Masalah besar yang dihadapi orang ramai sekarang ialah persaudaraan yang se- makin renggang. Rawatan yang mudah dan sangat berkesan yang diajar oleh Nabi SAW : Sabda Nabi SAW, “Kamu takkan masuk syurga melainkan setelah beriman, dan tidaklah kamu beriman melainkan kamu telah berkasih sayang, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu jika dilakukan pasti kamu akan berkasih sayang, sebarkan salam sesama kamu.”

Maksud salam sangat mendalam. Salam menyebarkan kasih sayang dan keharmonian, jika anda ucapkan salam pertama sekali as-Salam antara nama Allah SWT, kedua, semasa memberi salam anda mendoakan keamanan seseorang.

Salam berkait rapat dengan keamanan, ketika ucapkan salam, anda seolah-olah menjamin keamanannya daripada pihak anda iaitu saya takkan sakiti kamu, kamu selamat jika berada dengan saya.

Memberi salam adalah sunnah Nabi SAW manakala menjawab salam pula hukumnya wajib. Firman Allah SWT, “Jika kamu terima ucapan maka balaslah dengan ucapan yang lebih baik atau setaraf dengannya”. Jika seorang memberi salam kepada kita, kita mesti membalasnya dengan ucapan yang lebih baik.

Ganjaran memberi salam, Seorang pemuda datang menemui Nabi SAW dia ucapkan “Assalamualaikum” Nabi SAW bersabda “sepuluh” pemuda kedua datang dan ucapkan “Assalamualaikum Warahmatullah” Nabi SAW bersabda “Dua puluh”, pemuda ketiga datang dan ucapkan “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” Nabi SAW bersabda “Tiga puluh”. Mereka bertanya, “Ada apa dengan jumlah itu semua?” Baginda SAW menjawab, “Pemuda pertama dapat 10 pahala, pemuda kedua 20 pahala dan yang ketiga 30 pahala.

Adab ini indah, menggalakkan orang mengucapkan salam, orang yang beri salam bebas daripada sifat takbur. Antara cara merawat sifat takbur ialah dengan memberi salam.

Sifat ucapan salam Nabi SAW

Ramai sahabat menyifatkan ucapan salam Nabi SAW sebagai ucapan yang didengari oleh orang yang berjaga dan tidak mengejutkan orang yang sedang tidur, kerana kelembutan dan ketenangan ucapan baginda SAW. Nabi SAW beri salam di semua tempat, baginda beri salam kepada orang tua, muda, lelaki dan wanita, termasuklah kepada kanak-kanak.

Pernah seseorang tertanya-tanya sama ada nak beri salam atau tidak, emmm orang itu perlukan ucapan salam, orang sering pertikaikan siapa yang patut beri salam dan kepada siapa kita patut beri salam. Ucapan salam asalnya diciptakan untuk seluruh manusia.

Tatacara memberi salam

Perkara menarik tentang salam ialah pada tatacaranya. Orang di atas kenderaan beri salam pada orang yang berjalan. Yang berjalan beri salam pada yang duduk. Orang yang berseorangan beri salam pada sekumpulan ramai.

Sesetengah orang menganggap ucapan salam ini tidak bernilai, kerana jika selalu beri salam itu dianggap membebankan atau memberi salam menurunkan darjat seseorang. Penghulu semua nabi dan insan paling mulia Rasulullah SAW banyak ucapkan salam. Ketika para sahabat berjalan dan terpisah antara pokok mereka akan berpatah balik untuk memberi salam. Contohnya jika kita keluar bekerja dan kembali ke pejabat kita patut ucapkan salam kepada rakan sekerja. Jika keluar ke mana-mana dan kembali ke rumah berilah salam. Dengan memberi salam berulang-ulang kali keberkatan dan kebaikannya juga digandakan.

Sunnah yang diabaikan

Sunnah yang sering diabaikan manusia adalah memberi salam ketika berpisah. Kita saling ucapkan salam ketika bertemu tetapi kita jarang ucap salam ketika berpisah. Nabi SAW menyatakan ini bukan perkara yang baik. Ucapan salam ketika berpisah sama pentingnya dengan salam ketika bertemu. Kita mesti hidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW ini.


Bila salam makruh diucapkan?

Ada orang ucapkan salam di tempat yang tak sepatutnya seperti di dalam tandas atau beri salam pada sekumpulan orang yang sedang sibuk buat kerja penting atau beri salam ketika masuk ke masjid di waktu orang sedang solat, baca al-Quran atau sedang dalam majlis ilmu, perbuatan ini akan mengganggu kelancaran majlis.

Kamu akan disayangi Allah

Situasi terindah ucapan salam diberikan ialah ketika Nabi SAW bertemu Allah SWT di malam Israk dan Mi’raj. Ketika bertemu Allah, baginda ucapkan “Segala penghormatan dan solawat yang baik untuk Allah. Allah menjawab, “Salam sejahtera ke atas kamu wahai nabi, Bersama rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Bayangkan, kita ucapkan salam dengan ucapan yang diberikan oleh Allah kepada Nabi SAW. Orang mukmin mesti perbanyakkan memberi salam kerana Allah SWT berfirman “Ucapan ketika mereka bertemu Tuhan mereka ialah salam.”

Jika sesiapa rajin memberi salam hingga ke akhir hayat dengan izin Allah dia akan bertemu Allah dengan selamat. Dia akan menjadi penghuni Darussalam. Itulah maksud tersirat di sebalik ayat ini “Katakanlah, jika kamu sayang Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan menyayangi kamu.