PEMBELAJARAN KENDIRI, FLIP CLASSROOM
Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
"Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah SWT sedangkan dia tidak menuturkan perkataan yang tidak senonoh dan tidak melakukan perbuatan keji (dosa) maka dia akan kembali (dalam keadaan suci daripada dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Muttafaq 'alaih)
Keterangan
Sebenarnya bayi dilahirkan dalam keadaan maksum, suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Demikianlah juga kesan amalan haji yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Pada permulaan kitab Fadilat Solah, ada dinyatakan bahawa para ulama berpendapat bahawa pengampunan dosa yang dimaksudkan daripada hadis-hadis seperti ini adalah untuk dosa-dosa kecil sahaja. Walaupun sesetengah ulama menyatakan bahawa dalam bab haji, hadis yang seperti ini merangkumi pengampunan dosa-dosa besar dan kecil. Berdasarkan banyak hadis yang diriwayatkan berkaitan dengan haji maka sebahagian ulama telah membuat rumusan bahawa dengan berkat amalan haji dosa kecil dan dosa besar semuanya diampunkan.
Tiga perkara telah disebut dalam hadis ini. Pertama ialah haji hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT yakni tiada sebarang maksud keduniaan, kemashuran, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
Ramaiorang yang mengerjakan haji untuk kemashuran dan kemuliaan diri. Sebenarnya dia telah mensia-siakan pahala menanggung kesusahan dan perbelanjaan haji. Walaupun dengan haji yang sedemikian itu kefarduannya tertunai tetapi kalaulah mereka mengikhlaskan niat mereka semata-mata kerana Allah, betapa banyak ganjaran yang mereka akan peroleh di samping tertunainya fardu haji. Betapa besar kerugian bagi mereka yang sanggup mensia-siakan amalan hanya kerana untuk mendapatkan sanjungan daripada segolongan manusia.
Dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa ketika dunia menghampiri kiamat nanti, golongan kaya daripada umatku akan mengerjakan haji dengan maksud untuk melancong dan bersiar-siar (sebagaimana orang ramai melancong ke London dan Paris) dan golongan sederhana daripada umatku akan melakukan haji dengan maksud untuk berniaga. Mereka akan membawa barang perniagaan sebahagian dari sini ke sana dan sebahagian dari sana ke sini. Manakala ulama akan pergi haji untuk menunjuk-nunjuk dan untuk kemasyuran (sekian-sekian ustaz telah pergi haji 10 kali) dan orang miskin akan pergi haji untuk meminta sedekah.
Para ulama telah menulis bahawa mereka yang membuat haji badal dan mengambil upah yakni mendapat faedah keduniaan daripada amalan haji tersebut pun termasuk dalam golongan yang disebutkan di atas kerana mereka seolah-olah melakukan perniagaan melalui ibadat haji.
Dalam sebuah hadis yang lain dinyatakan bahawa sultan dan raja-raja akan melakukan haji untuk bersiar-siar, orang kaya untuk berniaga, orang miskin untuk meminta-minta dan para ulama untuk kemasyhuran.
Tidak ada percanggahan dalam kedua-dua hadis di atas, yang dimaksudkan dengan orang kaya dalam hadis pertama ialah golongan bertaraf tinggi yang digambarkan sebagai sultan dalam hadis kedua.
Sementara yang dimaksudkan dengan orang kaya dalam hadis kedua ialah golongan pada taraf kebanyakan yang disebut sebagai golongan sederhana dalam hadis pertama.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa suatu ketika Sayyidina
'Umar RA berada di antara Safa dan Marwah. Satu jemaah telah datang lalu mereka turun dari unta-unta mereka dan setelah tawaf di Baitullah, mereka bersa’i di Safa dan Marwah. Sayyidina 'Umar RA telah bertanya "Siapakah kamu?" Mereka menjawab, "Kami orang-orang Iraq." Sayyidina'Umar RA bertanya lagi, "Apakah maksud kedatangan kamu ke sini?" Mereka menjawab, "Untuk mengerjakan haji." Sayyidina 'Umar bertanya lagi,
"Adakah ada maksud selain daripadanya seperti untuk menuntut harta pusaka, menuntut hutang atau berniaga?" Mereka menjawab, "Tidak ada maksud lain selain daripada melakukan haji." Sayyidina 'Umar berkata,
"Sekarang kamu boleh mulakan amalan yang baru." (Yakni semua dosa kamu yang terdahulu telah diampunkan dan sekarang kamu seperti seorang yang tiada dosa.)
Perkara kedua yang disebutkan dalam hadis di atas ialah larangan daripada menuturkan percakapan yang tidak senonoh . Para ulama menulis bahawa fala ra fatha ialah satu lafaz yang jami’ (mempunyai makna yang luas) yang merangkumi semua jenis percakapan yang sia-sia dan tidak senonoh sehingga bercakap mengenai persetubuhan dengan isteri, atau membuat isyarat mengenainya dengan mata dan tangan pun termasuk dalam rafatha kerana ia akan membangkitkan syahwat.
