Sunnah menyambut kelahiran
Antara perkara yang Rasulullah SAW letakkan keutamaan yang tinggi adalah pada didikan untuk generasi akan datang. Baginda SAW memikirkan didikan awal jauh di luar batasan pemikiran manusia. Nabi SAW jadikannya penting sejak sebelum perkahwinan lagi, semasa memilih calon, kemudian ketika proses mengandung dan juga kelahiran dengan memastikan anak yang lahir itu dikelilingi oleh adab-adab yang menjadikan kelahiran tersebut sebagai persiapan kepada anak itu untuk menjadi hamba Allah yang soleh, terpelihara daripada syaitan dan daripada penyakit dalaman dan luaran yang mungkin menimpa manusia.
Nabi SAW menyebut kepada kita bahawa syaitan mempermainkan anak yang baru dilahirkan dari rahim ibunya kecuali Maryam dan anaknya Nabi Isa. Kenapa? Kerana ibunya mohon perlindungan dengan berdoa: “Aku mohon perlindunganMu untuknya serta anak-anak keturunannya daripada syaitan yang direjam.”
Renungkan bagaimana dengan mengingati Allah ketika hamil boleh memelihara insan daripada syaitan dan kejahatannya.
Sunnah pertama ialah Mengazankan bayi. Nabi Muhammad SAW mengambil berat tentang bayi yang baru lahir dari rahim ibunya dengan mengalunkan azan ke telinganya supaya sejak lahir lagi bayi tersebut didendangkan dengan zikrullah dan supaya ia menjadi pelindungnya daripada syaitan yang direjam.
Nabi Muhammad SAW apabila mendapat tahu tentang kelahiran Hassan, baginda bergegas mendapatkannya lalu mengalunkan azan ke telinga kananya dan iqamah ke telinga kirinya. Baginda SAW bersabda bahawa bayi yang diazankan takkan diganggu oleh ‘Ummu Sibyan’. Ia adalah sejenis syaitan yang dikhaskan untuk menganggu bayi yang baru lahir.
Sunnah kedua ialah bertahnik seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa yang baru lahir biasanya akan dibawa kepada Nabi Muhammad SAW. Bapa bayi tersebut akan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW sebelum disusukan oleh ibunya supaya Nabi Muhammad SAW boleh mentahnikkannya dan memberkatinya. Nabi Muhammad SAW akan mengambil sedikit air liur baginda dan dimasukkan ke dalam mulut bayi tersebut dan meratakannya ke seluruh mulutnya.
Sunnah ketiga adalah menamakan bayi pada hari ke-7 selepas kelahirannya. Menamakan bayi merupakan sunnah yang penting. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Namakan mereka dengan nama para nabi, dan sebaik-baik nama ialah Abdullah dan Abdul Rahman, semolek-molek nya ialah Haris dan Hamam, manakala seburuk-buruknya ialah Harb dan Murrah.”
Sunnah keempat adalah sunnah mencukur kepala bayi. Disunatkan pada hari ke-7 kelahiran bayi untuk dicukur kepalanya sehingga habis. Faedahnya sangat banyak dan Nabi Muhammad SAW melakukannya kepada Hassan dan Hussin. Begitu juga dengan para sahabat RA.
Sunnah kelima adalah dengan menimbang rambut yang dicukur itu, kemudian mendermakan perak dengan timbangan tersebut. Begitulah yang terkandung dalam riwayat. Namun ulamak menyatakan jika hendak didermakan dalam bentuk emas maka ia lebih baik untuk muslimin dan fakir miskin.
Sunnah yang keenam adalah aqiqah, iaitu menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Disunatkan untuk menyediakan sembelihan tersebut dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya. Bermaksud, disunatkan untuk berasa gembira atas kelahiran tersebut dan menjemput orang ramai. Disunatkan juga bagi yang dijemput untuk memenuhi jemputan aqiqah kerana Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita memenuhi undangan aqiqah sehinggakan ada sebahagian ulamak mewajibkan kita untuk memenuhi undangan aqiqah.
Sunnah ketujuh adalah dengan berkhatan. Ia wajib kepada anak lelaki dan digalakkan bagi anak perempuan.
Keinginan untuk menyampaikan berita gembira dan mengucapkan tahniah. Jika kita mendapat tahu tentang kelahiran baru disunatkan untuk kita mengatakan “Moga Allah berkatimu dengan pemberianNya, semoga kau bersyukur kepadaNya, semoga Allah kurniakanmu keberkatan dan petunjukNya.” Ini adalah sunnah yang diriwayatkan oleh Imam Hassan dan ia adalah amalan Nabi Muhammad SAW.
Jika kita perhatikan ketujuh-tujuh sunnah dan amalkannya kepada anak-anak mereka akan hidup bersama sunnah Rasulullah SAW. Alangkah indahnya jika anak-anak ini sejak dari awal kelahiran mereka dah didedahkan dengan sunnah Rasulullah SAW.