AIR SUSU

Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan Nabi SAW yang penuh dengan mukjizat dan mengandungi banyak hikmah serta pengajaran.

Salah satu peristiwa yang dilalui Nabi SAW pada malam tersebut adalah peristiwa baginda dihidangkan dengan dua jenis minuman iaitu arak dan susu.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ بِإِيلِيَاءَ بِقَدَحَيْنِ مِنْ خَمْرٍ وَلَبَنٍ فَنَظَرَ إِلَيْهِمَا فَأَخَذَ اللَّبَنَ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَاكَ لِلْفِطْرَةِ لَوْ أَخَذْتَ الْخَمْرَ غَوَتْ أُمَّتُكَ

Pada malam terjadinya Israk dan Mikraj di Iliya’ (Baitul Maqdis), baginda dihidangkan dua bekas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Setelah baginda meneliti kedua bekas itu, maka baginda mengambil bekas berisi susu. Berkata Jibril AS: “Segala puji bagi Allah yang membimbing kamu memilih yang fitrah. Seandainya kamu memilih arak, nescaya sesatlah umatmu”. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)