Perkara ketiga yang disebut dalam hadis di atas ialah larangan daripada melakukan perbuatan fusuq, ia juga telah disebut dalam ayat al-Quran yang lalu. Para ulama telah menulis bahawa perkataan fusuq' ini juga ialah satu lafaz yang jami' yang merangkumi semua jenis larangan Allah termasuklah bertengkar dan berbalah. Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadis bahawa keelokan haji itu adalah dalam pertuturan yang lemah lembut dan memberi makan kepada orang. Oleh itu, bertutur dengan kasar adalah bertentangan dengan tuntutan berlemah lembut. Jadi, seharusnya janganlah kita membantah teman-teman kita berulang-kali dan janganlah berkasar dengan orang yang jahil. Cubalah bergaul dengan setiap orang dengan sifat rendah diri dan akhlak yang baik. Ulama telah menulis bahawa akhlak yang baik bukanlah bererti tidak menyakiti sesiapa, bahkan erti akhlak yang sebenar adalah bersabar atas kekasaran orang lain. Makna safar dari segi bahasa ialah menzahirkan sesuatu. Ulama menulis bahawa perjalanan itu dinamakan safar kerana dalam safar itu akan terzahir keadaan akhlak seseorang itu.
Pada suatu kali Sayyidina 'Umar RA telah bertanya kepada seseorang,
"Adakah kamu mengenali si polan?" Dia menjawab, "Ya, saya mengenalinya." Sayyidina 'Umar RA bertanya lagi, "Adakah kamu pernah bersafar dengannya?" Dijawabnya, "Tidak." Lalu Sayyidina 'Umar berkata, "Kalau begitu kamu belum mengenalinya."
Dalam sebuah hadis yang lain ada disebut bahawa pada suatu ketika seorang lelaki telah memuji seseorang yang lain di hadapan Sayyidina 'Umar RA bahawa dia ialah seorang yang mempunyai akhlak yang baik. Lalu Sayyidina Umar RA bertanya kepadanya "Adakah kamu pernah bersafar bersamanya?" Dijawabnya, "Tidak." Sayyidina 'Umar bertanya lagi,
"Adakah kamu pernah bermuamalah (berurusan) dengannya (seperti berniaga dan berhutang)?" Jawabnya, "Tidak." Sayyidina 'Umar RA berkata,
"Kalau begitu kamu tidak mengenalinya." Sebenarnya, akhlak seseorang itu akan terzahir melalui perkara-perkara yang sedemikian. Jika kita lihat secara kasar, semuanya nampak baik. Semasa bersafar selalunya berlaku perselisihan faham, kerana itulah al-Quran dengan khusus menyebut وَلا جِدَالَ ertinya 'tiada sebarang perbalahan semasa ibadah haji.'
Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga." (Muttafaq 'alaih)
Keterangan
Sesetengah ulama berkata bahawa pengertian haji yang mabrur ialah haji yang tidak dilakukan sebarang maksiat semasa melakukan haji itu. Oleh sebab itu, sesetengah ulama mentafsirkan haji mabrur sebagai haji maqbul kerana apabila haji itu dilakukan dengan memenuhi asas-asas dan syarat-syaratnya, tidak berlaku kesilapan semasa menunaikannya maka insya-Allah, ia pasti diterima Allah SWT.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir RA, kebaikan haji mabrur adalah memberi makan kepada manusia dan bercakap dengan lemah lembut. Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa haji mabrur adalah memberi makan dan banyak memberi salam kepada orang ramai. Dalam sebuah hadis telah dinukilkan bahawa Nabi SAW bersabda, "Syurgalah balasan yang layak bagi haji yang mabrur." Maka para sahabat bertanya,
"Apakah yang dimaksudkan dengan haji mabrur wahai Rasulullah?" Lalu Nabi SAW bersabda, "Memberi makan dan selalu mengucapkan salam.
Sayyidatina 'Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Tidak ada mana-mana hari pun yang paling banyak Allah SWT membebaskan hamba-Nya dari api neraka lebih daripada hari 'Arafah. Sesungguhnya Allah SWT akan menghampiri (dunia) dan berbangga dengan mereka di hadapan para malaikat lalu berfirman, "Apakah yang mereka ini kehendaki?" (Muslim)
Keterangan
Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui erti "hampir atau turunnya Allah SWT ke langit pertama" atau ayat-ayat yang semakna dengannya, kerana pada hakikatnya Dia sentiasa hampir dengan kita dan Allah SWT Maha Suci daripada turun naik seperti yang kita fahami.
Para ulama menjelaskan makna 'hampir' dalam ayat sedemikian sebagai hampirnya rahmat yang khas.
Perkara yang telah disebut dalam hadis di atas juga banyak disebut dalam hadis-hadis yang lain. Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa pada hari 'Arafah, Allah SWT akan turun ke langit pertama dan berfirman dengan bangga kepada para malaikat-Nya, "Lihatlah hamba-hamba-Ku ini yang datang kepada-Ku dalam keadaan rambut yang kusut masai, badan dan pakaian yang berdebu kerana perjalanan yang jauh, dengan laungan "لَبَّيْكَ اللَهُمَّ لَبَّيْكَ."
