MENYEMBUNYIKAN RAHSIA

Masaalah manusia hari ini adalah menyebarkan kata-kata orang lain dan menyebarkan rahsia-rahsia sehinggakan ianya menyukarkan seseorang itu untuk merahsiakan sesuatu. Ditambah pula dengan perkembangan alat komunikasi, hal ini menjadi semakin rumit.

Antara akhlak Nabi Muhammad SAW dan apa yang diserunya untuk kita lakukan adalah menyembunyikan rahsia dan memelihara cerita-cerita orang lain. Nabi Muhammad SAW memberitahu kita bilamana kita di dalam hal-hal privasi iaitu apabila seseorang memberitahu kamu dan ketika dia bercakap dia menoleh sekeliling (tanda takut didengari orang lain) maka ianya adalah suatu amanah. Ketahuilah! bahawa kata-kata yang kamu dengari tidak patut disebarkan lebih-lebih lagi, bila jelas nampak tanda-tanda demikian pada sesiapa yang bercakap dengan kamu.

AMANAH DI DALAM MAJLIS-MAJLIS

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Majlis-majlis adalah sulit (rahsia)” Selagi mana kamu masih dalam majlis dengan orang-orang dan kamu masuk dalam rumah mereka atau perjumpaan mereka, perjumpaan kerja, perjumpaan keluarga atau apa sahaja jenis majlis atau perjumpaan, kamu mesti tahu apa yang dibualkan di situ adalah perkara yang khusus di tempat itu (sahaja) kecuali yang kamu ketahui adalah perkara umum yang tidak ada masalah jika disebarkan atau memberitahu (orang lain) tentangnya.  Banyak masalah manusia hari ini adalah disebabkan oleh menyebarkan kata-kata orang lain.

JENIS-JENIS MENYEMBUNYIKAN RAHSIA

Terdapat suatu jenis rahsia yang dituntut oleh syarak untuk menyembunyikannya seperti hubungan intim antara suami isteri dan ini antara perkara yang tersebar luas pada masa kini.  Pada suatu ketika Rasulullah SAW bersama sahabat dari kalangan lelaki dan wanita, Baginda bersabda : “Adakah lelaki yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian bangun tidur lalu menceritakannya kepada orang dan perempuan menceritakannya juga kepada orang sebegitu?  mereka diam.  

 

Seorang wanita yang hadir berkata: betul wahai Rasulullah, demia Allah sesungguhnya mereka (lelaki) melakukannya dan mereka (wanita) juga melakukannya”.   Baginda bersabda : Jangan lakukan yang sedemikian! Sesungguhnya (perbuatan) itu seperti syaitan jantan dan betina yang berjumpa sesama mereka di tengah jalan dan melampiaskan nafsu mereka dengan dilihat orang ramai.  Semoga Allah SWT melindungi daripada perkara tersebut.  Baginda mengambarkan kejelikkan perkara ini. Bilamana suami menyebarkan rahsia isterinya (selepas disetubuhinya) dan menyebarkan rahsia suaminya pula, perkara ini sangat peribadi, kemudian dia bangun lalu menceritakan kepada orang.  Bahkan dalam riwayat yang lain, Nabi Muhammad SAW melaknat mereka, semoga Allah SWT melindungi kita daripadanya.

Jenis rahsia yang lain adalah yang mana pemiliknya meminta kamu untuk merahsiakannya. Perkara ini sangat pelik di mana pada zaman ini mereka berkata kalau kamu nak sesuatu berita itu tersebar luas pergilah kepada sesiapa dan beritahu dia bahawa perkara ini adalah rahsia!, maka apabila kamu katakan kepadanya perkataan “rahsia”, nafsu manusia itu bertambah untuk menyebarkannya!.  Terdapat satu syahwat dalam diri manusia untuk berbicara tentang perkara pelik ataupun yang rahsia.


