: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Hukuman berat juga akan dijalankan oleh pemerintah terhadap pembunuh yang mengambil nyawa seseorang manusia. Hukuman ini dikenali sebagai qisas, iaitu pembalasan yang seimbang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 178: Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu; orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba..."
Selain itu, orang yang keluar daripada agama Islam juga dikenakan hukuman bunuh setelah dinasihatkan bertaubat dan diperintahkan kembali kepada Islam tetapi masih enggan. Keluar daripada agama Islam juga dikenali sebagai murtad yang boleh berlaku dengan tiga keadaan iaitu: Keyakinan (Iktikad), contohnya; menolak hukum yang telah disepakati ulama seperti kewajipan berzakat. Perbuatan, contohnya; menyembah berhala. Perkataan, contohnya; mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan pegangan Islam seperti mengutuk Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Seseorang itu dikira murtad sekiranya melakukan perkara tersebut dalam keadaan mengetahui bahawa perkara tersebut menyebabkan murtad, dilakukan dengan sengaja dan tidak dipaksa.
Agama Islam menekankan pentingnya menjaga akidah, maruah dan nyawa.
Zina merupakan dosa besar dalam Islam. Perbuatan zina setelah berkahwin adalah jenayah berat yang boleh dikenakan hukuman bunuh.
Membunuh manusia secara sengaja merupakan kesalahan berat yang menyebabkan boleh dihukum bunuh, kecuali pembunuh telah dimaafkan oleh keluarga mangsa.
Orang yang murtad hendaklah diberikan peluang untuk kembali kepada Islam. Jika dia menolak, boleh dikenakan hukuman bunuh.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah patuh kepada sesuatu hukuman yang ditetapkan Allah SWT.
Murid hendaklah mengetahui dan memahami tujuan pensyariatan (maqasid syariah) iaitu untuk menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
Murid hendaklah menjauhi dosa besar seperti berzina, membunuh dan murtad.
Murid hendaklah tidak melayari laman sesawang berunsur lucah, ganas dan menjauhi golongan yang tidak mempercayai agama.
Murid hendaklah menghargai nyawa manusia dengan menjauhi perkara yang merosakkan diri sendiri atau orang lain.
Murid boleh mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah seperti mendalami ilmu agama, membantu ibu bapa di rumah, beriadah, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Kempen jauhi pergaulan bebas
Khidmat masyarakat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ". [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Orang beriman akan sentiasa menjaga pertuturannya kerana mereka menyedari bahawa banyak berbicara akan menyebabkan lebih banyak kesilapan.
Setiap perkataan yang dilafazkan akan dihitung. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 18: Terjemahan: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
Orang beriman akan sentiasa menjaga hak jiran dan berbuat baik sesama mereka. Jiran ialah mereka yang tinggal berhampiran sehingga 40 buah rumah.
Jiran terbahagi kepada tiga iaitu: Jiran Muslim yang mempunyai hubungan kekeluargaan Jiran Muslim yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan Jiran bukan Muslim.
Menjaga hak jiran diwajibkan tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 36: Terjemahan: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh...”
Islam menetapkan bahawa kesalahan yang dilakukan terhadap jiran adalah lebih berat dosanya berbanding dengan bukan jiran.
Orang beriman akan sentiasa memuliakan dan menghormati tetamunya sepertimana akhlak para nabi dan orang soleh.
PENGAJARAN
Orang beriman sentiasa menjaga lidah dan hak jiran serta tetamu.
Apabila tidak mampu bercakap atau menulis dengan baik, diam adalah lebih baik.
Mukmin yang baik sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku terhadap jiran dan tetamu.
Memelihara hubungan sesama makhluk adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah menggunakan tutur kata yang baik dan sopan. Contohnya memanggil kawan dengan panggilan yang digemarinya.
Murid hendaklah berkomunikasi secara berhemah dalam media sosial.
Murid hendaklah menghindari daripada bercakap perkara yang sia-sia.
Ketika guru menyampaikan pengajarannya, murid perlulah diam dan mendengar dengan teliti sebagai tanda hormat kepada guru.
Murid perlu saling menghormati sesama jiran tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
Murid hendaklah sentiasa memuliakan tetamu dan melayani mereka dengan baik.
FOKUS NILAI
Hormat
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Tazkirah dan halaqah ilmu
Khidmat masyarakat
Membincangkan nama Allah “al-Rahim”.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم أَوْصِنِي. قَالَ: لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ" .
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a. bahawa seorang sahabat telah berkata kepada Nabi SAW, “Berilah pesanan kepadaku.’’ Baginda SAW bersabda, “Janganlah kamu marah.” Sahabat itu mengulangi pertanyaannya berkali-kali. Baginda tetap bersabda, “Janganlah kamu marah.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menggalakkan kita sentiasa meminta nasihat daripada orang lain untuk memperbaiki diri.
Hadis ini juga membicarakan tentang larangan bersifat pemarah yang boleh menyebabkan hilangnya kebijaksanaan akal dan merugikan tindakan.
Marah adalah punca segala keburukan. Oleh itu, menahan marah boleh dianggap sebagai kunci segala kebaikan.
Rasulullah SAW tidak pernah marah kerana kepentingan peribadi, tetapi baginda marah terhadap perlakuan yang melanggar hukum Allah.
Saidatina Aishah r.a ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, lalu beliau berkata: “Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda reda apa yang Allah SWT redai dan baginda murka apa yang Allah SWT murkai”. (Riwayat Imam Muslim)
Cara untuk menahan diri daripada sifat pemarah iaitu: Memperbanyak zikir dan memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan. Mengambil wuduk atau mandi. Duduk sekiranya sedang berdiri, atau baring sekiranya sedang duduk. Diam dan tidak berkata-kata. Berfikiran positif.
Antara tanda kesempurnaan iman ialah marah apabila agama Islam dipersendakan.
Manusia dituntut untuk mengawal diri ketika marah.
PENGAJARAN
Muslim dituntut menjaga kesejahteraan emosi.
Menahan kemarahan adalah tuntutan agama demi kebaikan dan kemaslahatan umat.
Marah yang dibolehkan apabila kehormatan diri dan kemuliaan agama Islam dihina, namun mestilah menyelesaikannya dengan cara berhikmah.
Meluahkan perasaan marah secara wajar dan terkawal.
Berzikir kepada Allah SWT dapat membantu seseorang mengawal perilaku luaran dan tindak balas dalaman.
PENGHAYATAN
Murid mestilah menyedari bahawa sifat marah akan merosakkan hubungan kekeluargaan dan memutuskan silaturahim.
Murid mestilah bersabar dan mengawal emosi dalam setiap situasi seperti menggunakan bahasa yang sopan dalam percakapan, penulisan dan penggunaan media sosial.
Murid hendaklah menjauhi provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan dan pergaduhan.
Murid hendaklah saling menghormati sesama murid tanpa mengira bangsa, agama dan rupa paras.
FOKUS NILAI
Hormat
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Bimbingan kaunseling menangani tekanan emosi
Program bicara hati ke hati
عَنْ أَبِي يَعْلَى شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Ya‘la Syaddad bin Aus r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menuntut berlaku ihsan (berbuat kebaikan secara sempurna) dalam setiap perkara. Maka, apabila kamu membunuh hendaklah dilakukan dengan cara yang baik. Dan apabila kamu menyembelih hendaklah dilakukan dengan cara yang baik. Hendaklah seseorang menajamkan pisau sembelihannya dan memberi kerehatan (menyegerakan kematian) kepada binatang sembelihannya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Ihsan ialah teliti melakukan sesuatu amalan dan bersungguhsungguh melaksanakannya untuk menjadikan sesuatu itu terlaksana dengan sebaik-baiknya.
Ihsan merupakan asas dalam agama di samping iman dan Islam. Kategori ihsan: Ihsan kepada manusia (Muslim dan bukan Muslim) Ihsan kepada alam sekitar Ihsan kepada haiwan.
Ihsan kepada manusia Sebagai agama yang bersifat rahmatan lil alamin, Islammemerintahkan umatnya untuk bersikap ihsan kepada Muslimdanbukan Muslim. Meskipun berlainan akidah, kita diwajibkan untukmenyantuni mereka dengan mesra dan lemah lembut. Kita jugadigalakkan saling membantu dan berkasih sayang sesama mereka.
Ihsan kepada alam sekitar Islam menuntut supaya berlaku ihsan terhadap alam sekitar keranamanusia memerlukan alam untuk manfaat kehidupan. Sebagai contoh oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuh-tumbuhan untuk manusia bernafas. Manusia juga memerlukan sumber makanan dan kekayaan daripada alam sekitar. Kita hendaklah melestarikan sumber alam dengan penggunaan yang betul tanpa melakukan kerosakan. Aktiviti yang merosakkan alam sekitar seperti pembakaran terbukadan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai hendaklah dielakkan kerana boleh membawa akibat buruk kepada kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 41: Terjemahan: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Ihsan kepada haiwan Manusia hendaklah berlaku ihsan terhadap haiwan peliharaan dan bukan peliharaan. Antara perbuatan yang dikira ihsan kepadahaiwan dengan memberinya makan dan minum serta menolongnya apabila dalam kesusahan. Sekiranya perlu dibunuh, hendaklah dilakukan secara baik tanpa menyeksa haiwan tersebut. Allah menjadikan haiwan untuk dimanfaatkan oleh manusia bagi memenuhi keperluan hidup. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl ayat 5-6: Terjemahan: “Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan. Dan bagi kamu pada binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).”
Islam menuntut agar sentiasa berlaku ihsan walaupun dalam peperangan serta pelaksanaan hukum qisas dan hudud. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 90: Terjemahan: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Saiyidina Abu Bakar r.a. berpesan kepada tentera yang diutuskan dengan berkata: “Jangan membunuh kanak-kanak, perempuan, orang tua, orang sakit dan pendeta. Jangan memotong pokok yang berbuah, jangan meruntuhkan rumah dan jangan menyembelih binatang seperti unta dan lembu kecuali sekadar untuk dimakan, jangan melemaskan lebah yang diternak (memasukkan air ke dalam sarangnya) dan membakarnya.” (Riwayat al-Baihaqi)
Islam juga menuntut agar berlaku ihsan ketika menyembelih haiwan atau membunuh binatang berbahaya.
Imam Ahmad r.a. meriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah, aku ingin menyembelih seekor kambing tetapi aku mengasihaninya.” Baginda SAW bersabda: “Walaupun hanya seekor kambing, kamu mengasihaninya Allah akan mengasihanimu.”
Adab ihsan ketika menyembelih haiwan ialah: Menajamkan pisau sembelihan bagi mempercepatkan proses kematian. Tidak melakukan sembelihan di hadapan binatang sembelihan yang lain kerana termasuk dalam bentuk penyeksaan dalaman (emosi) kepada binatang. Membawa binatang sembelihan ke tempat sembelihan dengan cara yang baik. Dilarang sama sekali menyeksa binatang seperti menendang, memukul dan seumpamanya. Diharamkan mengurung atau mengikat binatang dengan tidak memberinya makan dan minum sebelum sembelihan.
PENGAJARAN
Setiap orang mestilah menghayati nilai ihsan bagi melahirkan manusia yang cemerlang dan bertamadun.
Islam merupakan agama yang sentiasa menganjurkan kesempurnaan dalam setiap perkara.
Kita mesti meyakini bahawa setiap hukum syariat adalah demi untuk kebaikan dan kemaslahatan umat.
Setiap orang hendaklah mempunyai jiwa yang murni agar dapat menilai sesuatu perkara baik atau buruk.
Islam amat mementingkan ihsan dalam setiap perkara sekalipun dalam peperangan atau pelaksanaan hukuman.
Individu yang membudayakan ihsan dalam kehidupan akan menjadikan proses penambahbaikan berlaku secara berterusan.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah mengetahui bahawa Allah Yang Maha Pengasih telah mewajibkan hamba-Nya berbuat ihsan terhadap semua makhluk dalam setiap keadaan.
Murid hendaklah berasa ihsan terhadap haiwan ketika melakukan sembelihan.
Setiap murid mestilah menghindarkan diri daripada melakukan sebarang bentuk salah laku seperti membuli, mengugut, merosakkan harta benda dan lain-lain.
FOKUS NILAI
Ihsan Hormat
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Kursus sembelihan
عَنْ أَبِي ذَرٍّ جُنْدَبِ بْنِ جُنَادَةَ، وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْت، وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقْ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ" . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم: 1987] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيحٌ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Zar Jundub bin Junadah dan Saiyidina Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebaikan akan menghapuskannya dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Beliau berkata,“hadis hasan.” Dalam sebahagian naskhah, hasan sahih.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan tentang tiga perkara utama iaitu: Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT walau di mana sahaja berada. Bersegera melakukan kebaikan setelah melakukan kesilapan. Bergaul dengan akhlak yang baik.
Orang yang bertakwa ialah takut kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Takwa boleh menjadi benteng seseorang daripada menerima azab Allah SWT.
Dengan bertakwa kepada Allah SWT, hasrat seseorang untuk berjaya dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara akan dipermudahkan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Talaq ayat 2-3: Terjemahan “...Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya...(3).”
Sebagai insan yang lemah, tentunya manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan dosa. Rasulullah SAW telah memberikan jalan penyelesaian daripada permasalahan yang dihadapi iaitu dengan bersegera mengerjakan kebaikan seperti bertaubat, bersedekah, mendirikan solat dan seumpamanya. Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 114: Terjemahan: “...Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan...”
Hadis ini juga menganjurkan kepada kita untuk bergaul dengan pergaulan yang baik tanpa mengira pangkat kedudukan, bangsa dan agama. Dalam konteks pendidikan, seorang guru mestilah menggunakan perkataan yang boleh menarik minat murid untuk belajar dengan tekun. Begitu juga dengan murid, janganlah sesekali menggunakan perkataan yang kasar kerana akan mengguris hati guru dan rakan. Allah SWT berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 159: Terjemahan: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu...”