Aku menjadikan kamu sebagai saksi bahawa Aku telah mengampuni dosa-dosa mereka." Para malaikat akan berkata, "Wahai Allah, si polan itu ialah seorang pendosa dan dalam kalangan lelaki dan wanita mereka masih ramai lagi pendosa besar." Allah SWT berfirman, "Aku telah mengampunkan kesemua dosa mereka." Nabi SAW bersabda, "Allah SWT membebaskan hamba-hamba-Nya dari api neraka pada hari 'Arafah lebih banyak daripada hari-hari yang lain."
Dalam sebuah hadis, Allah SWT berfirman, "Lihatlah hamba-hamba-Ku yang datang dengan rambut yang tidak terurus, mengharapkan rahmat-Ku. (Selepas itu Allah SWT akan berfirman kepada hamba-hamba-Nya.) "Walaupun dosa kamu sebanyak zarah pasir di bumi dan sebanyak titisan hujan yang turun dari langit dan sebanyak pokok di bumi, semua dosa itu telah dimaafkan. Pulanglah dalam keadaan dosa-dosa kamu telah diampunkan."
Dalam sebuah hadis lagi Allah SWT berfirman dengan bangganya kepada para malaikat, "Lihatlah hamba-hamba-Ku, Aku telah mengutus seorang rasul kepada mereka, lalu mereka telah beriman dengannya, Aku telah menurunkan kepada mereka kitab, mereka juga telah beriman dengannya.
Kamu bersaksilah bahawa Aku telah mengampuni segala dosa mereka." Ringkasnya, perkara ini telah diriwayatkan dalam banyak hadis. Berdasarkan hadis-hadis ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa pengampunan dosa dengan berkat ibadat haji bukanlah khusus kepada dosa-dosa kecil sahaja bahkan dosa-dosa besar juga diampunkan. Dia ialah Raja Yang Maha Berkuasa, melanggar perintah-Nya menyebabkan dosa tetapi sekiranya Dia mahu memaafkan kesemua dosa sesiapa sahaja atau mana-mana golongan dengan kurniaan-Nya, adalah tidak mustahil memandangkan keluasan kemurahan dan kurniaan-Nya.
Qadi lyad RAH menulis dalam kitabnya as-Syifa' sebuah kisah mengenai satu rombongan yang pergi bertemu Hadrat Sa'don Khaulani RAH dan mereka telah memberitahunya bahawa puak daripada kabilah Kutamah telah membunuh seorang lelaki lalu cuba membakarnya. Sepanjang malam api dinyalakan untuk membakarnya, tetapi api sedikit pun tidak memberi kesan kepada mayat tersebut. Hadrat Sa'don berkata, "Mungkin si mati tersebut telah mengerjakan tiga kali haji." Mereka menjawab, "Ya, dia telah mengerjakan tiga kali haji." Maka Hadrat Sa'don RAH berkata, "Aku telah mendengar sebuah hadis bahawa barangsiapa mengerjakan sekali haji, dia telah menunaikan tuntutan fardu ke atasnya dan barangsiapa mengerjakan dua kali haji, dia telah memberi hutang kepada Allah SWT. Dan barangsiapa mengerjakan tiga kali haji maka Allah SWT akan mengharamkan kulit dan rambutnya daripada api."
Sayyidina Talhah bin 'Ubaidillah bin Kariz RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Selain hari peperangan badar, tidak ada hari lain yang syaitan kelihatan lebih terhina, lebih tersisih, lebih tercela dan lebih marah daripada hari 'Arafah. Sesungguhnya ini adalah kerana dia melihat rahmat yang melimpah-limpah turun (pada hari itu) dan keampunan Allah SWT terhadap dosa-dosa besar hamba-hamba-Nya." (Imam Malik)
Keterangan
Pada hari itu betapa pun syaitan marah, betapa pun ia bersedih dan betapa pun ia berdukacita, adalah memang kena pada tempatnya. Kerana dia dengan usaha yang gigih dan tanpa mengenal penat lelah telah menghabiskan seluruh hidupnya dengan menghasut manusia supaya melakukan dosa. Namun pada hari ini, hanya kerana satu limpahan rahmat Allah SWT segala usahanya telah menjadi sia-sia kerana semua dosa mereka telah diampunkan. Atas keadaan itu sebanyak mana pun dia marah dan sedih adalah amat jelas sekali. Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa syaitan telah memerintahkan bala tenteranya yang jahat supaya menunggu bakal-bakal haji di sepanjang perjalanan mereka dan menyesatkan mereka agar tujuan mereka terpesong.
Imam Ghazali RAH telah menulis satu kisah mengenai seorang sufi yang kasyaf bahawa pada suatu hari 'Arafah beliau telah ternampak syaitan dalam keadaan yang sangat lemah, mukanya pucat, air matanya mengalir dan belakangnya bongkok tidak dapat tegak. Lalu si sufi tadi telah bertanya kepada syaitan, "Kenapa kamu menangis?" Syaitan menjawab, "Aku menangis kerana para haji telah datang berkumpul di Rumah Allah SWT tanpa ada maksud (keduniaan) seperti berniaga dan sebagainya. Aku takut dan risau kalau Allah SWT tidak akan membiarkan mereka pulang dengan kecewa.
