Apabila kamu membaca al-Quran, rasakanlah bahawa ia kata-kata Allah kepadamu. Subhanallah, setiap orang pasti mendapati sesuatu dari al-Quran. Seseorang memahami dan menghayati perkara-perkara di dalam al-Quran, Berlainan dengan orang lain kerana ini merupakan perkataan Allah kepada setiap ciptaaNya. Setiap individu pasti mendapati perkara yang berbeza antara satu sama lain apabila membaca al-Quran. Ummu Salamah telah berkata bahawa bacaan Rasulullah ialah bacaan yang paling baik huruf demi huruf.

Setiap huruf diberikan haknya. Ada individu yang membaca al-Quran secara tergesa-gesa. Kadang-kadang, huruf dimasukkan ke dalam yang lain. Namun, kamu mestilah membaca al-Quran agar orang lain mampu mengulangi bersamamu. Bacaan Rasulullah disempurnakan bacaan panjangnya. Para sahabat telah berkata, “Apabila Baginda membaca Bismillahirrahmanirrahim, Baginda memanjangkan pada kalimah Allaah, ar-Rahmaan, ar-Rahiim.

Setiap mad diberikan haknya. Baginda membacanya seperti yang diperintahkan Allah. “Dan bacalah al-Quran secara tartil (bertajwid)”. Baginda SAW membaca suatu surah dengan penuh tartil sehinggakan ia lebih panjang dari surah berikutnya ketika membacanya dengan penuh tartil dan tajwid.

Seorang sahabat, Abdullah bin Mughaffal telah melihat Nabi SAW di dalam pemandangan yang sangat indah. Baginda sedang menunggang untanya dan membaca surah dengan suara dan bacaan yang lembut dan berulang- ulang.Iaitu Baginda membaca al-Quran secara tartil dan berulang-ulang. Ini dinamakan

mengulang. Iaitu Baginda SAW membaca dengan penuh penghayatan dan ini berlaku semasa baginda sedang duduk di atas untanya semasa di dalam perjalanan.

Hari ini, kita boleh membaca al-Quran di dalam kenderaan, sambil berjalan dan dalam setiap keadaan. Namun yang terbaik adalah semasa kita dalam keadaan yang suci (berwudhu’) dan menggunakan siwak untuk membersihkan mulut sebelum membaca al-Quran. Menghadap qiblat, memakai baju yang bersih, bau yang wangi, dan tempat yang bersih.

Juga membaca al-Quran dengan penuh khusyuk, dan penghayatan. Menangis atau buat-buat menangis. Kerana Nabi SAW bersabda, “Quran ini diturunkan dengan penuh kesedihan. Semasa kamu membaca Quran, menangislah, namun jika engkau tidak mampu, buat-buatlah menangis.” Iaitu engkau menghayati makna dengan khusyuk.

Dan engkau sekarang sedang mendengar perkataan Allah SWT. Baginda SAW solat pada suatu malam dan membukanya dengan surah al-Baqarah.

Apabila sampai pada ayat rahmat, maka Baginda memohonnya kepada Allah. Apabila sampai kepada ayat yang mengandungi azab, keagungan Allah, Baginda memohon perlindungan kepada Allah. Apabila sampai pada ayat tasbih, Baginda akan bertasbih kepada Allah. Ketika Baginda membaca “Sucikan nama Tuhanmu yang maha Tinggi”.

Maksudnya, Allah sedang meminta kita bertasbih, ianya suatu perintah. “Sucikanlah nama Tuhanmu yang Maha Tinggi”, maka Baginda mengatakan “Maha Suci Allah yang Maha Tinggi”

Ketika Baginda membaca “Bukankah Allah sebaik-baik yang menghakimi?” Baginda berkata, “Bahkan, dan Aku antara yang menyaksikannya” Beginilah keadaan Nabi SAW dengan al-Quran dan dalam memahami makna-makna kalam Allah SWT .