PARA SAHABAT DAN MENYIMPAN RAHSIA

Kita dapati dalam kehidupan Rasulullah SAW dan kehidupan sekelilingnya, Saidina Umar Ibn al-Khattab telah datang menemui Saidina Abu Bakar setelah anak perempuannya Hafsah telah bercerai. Beliau mahu menikahkan anak perempuannya dengan Saidina Abu Bakar. Beliau berkata, “Wahai Abu Bakar, aku akan menikahkan Hafsah denganmu.”  Abu Bakar diam.  Saidina Umar sedih, beliau kemudiannya berjumpa Saidina Uthman lalu berkata, “Wahai Uthman mahukah kamu menikahi Hafsah? Beliau membalas, “aku tidak berkeinginan untuk berkahwin ketika ini.” Beliau menolak dengan sopan. Saidina Umar berkata: Aku lebih sedih dengan Abu Bakar, Beliau diam…  Kemudian Rasulullah SAW meminangnya (Hafsah), kemudian Abu Bakar datang dan berkata, “Wahai Umar, demi Allah tiada apa yang menghalang aku daripada menerima pinangan kamu melainkan aku telah mendengar Rasulullah SAW menyebutnya dan aku tidak sesekali akan menyebarkan rahsia Rasulullah.

Lihatlah pada neraca pertimbangan yang menarik, menakjubkan dan indah!  Walaupun perkara itu tidak diminta olehnya untuk merahsiakannya, Rasulullah tidak meminta Abu Bakar merahsiakannya akan tetapi perkara seperti ini selalunya lebih baik dirahsiakan.  Oleh itu, pertunangan itu disunatkan agar dirahsiakan manakala pernikahan itu disunatkan agar dihebahkan. Dan Rasulullah SAW berpesan kepada kita “Manfaatkanlah kerahsiaan bagi memenuhi keperluan-keperluan (kamu), setiap yang mempunyai nikmat dicemburui”

Hari ini, siapa sahaja apabila pergi ke suatu tempat terus sahaja memasukkan info tersebut ke dalam media sosial mereka… saya akan pergi… saya akan buat ini dan itu…  Jadi manusia itu perlu untuk memanfaatkan kerahsiaan untuk memenuhi keperluannya sehinggalah terlaksana.

KISAH MENGENAI ANAK PEREMPUAN RASULULLAH SAW

Saidatina Fatimah az-Zahrah ketika Baginda SAW sedang nazak masuk dan ketika itu ada bersamanya isteri-isteri Baginda SAW. Baginda SAW mengisyaratkan kepadanya, lalu beliau mendekati Nabi. Baginda membisikkan ke telinganya lalu beliau menangis.  Kemudian baginda membisikkan sesuatu yang lain, kemudian beliau ketawa. Apabila beliau ingin beredar, Saidatina Aishah bertanya, “Apa yang Rasulullah SAW beritahu kamu? kamu nangis kemudian kamu ketawa”?  Beliau berkata, “Aku sesekali tidak akan menyebarkan rahsia Rasulullah SAW”. Maka beliau tidak menceritakannya.  Setelah kewafatan Rasulullah SAW, beliau ditanya kepadanya lagi dan sekarang Rasulullah SAW telah wafat, sesungguhnya baginda berkata kepada aku itu dan ini…. di dalam kisah Panjang yang masyhur.

DADA ORANG YANG MERDEKA ADALAH KUBUR BAGI RAHSIA-RAHSIA

Saidina Hudzaifah Ibn al-Yamani merupakan pemegang amanah Nabi SAW tentang rahsia siapa dia orang-orang munafik dan tentang perkara-perkara berkenaan fitnah (ujian) dan apa yang akan berlaku di masa hadapan. Isu ini sangat besar, akan tetapi beliau layak untuk memegang amanah ini.  Kadangkala manusia itu sempit dadanya dengan menyembunyikan rahsianya sendiri!  Bilamana dada kamu sempit untuk menyimpan rahsia kamu sendiri sehinggakan kamu memberitahunya kepada orang lain, maka ketahuilah dada orang lain itu lebih sempit untuk menyimpan rahsia itu. Jika kamu mampu untuk menyembunyikan rahsia kamu maka sembunyikanlah!  Janganlah kamu memberitahukannya kepada orang lain melainkan dia pandai menyimpan rahsia.  Apabila ada manusia yang memberitahu kamu suatu rahsia, maka rahsiakanlah deminya.  Maka sesungguhnya menyembunyikan rahsia itu merupakan tanda keimanan dan kepercayaan.

Dan kita berharap agar Allah SWT memuliakan kita dengan rahsia-rahsia cahaya : Katakanlah (Wahai Muhammad) “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu”.