Aku menangis kerana memikirkannya." Sufi bertanya lagi, "Mengapa kamu begitu kurus?" Dia menjawab, "Kerana bunyi tapak kaki kuda yang sentiasa berkeliaran di jalan Allah (untuk haji, umrah, jihad dan sebagainya.) Alangkah baiknya kalau penunggang-penunggang ini berkeliaran di jalanku (untuk melakukan kemungkaran, kemaksiatan dan kerja yang haram), maka aku akan amat gembira." Sufi bertanya lagi, "Mengapa kamu menjadi pucat?" Dia menjawab, "Kerana nasihat kebaikan yang diberikan oleh manusia sesama mereka dan mereka saling bantu-membantu dalam melakukan kebaikan. Alangkah baiknya jika mereka ini saling membantu dalam perbuatan dosa maka aku akan amat gembira." Sufi bertanya lagi, "Mengapa belakang kamu bongkok?" Syaitan menjawab, "Manusia selalu berdoa, ya Allah kurniakanlah kepadaku husn ul-khatimah (kesudahan yang baik).
Mereka yang sentiasa risaukan kesudahan (kematian) mereka, tidak akan berasa sombong dengan amalan kebaikan mereka."
Hadrat Ibnu Shimasah RAH telah meriwayatkan bahawa kami telah pergi menziarahi Sayyidina 'Amr bin 'As RA ketika beliau sedang nazak. Ketika itu beliau sedang menangis dengan tangisan yang panjang. (Kemudian beliau menceritakan kisah keislamannya) dan berkata, "Apabila Allah SWT telah membuka hatiku untuk memeluk Islam, aku telah pergi berjumpa Nabi lalu aku (menghulurkan tanganku dan) berkata, "Hulurkanlah tangan tuan wahai Rasulullah agar aku dapat berbaiat dengan tuan." Maka Baginda SAW telah menghulurkan tangan Baginda lalu aku menarik semula tanganku. Maka Baginda bersabda, "Kenapa dengan kamu wahai 'Amr?" Aku berkata, "Aku ingin meletakkan satu syarat." Sabda Baginda, "Apakah syarat yang kamu mahu?" Sayyidina 'Amr RA menjawab, "Supaya Allah " mengampuniku." Nabi SAW bersabda, "Wahai 'Amr! Tidakkah kamu tahu bahawa Islam menghapuskan segala dosa yang telah lalu dan hijrah juga menghapuskan semua dosa yang telah dilakukan sebelum hijrah dan haji juga menghapuskan segala dosa yang telah dilakukan sebelum haji." (Ibnu Khuzaimah)
Keterangan
Dalam hadis ini tidak ada penjelasan mengenai pengampunan yang dijanjikan itu sama ada untuk dosa-dosa kecil ataupun dosa-dosa besar sebagaimana yang telah dinyatakan pada hadis pertama. Tetapi satu perkara yang perlu diberi perhatian di sini adalah mengenai hak sesama hamba.
Melalui ibadat haji dan sebagainya, dosa daripada kesalahan yang dilakukan itu mungkin terampun tetapi hak seseorang itu tidak akan terampun.
Contohnya, seorang lelaki telah mencuri harta orang lain, maka dalam hal ini ada dua perkara yang terbabit, satu ialah dosa berkaitan dengan hak tersebut dan satu lagi dosa melakukan kesalahan mencuri. Dosa mencuri mungkin terampun tetapi dosa mengambil hak orang lain tidak akan terampun selagi dia tidak memulangkan semula barang yang dicuri kepada tuannya dan meminta maaf daripadanya.
Dalam sebuah hadis ada dinyatakan bahawa pada petang 'Arafah Zul-Hijjah) Nabi SAW telah mendoakan keampunan umatnya dengan doa yang amat panjang yang dipenuhi dengan rayuan dan rendah diri sehinggalah rahmat Allah SWT turun mencurah-curah. Lalu Allah SWT berfirman, "Aku telah menerima doamu dan mengampuni kesemua dosa hamba-hamba-Ku kecuali dosa kerana menzalimi orang lain.
Ini disebabkan si penzalim akan menerima balasannya." Selepas itu Nabi SAW berdoa memohon lagi, berkali-kali merayu kepada Allah SWT, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha berkuasa untuk memberi ganjaran kepada hamba-Mu yang dizalimi dan memaafkan kesalahan penzalim." Sehinggalah pada waktu pagi di Muzdalifah, doa ini telah diterima Allah SWT. Nabi SAW telah tersenyum. Para sahabat d bertanya, "Wahai Rasulullah, tuan tersenyum dalam keadaan yang tuan tidak biasa tersenyum (yakni dalam keadaan memohon dan merayu)." Nabi SAW bersabda,
"Apabila syaitan mengetahui yang Allah SWT telah menerima doaku ini, dia telah menangis, meraung dan menabur tanah ke atas kepalanya.