PENGAJARAN
Takwa ialah mengawasi tindak tanduk diri agar sentiasa selari dengan perintah Allah SWT.
Akhlak yang mulia merupakan tonggak kepada kesejahteraan kehidupan manusia di dunia dan akhirat.
Setiap perbuatan dosa mestilah disusuli dengan istighfar dan bertaubat serta mengerjakan amal soleh.
Pergaulan yang baik akan merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan semua pihak.
PENGHAYATAN
Murid mestilah bertakwa dan merasai dirinya sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT.
Murid perlu berusaha untuk menjauhkan diri daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.
Murid hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dan memohon maaf jika melakukan kesilapan.
Murid perlu berakhlak mulia terhadap manusia dan bergaul dengan baik sesama rakan tanpa mengira kaum dan agama.
Murid hendaklah berdisiplin, mematuhi arahan guru dan peraturan sekolah.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Gotong-royong
Halaqah ilmu
Menyediakan bahan sudut info
Pidato
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: "كُنْت خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَوْمًا، فَقَالَ: يَا غُلَامِ! إنِّي أُعَلِّمُك كَلِمَاتٍ: احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْك، احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَك، إذَا سَأَلْت فَاسْأَلْ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْت فَاسْتَعِنْ بِاَللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوك بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَك، وَإِنْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوك بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْك؛ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتْ الصُّحُفُ" . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم: 2516] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. وَفِي رِوَايَةِ غَيْرِ التِّرْمِذِيِّ: "احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ أمامك، تَعَرَّفْ إلَى اللَّهِ فِي الرَّخَاءِ يَعْرِفُك فِي الشِّدَّةِ، وَاعْلَمْ أَنَّ مَا أَخْطَأَك لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَك، وَمَا أَصَابَك لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَك، وَاعْلَمْ أَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرِ، وَأَنْ الْفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ، وَأَنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abi al-‘Abbas Abdullah bin ‘Abbas r.a., beliau berkata, pada suatu hari aku berada di belakang Nabi SAW lalu baginda SAW bersabda: “Wahai anak muda, sesungguhnya aku akan mengajar kamu beberapa perkara yang sangat penting. Peliharalah (hak) Allah nescaya Allah akan menjagamu. Peliharalah (hak) Allah nescaya kamu akan mendapati-Nya sentiasa di hadapanmu (membela kamu). Apabila kamu meminta sesuatu, mintalah kepada Allah. Apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah. Ketahuilah bahawa sekiranya seluruh makhluk berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu, mereka tidak akan mampu untuk memberi sebarang manfaat melainkan apa yang Allah telah tentukan untuk kamu. Sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan mudarat kepada kamu, mereka tidak akan mampu untuk mendatangkan sebarang mudarat kepada kamu melainkan apa yang Allah telah tentukan ke atas kamu. Pena-pena (pencatat takdir) telah diangkat dan lembaran-lembaran (catatan takdir) telah kering.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Beliau berkata: “Hadis hasan sahih.”
Dalam riwayat selain Imam al-Tirmizi ada disebutkan: “Peliharalah (hak) Allah nescaya kamu akan mendapati Allah di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu ketika susah. Yakinlah bahawa sesuatu yang tidak ditakdirkan mengenaimu sekali-kali tidak akan menimpamu, dan sesuatu yang ditakdirkan menimpamu sekali-kali tidak akan tersasar daripadamu. Yakinlah bahawa pertolongan Allah sentiasa bersama sifat sabar, kelapangan akan datang selepas kesempitan, dan bersama kesusahan ada kesenangan.”
HURAIAN HADIS
Hadis ini mengajar kita untuk memberi nasihat kepada anak muda dengan bahasa dan cara yang baik, seperti Rasulullah SAW menasihati Ibn ‘Abbas yang ketika itu berusia 10 tahun.
Nasihat ini berkaitan perkara berikut: Menjaga tuntutan agama dari segi rohani dan jasmani dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Sentiasa berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah SWT dalam setiap keadaan. Meyakini segala yang berlaku sama ada baik atau buruk adalah ketetapan daripada Allah SWT. Sentiasa mengingati Allah SWT sama ada dalam keadaan senang atau susah.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata Rasullullah SAW memberi peringatan kepada manusia bahawa mereka akan terdedah dengan musibah dan ujian. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155: Terjemahan: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orangorang yang sabar”.
Hadis ini juga menjelaskan agar kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT dalam semua urusan kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 3: Terjemahan: “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
PENGAJARAN
Mengingati Allah SWT dalam semua urusan kehidupan dengan cara: Menjaga batas agama dalam semua sudut jasmani dan rohani. Sentiasa memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT. Sentiasa bertawakal kepada Allah SWT selepas berusaha dan berdoa.
Orang yang sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap urusan kehidupannya, maka Allah SWT akan sentiasa mengingati dan bersama-samanya dalam setiap keadaan.
Sentiasa mengharapkan bantuan daripada Allah SWT dan meyakini bahawa setiap kesusahan ada kesenangan.
Sesuatu kemenangan dan kemudahan akan dapat diraih setelah menempuh kesusahan dan kepayahan.
PENGHAYATAN
Murid perlu menjaga batas agama dengan mematuhi perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.
Murid perlu mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seperti menjaga cara berpakaian, interaksi sosial, makan dan minum agar sesuai dengan nilai agama.
Murid perlu berusaha, berdoa dan pada masa yang sama bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap urusan.
Murid perlu meyakini bahawa Allah SWT sentiasa melindungi dan memelihara hamba-Nya.
Murid perlu melatih diri untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam kehidupan ketika senang dan susah.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Keyakinan
CADANGAN AKTIVITI
Berzikir
Bacaan doa sebelum melakukan aktiviti.
Solat Zohor dan Asar secara berjemaah.
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ الْبَدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم "إنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى: إذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْت
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Mas‘ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara ungkapan yang diterima oleh manusia (turun temurun) daripada para Nabi yang terdahulu ialah: “Jika kamu sudah tiada sifat malu maka buatlah apa sahaja yang kamu mahu.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
HURAIAN HADIS
Malu ialah perasaan seseorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala yang terpuji.
Sifat malu merupakan ajaran nabi terdahulu bahkan antara sifat malaikat. Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah aku juga berasa malu terhadap seorang lelaki yang malaikat juga malu terhadapnya?” Hadis riwayat Imam Muslim. Lelaki yang dimaksudkan ialah Saiyidina Uthman bin Affan r.a.
Malu itu terbahagi kepada dua: Malu yang terpuji contohnya, menahan diri daripada melakukan perkara maksiat. Malu yang tercela contohnya, malu menegur orang yang membuat kemungkaran.
Hadis ini tidaklah bermaksud suruhan atau perintah tetapi bermaksud ancaman dan larangan.
Kita perlu mencontohi sikap wanita Ansar yang tidak malu untuk bertanya berkaitan masalah haid sepertimana riwayat daripada Saiyidatina Aisyah r.a. berkata: Terjemahan: “Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar, tidak tertegah mereka dengan rasa malu untuk memahami urusan agama.”
Malu yang terpuji mendatangkan banyak kebaikan selaras dengan sabda Nabi SAW di dalam Sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim: Terjemahan: “Malu itu membawa kepada kebaikan.” Terjemahan: “Malu itu sebahagian daripada cabang iman.”
PENGAJARAN
Malu adalah sebahagian cabang iman dan salah satu sifat utama seorang mukmin.
Sifat malu akan mendorong manusia melakukan kebaikan dan perisai daripada melakukan kejahatan.
Meninggalkan apa yang diperintahkan Allah SWT atau melakukan apa yang dilarang-Nya adalah dikeji.
Berfikir dahulu sebelum bercakap atau melakukan sesuatu agar tidak terjebak dalam perkara yang dilarang oleh agama.
PENGHAYATAN
Murid perlu mengamalkan sifat malu yang terpuji dan menjauhi malu yang tercela.
Murid perlu menghindari perkara yang boleh menjatuhkan maruah diri contohnya mendedahkan aurat, memuat naik dan memuat turun serta berkongsi perkara yang tidak benar dan keaiban dalam media sosial.
Murid perlu menjadikan sifat malu sebagai benteng daripada melakukan kesalahan dan maksiat.
Murid perlu menjauhi perkara yang boleh memalukan diri sendiri, keluarga, sekolah dan masyarakat.
Murid perlu berani melakukan perkara yang mendatangkan manfaat dalam bidang akademik dan kokurikulum.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Kemampanan
Daya cipta
CADANGAN AKTIVITI
Forum
Pidato
Bengkel tatarias patuh syariah
عَنْ أَبِي عَمْرٍو وَقِيلَ: أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: "قُلْت: يَا رَسُولَ اللَّهِ! قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَك؛ قَالَ: قُلْ: آمَنْت بِاَللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ" . [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu ‘Amr dan dikatakan Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi r.a. berkata, “Aku berkata, “Wahai Rasulullah SAW, beritahulah kepadaku satu perkataan (berkenaan ajaran Islam) yang aku tidak perlu bertanya kepada sesiapa selain tuan mengenainya.” Sabda Rasulullah SAW: “Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah (atas perkara tersebut).”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Rasulullah SAW menjelaskan perkara asas dalam kehidupan seorang Muslim iaitu beriman kepada Allah SWT dan melaksanakan perintah-Nya dengan istiqamah.
Iman ialah pengakuan dengan lidah, kepercayaan dalam hati dan beramal dengan anggota. Pengertian ini terangkum dalam ungkapan “Aku beriman kepada Allah” dan beristiqamah.
Istiqamah ialah melakukan suruhan atau kebaikan secara berterusan.
Allah SWT menjanjikan kejayaan di dunia dan akhirat kepada orang yang beriman dan istiqamah dengan iman mereka. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 30: Terjemahan: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
Antara sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan keteguhan iman dan istiqamah ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Pelbagai seksaan yang diterimanya supaya hilang keyakinan terhadap Islam dan Allah SWT. Bilal merupakan seorang hamba pertama memeluk Islam yang berasal dari Habsyah dan berkulit hitam. Beliau adalah hamba kepada Umayyah bin Khalaf yang dibebaskan oleh Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq. Beliau merupakan seorang muazin pada zaman Rasullullah SAW. Bilal memiliki keyakinan yang teguh terhadap Islam. Beliau tetap tabah menerima pelbagai seksaan pedih oleh tuannya yang kafir. Beliau pernah dijemur di bawah terik matahari dalam keadaan dadanya ditindih dengan batu. Beliau diberi pilihan sama ada mati atau meninggalkan ajaran Muhammad SAW. Namun, beliau memberikan jawapan teguh, “Ahad, Ahad (Allah Maha Esa).”
PENGAJARAN
Hadis ini menghimpunkan banyak perkara penting dalam lafaz yang ringkas, iaitu pesanan Rasulullah SAW berkaitan iman dan istiqamah yang merupakan tunjang ajaran Islam.
Istiqamah ialah mengikhlaskan amal kerana Allah SWT dan bersegera mentaati-Nya dengan mengikuti syariat yang ditetapkan.
Istiqamah juga ialah berterusan mentaati Allah SWT dari aspek akidah, perkataan dan perbuatan.
Istiqamah memerlukan kepada ilmu, kefahaman mengenai fadilat amalan, usaha dan mujahadah. Istiqamah tidak memadai dengan hanya meniru amalan orang lain.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah sentiasa berdoa agar ditetapkan iman.
Murid dituntut agar sentiasa mengambil berat tentang iman dan akidah.
Murid perlu sentiasa tekun melaksanakan ibadah kepada Allah SWT secara berterusan.
Murid perlu bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa dalam melakukan kebaikan.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Keyakinan
Daya cipta
CADANGAN AKTIVITI
Melazimkan bacaan doa sebelum aktiviti PdP dan kokurikulum
Merancang dan mematuhi jadual harian
Solat berjemaah
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: "أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم فَقَالَ: أَرَأَيْت إذَا صَلَّيْت الْمَكْتُوبَاتِ، وَصُمْت رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْت الْحَلَالَ، وَحَرَّمْت الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا؛ أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ].
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, beliau berkata: “Apa pandangan tuan sekiranya aku mengerjakan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan perkara yang halal serta mengharamkan perkara yang haram dan aku tidak melakukan lebih daripada itu, adakah aku akan masuk syurga?” Baginda SAW bersabda: “Ya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Maksud kata-kata ‘aku mengharamkan perkara yang haram’ ialah aku menjauhinya. Maksud ‘aku menghalalkan perkara yang halal’ ialah aku melakukannya di samping meyakini ia halal.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan amalan yang melayakkan seseorang menjadi ahli syurga. Amalan tersebut ialah mendirikan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadan, melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan.
Syurga merupakan tempat tinggal yang disediakan oleh Allah SWT sebagai balasan untuk hamba-Nya yang soleh. Kehidupan dalam syurga merupakan kehidupan yang hakiki. Syurga menggabungkan kedua-dua nikmat iaitu nikmat kebendaan dan rohani. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 72: Terjemahan: “Allah menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan beroleh tempat yang baik di dalam “Syurga ‘Adn” serta keredaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian kejayaan yang besar.”
Solat fardu dalam Islam merupakan tiang agama, kunci syurga, antara sebaik-baik ibadah dan ibadah pertama yang akan dihitung pada hari kiamat kelak. Solat fardu wajib dilaksanakan semasa bermukim, dalam perjalanan, ketika sihat dan sakit, dalam keadaan aman, takut dan perang. Ibadah solat menghimpunkan penyucian roh dan pembersihan badan, riadah fizikal dan rohani, sumber kekuatan roh dan akhlak.
Puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah SWT memfardukan puasa pada bulan Ramadan untuk mendidik manusia menjadi orang yang bertakwa. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”
Meyakini perkara halal dan menjauhi larangan Allah SWT merupakan kewajipan yang perlu difahami sebagai jalan ke syurga. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma‘idah ayat 87: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 31: Terjemahan: “Jika kamu menjauhkan dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan (dosa kecil) kamu dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).”
PENGAJARAN
Berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah terutama solat fardu dan puasa pada bulan Ramadan.
Melaksanakan perkara yang halal dan meninggalkan perkara yang haram.
Melakukan amalan yang harus seperti bersukan, berhibur dan hobi yang tidak mengabaikan kewajipan.
Meyakini syariat Islam adalah yang terbaik.
PENGHAYATAN
Murid perlu melaksanakan solat fardu dan puasa dengan sebaik mungkin serta menghayati hikmah kedua-dua ibadah ini.
Murid perlu peka dalam menjaga perkara yang halal dan haram. Contohnya, memastikan makanan yang diambil mempunyai logo halal yang disahkan oleh pihak berautoriti.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Keyakinan
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Lawatan ke pejabat JAKIM atau Jabatan Agama Negeri
Lawatan ke kilang pemprosesan makanan
Usrah
عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "الطَّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآنِ -أَوْ: تَمْلَأُ- مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ، وَالصَّلَاةُ نُورٌ، وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ، وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ، وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَك أَوْ عَلَيْك، كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو، فَبَائِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asy‘ari r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kesucian adalah sebahagian daripada iman. Ucapan ‘Alhamdulillah’ memenuhi timbangan (mizan). Ucapan ‘Subhanallah’ dan ‘Alhamdulillah’ memenuhi ruang di antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya. Sedekah adalah bukti (keimanan). Sabar adalah sinaran. Al-Quran adalah hujah yang membela atau menentang kamu. Setiap orang yang memulakan harinya (dengan berusaha seumpama) menjual jiwanya, sama ada dia membebaskannya atau membinasakannya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menitikberatkan aspek kebersihan zahir dan batin sehingga Rasulullah SAW menggambarkan kebersihan sebagai sebahagian daripada keimanan. Iman seseorang tidak sempurna apabila mengabaikan aspek kebersihan. Kebersihan zahir berkait dengan kebersihan tubuh badan, pakaian, tempat tinggal, kawasan sekolah, asrama, bilik darjah dan sebagainya. Perkara ini terkandung dalam surah al-Muddaththir ayat 4: Terjemahan: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”
Kebersihan batin pula ialah membersihkan hati daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki, riya’, ujub, sombong dan sebagainya. Kebersihan ini memenuhi sebahagian daripada iman kerana iman ialah membuang yang buruk dan menghias diri dengan sifat terpuji. Apabila seorang Muslim berjaya membersihkan dirinya zahir dan batin, dia akan dapat beramal dengan melakukan kebaikan yang memenuhi sebahagian lagi unsur iman. Sebagai contoh, untuk melaksanakan solat, perlu didahului oleh wuduk. Wuduk itu sebahagian keimanan manakala solat pula penyempurnaan keimanan.
Zikir merupakan amalan penting untuk membersihkan hati dan mampu memenuhi neraca timbangan amal (mizan). Lafaz zikir yang utama antaranya ialah Subhanallah dan Alhamdulillah yang disebut khusus oleh baginda SAW di dalam hadis ini. Dua ungkapan ini menafikan segala sifat kekurangan dan menetapkan sifat kesempurnaan Allah SWT. Lafaz Subhanallah yang bermaksud “Maha Suci Allah” merupakan pernyataan hamba terhadap kesucian Tuhannya, manakala lafaz Alhamdulillah pula merupakan pernyataan pujian seorang hamba terhadap sifat kesempurnaan-Nya. Seluruh ungkapan zikir yang diajarkan oleh baginda SAW melalui hadis tidak keluar daripada dua unsur ini. Melazimi zikir seperti zikir selepas solat, zikir pagi petang dan zikir harian akan menambahkan keimanan kepada Allah SWT serta memperoleh ganjaran yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Solat adalah salah satu bentuk zikir yang utama kerana orang yang khusyuk dalam solatnya sentiasa fokus untuk mengingati Allah SWT. Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat adalah cahaya kerana mampu mencegah pelakunya daripada melakukan maksiat dan membimbing ke arah kebenaran. Seseorang yang memelihara solatnya akan dikurniakan wajah yang bercahaya di dunia dan akhirat. Di samping itu, menurut Abu Darda’ r.a., mereka yang melazimi solat malam (tahajud), kelak dikurniakan kubur yang bercahaya.
Sedekah merupakan bukti keimanan seorang hamba. Orang beriman meyakini adanya hari pembalasan. Sebagai bekal pada hari pembalasan, mereka akan mendermakan harta sama ada yang wajib seperti zakat atau yang sunat seperti wakaf dan hadiah sebagai tukaran untuk mendapat ganjaran pahala di akhirat. Harta merupakan perkara yang amat disukai oleh nafsu manusia. Apabila seseorang mampu menyekat keinginannya terhadap harta dengan mendermakannya, maka itu adalah tanda keimanan dan keyakinannya terhadap janji Allah SWT.
Sabar diumpamakan oleh Rasulullah SAW sebagai sinaran iaitu merupakan hasil daripada kejayaan seorang hamba menghadapi ujian yang ditempuhinya. Ujian yang melahirkan sifat sabar terbahagi kepada tiga, iaitu sabar dalam menunaikan ketaatan, sabar dalam meninggalkan dosa dan sabar menghadapi ketentuan takdir Allah SWT.
Al-Quran merupakan petunjuk utama orang bertakwa. Mukjizat ini boleh menjadi pembela atau pendakwa, bergantung bagaimana seseorang berinteraksi dengannya. Jika dia membaca, beramal, beradab dan berakhlak dengan al-Quran, maka al-Quran akan membantu dan membelanya di hadapan Allah SWT. Sebaliknya, jika dia meninggalkan al-Quran, leka daripada membaca dan mengamalkannya, maka al-Quran akan mendakwanya di hadapan Allah SWT.
Kehidupan manusia umpama perniagaan yang boleh menguntungkan atau merugikan. Apabila seseorang melakukan kebaikan dia akan meraih keuntungan ketimbang mereka yang melakukan kejahatan akan mendapat kerugian.
PENGAJARAN
Orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara wuduk, kerana kelebihannya sangat besar. Namun begitu, konsep bersuci dalam Islam tidak terbatas kepada kesucian anggota zahir semata-mata, bahkan Islam sangat mementingkan penyucian jiwa daripada sifat yang buruk dan mengisinya dengan ketaatan kepada Allah SWT.
Berzikir adalah amalan mudah dilakukan, pahalanya amat besar di sisi Allah SWT sehingga memenuhi ruang langit dan bumi.
Solat diumpamakan cahaya yang menerangi hati manusia dengan hidayah untuk membezakan antara perkara yang hak dan batil.
Amalan bersedekah adalah bukti keimanan seseorang kerana hanya mereka yang meyakini pulangan akhirat sanggup mengorbankan sesuatu yang disayangi.
Sifat sabar perlu dipraktikkan dalam beberapa keadaan: Sabar melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sabar meninggalkan maksiat. Sabar menghadapi musibah.
Al-Quran akan menjadi pembela kepada seorang hamba di akhirat dengan syarat dia mempelajarinya, beramal dengan tuntutan dan meninggalkan larangannya.
Urusan harian seorang hamba dengan Allah SWT ibarat suatu perniagaan. Ada yang meraih keuntungan dengan selamat daripada azab neraka dan ada juga yang rugi lalu terjerumus ke dalamnya.
PENGHAYATAN
Murid perlu menitikberatkan aspek kebersihan zahir dan batin seperti melazimi wuduk, sentiasa menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat.
Murid hendaklah istiqamah mengamalkan zikir yang ma’thur seperti zikir selepas solat, zikir waktu pagi, zikir waktu petang dan zikir harian.
Murid hendaklah melazimi solat pada awal waktu secara berjemaah dan mengamalkan solat sunat.
Murid hendaklah memupuk budaya bersedekah, seperti membelanja rakan yang susah dan miskin, mengisi tabung sedekah serta prihatin dengan rakan yang kurang bernasib baik.
Murid perlulah sabar dalam kehidupan seperti sabar dalam menuntut ilmu dan sabar daripada pengaruh negatif rakan serta media sosial.
Murid hendaklah menjadikan al-Quran sebagai peneman hidup dengan membacanya setiap hari, memahami kandungannya serta mengamalkannya dalam kehidupan.
Murid perlu berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah SWT serta berdoa agar diselamatkan daripada godaan syaitan dan hawa nafsu.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Gotong royong
Tadarus al-Quran
Berzikir
Bacaan doa supaya dijauhkan daripada sifat malas, bakhil dan pengecut. “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada rasa sedih, gelisah dan aku berlindung pada-Mu daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung pada-Mu daripada sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu daripada cengkaman hutang dan penindasan orang.”
عَنْ أَبِي ذَرٍّ الْغِفَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم فِيمَا يَرْوِيهِ عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، أَنَّهُ قَالَ: "يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْت الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْته بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمُوا. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ ضَالٌّ إلَّا مَنْ هَدَيْته، فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ جَائِعٌ إلَّا مَنْ أَطْعَمْته، فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ. يَا عِبَادِي! كُلُّكُمْ عَارٍ إلَّا مَنْ كَسَوْته، فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا؛ فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ. يَا عِبَادِي! إنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّونِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ، فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْت كُلَّ وَاحِدٍ مَسْأَلَته، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي! إنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ، ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إيَّاهَا؛ فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَن إلَّا نَفْسَهُ". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Zar al-Ghifari r.a bahawa Nabi meriwayatkan daripada Allah SWT. Dia berfirman: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman bagi diri-Ku dan Aku jadikannya haram antara kamu. Maka, janganlah kamu berlaku zalim sesama kamu. Wahai hamba-Ku, kamu berada dalam kesesatan melainkan orang yang Aku berikan kepadanya petunjuk. Oleh itu, mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya Aku akan berikan petunjuk kepada kamu. Wahai hamba-Ku, kamu berada dalam keadaan lapar melainkan orang yang Aku berikan makanan kepadanya. Maka, mintalah makanan daripada-Ku nescaya Aku akan berikan makanan kepada kamu. Wahai hamba-Ku, kamu tidak berpakaian melainkan orang yang Aku berikan pakaian kepadanya. Maka, mintalah pakaian daripada-Ku nescaya Aku akan berikan pakaian kepada kamu. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku bersedia mengampuni kesemua dosa. Maka, mintalah keampunan-Ku nescaya Aku akan mengampuni kamu. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi mudarat sehingga boleh memudaratkan-Ku, dan kamu juga tidak akan dapat memberi manfaat sehingga boleh memberi manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan kemudian menjadi orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu, keadaan itu sedikit pun tidak menambah (kemuliaan dan kehebatan) kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan kemudian menjadi orang yang paling derhaka dalam kalangan kamu, keadaan itu sedikit pun tidak mengurangkan (kemuliaan dan kehebatan) kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan kemudian berhimpun di satu dataran yang luas dan mereka memohon hajat masing-masing lalu Aku tunaikan setiap permintaan mereka, keadaan itu sedikit pun tidak akan mengurangkan khazanah-Ku melainkan seumpama celupan sebatang jarum ke dalam lautan sahaja. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya inilah amalan kamu. Aku catatkan kesemuanya untuk kamu, kemudian Aku akan sempurnakan untuk kamu balasannya (di akhirat). Maka, sesiapa yang mendapat kebaikan (pahala dan kehidupan yang baik) hendaklah dia memuji Allah SWT. Sesiapa yang mendapat selain itu (keburukan) janganlah dia salahkan melainkan dirinya sendiri.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Allah SWT tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya dan Allah SWT juga mengharamkan kezaliman dilakukan oleh hamba-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 51: Terjemahan: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya.”
Manusia tidak patut berlaku zalim kerana mereka sebenarnya lemah. Sedikit kelebihan yang diperolehinya hanyalah kurniaan Allah SWT. Hanya Allah SWT tempat pergantungan yang mutlak. Permohonan tulus kepada Allah melalui doa munajat dan pengharapan adalah tanda seorang hamba itu beriman.
Kerajaan Allah SWT tidak tergugat dengan kederhakaan manusia sebagaimana kerajaan Allah SWT tidak sedikit pun bertambah dengan sebab ketaatan manusia.
Allah SWT boleh memperkenankan setiap permohonan hamba-Nya. Malah, jika seluruh permohonan hamba-Nya dimakbulkan oleh Allah SWT, kekayaan milik Allah SWT tidak susut sedikit pun.
Setiap amalan hamba akan dihitung oleh Allah SWT dan dibalas dengan seadil-adilnya. Setiap kebaikan akan digandakan balasannya sehingga tujuh ratus kali ganda bahkan lebih daripada itu. Manakala, perbuatan jahat akan dibalas mengikut kadar kejahatan tersebut tanpa digandakan. Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 57: Terjemahan: “Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang zalim.”
Apabila seseorang hamba melakukan kebaikan, sewajarnya dia bersyukur dengan anugerah tersebut. Sebaliknya, apabila dia melakukan kejahatan, maka hendaklah dia bermuhasabah atas kecuaian dirinya menuruti kehendak nafsu.
PENGAJARAN
Hadis ini sangat penting kerana menghimpunkan tiga perkara besar dalam Islam iaitu pengharaman perbuatan zalim, kepentingan doa yang merupakan intipati utama ibadah kepada Allah SWT, serta penegasan kesempurnaan sifat Allah SWT dan kekuasaan-Nya.
Kezaliman yang dilakukan akan menyebabkan manusia berada dalam kegelapan pada hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu daripada melakukan kezaliman, kerana kezaliman itu (mengakibatkan) kegelapan pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim).