Adakalanya Nabi SAW membaca al-Quran sehingga kedengaran suaranya sampai ke bilik-bilik di sekitarnya. Adakalanya, Baginda membaca secara perlahan. Baginda pernah menyoal Saidina Abu Bakar,” Bagaimana kamu membaca al-Quran?” Maka jawabnya, “Aku membaca dengan perlahan kerana merasakan Allah dekat denganku” Baginda bertanya Umar pula. Jawabnya. “Adapun aku lebih suka membaca secara kuat sehingga dapat membangunkan orang yang tidur dan menghalau syaitan.”

Maka bagi setiap individu, membaca al-Quran hendaklah mengikut keadaan dan tempat. Membaca al-Quran boleh secara kuat/nyaring, perlahan atau dengan suara yang halus. Al-Quran merupakan nur dari Allah, membacanya dapat melapangkan jiwa, padanya ada penyembuhan, pelepasan dari kesusahan, membacanya dapat membaiki keadaan, dapat menghalau syaitan, dan ruqyah. Jika kamu membaca al-Quran, maka luaskanlah niatmu, sehingga kamu berhasil mendapat setiap kebaikan dari al-Quran yang agung ini. Baginda SAW mempunyai hizib dari al-Quran, dan wirid harian dari al-Quran iaitu Baginda membaca bahagian-bahagian tertentu dari al-Quran.

Baginda mengkhatamkan al-Quran setiap 3 hari. Begitu juga dengan para sahabat,

mereka khatam dalam masa 7 hari dan ini juga amalan ramai para ulama dan orang-orang soleh dalam kalangan ummat ini. Setiap minggu, mereka membaca (khatam) al-Quran. Mereka telah berkata, “Paling sedikit bacalah sehari satu juzu’ agar engkau dapat khatam sekali dalam sebulan”. Nabi SAW pernah disoal, “Apakah amalan yang paling disukai Allah?” Baginda menjawab, “Al-hal al-murtahil” Apakah ia al-Hal al-Murtahil?” Baginda menjawab, “Orang yang apabila tamat membaca al-Quran, dan dia akan terus memulakannya dengan al-Fatihah” iaitu apabila kamu tamat membaca surah an-Nas, maka serta merta mulakanlah membaca al-Fatihah dan dia beginilah halnya secara berterusan, khatam demi khatam. Maka kamu akan sentiasa memulakan Kalam Allah dari permulaan sesudah kamu selesai (khatam).

Ada individu yang merasa susah untuk membaca al-Quran dengan banyak setiap hari. Namun, apa yang penting ialah permulaannya. Mulakanlah dengan satu muka surat setiap hari. Kemudian selepas satu tempoh , tambah lagi 2 muka surat, kemudian 3 muka surat. Apa yang penting, kamu berterusan membaca al-Quran setiap hari. Sehingga terbentuk suatu hubungan harian antara kamu dan Allah melalui firman-firmanNya. Siapa yang hidup dengan sesuatu perkara, dia akan mati dan dibangkitkan dengannya.

Jika kamu membaca al-Quran dan hidup dengannya, nescaya kamu akan dibangkitkan bersama-sama al-Quran. Ini kerana Quran merupakan cahaya, pemimpin dan pembimbing manusia ke syurga. Antara nikmat yang besar yang telah disediakan Allah di syurga, iaitu Allah mengurnikan kita membaca al-Quran di dalam syurga. Dan antara nikmat yang besar adalah mendengar bacaan al-Quran Nabi SAW di dalam syurga.

Telah diceritakan bahawa, orang-orang yang beriman berkumpul di suatu lapangan di dalam syurga. Kemudian Nabi SAW membacakan kepada mereka Surah Toha seperti yang diriwayatkan, maka apakah perkara yang paling baik selain mendengar bacaan surah Toha melalui lisan Toha nescaya ianya merupakan nikmat yang besar.