Azan merupakan suara yang menghalau syaitan. Semasa Nabi SAW ingin mencari cara untuk memanggil manusia solat, Nabi SAW telah berbincang dengan para sahabatnya. Maka sebahagian sahabat telah memberi beberapa cadangan. Seorang sahabat telah mencadangkan azan, maka Rasulullah SAW telah bersetuju dengannya. Azan mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama kita iaitu syiar Islam di negara Islam. Allah SWT memuji para muazzin.


Allah SWT berfirman : “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya selain mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal yang soleh”. Nabi SAW bersabda, “Para muazzin mempunyai leher paling panjang pada hari kiamat”. Muazzin mempunyai kedudukan yang tinggi kerana dia adalah penolong Allah SWT dalam menyeru manusia ke hadrat-Nya dan pintu rahmatNya yang Maha Agung.


Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita tentang amal terbesar, dan hendaklah manusia berlumba-lumba mendapatkannya. Baginda SAW bersabda, “Jika manusia mengetahui ganjaran pada saf pertama dan seruan azan, kemudian mereka tidak mendapatkannya melainkan dengan undian, maka mereka akan melakukan undian”.


Manusia hendaklah mendahulukan bersegera dalam menggapai fadhilat azan. Dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, bahawa "sesiapa yang melaungkan azan, maka apa sahaja yang mendengarnya dari kalangan manusia, jin dan apa sahaja batu atau lumpur melainkan mereka akan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat." Dengan itu, manusia hendaklah melaungkan azan di rumahnya, jika dia tidak mendengar azan. Jika dia di padang pasir, maka ucapkanlah azan, sehingga dia memperolehi ganjaran azan yang besar di mana Allah SWT memuji ahli-ahlinya.

Antara adab yang penting bagi seorang muazzin ialah

  1. Dia seorang yang bertaqwa dan baik serta

  2. Seorang yang boleh dipercayai.

  3. Menghadap kiblat dan

  4. Bersuci semasa melaungkan azan.

  5. Disunnahkan ia dilaungkan dengan jelas dan

  6. Menguatkan suaranya semasa azan dan

  7. Berdiri di tempat yang tinggi. Pada hari ini, kita menggunakan pembesar suara.

  8. Kemudian meletakkan jari-jari di telinganya semasa azan dan

  9. melaungkan azan dengan lafaz yang diketahui dan masyhur, “Allahu Akbar” sehingga ke akhirnya.

  10. Disunnahkan berpaling pada lafaz “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah”, berpaling ke kanan dan ke kiri.

  11. Disunnahkan bagi muazzin ‘at-tarji’.

  12. Bagi solat subuh, disunnahkan “taswib” dengan lafaz “As-solatu khairumminannaum” 2 kali.

  13. Disunnahkan bagi muazzin berdiri semasa azan

  14. Memanjangkan lafaz azan semasa azan manakala semasa iqamah memendekkan dan mempercepatkan lafaz iqamah.

  15. Wanita dibolehkan iqamah di kalangan wanita sahaja tanpa kehadiran lelaki

  16. Tidak disunnahkan wanita melaungkan azan selama-lamanya


At-tarji’ selepas melafazkan dua takbir yang pertama, mengucapkan syahadah kepada dirinya sendiri “Asyahadualla ilaha illallah” 2 kali dan “Asyhaduanna Muhammada Rasulullah” 2 kali. Selepas itu, barulah dia melafazkan syahadah empat kali dengan suara yang kuat. Sunnah-sunnah yang penting ini perlu diamalkan semasa azan.


Sayyidah Aisyah RA berkata, Nabi SAW ketawa dan berbual mesra dengan kami sehinggalah apabila datang waktu solat dan Nabi SAW mendengar azan, Nabi SAW seolah-olah tidak mengenali kami atau kami tidak mengenalinya iaitu Nabi SAW meninggalkan segala kesibukkannya dan Nabi SAW bersedia untuk solat.


Maka apabila kita mendengar seruan muazzin, kita hendaklah bersedia untuk solat dan meninggalkan segala kesibukkan kita di dalam perbualan, penulisan, pekerjaan sehinggakan ketika membaca al-Quran hendaklah kita meninggalkan segala urusan, kerana ini merupakan seruan Allah melalui lisan penolong-Nya iaitu Muazzin.