Sayyidina Sahl bin Sa'ad RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Apabila para haji melaungkan talbiah, maka segala batu, pokok dan tanah di sebelah kanan dan kirinya sehingga ke penghujung bumi akan juga melaungkan talbiah." (Tirmizi dan Ibnu Majah)
Keterangan
Banyak hadis yang menyatakan bahawa mengucapkan "Labbaik" itu merupakan syiar haji. Dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa apabila Nabi Musa AS mengucapkan "Labbaik" maka Allah SWT menjawab, "Labbaik ya Musa. Untuk para haji, bukan hanya ucapan "Labbaik" sahaja bahkan setiap perkara dalam ibadat haji mempunyai pahala dan kelebihan yang tersendiri. Dalam sebuah hadis, Sayyidina 'Abdullah bin 'Umar RA telah berkata bahawa saya ada bersama-sama Nabi SAW di dalam Masjid Mina apabila seorang Ansar dan seorang lelaki dari Bani Saqif telah datang untuk berjumpa Nabi SAW. Setelah memberi salam mereka berkata, "Kami ingin bertanya sesuatu kepada Tuan?" Nabi bersabda, "Sekiranya kamu mahu, kamu boleh bertanya dan kalau kamu mahu, aku boleh memberitahu kamu mengenai perkara yang kamu ingin bertanya." Mereka berkata, "Tuanlah yang memberitahu kami." Maka Nabi SAW bersabda, "Kamu datang untuk bertanyakan perkara-perkara yang berkaitan dengan haji, mengenai pahala bagi seseorang yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk menunaikan haji, pahala bagi dua rakaat solah selepas tawaf, pahala bagi Sa'i di antara Safa dan Marwah, pahala wuquf di 'Arafah, melontar anak batu kepada syaitan (di jamrah,) mengorbankan binatang dan juga pahala bagi tawaf ziarah." Mereka berkata, "Demi Zat Yang Maha Suci yang telah mengutuskan Tuan sebagai rasul, inilah soalan-soalan yang ada dalam fikiran kami." Maka Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu keluar dari rumah untuk mengerjakan haji, maka setiap kali unta kamu mengangkat atau meletakkan kakinya, akan ditulis satu pahala untuk kamu dan dihapuskan satu dosa. Dua rakaat solah selepas Tawaf adalah sama seperti kamu memerdekakan seorang hamba 'Arab. Sa'i di antara Safa dan Marwah adalah sama seperti memerdekakan 70 orang hamba. Ketika manusia berkumpul di padang 'Arafah maka Allah SWT akan turun ke langit dunia dan akan berfirman dengan bangganya kepada para malaikat, "Hamba-hamba-Ku telah datang dari jauh dengan rambut yang kusut masai mengharapkan rahmat daripada-Ku." Allah SWT berfirman (kepada hamba-hamba-Nya,) "Kalaulah dosa-dosa kamu sebanyak pasir-pasir sekalipun atau sebanyak titisan hujan atau sebanyak buih di lautan, tetap Aku akan memaafkan ke semua dosa itu. Wahai hamba-Ku, pulanglah dalam keadaan semua dosa kamu telah diampunkan dan juga dosa mereka yang engkau minta supaya diampunkan." Kemudian Baginda bersabda,
"Ganjaran bagi setiap anak batu yang digunakan untuk melontar syaitan adalah keampunan dosa-dosa besar yang akan memusnahkan si pendosa itu.
Ganjaran pahala bagi amalan korban akan disimpan di sisi Allah untuk kamu.
Balasan bagi setiap helaian rambut yang dipotong atau dicukur akan diampunkan satu dosa dan diberi satu pahala. Selepas semua ini, apabila seseorang itu membuat tawaf ziarah (tawaf rukun,) dia akan melakukan tawaf dalam keadaan suci daripada segala dosa dan seorang malaikat akan meletakkan tangan di antara kedua-dua bahunya dan berkata, "Sekarang kamu boleh memulakan amalan yang baru kerana semua dosa kamu yang terdahulu telah diampunkan." Tetapi, yang perlu diberi perhatian di sini ialah haji itu mestilah haji yang mabrur, yang benar-benar layak dipanggil haji.
Para masyaikh menulis bahawa ucapan 'Labbaik' adalah sebagai jawaban terhadap seruan Nabi Ibrahim AS.
Oleh sebab itu, sebagaimana seseorang yang dipanggil oleh raja akan datang dengan perasaan takut dan harap, begitulah hendaknya keadaan seseorang yang melakukan haji, jangan-jangan kedatangannya itu akan ditolak disebabkan amalan buruknya sendiri.
Hadrat Mutarrif bin 'Abdullah RAH telah berdoa di Padang 'Arafah,
"Wahai Allah, janganlah kerana keburukanku Engkau tidak menerima semua para haji ini." Hadrat Bakar Muzani menukilkan bahawa seorang ahlullah telah melihat para haji di Padang 'Arafah lantas berkata, "Aku merasakan bahawa sekiranya aku tiada, pasti mereka semua akan diampunkan."
Apabila Hadrat 'Ali Zain al-'Abidin memakai ihram haji, mukanya akan menjadi pucat dan badannya akan menggeletar dan tidak dapat mengucapkan Labbaik. Seorang lelaki telah bertanya, "Mengapa tuan tidak mengucapkan Labbaik ketika memakai ihram?" Beliau menjawab, "Aku takut akan dijawab kepadaku, (yakni kehadiranmu tidak diterima.)" Selepas itu dengan amat susah sekali beliau mengucapkan "Labbaik" lalu beliau terus pengsan dan terjatuh dari untanya. Demikianlah keadaannya setiap kali beliau mengucapkan Labbaik. Keadaan ini berterusan hinggalah hajinya selesai.
