Sunnah Berwuduk


Jika kita ingin berwuduk, pertamanya sunat kita mengadap kiblat sebagai mencontohi Rasulullah SAW. Kemudian membaca Bismillah kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak diterima wuduk seseorang jika tidak membaca Bismillah. 


Kemudian kita bersiwak. Sunat kita basuh dahulu siwak sebelum dan selepas menggunakannya. Mulakan dari kanan, lidah dan lelangit. 


Kemudian kita basuh kedua telapak tangan. Sunat kita membasuh celahan jari apabila kita basuh tangan di permulaan wuduk. Kemudian berkumur 3 kali cedokan. Setiap cedokan air dilumur dan dibuang dengan tangan kiri. Disunatkan agar kumurkan air sekuatnya sehingga mulut dan gigi dapat dibersihkan dengan air. 


Kemudian membasuh muka. Bermula daripada atas sehingga air mengalir ke bawah. Perkara makruh yang dilakukan orang ialah menampar, makruh kita menampar dengan kuat muka kita ketika basuh muka. Juga diingatkan tentang rambut di antara muka dan telinga iaitu jambang kerana ia termasuk muka. Ramai yang sangka ia bukan bahagian muka. Bahagian muka ialah telinga kanan hingga ke kiri, dari ubun kepala hingga ke bahagian bawah dagu. Inilah bahagian muka yang wajib dibasuh. 


Sunat bagi kita perbanyakkan membasuh muka, seperti yang disebutkan hadith “Itholatul Ghurah” yang diceritakan oleh Nabi SAW “wajah umatnya pada hari kiamat terserlah akibat sinaran cahaya daripada kesan wuduk.” Moga kita termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian basuh kedua tangan bersama celahan jari. Orang beriman ketika membasuh anggotanya perlu ingat hadith Nabi SAW “Sesungguhnya sesiapa yang berwuduk dengan sempurna dosanya akan keluar dari tubuhnya sehingga keluar di hujung jari jemarinya.” 


Kesempurnaan berwuduk ialah mencontohi Nabi SAW, jika kita berwuduk seperti Nabi SAW dosa akan hilang. Sunat kita membasuh celahan jari. Jika seseorang itu memakai cincin dia perlu pastikan air mengena bahagian tersebut atau cincin itu dicabut dan pastikan air mengena bahagian tersebut.


Kemudian membasuh kepala. Sunat kita menyapu kepala, jika kita memakai serban cukup sekadar kita sapu bahagian depan kepala. Kemudian menyapu serban dan kopiah tersebut. Sebaiknya kita menyapu seluruh kepala. Ibu jari diletakkan di sini di antara dahi dan muka, semua jari dipertemukan, disapu hingga ke belakang dan kembali ke depan. Inilah dinamakan sapuan sempurna. Ke belakang dan kembali ke depan, dengan sekali sapuan atau 3 kali mengikut beberapa riwayat hadis Nabi SAW.


Kemudian menyapu dua telinga, masukkan jari telunjuk ke dalam cuping telinga, gerakkan jari itu dalam cuping telinga dan ibu jari menyapu bahagian belakang cuping telinga. Kemudian masukkan jari kelingking ke dalam rongga telinga. Dengan ini, telinga dibasuh dengan baik. 


Antara sunat berwuduk ialah gosok atau urut. Ad-Dalk ialah gerakkan tangan ke seluruh anggota. Bukan hanya mengalirkan air. Tetapi gerakkan tangannya ke seluruh anggota wuduk. Inilah sunnah Nabi SAW dan sebahagian ulamak mewajibkannya. 


Kemudian basuh 2 kaki. Jari kaki perlu dibasuh lebih dari jari tangan. Kerana celahan jari kaki agak sempit. Juga pastikan tumit dibasuh dengan baik. Sabda Rasulullah SAW: “Celaka, neraka bagi al-A’aqab iaitu mereka yang tidak basuh tumit. Kita perlu lebihkan pada tumit yang merekah atau kering, seperti juga kita lebihkan membasuh tangan sehingga bahagian tengah lengan. Juga kita basuh sehingga ke bahagian tengah betis. Dengan itu kita telah lakukan sunat “Tahjil” iaitu anggota yang akan dipakaikan perhiasan apabila mukmin masuk ke syurga Allah akan pakaikan perhiasan pada anggota wuduk. Oleh itu, para sahabat melakukan sunat “Tahjil” dan ada lakukan lebih dari itu. 


Dengan membasuh celahan jari dan menggosok kita telah berwuduk seperti wuduk Rasulullah SAW. Selepas itu kita mengadap kiblat, menadah tangan seperti Nabi SAW menadah tangan sehingga nampak ketiaknya yang putih dan berdoa seperti sabdanya SAW: “Sesiapa yang berdoa dengan doa ini akan Allah bukakan 8 pintu syurga untuknya iaitu doanya Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan tidak ada sekutu baginya. Dan aku bersaksi Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Ya tuhanku, jadikan aku dari kalangan mereka yang bertaubat, golongkan aku dalam kalangan mereka yang bersuci dan hambaMu yang soleh. Jadikan aku dalam keadaan sentiasa berzikir kepadaMu, pagi dan petang. Maha suci Allah segala pujian kepadaMu, aku bersaksi tiada tuhan melainkan Kau, aku mohon keampunan dan bertaubat kepadaMu. 


Ulamak menyatakan sesiapa yang mati dalam keadaan berwuduk dia diberi pilihan untuk masuk ke syurga yang dia inginkan. Di sini, seorang mukmin patut merebut peluang sesungguhnya pintu-pintu syurga dan penerimaan terbuka luas. Maka berdoalah kepada Allah SWT dengan apa yang kita inginkan. Kita pohon agar kita diajarkan sunnah Nabi SAW agar saya dan sidang penonton dapat mempraktikkan sunnah Nabi SAW agar Allah memberi taufik dan perkenan segala amalan sunat kita. Dan menghayati adab dan amalan Nabi SAW