Manusia bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT. Amalan ketaatan atau maksiat sedikit pun tidak menambah atau mengurangkan kemuliaan dan kehebatan Allah SWT.
Umat Islam perlu meyakini bahawa kekuasaan dan perbendaharaan milik Allah SWT adalah sangat sempurna.
Jika semua permintaan ditunaikan oleh Allah SWT, ini tidak mengurangkan perbendaharaan-Nya walau sedikit pun.
Setiap amalan manusia sama ada baik atau buruk pasti akan dihitung dan diberikan pembalasannya di akhirat.
PENGHAYATAN
Murid perlu menjauhi perbuatan menzalimi diri sendiri seperti membuang masa dan meninggalkan solat.
Murid dilarang melakukan perbuatan menzalimi orang lain seperti buli, khianat, mencuri atau menyakiti hati rakan.
Murid hendaklah istiqamah berdoa dengan tekun terutamanya pada waktu mustajab doa seperti selepas solat. Amalan solat hajat juga perlu dibiasakan agar pergantungan kepada Allah SWT dapat dihayati sebaiknya.
Murid hendaklah meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah SWT untuk dimakbulkan segala hajat kerana kekayaan Allah SWT tidak akan susut walaupun seluruh hajat hamba diperkenan oleh-Nya.
Murid hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT walaupun ketika menerima ujian kerana sebalik ujian itu ada hikmahnya.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Ihsan
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Usrah mingguan
Solat hajat
Forum
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا، "أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالُوا لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالْأُجُورِ؛ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ: أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرٌ بِمَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ، وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ، كَانَ لَهُ أَجْرٌ". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ].
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Zar r.a juga bahawa sekumpulan sahabat Rasulullah SAW telah mengadu kepada Rasulullah SAW. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, golongan kaya telah membolot semua ganjaran pahala. Mereka mengerjakan solat seperti kami, mereka berpuasa seperti kami, namun mereka dapat bersedekah dengan harta kekayaan mereka.” Baginda SAW bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang dapat kamu bersedekah dengannya? Sesungguhnya, setiap lafaz tasbih ialah sedekah, setiap lafaz takbir ialah sedekah, setiap lafaz tahmid ialah sedekah dan setiap lafaz tahlil ialah sedekah. Mengajak kepada kebaikan juga sedekah. Mencegah kemungkaran pun sedekah. Mengadakan hubungan kelamin juga dikira sedekah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah jika seseorang itu memenuhi kehendak nafsu syahwatnya pun dia mendapat ganjaran pahala?” Baginda SAW bertanya, “Apa pandangan kamu sekiranya dia melakukannya dengan cara yang haram, bukankah dia akan berdosa? Maka, begitulah juga apabila dia melakukannya dengan cara yang halal pasti dia mendapat pahala.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim
HURAIAN HADIS
Sahabat Rasulullah SAW bersungguh-sungguh bersaing dalam kalangan mereka untuk melakukan kebaikan sehingga timbul rasa sedih apabila mereka tidak mampu melakukan kebaikan seperti yang dilakukan oleh orang lain. Persaingan sihat sebegini digalakkan kerana mencetuskan motivasi dalaman untuk meraih kebaikan yang diimpikan. Tindakan sahabat ini bukan bermaksud tidak menerima ketentuan Allah SWT, tetapi lebih kepada mencari jalan penyelesaian daripada petunjuk Rasulullah SAW. Melalui pertanyaan tersebut dapatlah Rasulullah SAW menerangkan bentuk amalan yang menyamai amalan sedekah dari aspek ganjaran dan kelebihan. Antara amalan tersebut ialah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir, melaksanakan tugas mengajak kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran dan menggauli isteri dengan baik.
Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan amalan yang besar ganjarannya. Amalan baik ini menepati ciri khaira ummah yang dinyatakan dalam surah Ali ‘Imran ayat 110: Terjemahan: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...”
Kebaikan yang dilakukan menurut kehendak syarak akan tetap diganjari walaupun memenuhi keinginan nafsu. Justeru, hubungan intim antara suami isteri mendapat ganjaran pahala kerana menepati ketetapan syariat.
PENGAJARAN
Hadis ini menunjukkan betapa para sahabat sangat berlumbalumba dalam membuat kebaikan.
Rasulullah SAW menganjurkan agar membanyakkan zikir dengan pelbagai lafaz terutamanya: Tasbih iaitu Subhanallah Tahmid iaitu Alhamdulillah Tahlil iaitu Lailahaillallah Takbir iaitu Allahuakbar.
Persoalan yang diajukan oleh para sahabat yang miskin tentang keadaan mereka yang tidak mempunyai harta untuk bersedekah bukanlah dalam kategori hasad yang dicela, bahkan merupakan satu contoh berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan.
Amalan sedekah dalam Islam bukan sahaja melibatkan wang ringgit, bahkan maksudnya sangat luas merangkumi segala bentuk perbuatan baik.
Mengajak ke arah kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan akan mendapat pahala sedekah.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah berusaha mewujudkan persaingan yang sihat sesama mereka seperti bersaing dalam pencapaian akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya.
Murid hendaklah sentiasa berusaha melakukan kebaikan.
Murid hendaklah melazimi tasbih, tahmid, tahlil dan takbir kerana ganjarannya sangat besar.
Murid hendaklah melibatkan diri secara aktif dalam program amar maaruf nahi mungkar yang dianjurkan oleh sekolah dan komuniti setempat.
Murid hendaklah bekerjasama dengan guru disiplin dan pengawas untuk mencegah salah laku disiplin di sekolah.
Murid hendaklah memelihara diri daripada terjebak “cinta monyet” kerana bukan sahaja mengundang dosa malah menjejaskan prestasi akademik.
FOKUS NILAI
Daya cipta
Hormat
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Gotong-royong
Program 3S (salam, senyum dan sapa warga sekolah)
Bacaan doa selepas solat: “Ya Allah, bantulah kami supaya sentiasa mengingati-Mu dan sentiasa bersyukur kepada-Mu serta sempurna dalam melakukan ibadat kepada-Mu.”
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ، وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ، وَتُمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ".
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap sendi manusia dituntut supaya bersedekah pada setiap kali terbitnya matahari. Perbuatan mendamaikan antara dua orang ialah sedekah dan menolong seseorang untuk naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkat barang ke atas kenderaannya ialah sedekah. Perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi menunaikan solat ialah sedekah dan perbuatan mengalihkan perkara yang mengganggu orang ramai dari jalan juga ialah sedekah.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Setiap manusia dituntut untuk melakukan amalan bersedekah pada setiap hari. Bersedekah bukanlah terhad kepada harta sahaja, bahkan merangkumi segala perkara kebaikan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam Muslim: Terjemahan: “Setiap perkara baik itu adalah sedekah.”
Antara sedekah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW selain daripada berbentuk harta ialah: Mendamaikan dua orang yang bertelagah. Menolong seseorang menaiki kenderaan. Mengangkat barang ke dalam kenderaan. Bercakap perkara yang baik. Berjalan menuju ke masjid. Mengalih sesuatu yang mengganggu laluan orang ramai.
Sedekah yang merangkumi pelbagai bentuk ini boleh diamalkan mengikut kemampuan dan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada seseorang sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 7: Terjemahan: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
PENGAJARAN
Sedekah boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti menggunakan kekuatan fizikal, perkataan yang baik, idea, kepakaran dan sebagainya.
Hadis ini juga menunjukkan keutamaan mendamaikan pihak yang berselisih dan dikira mendapat pahala sedekah.
Memberikan pertolongan kepada orang lain ialah perbuatan yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT, walaupun sekadar membantu untuk mengangkat barang-barangnya.
Dalam hadis ini juga menjelaskan mengenai keutamaan berjalan kaki ke masjid dan mengalihkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada orang lain juga dikira mendapat pahala bersedekah.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah menggunakan anggota tubuh badan ke arah kebaikan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat penciptaan.
Murid hendaklah menjadi orang yang mendamaikan perselisihan rakan dan menjauhi perbalahan.
Murid hendaklah sentiasa bersedia menolong guru serta rakan walaupun tidak diminta. Mengangkat buku, beg dan sebagainya juga termasuk dalam kategori sedekah.
Murid hendaklah bercakap menggunakan bahasa yang baik dengan sesiapa sahaja. Perkataan yang boleh menyinggung perasaan, sumpah seranah, bahasa kesat, lucah dan sebagainya hendaklah dielakkan.
Murid hendaklah menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau surau kerana setiap langkahnya akan dicatat sebagai sedekah.
Murid hendaklah sentiasa prihatin dengan persekitaran agar sentiasa bersih dan selesa.
Murid hendaklah menjauhi gejala vandalisme kerana boleh mengundang kesusahan kepada pihak lain. Jika mendatangkan kesenangan dicatat sebagai pahala. Maka, segala perkara yang mengundang kesusahan akan dicatat sebagai dosa.
FOKUS NILAI
Ihsan
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Program 3S (salam, senyum dan sapa) warga sekolah
Kempen bersedekah
عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ، وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِك، وَكَرِهْت أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ" رَوَاهُ مُسْلِمٌ [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]. وَعَنْ وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: أَتَيْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم فَقَالَ: "جِئْتَ تَسْأَلُ عَنْ الْبِرِّ؟ قُلْت: نَعَمْ. فقَالَ: استفت قلبك، الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إلَيْهِ النَّفْسُ، وَاطْمَأَنَّ إلَيْهِ الْقَلْبُ، وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإِنْ أَفْتَاك النَّاسُ وَأَفْتَوْك" . حَدِيثٌ حَسَنٌ، رَوَيْنَاهُ في مُسْنَدَي الْإِمَامَيْنِ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ [رقم: 4/227]، وَالدَّارِمِيّ [2/246] بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ
Terjemahan: Daripada Saiyidina al-Nawwas bin Sam‘an r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Kebaikan itu ialah berakhlak mulia. Dosa itu pula ialah sesuatu yang menimbulkan keresahan dalam jiwa dan kamu tidak suka diketahui oleh orang lain.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Daripada Saiyidina Wabisah bin Ma‘bad r.a. beliau berkata, aku bertemu Rasulullah SAW lalu Baginda SAW bersabda: “Adakah kamu datang untuk bertanya tentang kebaikan?” Aku menjawab, “Ya.” Baginda SAW bersabda, “Tanyalah hati kamu sendiri. Kebaikan itu ialah perkara yang membawa ketenangan jiwa dan hati kamu. Dosa itu pula ialah sesuatu yang meresahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam dada, walaupun orang ramai memberi pandangan berbeza denganmu.”
Hadis hasan. Kami meriwayatkannya dengan sanad hasan daripada dua kitab Musnad, masing-masing merupakan karangan dua orang imam hadis iaitu Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Darimi.
HURAIAN HADIS
Al-Birr (kebaikan) ialah menjaga hubungan baik, berlemah lembut, berbuat baik serta persahabatan dan pergaulan yang baik. Ini juga membawa maksud ketaatan. Semua perkara ini merupakan himpunan akhlak yang baik.
Akhlak dalam Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syarak yang menjadi panduan perilaku manusia. Akhlak baik memberi ketenangan kepada hati dan jiwa.
Perbuatan dosa akan menimbulkan keresahan dalam jiwa sehingga pelakunya tidak suka perbuatannya diketahui oleh orang lain.
Sesiapa yang ingin melakukan sesuatu perbuatan yang diragui hendaklah dia bertanya kepada hatinya. Ini kerana Allah SWT menciptakan hati manusia cenderung kepada kebaikan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum ayat 30: Terjemahan: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia daripada semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Orang yang warak akan meninggalkan perkara yang meragukan terutama dalam perkara halal dan haram.
PENGAJARAN
Akhlak mulia adalah petunjuk kepada suatu penilaian terhadap ketinggian peribadi seseorang.
Akhlak mulia adalah perkara yang paling berat di neraca timbangan amalan.
Dosa menyebabkan hati orang yang beriman gelisah dan resah.
Keruntuhan akhlak mendorong kepada kemusnahan bangsa dan kehancuran tamadun sesebuah negara.
Warak adalah sifat mahmudah yang dituntut pada hati seorang hamba.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah sentiasa berbuat baik agar mendapat ketenangan jiwa dan menjauhi perbuatan buruk kerana mendatangkan kegusaran hati.
Murid hendaklah sentiasa saling menasihati sesama rakan.
Murid hendaklah sentiasa mematuhi peraturan agar persekitaran sekolah sentiasa harmoni.
FOKUS NILAI
Ihsan
Kesejahteraan
Keyakinan
CADANGAN AKTIVITI
Senarai semak amalan harian
Halaqah ilmu
Usrah mingguan
عَنْ أَبِي نَجِيحٍ الْعِرْبَاضِ بْنِ سَارِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: "وَعَظَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم مَوْعِظَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ! كَأَنَّهَا مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَأَوْصِنَا، قَالَ: أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ؛ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
[رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ]، وَاَلتِّرْمِذِيُّ [رقم: 266] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Najih al-‘Irbad bin Sariyah r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW telah menyampaikan kepada kami mau’izah (peringatan) yang menggetarkan hati dan menitiskan air mata. Maka, kami berkata: “Wahai Rasulullah, ini seolah-olah ucapan perpisahan. Maka, berilah kami wasiat (pesanan penting).” Baginda SAW bersabda: “Aku mewasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah serta dengar dan taat kepada pemimpin walaupun yang menjadi pemimpin kamu seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa dalam kalangan kamu yang terus hidup (selepas kewafatanku), maka dia akan melihat banyak perselisihan yang berlaku. Oleh itu, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunahku dan sunah al-Khulafa al-Rasyidin yang diberi petunjuk dan gigitlah dengan gigi geraham. Hindarilah perkara yang direka-reka dalam agama (bidaah) kerana setiap bidaah (yang bertentangan dengan asas syariat) ialah sesat.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmizi. Imam al-Tirmizi berkata, “Hadis hasan sahih.”
