NASYID LAILATUL QADAR
PEMBELAJARAN KENDIRI, FLIP CLASSROOM
NASYID LAILATUL QADAR
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan.
Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Lailatulqadar (Bahasa Arab: لیلة القدر) merupakan satu malam yang khusus terjadi pada bulan Ramadan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Quran dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.
Malam ini tidak diketahui waktunya secara tepat namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, ke-ke-23, ke-25, ke-27 atau ke-29, dan ini merupakan pandangan jumhur ulama dan umat Islam. Ada juga sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke-22, ke-24, ke-26, ke-28 atau ke-30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat waktu Lailatulqadar adalah tetap, iaitu pada malam ke-27.
Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Majoriti Muslim biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini, lazimnya dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan. Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain. Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178.
Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
1. Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri
2. Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
3. Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
4. Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
5. Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.
Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”
Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.
Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.
Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.
Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT . Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini.
Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
Sejarah
Apabila sahabat-sahabat Rasulullah SAW mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah SWT menurunkan surah al-Qadr yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Taala kepada umat Nabi Muhammad SAW. Surah al-Qadar adalah seperti di bawah :
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Tanda-tanda
Cuaca malam Qadar dikatakan sangat tenang dan tenteram dengan malaikat turun berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi ini, mereka memberi salam dan mengaminkan doa mereka yang sedang beribadah, sama ada solat, berdoa atau berzikir, termasuk perempuan yang sedang uzur, haid atau nifas. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam Bukhari, pernah berlaku malam Qadar pada malam yang hujan.
Terdapat pelbagai cerita mengenai tanda-tanda malam Lailatulqadar iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air membeku, air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk rukuk dan sujud ke bumi dan sebagainya. Namun begitu, cerita-cerita sebegini tidak dapat ditashihkan kebenarannya memandangkan cerita-cerita ini tidak disebut dalam al-Quran dan hadis. Oleh itu, ini bukan petanda jelas malam Lailatulqadar menurut ilmu agama, dan mungkin ialah pengalaman rohani orang-orang tertentu yang sahaja.
Waktu
Lailatulqadar satu malam pada bulan Ramadan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke-21 Ramadhan.
Menurut kaedah yang dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatulqadar malam ke-29, jika hari Isnin maka Lailatulqadar malam ke-21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatulqadar malam ke-27, jika hari Khamis maka Lailatulqadar jatuh pada malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatulqadar jatuh malam ke-23.[petikan diperlukan] Namun begitu, kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.
Amalan
1. Bagi orang yang mendapat lailatulqadar ucapkanlah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”
2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.
3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)
4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
Setiap umat Islam pasti teringin bertemu ‘Lailatul Qadar’ iaitu malam penuh rahmat dan kemuliaan. Malam yang mempunyai 7 keistimewaan ini begitu utama dari malam-malam yang lain kerana ia hanya boleh ditemui setahun sekali sahaja iaitu pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan.
Perkara itu dijelaskan dalam firman Allah سبحانه وتعالى:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al-Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?”
(Surah Al-Qadar; Ayat 1 – 2)
.
.
7 Keistimewaan Lailatul Qadar tersebut adalah:~
.
.
Lailatul Qadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah Allah سبحانه وتعالى menurunkan kitab suci utama iaitu Al-Quranul Karim.
.
Ibnu ‘Abbas dan selainnya mengatakan, “Allah menurunkan Al-Quran secara keseluruhan sekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul’ Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah ﷺ tersebut secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.”
.
.
.
Keutamaan Lailatul Qadar sungguh luar biasa kerana malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan 83 tahun.
Allah سبحانه وتعالى berfirman;
“Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.”
(Surah Al-Qadar; Ayat 3)
.
An Nakha’I dalam ‘Latha-if Al Ma’arif’ menyatakan, “Amalan di lailatul qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada lailatul qadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat lailatul qadar. (Zaadul Masiir).
.
.
.
Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan berdasarkan firman Allah سبحانه وتعالى,
“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.”
.
‘Malam penuh berkat’ ini adalah malam ‘Lailatul Qadar’ dan ini juga menunjukkan keistimewaan malam tersebut. Ramai malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.
.
.
.
Keistimewaan Lailatul Qadar diiringi juga dengan turunnya para malaikat yang diketuai oleh ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadr dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
“Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.”
(Surah Al-Qadar; Ayat 4)
.
Keistimewaan ‘Ar Ruuh’ atau Malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan (keutamaan) malaikat tersebut.
Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membacakan Al-Quran, mereka juga akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Tafsir Al-Quran Al ‘Azhim, 14: 407)
.
.
.
Lailatul Qadar disifatkan sebagai keutamaan luar biasa dan kesejahteraan kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan “Salam Sejahtera” kepada seluruh penduduk bumi.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
“Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!”
(Surah Al-Qadar; Ayat 5)
.
Mujahid menyatakan, “Malam tersebut penuh keselamatan di mana syaitan tidak dapat berbuat apa-apa di malam tersebut, baik berbuat buruk atau mengganggu yang lain.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim). Juga boleh membawa makna bahawa malam tersebut, banyak yang terselamat dari hukuman dan seksaan kerana mereka melakukan ketaatan pada Allah سبحانه وتعالى (pada malam tersebut).
.
.
.
Lailatul Qadar adalah malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan. Imam Nawawi rahimahullah dalam ‘Syarh Muslim’ bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah سبحانه وتعالى. Takdir ini nantinya akan diperlihatkan kepada malaikat dan ia akan mengetahui yang akan terjadi dan mereka akan melaksanakan tugas yang diperintahkan untuknya.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”
(Surah Ad Dukhan; Ayat 4)
.
Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menerangkan bahawa pada Lailatul Qadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, juga akan dicatat ajal maut dan rezeki. Dan turut juga akan dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar, Abu Malik, Mujahid, Adh Dhahhak dan ulama salaf lainnya.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umulkitab (Lohmahfuz).”
(Surah Ar Ra’d; Ayat 39)
.
.
.
Dosa setiap orang yang menghidupkan malam ‘Lailatul Qadar’ akan diampunkan oleh Allah سبحانه وتعالى.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”
(Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
.
Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksudkan ‘iimaanan’ (kerana iman) adalah membenarkan janji Allah سبحانه وتعالى iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut. Manakala ‘ihtisaaban’ bermakna mengharap pahala dari sisi Allah سبحانه وتعالى, bukan kerana mengharap selainnya seperti berbuat riyak. (Fathul Bari)
.
.
‘Lailatul Qadar’ juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah سبحانه وتعالى melimpahkan cahaya dan hidayahNya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Orang yang beribadah sepanjang tahun tentu lebih cerah dan mudah mendapatkan 7 keistimewaan dan kemuliaan malam tersebut kerana ibadahnya bersifat kekal, tetap, ikhlas dan konsisten berbanding dengan orang yang beribadah jarang-jarang.
.
Jom jawab soalan latihan berikut .........