Pergaulan Nabi SAW dengan remaja

Antara perkara yang dipentingkan oleh Nabi SAW semasa hayatnya adalah penjagaan remaja. Nabi SAW telah mempraktikkan pergaulan dan keutamaan yang khas dengan golongan remaja. Kerana mereka merupakan tenaga penting di dalam membangunkan ummah.

Nabi SAW dibangkitkan sebagai rasul semasa remaja dan yang terawal beriman dengannya ialah seorang remaja dan Nabi SAW telah bersabda, “Aku wasiatkan kamu dengan para remaja kerana mereka mempunyai hati yang paling lembut, sesungguhnya aku dibangkitkan dengan agama yang lurus, golongan remaja menyokongku manakala golongan tua membelakangiku.”

Orang terawal yang beriman dengan Nabi SAW merupakan pemuda. Bagi ummat ini dan keunggulannya bermula dari golongan remaja. Semasa Rasulullah SAW membuka kota Mekah, baginda telah memberi tanggungjawab kepada Attab bin Usaid, yang berusia 21 tahun untuk menguruskan kota Mekah sedangkan ada golongan yang lebih tua dan berusia. Ketika mana Nabi SAW ingin mengutuskan seorang untuk menjadi penolongnya di dalam mengajar manusia dan berdakwah, sebelum baginda berhijrah ke Madinah, baginda mengutuskan seorang pemuda, Mus’ab bin Umair yang sebelumnya di dalam kesesatan dan Islam telah mengangkatnya ke peringkat yang lebih tinggi di dalam kehidupan, sehingga dia menjadi utusan Rasulullah SAW. Tugas ini merupakan tugas yang penting di dalam pembangunan agama Islam secara keseluruhannya dan Baginda telah meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahu seorang pemuda.

Nabi SAW telah menjadikan para remaja sebagai pemimpin sehinggakan dalam hal ilmu baginda pernah bertanya kepada Ibnu Abbas yang masih kecil dalam lingkungan umur 15 tahun atau lebih muda, baginda pernah menjadikannya turut serta bersama-sama di dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran. Baginda pernah bersabda, “Aku mengetahui dalam kalangan kamu yang mahir di dalam halal dan haram, Muaz bin Jabal, Muaz bin Jabal wafat pada zaman pemerintahan Umar, pada usia 33 tahun, pada zaman Baginda masih hidup, mungkin umurnya ketika itu sekitar 15 tahun, ini kesemuanya memberi gambaran bahawa Nabi SAW sangat mementingkan golongan remaja. Usamah bin Zaid telah diberi tanggungjawab di dalam memimpin para tentera yang hebat, ketika umurnya baru 17 tahun. Jika dibandingkan hal ini dengan keadaan kita pada hari ini, nescaya kita akan mendapati bahawa ramai remaja masih tidak memahami peranan mereka yang sebenar.

Jika kita menghayati kata-kata Rasulullah SAW kepada para remaja, nescaya kita mendapati bahawa kesemuanya merupakan kata-kata motivasi yang memberi semangat kepada golongan remaja untuk melangkah maju di dalam kehidupan. Nabi SAW bersabda: “Santunilah golongan tua dan sayangilah golongan muda.”

Nabi SAW memerhatikan bahawa para remaja mempunyai darah muda yang penuh semangat. Ketika mana Nabi SAW di Mekah dan muazin sedang melaungkan azan, Baginda SAW telah mendengar para remaja dan kanak-kanak sedang mempermainkan dan meremehkan azan. Maka Nabi SAW bersabda, “Panggilah mereka” dan ketika itu ada 10 orang, lalu mereka semua melaungkan azan. Baginda bersabda, “Aku ingin mendengar mereka melaungkan azan” maka mereka melaungkan azan seorang demi seorang lalu Baginda bersabda, “Aku telah mendengar seseorang dengan suara yang lunak” Apabila baginda mendengar pemilik suara lunak yang bernama Abu Mahzurah, Baginda telah bersabda kepadanya, “Pergilah ke Masjidil Haram dan laungkan azan!” Maka baginda telah melantiknya sebagai muazin Masjidil Haram di Mekah di tanah yang paling suci dan ini di masjid yang teragung di atas bumi ini dengan serta-merta. Baginda telah mempertanggungjawabkannya sedangkan sebelum itu dia telah mempermainkan azan namun dia mempunyai suara yang bagus, maka Nabi SAW serta merta memberikannya tanggungjawab. Ini semua memberikan kita suatu isyarat kenabian, bahawa remaja ketika diberikan tanggungjawab dan ketika diletakkan pada posisi kepimpinan dia akan mula berkembang dan cuba untuk membuktikan diri dan kejayaannya.