HURAIAN HADIS
Rasulullah SAW memberi nasihat dan peringatan kepada sahabatnya dalam urusan agama mahupun urusan dunia sehingga memberi kesan pada hati para sahabat. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 63: Terjemahan: “Mereka itulah orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka perkataan yang boleh memberi kesan pada hati mereka.”
Nasihat dan peringatan Rasulullah SAW berkisar tentang pesanan takwa, taat dan iltizam dengan sunah.
Wajib patuh kepada pemimpin (ulil amri) selagi tidak bertentangan dengan syarak.
Setelah kewafatan Nabi SAW terdapat banyak berlaku perselisihan pandangan, ibadah dan pegangan akidah. Maka, Nabi SAW menyuruh berpegang dengan sunahnya dan sunah al-khulafa al- Rasyidin.
Peringatan agar menjauhi perkara yang diada-adakan dalam agama kerana setiap bidaah yang tidak ada asasnya itu adalah sesat. Imam al-Syafie membahagikan bidaah itu kepada dua: Pertama: bidaah mahmudah (bidaah yang terpuji iaitu menepati sunah). Kedua: bidaah mazmumah (bidaah yang menyalahi sunah).
Hadis ini menggalakkan agar sentiasa menyampaikan peringatan kerana dengannya boleh melembutkan hati. Lantaran itu, boleh memberi kesan positif kepada pendengar untuk melaksanakan amal kebaikan.
PENGAJARAN
Kelaziman berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunah terutama ketika berlaku perselisihan dan perpecahan.
Melakukan perkara yang tidak ada asas dalam agama akan mengakibatkan amalan tidak diterima oleh Allah SWT.
Ketakwaan kepada Allah SWT, menghindari perkara maksiat, taat dan patuh kepada pemimpin selagi tidak menyeru kepada melakukan perbuatan mungkar merupakan faktor kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Peringatan yang disampaikan dengan berhikmah dan ikhlas boleh memberi kesan kepada orang yang mendengar
PENGHAYATAN
Murid hendaklah memastikan setiap perkara yang dilakukan bertepatan dengan syariat.
Murid hendaklah sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan.
Murid hendaklah tekun melaksanakan ibadah mengikut cara yang betul.
Memberi kerjasama dan sokongan kepada rakan yang dilantik menjadi pemimpin di sekolah.
FOKUS NILAI
Hormat
Kesejahteraan
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Pengucapan awam
Bicara hadis
Halaqah ilmu
Tazkirah
Forum
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْت يَا رَسُولَ اللَّهِ! أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدْنِي مِنْ النَّارِ، قَالَ: "لَقَدْ سَأَلْت عَنْ عَظِيمٍ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ الْبَيْتَ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّك عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ تَلَا: " تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ " حَتَّى بَلَغَ "يَعْمَلُونَ"،[ 32 سورة السجدة / الأيتان: 16 و 17 ] ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُك بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُك بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْت: يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!" . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم: 2616] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Mu‘az bin Jabal r.a berkata: “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, kamu telah bertanya tentang perkara yang amat besar. Namun, sebenarnya ia mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah SWT. Kamu menyembah Allah Taala, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Baitullah.” Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai, sedekah itu menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang yang didirikan pada tengah malam.” Kemudian Baginda SAW (menerangkan fadilat solat malam dengan) membaca ayat yang bermaksud: “Mereka menjauhkan (diri) mereka daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat tahajud dan amalan soleh), mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut (akan kemurkaan-Nya) dan ingin memperoleh lagi (keredaan-Nya), dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Maka, tiada seorang pun yang mengetahui balasan yang disediakan yang telah dirahsiakan untuk mereka (tentang segala jenis nikmat) yang amat indah dan menggembirakan hati sebagai balasan bagi amalan soleh yang dilakukan oleh mereka.” (al-Sajdah: 16- 17). Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu tentang asas bagi segala urusan (agama), tiangnya dan kemuncaknya?” Aku berkata, “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah.” Baginda SAW bersabda, “Asas bagi segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah jihad.” Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu tentang perkara teras bagi semua perkara ini?” Aku berkata, “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah.” Lalu Baginda SAW memegang lidahnya yang mulia lantas bersabda, “Tahanlah lidahmu ini daripada membinasakanmu.” Aku berkata, “Wahai Nabi Allah, adakah kita pasti akan dihukum akibat perkara yang kita tuturkan?” Baginda SAW bersabda, “Bertuah kamu! Sebenarnya, hasil tuaian lidah manusia itulah yang banyak menghumbankan mereka ke dalam neraka dalam keadaan muka terlungkup.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Beliau berkata, “Hadis hasan sahih.”
HURAIAN HADIS
Hadis ini menerangkan amalan yang membawa ke syurga dan menjauhkan dari neraka.
Setiap ibadah akan menjadi mudah sekiranya mendapat taufik daripada Allah SWT.
Ibadah yang diterima mestilah berasaskan kepada tauhid yang benar tanpa unsur syirik.
Rasulullah SAW menyebut amalan yang membawa ke syurga seperti berikut: Mendirikan solat Menunaikan zakat Berpuasa pada bulan Ramadan Menunaikan haji.
Hadis ini juga menyenaraikan tiga amalan yang digalakkan secara khusus menjadi pintu kebaikan: Berpuasa umpama perisai yang melindungi daripada kemungkaran dan neraka. Bersedekah sebagai penghapus dosa sepertimana air memadamkan api. Qiamullail mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT, mencegah dan menghapuskan dosa serta menyihatkan tubuh badan.
Rasulullah SAW menjelaskan tiga perkara pokok yang merupakan tunjang dan teras iaitu: Kalimah syahadah: Penghayatan agama Islam harus diterapkan dalam semua urusan. Solat: Iltizam solat lima waktu dalam apa jua keadaan kerana solat merupakan tiang agama. Jihad: Perjuangan agama adalah setinggi-tinggi syiar Islam.
Jihad tidak semestinya membawa maksud peperangan. Dalam kitab Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim membahagikan jihad kepada 13 bahagian yang tidak terhad kepada peperangan semata-mata. Menurut alQaradawi, jihad membawa maksud kepenatan iaitu al-Juhd. Dalam al-Quran, perkataan jihad kebanyakannya membawa erti mencurahkan segala tenaga dalam menyebarkan dakwah Islam dan mempertahankannya.
Jihad merangkumi jihad melawan nafsu dan syaitan, jihad menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, jihad menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim, jihad berperang dan sebagainya.
Usaha membangunkan negara daripada aspek ekonomi, pendidikan, keimanan, moral dan sebagainya termasuk dalam kontek jihad.
Setiap Muslim dituntut agar menjaga lidahnya daripada menuturkan perkataan yang menjerumus kepada dosa dan membatalkan akidah.
Kita hendaklah sentiasa berdoa agar dipermudahkan semua urusan dan dijauhkan daripada kesulitan sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 8: Terjemahan: “Mereka berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”
PENGAJARAN
Tanggungjawab utama bagi seorang Muslim ialah menyembah Allah SWT Yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya.
Allah SWT menurunkan rahmat dengan begitu luas kepada hamba-Nya dengan membuka pintu kebaikan untuk meraih pahala dan keampunan dosa.
Sifat yang terpuji sebagai seorang hamba ialah mengutamakan perintah Allah SWT melebihi kepentingan diri sendiri.
Rasulullah SAW memberi peringatan supaya sentiasa memelihara lidah. Setiap perkataan yang dituturkan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah sentiasa menjaga batas halal dan haram dalam pergaulan harian.
Murid hendaklah sentiasa menjaga iman dengan tidak mensyirikkan Allah SWT.
Murid hendaklah mengerjakan semua kewajipan dan amalan sunat.
Murid perlu menjauhi perkara yang melalaikan seperti berlebihan dengan permainan video dan media sosial.
Murid perlu membiasakan diri menggunakan bahasa yang sopan dalam percakapan dan penulisan.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Daya cipta
CADANGAN AKTIVITI
Pengucapan awam
Bicara hadis
Halaqah ilmu
Tazkirah Forum
عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ جُرْثُومِ بن نَاشِر رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَال: "إنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا". حَدِيثٌ حَسَنٌ، رَوَاهُ الدَّارَقُطْنِيّ ْ"في سننه" [4/184]، وَغَيْرُهُ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Tha‘labah al-Khusyani Jurthum bin Nasyir r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya, Allah Taala telah menetapkan perkara fardu, maka janganlah kamu mengabaikannya. Dia telah meletakkan batasan (syarak), maka janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarinya. Dia telah diam daripada (menerangkan hukum) beberapa perkara sebagai rahmat kepada kamu, bukannya kerana terlupa, maka janganlah kamu bertanya (sehingga menimbulkan kesukaran).”
Hadis hasan. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Daraqutni dan imam yang lain.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan tentang kewajipan melaksanakan amalan fardu dan tegahan mengabaikannya.
Allah juga telah menetapkan batasan syarak yang tidak boleh dilanggar oleh setiap Muslim sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 229: Terjemahan: “...Yang demikian itu, batasan Allah. Maka janganlah kamu melampauinya. Dan barangsiapa melampaui (melanggar) batas Allah, maka mereka itu ialah orang yang berbuat zalim.”
Syariat tidak mengharamkan sesuatu kecuali mempunyai hikmah tertentu bagi mengelak kesan buruk dalam kehidupan manusia. Oleh itu, setiap Muslim perlulah peka dengan perkara yang haram dalam syariat Islam.
Perkara yang tidak dinyatakan hukumnya merupakan suatu bentuk keluasan dan rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 101: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara yang jika diterangkan kepada kamu ia akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.
PENGAJARAN
Mengamalkan segala bentuk kefarduan dan meninggalkan larangan dalam agama akan memudahkan jalan ke syurga.
Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan tidak ada sebarang amalan hamba yang terlepas daripada pengetahuan dan perhitungan-Nya.
Allah SWT telah mewajibkan beberapa kefarduan yang mempunyai pelbagai hikmah dan dijanjikan ganjaran yang besar kepada pelakunya.
Umat Islam hendaklah melaksanakan kewajipan dengan sebaik mungkin iaitu menunaikan solat dengan sempurna pada rukun dan syarat, menunaikannya pada waktu yang ditetapkan dan tidak menokok tambah apa yang telah ditetapkan syarak.
Sesuatu hukum yang tidak dinyatakan merupakan rahmat Allah SWT kepada manusia. Hal ini memberi peluang kepada ulama untuk berijtihad mengikut keperluan semasa.
PENGHAYATAN
Murid mestilah mematuhi hukum Allah SWT sama ada melaksanakan suruhan atau meninggalkan larangan.
Murid hendaklah menjaga sempadan halal dan haram serta tidak menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.
Murid hendaklah sentiasa taat sama ada dalam melaksanakan ibadah khusus seperti solat mahupun ibadah umum seperti tolong-menolong dalam pembelajaran.
Murid hendaklah sentiasa menjauhi perkara maksiat dan mungkar seperti pergaulan bebas, mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lain-lain.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Daya cipta
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Bacaan hadis
Kuliah / forum
Khemah ibadah
عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ! دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِي اللهُ وَأَحَبَّنِي النَّاسُ؛ فَقَالَ: "ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّك اللهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّك النَّاسُ" . حديث حسن، رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ [رقم: 4102]، وَغَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu al-‘Abbas Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi r.a. beliau berkata, seorang sahabat telah datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan yang apabila aku mengamalkannya aku akan dicintai oleh Allah dan juga manusia.” Maka Baginda SAW bersabda: “Zuhudlah dalam perkara dunia nescaya kamu akan dicintai oleh Allah dan zuhudlah terhadap apa-apa yang ada pada manusia nescaya manusia akan menyukai kamu.”
Hadis hasan. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dan imam yang lain dengan beberapa sanad yang hasan.
HURAIAN HADIS
Hadis ini berkenaan suatu sifat penting yang perlu ada pada diri setiap Muslim iaitu sifat zuhud.
Zuhud ialah sifat hati seseorang yang tidak dikuasai oleh kemewahan, kedudukan dan keseronokan dunia sehingga lalai daripada mentaati Allah SWT dan mengingati-Nya.
Zuhud bukanlah bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta, tetapi zuhud yang sebenar tidak akan menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat. Contohnya, Saiyidina Abdul Rahman ibn ‘Auf r.a. seorang sahabat yang hartawan namun kekayaannya tidak melekakannya daripada matlamat hidup, malah beliau seorang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT.
Seorang yang zuhud lebih mengutamakan balasan akhirat daripada habuan dunia yang sementara. Hal tersebut diingatkan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 77: Terjemahan: "Katakanlah, kesenangan di dunia ini hanya sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa...”
Hati seseorang yang terlalu mencintai dunia akan leka daripada mengingati Allah dan jauh daripada matlamat hidup seorang hamba.
Kecintaan kepada Allah SWT dan cinta dunia yang melalaikan dalam hati manusia ibarat udara dan air dalam satu gelas yang tidak boleh berkumpul. Ketika air dituang ke dalam gelas dan memenuhinya, maka udara akan keluar dari gelas itu. Ketika air dalam gelas hanya sedikit, maka udaralah yang akan memenuhi gelas tersebut.
Apabila manisnya cinta kepada Allah SWT telah memenuhi hati orang yang zuhud, maka rasa cinta yang berlebihan kepada dunia itu akan hilang. Jika kecintaan kepada Allah SWT hanya sedikit, maka rasa cinta kepada dunia pun akan memenuhi ruangan hatinya.
Rasulullah SAW mengaitkan cinta manusia dengan zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia. Ia bermaksud menjauhkan diri daripada iri hati terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain. Bersyukur dengan anugerah Allah SWT kepadanya dan tidak tamak sehingga berusaha merebut hak orang lain. Orang yang zuhud juga tidak berasa hasad pada nikmat yang diperoleh saudaranya. Sifat tersebut membuatkan seorang yang zuhud disenangi oleh semua orang.