Imam Ahmad RAH berkata, "Aku telah pergi menunaikan haji bersama-sama Hadrat Abu Sulaiman RAH. Apabila kami memakai ihram, beliau tidak mengucapkan 'Labbaik' sehinggalah kami telah berjalan sejauh sebatu. Selepas itu beliau jatuh pengsan. Apabila beliau sedar, beliau berkata kepadaku, "Ahmad, Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Musa AS supaya memberitahu orang-orang yang zalim, "Janganlah terlalu kerap
mengingati-Ku." Keadaan ini adalah berdasarkan firman Allah, "فَاذْكُرُونِى أَذْكُرْكُمْ"
yang bermaksud, "Ingatilah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu." Jadi apabila seseorang itu mengingati Allah SWT, maka Allah SWT juga akan mengingati orang itu, tetapi Allah akan mengingati orang yang zalim dengan laknat." Selepas itu Hadrat Abu Sulaiman RAH berkata lagi, "Wahai Ahmad, aku telah diberitahu bahawa sekiranya seseorang itu melakukan haji di samping melakukan perkara yang haram, maka apabila dia mengucapkanN'Labbaik', Allah SWT akan menjawab, "La Labbaik" (ucapan labbaikmu tidak diterima) selagi dia tidak meninggalkan perkara haram tersebut.
Imam Tirmizi RAH telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Sayyidina Syaddad bin Aus bahawa orang yang bijak dan berakal ialah dia yang sentiasa melakukan muhasabah terhadap nafsunya dan selalu beramal untuk kehidupan selepas mati manakala orang yang bodoh dan bebal ialah orang yang sentiasa menurut kehendak hawa nafsunya dan selalu mengharapkan angan-angannya tercapai.
Tetapi dalam keadaan begitupun kita hendaklah sentiasa mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT kerana kurniaan dan kemurahan Allah SWT jauh lebih luas daripada kesalahan kita.
Nabi SAW selalu berdoa dengan lafaz,
اللّهمَّ مَغْفِرَتُكَ أَوْسَعُ مِنْ ذُنُوبِى وَرَحْمَتُكَ أَرْجَى عِنْدِي مِنْ عَمَلِي
"Wahai Allah, sesungguhnya keampunan-Mu jauh lebih luas daripada dosa-dosaku dan rahmat-Mu adalah lebih aku harapkan daripada amalanku." Ada seorang waliullah yang tinggal di Makkah selama 70 tahun. Setiap tahun dia mengerjakan haji dan umrah tetapi setiap kali dia memakai ihram haji atau umrah dan mengucap 'Labbaik,' maka dia dijawab dengan "La Labbaik" (Labbaikmu tidak diterima). Pada suatu kali seorang pemuda telah bersamanya ketika memakai ihram dan seperti biasa apabila dijawab 'La Labbaik' kepadanya maka si pemuda itu pun mendengarnya. Pemuda itu berkata kepadanya, "Pakcik, saya mendengar 'La Labbaik' dijawab kepada pakcik." Dia berkata, "Wahai anakku, adakah kamu juga mendengarnya?" Pemuda itu menjawab, "Ya, saya mendengarnya tadi." Wali itu terus menangis dan berkata, "Wahai anakku, sudah 70 tahun aku mendengar jawaban yang sama." Pemuda itu berkata, "Lalu mengapa pakcik sentiasa bersusah payah sebegini?" Maka wali itu menjawab, "Pintu mana lagi yang harus aku ketuk selain daripada pintu-Nya? Kepada siapa lagi yang harus aku berserah selain kepada-Nya? Aku hanya mampu berusaha sedaya-upayaku dan Dialah yang berhak menerima atau menolak. Wahai anakku, adalah tidak patut bagi seorang hamba untuk lari daripada Tuannya hanya kerana alasan yang sebegini kecil." Wali itu terus menangis sehingga air matanya sampai ke dadanya. Selepas itu dia mengucapkan lagi 'Labbaik,' lalu si pemuda tadi mendengar "Labbaik" sebagai jawabannya (yakni Kami telah menerima Labbaikmu) dan beginilah yang Kami lakukan terhadap hamba yang sentiasa berharap dan berserah kepada Kami dan sebaliknya hamba yang menurut hawa nafsunya tetapi hanya mengharap kebaikan daripada Kami tidak akan menerima layanan seperti di atas. Pemuda tadi bertanya "Adakah pak cik mendengar jawaban ini?" Beliau menjawab "Ya, aku mendengarnya." dan beliau terus menangis begitu sekali sehingga kedengaran tangisannya.
Hadrat Abu 'Abdullah Jila' RA berkata, "Pada suatu ketika aku berada di Zul-Hulaifah, aku melihat seorang pemuda sedang memakai ihram sambil berkata, "Wahai Tuhanku, aku takut apabila aku mengucapkan 'Labbaik, Engkau akan menjawab 'La Labbaik.' Berulang kali dia berkata begitu, hinggalah akhirnya dia berteriak لبَّيْكَ اللَّهُمّ لَبَّيْكَ' dan terus meninggal dunia dalam keadaan sedemikian."
