Rumah merupakan pemilikan manusia, tempat perlindungan dan kerehatan dan tempat berkumpulnya seseorang dengan keluarganya. Bagaimana kita dapat menjadikan rumah kita memberi kerehatan dan selesa untuk kita. Bagaimana kita menjadikannya rumah dengan acuan Nabi SAW kerana Nabi SAW merupakan contoh yang terbaik di dalam kehidupan seseorang insan yang sahih dan baik.

Antara perkara yang terpenting ialah seseorang mestilah memilih rumah yang sesuai, yang paling dekat dengan rumah Allah (masjid) dan memilih jiran yang soleh. “Jiran sebelum rumah, dan teman sebelum perjalanan”. Seperti yang telah disabdakan Nabi SAW.

Adab-adab masuk ke dalam rumah – Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, dia haruslah menyebut nama Allah SWT dan masuk dengan kaki kanan. Disunnahkan juga, membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW :-

Wahai Allah, aku memohon kebaikan semasa masuk dan keluar. Dengan nama Allah kami masuk, Dengan nama Allah kami keluar dan kepada Tuhan kami berserah diri.

Apabila seseorang membaca doa ini, syaitan berkata kepada syaitan yang lain,

“Engkau terlepas peluang untuk masuk”

Syaitan tidak mampu masuk ke dalam rumah bersama orang tersebut. Apabila kamu masuk ke dalam rumah, maka berilah salam kepada penghuni rumah, kerana salam merupakan permulaan kepada pertemuan maka ia membangkitkan rasa selamat dan ketenangan di antara dirimu dan keluargamu. Sekiranya tiada sesiapa di dalam rumah, maka berilah salam kepada dirimu. Katakanlah “Assalamu’alaina, tahiyyatan min ‘indillah toyyibatan mubarakah” dengan itu, engkau memperoleh sunnah-sunnah salam.

Apakah perkara pertama yang dilakukan Rasulullah SAW semasa masuk ke dalam rumah? Sayyidah ‘Aisyah berkata, “Baginda SAW akan bersiwak terlebih dahulu.” Antara perkara yang terpenting juga adalah meminta keizinan. Pernah suatu ketika, Nabi SAW duduk di rumahnya, maka seorang lelaki telah datang dan berkata, “Boleh saya masuk?” Nabi SAW bersabda kepada hambanya, “Keluarlah dan ajarilah dia bagaimana meminta izin!”

Nabi SAW begitu bersungguh-sungguh dalam mengajarkan adab yang mulia. Hamba tersebut telah keluar dan berkata, “Ucapkanlah Assalamualaikum, boleh saya masuk?” Apabila lelaki itu meminta izin dengan cara ini, Nabi SAW berkata kepadanya, “Sekarang masuklah!”.

Nabi SAW melarang kita, tidak memperkenalkan diri ketika meminta izin contohnya, apabila kamu mengetuk pintu seseorang dan ditanya, “Siapakah itu?”, kamu menjawab, “Saya!” Seorang lelaki telah mengetuk pintu Nabi SAW dan ketika ditanya siapakah itu, dia menjawab, “saya” Nabi SAW membenci jawapannya dan berkata, “Saya, saya, saya” iaitu “Siapa namamu, beritahu siapakah kamu?” maka ini merupakan adab yang penting semasa ingin masuk ke dalam rumah.

Antara adab yang diamalkan Nabi SAW ialah Baginda SAW melakukan tugasan rumah tangganya. Baginda SAW pernah membersihkan rumahnya, membaiki kasutnya dan mengikat bekas air. Baginda mempunyai tugasan sendiri di rumahnya. Begitu juga, golongan lelaki mestilah mempunyai tugasan sendiri di rumah. Melakukan perkara yang dapat membantu keluarganya, memenuhi keperluan mereka dan membaiki sesuatu yang rosak. Ini merupakan Sunnah Nabi SAW.


Antara perkara yang terpenting di rumah kita, adalah memakmurkannya dengan zikir dan bacaan al-Quran. Perumpamaan rumah yang disebut nama Allah SWT dan rumah yang tidak disebutkan nama Allah di dalamnya, seperti orang hidup dan orang mati (Bukhari).

Bayangkan sama ada rumahmu hidup atau mati. Nabi SAW mengkhabarkan bahawa rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya mampu dilihat oleh penduduk langit. Mereka melihatnya seperti kita melihat bintang di langit (pada waktu malam).


Ramai sahabat mengajak Nabi SAW datang ke rumah mereka dan bersolat di suatu tempat untuk dijadikan tempat solat mereka. Maka Sunnah ini, wajarlah bagi setiap orang menjadikan suatu tempat khas untuk bersolat bersama keluarganya. Nabi SAW memberi amaran mengenai perkara yang menghalang masuknya malaikat ke dalam rumah kita. Ini merupakan perkara yang penting kerana jika malaikat tidak masuk, maka syaitan yang akan masuk.

Nabi SAW memberi amaran agar kita berhati-hati dengan gambar, patung, ukiran yang kini banyak didapati di rumah-rumah. Begitu juga, dengan kehadiran anjing bukan untuk tujuan pengawasan dan pemburuan.

Nabi SAW menyeru kita agar berhati-hati dengan segala penyebab bahaya. Jika terdapatnya api, pintu yang terbuka, bekas yang terbuka yang boleh memberi mudharat kepada seseorang. Begitu juga elektrik dan apa jua perkara yang berbahaya wajarlah bagi seseorang untuk berjaga-jaga dengannya khususnya sebelum tidur.

Nabi SAW bersabda, “Ketika malam menjelang atau sudah petang, maka halangilah (anak-anak) mereka dari keluar kerana sesungguhnya syaitan sedang berkeliaran”. Apabila telah berlalu waktu malam beberapa ketika, maka bebaskanlah mereka, dan tutuplah pintu sambil menyebut nama Allah kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Ikatlah bekas air kamu sambil menyebut nama Allah dan tutuplah bekas-bekas dan peralatan kamu sambil menyebut nama Allah walaupun dengan meletakkan sesuatu dan tutuplah lampu rumahmu.

Adab keluar rumah – Keluar rumah juga mempunyai adab iaitu seseorang keluar rumah dengan kaki kirinya sambil mengucapkan

Dengan nama Allah, aku beriman dengan Allah, aku bertawakkal kepada Allah, Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi dan Agung.

Nabi SAW bersabda bahawa sesiapa yang membaca doa ini ketika keluar dari rumah, apabila dia bertembung dengan syaitan, maka syaitan itu akan terpelanting, maka datanglah syaitan lain dan melihat ianya terpelanting, lalu bertanya, ‘mengapa denganmu’? Apa halnya dengan si fulan? Lalu dia menjawab, “Apa pandanganmu mengenai seseorang yang dilindungi, diawasi dan diberi petunjuk?”

Sekiranya kita mengamalkan setiap Sunnah Nabi SAW di rumah-rumah kita, rumah-rumah kita akan berkait rapat dengan bilik-bilik Nabi SAW, bilik-bilik di mana Allah SWT telah menurunkan sebuah surah khas yang menerangkan perihalnya. Maka apakah yang lebih baik lagi selain menzahirkan makna hubungan kita dengan Rasulullah SAW pada rumah-rumah kita, nescaya rumah kita akan berkait dengan firman Allah, “Katakanlah (Muhammad), sekiranya engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”