PENGAJARAN
Kasih sayang sesama manusia hendaklah kerana Allah SWT bukan kerana harta, pangkat dan darjat.
Keterlaluan dalam mencintai dunia boleh membawa kepada kelalaian dan dosa.
Seorang hamba akan memperoleh cinta Allah SWT apabila dia mengutamakan Allah SWT melebihi cinta kepada dunia.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah meninggalkan sifat iri hati dan dengki dengan kelebihan rakan sekelas sebaliknya bersaing secara sihat.
Murid perlu sentiasa berasa gembira untuk berkongsi kesenangan dan kelebihan yang dimiliki sama ada harta, ilmu atau kemahiran.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Kemampanan
CADANGAN AKTIVITI
Ziarah mahabbah keluarga fakir miskin
Kutipan derma dan sumbangan
Projek menanam sayur bagi menyemai cara hidup berdikari dan sederhana
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ سَعْدِ بْنِ مَالِكِ بْنِ سِنَانٍ الْخُدْرِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: " لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ" . حَدِيثٌ حَسَنٌ، رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ [راجع رقم: 2341]، وَالدَّارَقُطْنِيّ [رقم: 4/228]، وَغَيْرُهُمَا مُسْنَدًا. وَرَوَاهُ مَالِكٌ [2/746] فِي "الْمُوَطَّإِ" عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم مُرْسَلًا، فَأَسْقَطَ أَبَا سَعِيدٍ، وَلَهُ طُرُقٌ يُقَوِّي بَعْضُهَا بَعْضًا
Daripada Saiyidina Abu Said Sa‘ad bin Malik bin Sinan al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.”
Hadis hasan. Diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, al-Daraqutni dan imam yang lain secara musnad. Manakala Imam Malik meriwayatkannya dalam kitab al-Muwatta’ daripada ‘Amr bin Yahya daripada ayahnya daripada Nabi SAW secara mursal. Imam Malik telah menggugurkan Saiyidina Abu Said daripada jalur sanad. Namun, hadis ini mempunyai pelbagai jalur riwayat, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.
HURAIAN HADIS
Mudarat bermaksud perbuatan yang menyebabkan kemudaratan dan kerosakan sama ada terhadap anggota badan, kehormatan diri dan harta benda tanpa sebab yang dibenarkan Islam adalah berdosa.
Kaedah لا ضرر ولا ضرار penting dalam syariat Islam. Hal ini menunjukkan betapa syariat Islam mengambil berat tentang perkara yang mendatangkan manfaat kepada manusia secara keseluruhannya dan menghalang mereka daripada melakukan kemudaratan terhadap diri dan masyarakat. Kaedah ini bertujuan mendidik umat Islam tentang makna keluasan, rahmat dan ihsan sesama manusia, menyeru setiap orang Islam supaya membenci kezaliman, permusuhan dan kerosakan.
Matlamat akhir daripada kaedah ini untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah SWT menyukai orang yang berbuat kebaikan dan ihsan serta membenci orang yang memberi mudarat kepada orang lain dengan zalim dan melampaui batas. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 111: Terjemahan: “...Dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.”
PENGAJARAN
Hakikatnya, tiada kesusahan dan kemudaratan dalam syariat Islam. Setiap suruhan Allah SWT mendatangkan banyak manfaat manakala sebarang larangan mempunyai banyak kemudaratan kepada diri, masyarakat dan negara.
Orang yang zalim berkemungkinan menjadi muflis di akhirat kerana pahalanya akan diberi kepada orang yang dizalimi. Bahkan, dosa orang yang dizalimi akan ditanggung oleh orang yang zalim sekiranya kehabisan pahala.
Berusahalah untuk mencegah kemudaratan daripada berlaku dan menghilangkan kemudaratan yang sedang berlaku.
Kita perlu sentiasa berlaku belas kasihan sesama manusia, kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah menghormati dan memuliakan orang lain.
Murid mestilah meninggalkan perkara yang memudaratkan diri sendiri mahupun orang lain seperti membuli, merokok, ponteng dan lain-lain.
Murid hendaklah peka dengan sebarang tingkah laku negatif yang berlaku dalam persekitaran sekolah atau asrama. Segera melaporkan kepada guru atau pengawas untuk tindakan selanjutnya.
FOKUS NILAI
Ihsan
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Kempen sekolah selamat
Kempen sayangi alam sekitar
Bengkel kesedaran kesihatan mental
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ" . حَدِيثٌ حَسَنٌ، رَوَاهُ الْبَيْهَقِيّ [في"السنن" 10/252]، وَغَيْرُهُ هَكَذَا، وَبَعْضُهُ فِي "الصَّحِيحَيْنِ"
Terjemahan: Daripada Saiyidina Ibn ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya sesiapa sahaja dibenarkan tuntutannya berdasarkan dakwaan semata-mata, nescaya ramai orang akan menuntut harta orang lain dan balasan terhadap nyawa. Akan tetapi, pihak yang mendakwa mesti mengemukakan bukti dan pihak yang menafikan dakwaan pula mesti bersumpah.”
Hadis hasan. Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan imam yang lain seperti lafaz yang dinyatakan. Sebahagian lafaz hadis ini diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
HURAIAN HADIS
Setiap individu yang menuduh perlu mengemukakan bukti yang meyakinkan seperti saksi, dokumen atau barang bukti yang diiktiraf oleh syarak. Jika bukti cukup dan hakim berpuas hati, tuduhan itu diterima.
Bagi individu yang dituduh ingin membela diri, perlu bersumpah menafikan tuduhan tersebut.
Hakim akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh orang yang menuduh dan sumpah yang dibuat oleh orang menafikan tuduhan.
Asas inilah yang perlu diikuti oleh setiap yang ingin mengemukakan tuduhan dan menafikan tuduhan kerana Islam menitikberatkan keadilan dalam semua perkara. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Nisa’ ayat 58: Terjemahan: “...Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil...”
PENGAJARAN
Kita hendaklah menyedari bahawa Islam amat mengambil berat tentang kemuliaan insan, integriti, hak terhadap harta benda dan nyawa.
Menjaga batasan dan akur dengan peraturan dapat menjamin kerukunan hidup bermasyarakat dan keamanan negara.
Kita ditegah daripada mengambil hak orang lain secara salah.
Setiap individu dididik agar mencari kebenaran sekalipun dalam sekecil-kecil perkara.
Setiap dakwaan mestilah disertakan dengan bukti yang menyokong dakwaan tersebut. Oleh itu, jangan menuduh seseorang melakukan apa jua salah laku tanpa bukti.
Sumpah diakui sebagai kaedah mempertahankan diri apabila dituduh.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah mengelakkan diri daripada membuat tuduhan terhadap rakan tanpa sebarang bukti.
Murid hendaklah menjaga hubungan baik dalam kalangan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat setempat.
Murid hendaklah sentiasa merujuk pihak bertanggungjawab dalam menghadapi sebarang pertikaian dan tidak mengambil tindakan sendiri.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Hormat
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Lawatan sambil belajar ke mahkamah
Taklimat buku peraturan sekolah
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: "مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ" . [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Sa‘id al-Khudri r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa dalam kalangan kamu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidah. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hati. Demikian itu selemah-lemah iman.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini berkisar tentang pendekatan menangani kemungkaran. Mungkar merupakan perbuatan atau perkataan yang ditegah oleh syarak.
Terdapat tiga peringkat dalam menangani kemungkaran iaitu melalui tangan, perkataan dan hati.
Menangani kemungkaran dengan tangan bermaksud menggunakan kekuasaan atau kekuatan untuk menghentikan sesuatu kemungkaran yang sedang berlaku. Contohnya, bapa perlu memastikan anaknya menutup aurat dengan sempurna.
Menangani kemungkaran dengan perkataan iaitu dengan cara menegur, menasihati atau melaporkan kemungkaran sama ada secara lisan atau tulisan. Contohnya, seseorang boleh menasihati rakannya agar tidak membazir waktu.
Menangani kemungkaran dengan hati bermaksud membenci dan menjauhi kemungkaran tersebut dan berazam untuk tidak melakukannya serta berdoa agar pelakunya diberi hidayah dan petunjuk untuk bertaubat.
Menangani kemungkaran dengan bijaksana dan berhikmah sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 125: Terjemahan: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad), dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang paling baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
PENGAJARAN
Kita perlu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan penuh tanggungjawab, sambil memberi nasihat dengan perkataan yang lembut dan sopan.
Setiap individu berhak menyampaikan seruan dakwah sesuai dengan kemampuannya. Dakwah harus disampaikan dengan penuh hikmah, disertai nasihat yang benar dan tidak menggunakan cara yang dilarang oleh agama.
Selalu berdoa untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan umat Islam.
Kita hendaklah menyediakan perancangan yang teratur dan berstrategik dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah menggunakan cara atau kaedah yang terbaik dalam mengajak rakan, keluarga dan masyarakat melakukan kebaikan.
Murid mestilah melaporkan kesalahan atau pelanggaran salah laku kepada guru dan tidak mengambil tindakan sendiri.
Murid perlu mengajak rakan mengikut peraturan di sekolah dan meninggalkan perkara negatif.
FOKUS NILAI
Hormat
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Dakwah secara individu
Bimbingan dan simulasi dakwah
Pertandingan poster digital amalan baik
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم " لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَنَاجَشُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إخْوَانًا، الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ، وَلَا يَخْذُلُهُ، وَلَا يَكْذِبُهُ، وَلَا يَحْقِرُهُ، التَّقْوَى هَاهُنَا، وَيُشِيرُ إلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ" . [رَوَاهُ مُسْلِمٌ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu saling berdengki. Janganlah kamu saling menipu dan memperdaya. Janganlah kamu saling membenci. Janganlah kamu saling memulaukan antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu memintas jualan orang lain. Jadilah kamu para hamba Allah yang bersaudara. Setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi, mengabaikan, membohongi atau menghinanya. Takwa itu di sini.” (Perawi berkata:) “Baginda SAW mengisyaratkan ke dadanya tiga kali.” “Sudah dianggap buruk apabila seseorang memandang rendah kepada saudara Muslim. Haram bagi setiap Muslim menumpahkan darah saudaranya, mengambil harta atau mencemarkan maruahnya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan tentang kepentingan persaudaraan dalam Islam semata-mata kerana Allah SWT. Hadis ini juga menekankan supaya tidak saling mendengki, menipu, membenci dan memutuskan hubungan persaudaraan sesama Muslim.
Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Mereka tidak menzalimi, mengabaikan, mendustakan serta menghinanya.
Sikap memandang rendah terhadap saudara Muslim yang lain menandakan keburukan akhlak seseorang itu. Sikap ini melambangkan kesombongan dan keangkuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11: Terjemahan: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.”
PENGAJARAN
Rasulullah SAW berpesan agar umat Islam prihatin terhadap hubungan sesama manusia kerana merupakan ibadah yang dituntut dalam Islam.
Umat Islam ialah umat yang memberi manfaat kepada semua manusia tanpa melihat latar belakang agama. Hadis ini adalah berkaitan prinsip hidup berakhlak.
Akhlak yang mulia menyempurnakan akidah dan syariat. Ini perlu dipupuk bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah sentiasa berakhlak mulia, mengamalkan nilai dan adab yang terpuji serta saling menghormati.
Murid hendaklah menjaga hubungan persaudaraan sesama Muslim dan bukan Muslim.
Murid hendaklah sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan sesama Muslim walaupun mereka tidak mempedulikan kita.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Hormat
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Kempen 3S (salam, senyum dan sapa)
Ziarah cakna
Forum tentang persaudaraan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِما سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ، وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ فِيمَا بَيْنَهُمْ؛ إلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ، وَ حَفَّتهُمُ المَلاَئِكَة، وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ أَبَطْأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ". [رَوَاهُ مُسْلِمٌ] بهذا اللفظ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang melapangkan kesempitan dunia seorang mukmin, Allah akan melapangkan kesempitannya pada hari kiamat. Sesiapa yang mempermudah urusan orang yang dalam kesusahan, Allah akan mempermudah urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban saudara Muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi dia membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudah baginya jalan ke syurga dengan ilmu tersebut. Tidak berhimpun sekumpulan Muslim dalam mana-mana rumah Allah dalam keadaan membaca dan mempelajari alQuran sesama mereka melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka, para malaikat akan menaungi mereka dan Allah akan menyebut perihal mereka kepada para makhluk di sisi-Nya. Sesiapa yang amal solehnya sedikit, maka nasab keturunan tidak boleh mengangkat darjatnya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan lafaz ini.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang Muslim itu hendaklahberusaha memenuhi keperluan sesama Muslim yang lain sama adasecara langsung atau tidak langsung. Melalui amalan ini, seseorang ituakan mendapat pertolongan yang sempurna daripada Allah SWT.
Islam agama kasih sayang tanpa melihat latar belakang agama. Walaupun hadis ini secara khususnya merujuk kepada peranan Muslim melepaskan kesusahan saudara Muslimnya, Islamjugamenuntut umatnya sentiasa berbuat baik sesama manusia tanpamengira agama. Hal ini bertepatan dengan hadis riwayat Imamal-Bukhari dan Iman Muslim Terjemahan: “Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (walaupun haiwan) terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya).”
Perumpamaan kaum muslimin itu adalah seperti satu anggota badan. Jika seseorang itu mengalami sakit gigi, pasti air matanya akanbercucuran, mulutnya menyebut untuk bertemu doktor dan kakinyamelangkah ke klinik. Oleh itu, setiap individu daripada masyarakat yang beriman adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Merekaakan merasa bahagia apabila saudaranya mendapat kebaikan danakan merasa sedih tatkala saudaranya mendapat musibah.