Hadrat 'Ali bin Muwaffiq berkata, "Pada malam 'Arafah, aku telah tertidur di dalam masjid Mina dan telah melihat dalam mimpiku dua orang malaikat yang berpakaian hijau sedang turun dari langit. Salah seorang daripada mereka telah bertanya kepada temannya, "Berapa orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?" Temannya menjawab, "Aku tidak tahu." Lalu dia berkata, "600,000 orang." Dia bertanya lagi, "Berapa orangkah daripada mereka yang hajinya diterima?" Temannya menjawab "Aku tidak tahu." Malaikat yang bertanya tadi berkata, "Hanya 6 orang sahaja yang hajinya diterima." Setelah berkata demikian kedua-duanya telah kembali ke langit." Hadrat 'Ali bin Muwaffiq berkata, "Aku begitu terkejut dengan mimpi itu sehingga aku terjaga dan aku berasa sangat sedih dengan kenyataan tadi dan berasa risau serta bimbang terhadap diriku sendiri. Aku khuatir aku tidak termasuk dalam enam orang tadi (yang hajinya diterima).
Ketika kembali dari Padang 'Arafah, aku melihat para haji yang begitu ramai sekali lalu aku berasa amat sedih apabila memikirkan antara mereka cuma 6 orang sahaja yang hajinya diterima. Ketika di Muzdalifah, dalam kerisauan tadi aku telah tertidur dan dua malaikat tersebut muncul lagi dalam mimpiku. Soal jawab yang sama berlaku lagi antara mereka, selepas itu malaikat tadi berkata, "Adakah kamu tahu apakah keputusan Allah SWT untuk para haji ini?" Temannya menjawab, "Aku tidak tahu." Dia berkata, "Allah SWT telah membuat keputusan di Medan 'Arafah untuk menerima haji 100 000 orang dengan berkat setiap seorang daripada 6 orang (yang hajinya telah diterima)." Hadrat 'Ali bin Muaffiq berkata , "Setelah aku sedar, aku berasa terlalu gembira tidak terkata."
Satu lagi kisah mengenai Syaikh 'Ali bin Muwaffiq ini, beliau berkata, "Pada suatu tahun aku telah melakukan haji. Selepas itu aku berasa sedih kerana mungkin ada dalam kalangan hamba Allah SWT yang hajinya tidak diterima. Lalu aku telah berdoa kepada Allah SWT agar Dia memberikan pahala hajiku itu kepada mereka yang hajinya tidak diterima." Dalam kitab Raud ul-Rayyahin kisah ini telah ditulis dengan sedikit perbezaan pada lafaznya, iaitu aku telah mengerjakan lebih 50 haji dan setiap kali haji, pahalanya itu aku telah hadiahkan kepada Rasulullah SAW, Khulafa ur-Rashidin dan kedua-dua ibubapaku, hanya tinggal satu haji yang pahalanya belum aku hadiahkan.
Daripada kisah-kisah ini kita dapat memahami bahawa kita hendaklah sentiasa mengharapkan kasih sayang dan belas rahim daripada Allah SWT. Dia dengan kemurahan-Nya akan mengurniakan segala-galanya. Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa, "Berdosa besarlah seseorang itu yang merasakan bahawa di Padang 'Arafah pun dia masih tidak diampuni."
Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Musa bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa syafaat seseorang haji itu akan diterima bagi pihak 400 keluarga atau 400 orang daripada ahli keluarganya (perawi telah ragu-ragu sama ada yang pertama atau yang kedua yang dinyatakan) dan orang yang melakukan haji itu akan suci daripada dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Bazzar)
Keterangan
Maksud daripada syafaat seorang haji itu akan diterima bagi pihak 400 orang ialah jumlah sebanyak itu termasuk dalam janji Allah SWT kepada seseorang haji bahawa syafaatnya untuk mereka semua pasti diterima.
Sedangkan Allah SWT boleh mengampuni lebih daripada itu. Banyak riwayat yang menyebutkan bahawa Allah SWT akan menerima doa keampunan yang diminta oleh seseorang haji itu bagi pihak sesiapa jua pun.
Hadrat Fudail bin "lyad RAH ialah salah seorang daripada kalangan ahli tasauf yang masyhur. Pada suatu ketika di Padang 'Arafah beliau telah berkata, "Apakah pendapat kamu jika semua orang yang berkumpul di sini pergi ke pintu rumah seorang dermawan dan meminta duit satu sen daripadanya. Adakah dermawan tersebut akan menolak (untuk memberi satu sen)?" Orang ramai menjawab, "Tidak, seorang dermawan tidak akan sama sekali menolak untuk memberi satu sen." Hadrat Fudail RAH berkata, "Demi Allah, di sisi-Nya, untuk memberi keampunan kepada mereka semua adalah lebih mudah daripada seorang dermawan memberi wang satu sen. Tidak ada sesuatu pun yang boleh menyamai kemurahan Allah SWT.