Kemudian disunnahkan melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin. Sesungguhnya Nabi SAW mengkhabarkan “Sesiapa yang melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin dengan sepenuh hatinya, maka dia akan masuk syurga” Dalam riwayat lain, “Dia akan mendapatkan syafaatku.” Disunnahkan menjawab selepas Muazzin semasa lafaz “Asyhadu anna Muhammadarrasulullah” Ucapkanlah “Ana Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, Rodhitu billahi Rabban wabil islami diina wa bi Muhammadin Nabiyyan.” Begitu juga, apabila dilaungkan “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah” Ucapkan- lah “Laa hawla walaa quwwata illaa billahil ‘aliyyul ‘adzim”. Semasa azan subuh, muazzin melaungkan “Assolatu khairum minannaum” jawablah “Sodaqta wabararta wabilhaqqi nataqta.

Dan selepas azan disunnahkan berselawat ke atas Nabi SAW kemudian berdoa dengan doa yang diminta oleh Nabi SAW


اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ


“Wahai tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan solat yang akan didirikan kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji kepada Nabi Muhammad dan bangkitkanlah Baginda pada tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan.


Kemudian berdoa dengan doa yang kamu sukai. Maka sesiapa yang berdoa dengan doa ini Allah SWT akan memuliakannya dengan berita gembira dari Rasulullah SAW dia layak mendapatkan syafaatku. Maka ini adalah wasilah melalui doa untuk Rasulullah SAW agar kita mendapat syafaatnya pada hari kiamat.


Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa doa di antara azan dan iqamah tidak akan ditolak. Makai ia merupakan antara waktu yang penting bagi seorang mukmin untuk menyibukkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mendengarkan azan memberikan kerehatan dan melindungi dari bala. Nabi SAW memberitahu apabila syaitan mendengar azan, ia lari sambil terkentut-kentut iaitu syaitan melarikan diri semasa azan kerana ia membakar dan menyakitinya.


Azan merupakan antara nikmat Allah kepada kita. Ketika manusia mendengar azan yang bergema dari menara-menara orang islam dia merasa kerehatan dan ketenangan dan melindunginya dari bala. Maka azan terikat dengan syiar Islam, terikat dengan syiar Islam yang teragung dan terikat dengan Nabi SAW. Alangkah baiknya ketika kita mendengar azan, kita membayangkan bagaimana Nabi SAW mendengarnya dan menghadap Allah SWT sehingga ia menjadi penyambung antara kita dalam menyegerakan solat seperti bersegeranya Rasulullah SAW dalam menunaikan solat. Maka kita benar- benar mengikut Nabi SAW di dalam amalan yang paling baik dengan sebaik-baik ciptaan iaitu Nabi SAW. Justeru, kita akan memperolehi nilai dari firman Allah SWT “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”.


Kelebihan & Keutamaan Muazzin (Juru Azan)

1. Rasulullah SAW bersabda, "Imam ialah penjamin, sementara muazin ialah pemegang amanah. Ya Allah, berilah petunjuk kepada para imam dan ampunkanlah para muazin." (Abu Daud)

2. Rasulullah SAW bersabda, "Tiga golongan manusia akan berada di atas timbunan Kasturi pada hari kiamat. Semua orang sama ada orang terdahulu atau terkemudian kagum terhadap mereka. Pertama, seorang lelaki yang melaungkan azan untuk solah lima waktu pada setiap hari dan malam. Kedua, ialah seseorang yang mengimami orang ramai sedangkan mereka senang hati terhadapnya dan ketiga ialah seseorang hamba sahaya yang menunaikan hak Allah dan hak tuan-tuannya." (Tirmiżi)

3. Rasulullah SAW bersabda, Tiga golongan orang yang tidak akan menghadapi ketakutan pada hari kiamat yang dahsyat dan mereka tidak akan dihisab. Mereka bergembira di atas timbunan kasturi sehingga semua makhluk selesai dihisab. Pertama, seorang yang membaca al-Quran semata-mata mencari keredaan Allah dan dia mengimami orang ramai dan mereka suka dengannya. Kedua, seseorang yang menyeru (manusia) kepada solah semata-mata kerana mencari keredaan Allah. Ketiga, seseorang hamba Allah yang berlaku baik terhadap tuannya dan terhadap orang-orang bawahannya." (Tirmiżi, Tabarani: Majma uz-Zawa'id)

4. Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang berazan selama dua belas tahun maka dia wajib memasuki syurga. Dituliskan baginya untuk setiap kali dia berazan enam puluh hasanah dan bagi setiap iqamah tiga puluh hasanah." (Mustadrak Hakim)

5. Rasulullah SAW bersabda, “Para muazin ialah orang yang paling jenjang lehernya pada hari kiamat." (Muslim)

Keterangan: Para ulama menerangkan beberapa makna untuk hadiś ini. Pertamanya, oleh kerana orang datang menunaikan solah setelah mendengar azan yang dilaungkan oleh muazzin maka orang yang bersolah menjadi pengikut (tabi') dan muazin menjadi orang yang diikuti. Orang yang diikuti sebenarnya ialah ketua maka kerana tu leher mereka akan menjadi jenjang supaya nampak keistimewaan mereka.

6. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mengutuskan rahmat ke atas saf pertama dan para malaikat berdoa (memohon rahmat) untuk mereka. Sedangkan muazin diampunkan untuknya sejauh tempat suaranya kedengaran. Semua yang bernyawa atau yang tidak bernyawa akan membenarkannya dan dia akan mendapat ganjaran seperti ganjaran orang yang bersolah bersamanya." (Nasa'i)

7. Sayyidina Abu Sa’sa'ah berkata bahawa Sayyidina Abu Sa 'id telah berkata kepada beliau, "Apabila kamu berada di wadi (lembah) maka tinggikanlah suara kamu semasa berazan kerana sesungguhnya saya telah mendengar RasulullahSAW bersabda, 'Mana-mana pokok, busut, batu, jin dan juga manusia yang mendengar suara azan pasti akan memberi kesaksian untuk muazin itu." (Ibnu khuzaimah)

8. Rasulullah SAW bersabda, "Diampunkan bagi muazin (juru azan) sejauh suaranya kedengaran dan semua benda yang hidup ataupun yang mati yang mendengar suaranya akan memohon keampunan untuknya." Dalam riwayat yang lain menyatakan bahawa semua benda sama ada yang bernyawa ataupun yang tidak bernyawa akan menjawab azannya itu." (Musnad Ahmad, Tabarani, Bazzar: Majma uz-Zawa 'id)

9. Nabi SAW bersabda,"Diampunkan bagi muazin (juru azan) sejauh suara azannya (yakni sekiranya dosanya memenuhi ruang sejauh suaranya kedengaran maka dosa-dosa itu pun akan diampunkan), dan semua yang bernyawa dan yang tidak bernyawa yang mendengar suara azan itu akan memberi kesaksian untuknya pada hari kiamat. Orang yang menghadiri solah berjemaah (kerana mendengar suara azan itu) akan diberikan untuknya (ganjaran) dua puluh lima kali solah dan dikafarahkan (dosa-dosanya yang dilakukan) antara kedua-dua waktu solah." (Abu Daud)

Kelebihan & Keutamaan Doa ketika Azan & Iqomah serta Azan & Iqomah

1. Rasulullah SAW bersabda, "Doa tidak akan ditolak pada waktu di antara azan dan iqamah." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah yang patut kami doakan?" Baginda menjawab, "Mohonlah afiah (kesejahteraan) di dunia dan akhirat." (Tirmiżi)

2. Rasulullah SAW bersabda, Apabila dilaungkan iqamah untuk solah maka dibuka pintu-pintu langit dan doa dikabulkan." (Musnad Ahmad)

3. Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang membaca doa ini ketika muazin melaungkan azan, akan diterima doanya." (Musnad Ahmad) Terjemahan doa: "Ya Allah, Tuhan (yang mensyariatkan) seruan dakwah yang sempurna ini (azan) dan solah yang memberi manfaat, kurniakanlah rahmat kepada Nabi Muhammad SAW dan redalah terhadapnya dengan keredaan yang Engkau tidak akan murka lagi selepasnya."

4. Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu mendengar suara muazin ucapkanlah sebagaimana ucapan muazin kemudian berselawatlah kepadaku, Kerana sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah SWT akan memberi kepadanya sepuluh rahmat sebagai balasan selawatnya itu. Kemudian mintalah untukku wasilah' kerana 'wasilah' itu ialah satu tempat (yang khas) yang tidak layak untuk sesiapa pun kecuali hanya untuk seorang daripada hamba-hamba Allah dan daku berharap bahawa dakulah hamba tersebut. Sesiapa yang memohon untukku 'wasilah' maka dia berhak mandapat syafaatku." (Muslim)

5. seorang lelaki berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya para muazin telah melebihi kami (dari segi pahala). (Adakah mana-mana amalan yang membolehkan kami mendapat pahala sebanyak pahala muazin?) Maka Rasulullah bersabda, "Hendaklah kamu ucapkan sebagaimana yang mereka ucapkan. Apabila kamu telah selesai (daripada menjawab azan itu) maka berdoalah pasti permintaanmu ditunaikan." (Abu Daud)

6. Sayyidina Abu Hurairah berkata, "Pada suatu masa, kami bersama Rasulullah SAW lalu Sayyidina Bilal bangun dan melaungkan azan. Setelah Sayyidina Bilal selesai azan, Baginda SAW bersabda, "Sesiapa yang mengucapkan kalimah-kalimah yang sama dengan yakin akan memasuki syurga." (Mustadrak Hakim)

7. Rasulullah SAW bersabda, Sesiapa yang berdoa (dengan doa di bawah) ketika mendengar azan muazin, maka dosa-dosanya akan diampunkan." yang bermaksud, "Saya juga bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah yang Maha Esa lagi tidak ada sebarang sekutu bagi-Nya dan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW itu ialah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Saya telah reda bahawa Allah sebagai Tuhan, Nabi Muhammad SAW sebagai rasul dan Islam sebagai agama." (Muslim)

8. Rasulullah SAW bersabda,”Doa pada dua waktu tidak akan ditolak. Doa ketika azan dan doa ketika peperangan sedang marak.” (Abu Daud)

9. Rasulullah SAW bersabda, "Allah akan berasa kagum terhadap seorang penggembala kambing yang berada di puncak bukit melaungkan azan dan menunaikan solah. Allah berkata kepada para malaikat, "Lihatlah kamu semua kepada hamba-Ku itu, dia melaungkan azan dan iqamah serta bersolah kerana takut kepada-Ku. Aku telah ampunkan hamba-Ku itu dan tentukan kemasukannya ke dalam syurga." (Abu Daud)

10. Rasulullah SAW bersabda, sekiranya seseorang itu berada di hutan dan tibalah waktu solah maka hendaklah dia berwuduk. Sekiranya dia tidak mendapati air maka hendaklah dia bertayamum. Sekiranya dia hanya iqamah maka akan bersolah bersamanya dua malaikat (pencatit amalannya) dan sekiranya dia azan kemudian iqamah maka akan turut bersolah di belakangnya ialah tentera- tentera Allah (malaikat yang begitu banyak sehingga) kedua-dua hujung saf mereka tidak akan kelihatan." (Musannaf Abd ur-Razzaq)

11. Rasulullah SAW bersabda, "Sekiranya manusia mengetahui ganjaran yang diperoleh melalui azan dan saf pertama, dan mereka hanya mendapatinya melalui cabutan nama maka pasti mereka akan membuat cabutan nama." (Bukhari)

12. Rasulullah SAW bersabda, "Apabila azan dilaungkan syaitan akan berpaling ke belakang (melarikan diri) sambil terkentut-kentut sehingga dia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila selesai azan dia akan datang semula sehingga apabila iqamat dilaungkan dia akan lari semula. Apabila iqamat selesai dia akan datang kembali memasukkan waswas ke dalam hati orang yang bersolah. Dia berkata, "Ingatlah perkara itu, ingatlah perkara ini." (Syaitan memperingatkan) perkara-perkara yang seseorang itu tidak ingat sebelum solah sehinggalah orang yang bersolah itu lupa akan bilangan rakaat yang dia telah lakukan." (Muslim)

13. Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya apabila syaitan mendengar seruan terhadap solah (azan) maka dia akan melarikan diri sehingga ke Rauha'" Hadrat Sulaiman berkata bahawa saya telah bertanya kepada Sayyidina Jabir tentang tempat yang bernama Rauha" itu lalu beliau menjawab, "Jaraknya tiga puluh enam batu dari Madinah." (Muslim)