Kisah Hassan al-Basri, menyuruh anak muridnya mengajak Tsabit al-Bunani membantu seorang lelaki. Tsabit al-Bunani enggan keranasedang beriktikaf. Lalu, Hasan al-Basri memberitahu kepada anakmuridnya bahawa membantu mempermudahkan keperluan saudaraMuslim yang lain adalah lebih baik daripada menunaikan haji yangsunat. Lantas anak muridnya menyampaikan perkara tersebut kepadaTsabit, lalu Tsabit pun meninggalkan iktikafnya untuk membantulelaki tersebut.
Kesungguhan dalam menuntut ilmu agama adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT dan jalan menuju ke syurga. Sebaik-baik ilmu agama adalah memberi perhatian penuh kepada kitab Allah SWT dengan membaca, mengajar dan mengamalkannya. Sebaliknya, orang yang tidak beramal tidak akan mendapat kelebihan tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 122: Terjemahan: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).”
PENGAJARAN
Hadis ini adalah sebagai satu galakan untuk bersegera membantu orang yang berada dalam kesusahan, memudahkan perkara yang susah dan menutup keaiban orang lain.
Seseorang yang membantu orang lain, hakikatnya dia sedang membantu dirinya sendiri. Tiada istilah rugi dalam membantu orang lain tetapi sebaliknya ketenangan dan kebahagiaan yang akan diperoleh di dunia dan di akhirat.
Melalui ilmu pengetahuan, seseorang itu mampu mengubah cara pandang dan gaya hidupnya ke arah yang lebih baik. Dengan ilmu juga kita mampu menjadi manusia yang bertakwa apabila mengamalkan ilmu tersebut.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah merasai kepayahan orang lain dan sentiasa bersedia membantu meringankan beban mereka.
Murid hendaklah menjauhi sikap mendedahkan keaiban seperti menceritakan keburukan rakan kepada orang lain.
Murid hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Kesejahteraan
Hormat Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Tilawah, tadarus dan tadabbur al-Quran
Rekod amalan baik dalam Sistem Sahsiah Diri Murid
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم فِيمَا يَرْوِيهِ عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، قَالَ: "إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً".
[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ] ، [وَمُسْلِمٌ]، في "صحيحيهما" بهذه الحروف
Terjemahan: Daripada Saiyidina Ibn ‘Abbas r.a bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan hadis Qudsi daripada Tuhannya, Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya, Allah telah (memerintahkan malaikat) menulis segala kebaikan dan kejahatan. Kemudian, Dia menerangkan hal tersebut. Sesiapa yang berniat melakukan suatu kebaikan tetapi dia tidak menyempurnakan niatnya, maka Allah menetapkan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Sekiranya dia berniat melakukan kebaikan lalu dia mengerjakannya, maka Allah akan menetapkan untuknya sepuluh kebaikan (dan digandakan) sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira banyaknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kejahatan tetapi dia tidak melakukannya, maka Allah menetapkan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan lalu dia melakukannya, maka Allah akan menetapkan untuknya satu dosa sahaja.”
HURAIAN HADIS
Hadis Qudsi ini menjelaskan bahawa Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Allah SWT memberi ganjaran berganda atas kebaikan yang dilakukan dan tidak menggandakan balasan kejahatan.
Setiap Muslim yang berniat untuk melakukan kebaikan akan mendapat pahala malahan jika berniat melakukan kemungkaran tidak mendapat dosa selama mana tidak melakukannya. Bahkan sekiranya tidak melakukan kemungkaran tersebut akan mendapat pahala. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 245: Terjemahan: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.
PENGAJARAN
Seorang Muslim sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan agar beroleh pahala kebaikan.
Seorang Muslim yang meninggalkan maksiat dengan ikhlas dan taat kepada Allah SWT akan mendapat ganjaran pahala.
Ketentuan balasan baik dan buruk adalah daripada Allah SWT. Pahala dan dosa juga hak milik Allah SWT.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah meyakini Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya.
Murid hendaklah memulakan setiap amalan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.
Murid hendaklah bersungguhsungguh melakukan segala amalan kebaikan kerana Allah SWT.
Murid hendaklah menjauhi perkara yang tidak baik walaupun lintasan di hati.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Keyakinan
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Kempen jom buat baik
Kempen jauhi maksiat
Rekod amalan baik dalam Sistem Sahsiah Diri Murid
عَنْ أَبِي هُرَيْرَة رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول اللَّهِ صلى الله عليه و سلم إنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَالَ: "مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقْد آذَنْتهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْت سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ". [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman, “Sesiapa yang memusuhi mana-mana wali-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada perkara yang hamba-Ku lakukan untuk menghampirkan dirinya kepada-Ku yang lebih Aku sukai daripada perkara yang Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku sentiasa menghampirkan dirinya kepada-Ku melalui amalan sunat sehinggalah Aku mengasihinya. Apabila Aku mengasihinya, maka Aku akan menjadi pendengaran yang dia mendengar dengannya. Aku akan menjadi penglihatan yang dia melihat dengannya. Aku akan menjadi tangan yang dia bertindak dengannya. Aku akan menjadi kaki yang dia berjalan dengannya. Demi sesungguhnya, jika dia meminta sesuatu daripada-Ku, pasti Aku akan mengurniakannya dan jika dia meminta perlindungan daripada-Ku, pasti Aku akan melindunginya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
HURAIAN HADIS
Hadis Qudsi ini memberi peringatan tegas tentang kemurkaan Allah SWT terhadap golongan yang memusuhi wali Allah SWT.
Wali Allah SWT adalah orang yang paling dikasihi Allah SWT kerana istiqamah melaksanakan amalan wajib dengan sempurna dan memperbanyak amalan sunat.
Orang yang sentiasa mematuhi syariat, Allah SWT akan membimbing seluruh pancaindera dan anggotanya ke arah perkara yang diredai serta dimakbulkan doanya.
Semua orang berpeluang menjadi wali Allah SWT namun hanya Allah SWT yang mengetahui siapa wali dalam kalangan hamba-Nya.
Allah SWT menjanjikan keteguhan hati kepada para walinya sehingga mereka tidak merasa takut kehilangan nikmat dan sedih dengan musibah. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 62: Terjemahan: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
PENGAJARAN
Wali Allah SWT mendapat kedudukan yang tinggi di sisi-Nya dan merupakan golongan yang wajib dikasihi.
Allah SWT memberi amaran keras kepada golongan yang memusuhi wali Allah SWT.
Hamba Allah SWT hendaklah menggunakan seluruh anggotanya untuk mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.
Setiap Muslim yang istiqamah dalam melaksanakan ketaatan akan dikurniakan doa yang mustajab oleh Allah SWT.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah istiqamah melaksanakan amalan fardu dan sunat dengan sempurna bagi meraih cinta Allah SWT.
Murid hendaklah memuliakan semua orang terutamanya yang berilmu dan soleh.
Murid hendaklah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan amalan sunat seperti berpuasa sunat.
FOKUS NILAI
Kemampanan
Hormat
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Qiamullail secara berkala
Mengamalkan bacaan Ma’thurat
Berpuasa sunat
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ" . حَدِيثٌ حَسَنٌ، رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ [رقم: 2045]، وَالْبَيْهَقِيّ ["السنن" 7 ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Ibn ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya, kerana aku, Allah memaafkan kesalahan umatku yang dilakukan secara tersilap, terlupa atau dipaksa.”
Hadis hasan. Diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, Imam al-Baihaqi dan imam yang lain.
HURAIAN HADIS
Perbuatan manusia yang melibatkan implikasi hukum terbahagi kepada dua kategori iaitu: Perbuatan secara sengaja dengan niat dan pilihan. Makan dan minum dengan sengaja pada siang hari bulan Ramadan membatalkan puasa. Melanggar peraturan disiplin dengan sengaja adalah suatu kesalahan. Perbuatan secara tersilap, terlupa dan terpaksa yang dimaafkan: Makan dan minum dalam keadaan terlupa pada siang hari bulan Ramadan tidak membatalkan puasa. Kesilapan yang dibuat oleh seseorang yang baharu memeluk agama Islam kerana tidak mengetahui sesuatu hukum tidak dikira sebagai dosa.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286: Terjemahan: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir."
Tuntutan dan larangan dalam agama Islam adalah sesuai dengan kemampuan manusia.
Ayat ini mendorong manusia agar mengerjakan perbuatan yang baik serta menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan oleh agama.
Ayat ini memberi pengertian bahawa perbuatan baik itu adalah perbuatan yang mudah dikerjakan manusia kerana sesuai dengan fitrahnya. Manakala, perbuatan jahat adalah sesuatu yang melanggar fitrah manusiawi.
Allah SWT mengajarkan hamba-Nya untuk memohon keampunan atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan.
Kita diajar untuk memohon agar tidak dibebani dengan ujian yang berat sebagaimana yang telah berlaku kepada umat terdahulu.
PENGAJARAN
Maksiat yang dilakukan secara sengaja adalah dosa.
Perbuatan tersalah kerana lupa, tidaklah menyebabkan dosa.
Allah Maha Pengampun dan Maha Menyayangi hamba-Nya.
Seorang mukmin yang baik sedia memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat terpuji.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah menyedari bahawa Allah SWT hanya mengambil kira sesuatu dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri bukan kerana paksaan.
Murid hendaklah menyedari bahawa kesalahan yang dimaafkan mestilah diukur berdasarkan hukum hakam Islam dan bukan sewenang-wenangnya dimaafkan mengikut pandangan peribadi.
Murid hendaklah menuntut ilmu dan bertanya kepada ahli ilmu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Murid mestilah menginsafi bahawa kesalahan yang berkaitan dengan hak manusia hendaklah diminta kemaafan dan disempurnakan tuntutannya. Contohnya: Lantunan bola yang disepak oleh Ali dalam satu permainan telah mengenai Ahmad sehingga menyebabkan kecederaan. Ali tidak berdosa kerana perbuatan yang tidak disengajakan namun tetap dituntut memohon maaf kerana melibatkan hak orang lain. Jika lantunan bola itu terkena cermin kaca lalu pecah, Ali juga diminta membayar ganti rugi kerosakan itu.
FOKUS NILAI
Hormat
Ihsan
Kesejahteraan
CADANGAN AKTIVITI
Pengucapan awam
Bicara hadis
Diskusi ilmu
Tazkirah
عَنْ ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم بِمَنْكِبِي، وَقَالَ: "كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ". وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِك لِمَرَضِك، وَمِنْ حَيَاتِك لِمَوْتِك. [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ]
Terjemahan: Daripada Saiyidina Ibn Umar r.a. katanya, “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: “Hiduplah kamu di dunia ini seperti orang asing atau musafir.” Ibn Umar r.a. berkata, “Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu menanti pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu menanti petang. Rebutlah peluang sihatmu, sebelum sakitmu dan rebutlah peluang hidupmu sebelum kematianmu.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
HURAIAN HADIS
Hadis ini merupakan asas supaya kita tidak panjang angan-angan. Jangan dijadikan dunia untuk tempat tinggal yang kekal sehingga kita merasa bahagia tanpa memikirkan soal akhirat. Sepatutnya dunia ini hanya dijadikan tempat persiapan melengkapkan keperluan amal soleh untuk bekalan di akhirat.
Kehidupan di dunia ini bersifat sementara ibarat seorang musafir yang berkelana menuju suatu destinasi.
Bersegeralah kita untuk beramal soleh dan mendapat keampunan Allah SWT sebelum terlambat.
Mencari dan memburu peluang di dunia ini dengan kesempatan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita demi bekalan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 20: Terjemahan: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”
Syeikh al-Maraghi berkata bahawa kehidupan dunia dari aspek kebinasaan dan kemusnahan yang begitu cepat diumpamakan seperti tanah yang ditimpa hujan lebat. Seterusnya, Allah SWT menumbuhkan tumbuhan yang mengagumkan para petani dan menjadikan mereka berasa gembira, rasa tertarik, bersuka ria dan bersenang-lenang. Namun, ketika mereka diasyikkan dengan keadaan demikian, tiba-tiba tanaman itu menjadi kering dan hancur berterbangan ditiup angin.
Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan dan kenikmatan yang tidak kekal. Sememangnya sudah ramai orang yang telah terperdaya terhadap kehidupan dunia dan tidak membuat persediaan untuk kehidupan akhirat.
PENGAJARAN
Dunia bukanlah tempat tinggal yang hakiki, kerana ia sebuah persinggahan dan jambatan menuju negeri akhirat yang kekal abadi.
Orang yang tahu menilai waktu dan masa tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk mencari sebanyak mungkin bekalan untuk dibawa ke akhirat.
Beramal sebelum datangnya waktu kesusahan, kesempitan, kesakitan apatah lagi kematian yang tidak diketahui masanya dengan memanfaatkan umur, waktu dan tenaga.
Berhati-hati dengan tipu daya dunia terutama pada zaman kini yang amat mencabar keimanan dan kekuatan amal seseorang.
PENGHAYATAN
Murid tidak seharusnya leka dan terpengaruh dengan dunia kerana hakikatnya ia adalah tempat persinggahan yang sementara sahaja. Oleh itu, setiap usaha dalam kehidupan di dunia adalah untuk bekalan akhirat.
Murid sepatutnya bersegera dalam melakukan amal ibadah kerana masa sangat bernilai.
Murid perlu memanfaatkan peluang untuk menuntut ilmu bersungguh-sungguh dan beramal soleh tanpa rasa jemu.
Murid tidak seharusnya membuang masa dengan perkara yang tidak bermanfaat seperti leka dengan gajet dan hiburan yang melalaikan.
FOKUS NILAI
Ihsan
Keyakinan
CADANGAN AKTIVITI
Halaqah ilmu
Usrah
Muhasabah harian seperti hari ini lebih baik daripada semalam
عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم "لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ". حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ، رَوَيْنَاهُ فِي كِتَابِ "الْحُجَّةِ" بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Abu Muhammad Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah keinginan dirinya mengikuti apa-apa (ajaran) yang aku bawa.”