Nabi SAW mengambil berat di dalam menggalakkan remaja agar membaiki kehidupan mereka. Baginda SAW bersabda, “Wahai sekalian pemuda, barang siapa di antara kamu yang mampu, maka berkahwinlah!” “Dan bagi siapa yang tidak mampu maka berpuasalah!” Nabi SAW mengetahui bahawa para pemuda mempunyai naluri (untuk berkahwin) dan manusia jika dikalahkan oleh naluri mereka akalnya tidak mampu berfikir.

Kebanyakan pemuda sangat mengikut perasaannya seperti yang telah disebutkan, ‘mempunyai hati yang sangat lembut’ maka Nabi SAW inginkan para pemuda untuk menuruti naluri mereka pada perkara yang halal, agar mereka mampu membezakan antara yang salah dan benar di dalam berbuat ihsan kepada Allah.

Allah SWT berfirman “Sesungguhnya mereka para pemuda itu telah beriman dengan tuhan mereka, lalu kami tambahkan bagi mereka petunjuk.” Baginda SAW telah bersabda, “Ciptaan yang paling dicintai oleh Allah ialah remaja dengan akhlak yang baik.”Remaja ini menghabiskan masa remajanya di dalam ketaatan kepada Allah SWT. Remaja yang menginjakkan masa remajanya di dalam ketaatan dan ibadah kepada Allah, baginya kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Baginda SAW bersabda, “7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan selain naunganNya salah satunya, remaja yang membesar di dalam ketaatan kepada Allah. Jika kita meletakkan kalimah ini di dalam kurungan (maksudnya, jika semua remaja beramal dengan perkara ini), dan kita mengetahui bagaimana bermula malah dengan Allah melalui para remaja, nescaya akan terhasil ummat dalam kalangan remaja yang akan mengubah alam ini kepada keadaan yang lebih baik dari keadaan kita hari ini. Nabi SAW sehinggakan kepada para pemudi ketika mana Baginda menuju ke Khaibar, telah datang seorang pemudi yang bernama Ummaiyah al-Makhzumiah. Dia berkata, ‘Wahai Rasulullah, bawalah aku bersamamu’. Baginda bertanya, “Apa yang akan engkau lakukan?” Lalu jawabnya ‘aku akan membawa air dan merawat orang sakit’ maka Nabi SAW telah membawanya bersama dan dia telah berkhidmat di dalam perang Khaibar. Tatkala perang itu tamat, Nabi SAW telah menyarungkan kepadanya seutas kalung maka pemudi ini berasa bangga kerana kalung ini telah dipakaikan oleh Rasulullah dengan tangannya sendiri dan dia telah berkata kepada sahabatnya setelah dia dewasa ‘jika aku mati, maka tanam lah aku bersama-samanya’ kerana dia berasa bangga dengan penghargaan Rasulullah SAW.

Ketika Nabi SAW di dalam perjalanan ke Tabuk, seorang sahabat telah melihat seorang pemuda menggembala kambing, lalu dia berkata, ‘sekiranya pemuda ini berjihad di jalan Allah nescaya ia lebih baik baginya’. Baginda SAW bersabda, “Apa yang kamu tahu? Semoga ketika mana dia menyara ahli keluarganya, dia juga sedang berjuang di jalan Allah atau menyara dirinya sedangkan ia sama dengan berjihad di jalan Allah. Nabi SAW ingin mengajar mereka bahawa remaja mempunyai banyak peranan di dalam kehidupan antaranya peranan dalam bidang ekonomi, ilmu dan jihad, maka janganlah kita memperkecilkan atau meremehkan peranan seorang remaja di alam ini kerana setiap orang mempunyai kepentingan dan peranan yang besar di dalam kehidupan.