Hadrat 'Abdullah bin 'Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Apabila kamu bertemu dengan seseorang (yang baru pulang daripada) haji, ucaplah salam kepadanya dan bersalamanlah dengannya dan mintalah supaya dia memohon keampunan untuk kamu sebelum dia memasuki rumahnya kerana sesungguhnya dia telah pulang dalam keadaan suci daripada segala dosanya." (Ahmad)
Keterangan
Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa seorang mujahid (orang yang sedang berperang di jalan Allah) dan para haji ialah ahli perwakilan Allah SWT, jadi apa-apa sahaja yang mereka minta daripada Allah SWT akan diberi dan apa-apa sahaja yang mereka doakan akan diterima. Banyak lagi hadis lain yang semakna dengannya yang diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza. Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Nabi SAW telah berdoa,
"Ya Allah, ampunkanlah segala dosa para haji, dan ampunilah dosa mereka yang para haji telah meminta untuk mereka diampunkan." Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Nabi SAW telah berdoa dengan doa ini sebanyak tiga kali. Ini lebih lagi memberi penekanan. Sayyidina Umar RA berkata, "Allah SWT pasti akan mengampuni dosa seorang haji dan dosa orang yang seorang haji minta keampunan untuknya hingga ke 20 Rabi" ul-awwal."
Adalah menjadi kebiasaan para ulama yang dahulu untuk mengiringi pemergian para haji dan menyambut kepulangan mereka dan meminta doa daripada mereka.
Sayyidina Buraidah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda, "Membelanjakan harta ketika haji adalah sama seperti membelanjakan harta di jalan Allah, iaitu akan digandakan 700 kali ganda." (Ahmad, Tabarani, dan Baihaqi)
Keterangan
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda kepada Sayyidatina 'Aisyah RA, "Pahala umrahmu adalah mengikut kadar perbelanjaanmu." Yakni sebanyak mana dibelanjakan (disedekahkan semasa umrah) sebanyak itulah pahala yang akan diperoleh. Dalam sebuah hadis dinyatakan perbelanjaan ketika haji merupakan perbelanjaan di jalan Allah SWT yang pahalanya akan diganda 700 kali ganda.
Hadis yang lain menyatakan bahawa, membelanjakan satu dirham ketika haji adalah seperti membelanjakan 40,000,000 (empat puluh juta) dirham. Yakni seringgit yang kita belanjakan adalah sama seperti membelanjakan empat puluh juta ringgit. Setelah mengetahui semua inipun, jika kita masih kedekut atau bakhil untuk membelanjakan harta, maka kitalah yang rugi.
Semasa menerangkan adab-adab melaksanakan amalan haji, para masyaikh amat menekankan supaya tidak disempitkan perbelanjaan. Imam Ghazali RAH berkata bahawa maksud membazir ialah membeli makanan atau minuman yang enak dan mahal, tetapi membelanjakan ke atas orang-orang di sana tidak dikira membazir. Guru-guru saya juga menulis bahawa jika kita membeli barangan seperti makanan dan minuman dengan niat untuk menolong para peniaga di sana, perbelanjaan ini tidak dikira sebagai berbelanja untuk diri sendiri, bahkan ia adalah seperti perbelanjaan untuk orang-orang yang memerlukan di sana. Kita patut mengambil berat perkara ini secara khusus.
Saya amat bertuah kerana telah diberi peluang sebanyak dua kali untuk menghadiri Tanah Suci bersama guru saya yang dimuliakan, Hadrat Syaikh Maulana Khalil Ahmad Saheb. Saya sentiasa memerhatikan satu kebiasaan Hadrat Syaikh iaitu apabila teman-teman yang mengenalinya yang datang dari India menghadiahkan sesuatu kepadanya, beliau akan menolaknya dengan berulang-kali sambil mengatakan, "Orang-orang di sini lebih berhak, berilah hadiah ini kepada mereka." Kadang-kadang beliau sendiri yang memberitahu tempat tinggal 'alim ulama dan ahlullah di sana.
Tetapi jika mereka tetap mahu memberikan kepada Hadrat Syaikh, beliau akan menerimanya dengan terpaksa dan akan memberikan wang hadiah itu kepadaku sambil berkata, "Gunalah duit ini untuk membeli sesuatu di pasar, kerana kita pun patut membantu para peniaga di sini."
Sayyidina 'Umar RA berkata, "Salah satu daripada tanda pemurahnya seseorang itu ialah bekalan perjalanan hajinya adalah daripada jenis yang baik." Para ulama menulis, maksud bekalan perjalanan haji yang baik mungkin bererti barang bekalannya dari jenis yang baik atau mungkin juga membawa erti sifatnya yang tidak berkira dalam berbelanja. Sayyidina 'Umar juga berkata, "Sebaik-baik orang yang menunaikan haji ialah dia yang niatnya ikhlas, bekalannya yang bagus dan yakinnya kepada Allah SWT yang sempurna." Dalam sebuah hadis yang daif ada disebut bahawa barangsiapa yang kedekut daripada berbelanja di tempat yang diredai Allah SWT maka dia akan terpaksa berbelanja beberapa kali ganda lebih daripada itu di tempat yang dimurkai Allah SWT. Barangsiapa menangguhkan hajinya (yang telah fardu) kerana sesuatu maksud keduniaan, maka Allah SWT akan menahan maksudnya itu sehinggalah para haji selesai dan pulang daripada amalan haji mereka. Dan barangsiapa yang mengelak daripada menolong saudara seagamanya dalam perkara kebaikan, maka dia terpaksa menolong atas sesuatu perkara yang membawa kepada dosa.