Hadis sahih. Kami meriwayatkannya dalam kitab al-Hujjah (oleh Imam Nasr bin Ibrahim al-Maqdisi) dengan sanad yang sahih.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menjelaskan antara tuntutan iman ialah menundukkan hawa nafsu selaras dengan ajaran Rasulullah SAW. Tidak sempurna iman seseorang sekiranya mengutamakan tuntutan hawa nafsu lebih daripada amal soleh.
Melawan hawa nafsu dikira mujahadah yang hanya mampu dilalui oleh orang yang ikhlas mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya.
Menuruti hawa nafsu yang menyalahi kehendak syariat Islam akan membawa ke jalan yang sesat sebagaimana firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi Daud a.s. dalam surah Sad ayat 26: Terjemahan: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
Ibadah adalah ketaatan kepada suruhan dan larangan Allah SWT. Sesiapa yang menurut hawa nafsu bertentangan syariat Islam, jadilah dia hamba yang bertuhankan nafsu syahwatnya sendiri.
Orang yang mengaku mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya tetapi tidak mentaati-Nya, maka dia adalah pendusta. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 31: Terjemahan: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
PENGAJARAN
Menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW sahaja.
Keimanan seseorang tidak sempurna sehingga kehendak nafsunya selaras dengan ajaran Rasulullah SAW.
Sentiasa menjaga diri daripada kehendak syahwat terutamanya remaja pada zaman ini yang mudah terdedah kepada perkara maksiat sama ada dalam pergaulan atau melalui media sosial yang tidak terkawal.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah berusaha memupuk keikhlasan dan kejujuran dalam amalan seharian.
Murid hendaklah mencintai apa sahaja perbuatan dan amalan yang dicintai Allah SWT.
Murid hendaklah sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan Islam kerana Allah SWT.
Murid dilarang melakukan perkara yang berlawanan dengan syariat Islam dan sering menuruti kehendak naluri yang akhirnya membawa kepada kemungkaran dan kemudaratan.
FOKUS NILAI
Kesejahteraan
Kemampanan
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Bacaan hadis
Tazkirah ringkas
Majlis penghargaan
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: "يَا ابْنَ آدَمَ! إِنَّكَ مَا دَعَوْتنِي وَرَجَوْتنِي غَفَرْتُ لَك عَلَى مَا كَانَ مِنْك وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ! لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُك عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتنِي غَفَرْتُ لَك، يَا ابْنَ آدَمَ! إنَّك لَوْ أتَيْتنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُك بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً" . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم: 3540]، وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Terjemahan: Daripada Saiyidina Anas r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah Taala berfirman, “Wahai anak Adam, sesungguhnya, selagi engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, pasti Aku akan mengampuni dosa-dosa engkau walau banyak sekali pun dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya dosa engkau begitu banyak sehingga mencecah langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, pasti Aku mengampunkan dosa engkau. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau bertemu dengan-Ku dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan memberikan kepada engkau sepenuh itu juga pengampunan.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Hadis hasan.
HURAIAN HADIS
Hadis ini menggambarkan kepada kita kerahmatan dan keampunan Allah SWT yang tidak terbatas kepada hamba-Nya.
Imam Nawawi meletakkan hadis ini yang terakhir sebagai simbolik agar kita semua diampuni dosa sepanjang hayat.
Allah SWT menegaskan kepada hamba-Nya bahawa jika mereka kembali, berdoa dan berharap kepada-Nya, dosa mereka akan diampuni tanpa memandang sebesar manapun dosa tersebut.
Betapa lemahnya manusia di hadapan Allah SWT dengan dosa mereka. Namun, Allah SWT dengan kasih sayang-Nya yang luas dan kekuasaan-Nya yang mutlak pasti memberikan pengampunan kepada mereka yang kembali kepada-Nya dengan tulus.
Sungguhpun dosa seseorang seluas langit, keampunan Allah SWT lebih besar. Hal ini menunjukkan kebesaran rahmat Allah SWT yang tidak terbatas dan Allah SWT pasti mengampuni dosa tersebut.
Penekanan pentingnya menjauhi syirik iaitu tidak menyekutukan Allah SWT. Meskipun dosa sepenuh isi bumi, namun selama seseorang mempertahankan tauhid, peluang keampunan masih terbuka.
Tidak ada dosa yang terlalu besar untuk diampuni asalkan seseorang bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan kembali kepada Allah SWT dengan tulus.
Allah SWT memerintahkan supaya kita segera bertaubat dan memohon keampunan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 133: Terjemahan: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”
PENGAJARAN
Rahmat dan pengampunan Allah SWT tiada batasnya. Menjadi kewajipan kita agar meyakini perkara ini sebagai dorongan untuk terus bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT.
Allah SWT pasti akan mengampunkan dosa hamba-Nya yang bertaubat walau sebesar mana dosa yang dilakukan dengan syarat tidak mensyirikkan-Nya.
PENGHAYATAN
Murid hendaklah meyakini bahawa Allah SWT sentiasa mengampunkan semua kesalahan hamba-Nya sekiranya mereka memohon keampunan daripada Allah SWT dengan bertaubat dan beristighfar.
Murid hendaklah menyedari bahawa manusia adalah makhluk yang lemah, terdedah melakukan kesilapan dan dosa.
Mohonlah ampun atas kesilapan sesama manusia dan bertaubatlah kepada Allah SWT.
Murid hendaklah menjauhi perbuatan syirik yang boleh menjadi penghalang daripada mendapat keampunan Allah SWT.
Murid hendaklah sentiasa mengharapkan keampunan Allah SWT dalam kehidupan.
FOKUS NILAI
Keyakinan
Kesejahteraan
Ihsan
CADANGAN AKTIVITI
Bacaan hadis
Tazkirah ringkas
Menghayati keindahan nasyid berkaitan taubat.
Menghafal Saiyidul Istighfar.
Hadis 1: Setiap amalan bergantung pada niat. Apa yang diniatkan, itulah yang akan kita dapat. Individu yang beramal dengan niat ikhlas kepada Allah akan dibalas berdasar apa yang diniatkannya.
Hadis 2: Mengenai maksud Islam, iman dan ihsan dan tanda kiamat.
Hadis 3: Mengenai bagaimana Islam terbina di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji di Baitullah jika berkemampuan.
Hadis 4: Menceritakan tentang peringkat kejadian manusia dan penentuan rezeki, ajal, qada’ dan qadar selepas roh ditiupkan ke janin.
Hadis 5: Menggalakkan umat Islam agar menjauhi amalan bid’ah, mereka-reka amalan baharu dalam urusan agama tanpa rujukan sumber sahih.
Hadis 6: Mengenai halal haram. Islam menyeru umatnya meninggalkan perkara syubhah (tidak pasti) kerana dibimbangi terjatuh kepada perkara haram. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.
Hadis 7: Menjelaskan Islam sebagai agama nasihat yang mengandungi ketaatan kepada Allah, Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab dan sunnah Rasul-Nya. Selain itu, tanggungjawab menasihati pemimpin dan membantu pemerintah dalam perkara yang wajib dibantu. Nasihat bagi kaum muslimin pula dengan menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.
Hadis 8: Menyatakan keizinan memerangi golongan musyrikin Makkah yang memusuhi Islam dan orang yang memerangi umat Islam. Hadis ini juga bermaksud larangan memerangi atau menyakiti bukan Islam secara semberono.
Hadis 9: Larangan umat Islam melakukan perkara haram dan galakan supaya melaksanakan arahan nabi dengan sedaya-upaya. Umat terdahulu dibinasakan kerana terlalu banyak menyoal dan perselisihan dengan nabi mereka.
Hadis 10: Syariat Islam menganjurkan umatnya makan dan minum daripada sumber halal. lslam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek; kebersihan diri dan hati, keelokan berpakaian, kebersihan amalan perbuatan juga budi pekerti.
Hadis 11: Rasulullah menyeru umatnya meninggalkan perkara meragukan, sebaliknya berpegang pada sesuatu yang yakin.Keyakinan adalah asas amalan dalam lslam. Amalan yang dilakukan dengan yakin dikira sah dan diberikan ganjaran pahala. Sebaliknya amalan yang dilakukan secara ragu-ragu, tidak memadai dan mesti diulangi.
Hadis 12: Menyeru seseorang agar meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengan keperluannya atau perbuatan sia-sia, sama ada urusan dunia atau akhirat. Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.
Hadis 13: Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman. lman seseorang mukmin tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama. Hadis ini menyeru kepada individu agar mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai diri sendiri kerana ia sebagai tanda kesempurnaan iman.
Hadis 14: Memberi amaran mengenai haram menumpahkan darah seseorang kecuali tiga jenis pesalah syariah iaitu janda atau duda yang berzina, pembunuh dan individu murtad. Menurut hukum Allah seorang mukmin adalah terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara’.
Hadis 15: Hadis ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.
Hadis 16: Hadis ini menerangkan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin, kerana marah membawa banyak keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain.
Hadis 17: Menggalakkan bersikap ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan korban dengan menajamkan mata pisau.
Hadis 18: Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda iman dan taqwa.
Hadis 19: Pesanan Rasulullah kepada sahabat Abdullah Abbas agar memperkukuh iman dengan mematuhi dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.
Hadis 20: Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat.
Hadis 21: Hadis menuntut agar seorang mukmin sentiasa mengambil berat soal lman, tauhid dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, dan istiqamah atas jalan yang diperintahkan oleh-Nya.
Hadis 22: Hadis menerangkan betapa apabila seorang mukmin benar-benar menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna, menghalalkan perkara yang halal dan mengharamkan perkara yang haram, dia akan masuk syurga walaupun dia tidak melakukan amalan- amalan sunat yang lain. lni adalah kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.
Hadis 23: Menyatakan tentang kelebihan amalan soleh seperti bersuci, zikir (bertasbih, bertahmid serta bertakbir), mengerjakan solat dan bersedekah.
Hadis 24: Hadis panjang yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Dzar al-Ghifari mengenai keluasan kurniaan Allah kepada hamba-Nya.
Hadis 25: Mengenai galakan Rasulullah supaya sekumpulan sahabatnya berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan termasuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir yang dianggap sedekah.
Hadis 26: Hadis ini menerangkan bahawa setiap amal perbuatan mukmin walaupun kadang- kadang dianggap biasa atau sedikit, akan mendapat pahala sedekah.
Hadis 27: Mengenai Rasulullah menjawab pertanyaan sahabat tentang perkara baik dan dosa. Baginda berkata kebaikan menenangkan jiwa tetapi dosa meresahkannya.
Hadis 28: Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba ‘abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah. Serta, mengikut sunnah Nabi dan menjauhi bid’ah.
Hadis 29: Berdasarkan hadis ini, amalan yang boleh memasukkan seseorang hamba ke dalam syurga ialah menunaikan rukun-rukun lslam, iaitu benar-benar beriman kepada Allah tanpa syirik dan beriman kepada Rasulullah SAW, sembahyang, zakat, puasa Ramadhan dan ibadat haji.
Hadis 30: Berkaitan larangan mengabaikan syariat Allah yang difardukan dan haram melanggar batasan.
Hadis 31: Pesanan Rasulullah kepada seorang sahabat agar mengamalkan sikap zuhud yang mengundang cinta Allah dan manusia kepada seseorang.
Hadis 32: Hadis ini menjelaskan suatu prinsip utama dalam kehidupan lslam, iaitu jangan mencari mudharat dan menyebabkan kemudharatan terhadap orang lain. la adalah suatu prinsip yang agung demi kesejahteraan umat manusia semuanya sama ada muslim atau bukan muslim.
Hadis 33: Hadis ini menerangkan sikap dan tabiat buruk kebanyakan manusia di mana mereka gemar mendakwa sesuatu yang bukan milik mereka. Sekiranya semua dakwaan mereka dituruti, nescaya akan kecohlah sistem kehidupan manusia. Secara tidak langsung ia membayangkan bahawa banyak persengketaan, pergaduhan malah pembunuhan dan peperangan yang berlaku di kalangan manusia membabitkan soal harta benda dan kekayaan.
Hadis 34: Rasulullah mengingatkan tentang kewajipan cegah kemungkaran melalui tiga tahap kekuatan iman: tangan (kuasa), lisan (teguran) dan hati (dianggap selemah-lemah iman).
Hadis 35: Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.
Hadis 36: Hadis ini menganjurkan sikap tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain.
Hadis 37: Menjelaskan sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang amat adil lagi amat pemurah. Dia membalas satu perbuatan baik dengan sepuluh kebajikan dan hanya membalas satu maksiat dengan satu dosa. Satu kebajikan yang terlintas di hati seseorang tanpa dilaksanakan, Allah tetap mengurniakannya satu pahala, sedangkan kalau seseorang berniat mahu melakukan maksiat, dia tidak akan diberi dosa sehingga dia benar-benar melaksanakan lintasan dan niat hatinya itu.
Hadis 38: Kemuliaan para wali Allah dan kelebihan mereka. Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan fardhu yang Dia fardhukan ke atas hamba-hambaNya.
Hadis 39: Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT terhadap hambaNya. Dia hanya mempertanggungjawabkan mereka dosa yang dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri tanpa paksaan.
Hadis 40: Rasulullah menasihati umat Islam agar memanfaatkan peluang semasa hidup tanpa tabiat menangguh-nangguhkan amalan kebaikan.
Hadis 41: Hadis ini menerangkan salah satu daripada tuntutan lman, iaitu mestilah hawa nafsunya tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, mencintai maksiat daripada amal kebajikan, maka lmannya tidak sempurna.
Hadis 42: Imam Nawawi mengakhiri susunan hadis dengan mengkhabarkan pintu keampunan Allah sangat luas, maka Dia pasti akan mengampunkannya. Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT yang tidak terbatas bagaikan lautan tidak berpantai.