Allah SWT berfirman, “Berdoalah kepadaKu, akan Aku perkenankan”. Baginda SAW bersabda, “Doa ialah tunjang ibadah” dan doa itu sendiri ialah ibadah. Doa yang boleh diamalkan ialah doa-doa di dalam al-Quran atau doa-doa dari Rasulullah SAW dan ianya adalah sebaik-baik doa.

Kemudian seorang hamba boleh bermunajat kepada Allah SWT dengan apa sahaja yang terlintas di fikirannya, Seperti apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berdoa untuk setiap perkara, sehinggakan kepada masinnya makanan mereka.

Nabi SAW berdoa untuk perkara yang berbeza. Doa-doa Rasulullah SAW mendidik adab dan rasa penghambaan. Maka asas doa ialah penghambaan dalam meminta daripada Allah Yang Maha Tinggi.

Adab-adab dalam berdoa

Berdoa mempunyai adab-adab, antaranya persediaan makanan dan minuman yang halal, kerana Rasulullah SAW bersabda “Seorang lelaki berdoa, pakaiannya haram, makanannya haram, bagaimana Allah mahu menerima doanya?”


Adab yang kedua, kita perlu berdoa kepada Allah SWT dengan suara yang lembut, di antara kuat dan perlahan. Seterusnya, bermunajat kepada Allah SWT dengan bahasa yang difahami dan apa sahaja di dalam fikiran. Jangan membebankan diri dengan bersajak, kerana Rasulullah SAW bersabda, ada di kalangan manusia yang melampau di dalam berdoa, doanya disertai sajak yang dibuat-buat dan perkara yang tidak sepatutnya kerana kita sedang berurusan dengan Allah SWT yang melihat hati kita.


Seterusnya berusaha menghadap qiblat, seperti itu juga, kita perlu mengangkat tangan, seperti Rasulullah SAW yang mengangkat tangannya dengan tinggi sehingga terlihat ketiak putih Baginda SAW. Nabi SAW mengangkat tangannya sangat tinggi.


Disunnahkan dimulakan doa dengan memuji Allah SWT dan berselawat ke atas Nabi SAW kerana ini sebab dimakbulkan doa dan ditutupi doa seterusnya. Pada suatu hari, Nabi SAW duduk di masjid, terdapat seorang sahabat sedang berdoa kepada Allah SWT, maka Nabi SAW bersabda, “Doamu akan diterima jika kamu menutupnya, maka dia bertanya, “Apakah penutupnya Ya Rasulullah? Nabi SAW bersabda bila kamu menutupnya dengan memuji Allah SWT”.


Dengan itu, kamu perlu mengambil berat masa-masa dan tempat-tempat yang mustajab doanya. Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia pemalu, Dia malu apabila hambanya mengangkat tangan berdoa kepada-Nya untuk membalasnya dengan tangan kosong.


Bagi adab-adab yang tersembunyi (batin), antaranya ialah keyakinan dengan penerimaan Allah SWT, berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Jika kamu berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan menyakini doamu akan diterima Allah”


Antara adab yang penting ialah hendaklah kita tidak meminta kepada Allah SWT agar disegerakan penerimaan doa. Ketahuilah, jika Allah SWT melewatkan terkabulnya doa kita, maka sesungguhnya itu semua mengandungi hikmah mengikut kehendak-Nya, dan sesungghunya kehendak-Nya mengatasi kehendak kita, maka kita akan bahagia dengan berdoa.


Antara kelembutan dan keindahan doa ialah, kita perlu mengetahui doa itu sendiri adalah nikmat. permintaan ini ialah ruh ibadah dan tunjang ibadah. Antara adab doa yang penting yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah, berdoa untuk saudara-saudara kita. Doa kepada saudaranya secara rahsia. Mana-mana muslim yang berdoa untuk saudaranya secara rahsia, maka malaikat mendoakannya seperti apa yang telah dimintanya.


Antara adab Rasulullah SAW dalam berdoa, bahawa Baginda mengajar kita agar meminta doa dari hamba-hamba Allah yang soleh. Rasulullah SAW meminta doa dari Saidina Umar, Baginda bersabda, “Wahai Umar, Jangan melupakan kami, wahai saudaraku di dalam doamu”. Saidina Umar berkata, “Maka tiada yang aku sukai di dunia ini melainkan perkara ini.”


Nabi SAW melarang kita berdoa untuk diri kita, anak-anak kita atau harta kita dalam keadaan marah dikhuatari kita berdoa pada saat mustajabnya doa, maka kita memusnahkan diri kita dan anak-anak kita. Berapa ramai ibu atau ayah dalam keadaan marah, mendoakan keburukan untuk anak-anaknya maka ia akan memusnahkan mereka. Dengan ini, wajib bagi kita mendoakan kebaikan untuk mereka, bukan mendoakan keburukan untuk mereka. Inilah jalan Rasul kita SAW.


Nabi SAW bersabda : “Sebaik-baik ibadah ialah menunggu kelapangan (terlepas dari masalah dengan penuh sabar)” Bersesuaian dengan salah satu doa Nabi SAW, untuk kita ambil pelajaran darinya, bahawa Nabi SAW semasa berdakwah kepada penduduk Taif untuk mengajak mereka kepada Islam, mereka telah membaling batu kepada Baginda sehingga mengalir darahnya, dan Baginda keluar dengan perasaan sedih dan terluka lalu Baginda mengangkat tanganya kepada Allah,


Ya Allah, aku mengadu kepadaMu, kelemahan diriku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Engkau adalah Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah yang bengis, atau kepada musuh yang menguasai urusanku. Jika Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli, namun keselamatan dariMu lebih melapangkanku. Aku berlindung dengan sinar cahayaMu yang menerangi kegelapan, dan memberi kebaikan urusan dunia dan akhirat, dari MurkaMu yang hendak Engkau turunkan kepadaku. Hanya Engkau yang layak menegurku sehingga Engkau redha. Sungguh, tiada daya dan kekuatan selain daripadaMu.


Doa Baginda SAW penuh kebaikan, Baginda SAW bersabda kepada kita. Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab, dan sesungguhnya, setiap Nabi berdoa untuk ummatnya, dan sesungguhnya aku menyimpan doaku sebagai syafaat untuk ummatku pada hari kiamat. Ini merupakan doa paling besar yang kita harapkan.


Maka barang siapa yang mengikut jalannya, berpandukan panduannya dan dekat dengan sunnahnya, maka beliau berhak mendapat keutamaan syafaat Nabi SAW pada hari kiamat, inshaAllah, apabila ianya diiringi dengan ikutan dan perasaan cinta.


“Katakanlah (Wahai Muhammad), jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, kamu akan dicintai Allah.”

Sumber : https://www.youtube.com/user/fattabiouni