Allah SWT tidak ciptakan lelaki yang lebih kuat daripada Nabi SAW. Manusia menyangka kekuatan dan kekasaran adalah lambang kelakian, sebenarnya tidak. Salah satu sudut penting dalam kehidupan Nabi SAW adalah hubungan baginda dengan isteri-isteri dan ahli keluarga.

Baginda SAW bersabda “Yang terbaik antara kamu adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan akulah yang terbaik untuk keluargaku.” Dalam riwayat yang lain, “Yaitu terbaik antara kamu adalah yang berbuat baik kepada isterinya dan akulah yang terbaik buat keluargaku.”

Wanita ibarat cahaya bintang dambaan lelaki, tanpanya lelaki akan hidup dalam kegelapan. Jika kita bercakap tentang romantis, cinta atau emosi jika kita lihat kepada hidup Nabi SAW kita akan dapati bahawa baginda adalah insan yang paling lembut, baik hati, terbaik dan sangat pemurah dalam setiap urusan hidup baginda. Jika nak cari tentang cinta dan kesetiaan, kita akan menemui cinta baginda SAW kepada Khadijah. Demi kesetiaan dan cinta, baginda sanggup menyembelih seekor kambing dan bersabda “Ambillah sembelihan ini dan bahagikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah.” Sekarang, siapa lagi yang fikirkan tentang sahabat-sahabat isteri?

Kajian membuktikan suami yang mengucupi isterinya setiap pagi hidup lebih lama daripada mereka yang tidak melakukannya. Manusia mungkin membayangkan Nabi SAW yang fasih bercakap dan berkeyakinan tinggi. Orang yang duduk di sebelah baginda seolah-olah ada burung atas kepala mereka. Salah seorang sahabat membayangkan ini lalu pergi kepada Aisyah dan bertanya “bagaimana kelakuan kamu bila Bersama dengan Rasulullah? “Ketika kami Bersama baginda, kami tak sanggup melihat terus ke mata baginda, Aisyah menjawab : “Di rumah baginda seperti kami semua, baginda bergurau senda, makan dengan kami dan bersihkan rumah.”

Sekarang ini, adakah lelaki antara kita yang sanggup menyapu lantai rumah? Kadangkala, apabila lelaki diminta membersihkan rumah atau tandas ia dianggap sebagai menjatuhkan kelakiannya. Nabi SAW pernah membersihkan rumah. Baginda juga menjahit pakaiannya. Baginda menampal pakaiannya dan mengikat sarung pedangnya.

Wanita yang membawa lelaki kepada kebahagiaan. Bila Nabi SAW duduk Bersama isterinya, baginda akan tunaikan haknya, Baginda menghias diri untuk mereka dan dengan penuh kelembutan baginda akan bergurau senda dengan isteri-isterinya. Diriwayatkan bahawa baginda pernah keluar berlumba berkali-kali dengan Aisyah.

Jika hendak berbicara tentang keindahan cinta, renungilah kehidupan Nabi SAW ini bukannya cerita yang jarang berlaku dalam hidup Nabi SAW. Orang mungkin katakan perstiwa itu hanya berlaku beberapa kali saja. Beginilah seluruh kehidupan perkahwinan baginda SAW.

Pada hari perjanjian Hudaibiah dimerterai, ketika Nabi SAW nak pulang para sahabat sangat sedih dan begitu juga baginda kerana sahabatnya tak dengar katanya, Isterinya, Ummu Salamah berkata, wahai Rasulullah, kenapa kau sedih? Baginda SAW menjawab “Sahabatku buat itu dan ini,” beliau berkata : “Janganlah pedulikan mereka, ya Rasulullah, keluarlah dan sembelihlah haiwan kemudian cukurlah kepalamu nescaya mereka akan ikut.”

Nabi SAW menuruti pandangan Ummu Salamah itu dan ia direkodkan dalam sejarah bahawa Muhammad Bin Abdullah yang menerima wahyu, manusia paling bijaksana dan lemah lembut menurut pendapat isterinya dalam keadaan tertentu.

Nabi SAW takkan keluar bermusafir melainkan ditemani salah seorang isterinya. Baginda akan membuat undi untuk menentukan siapa yang akan menemaninya. Ketika menunaikan haji wada’, baginda membawa semua isterinya bersama-sama.

Nabi SAW tak pernah menganggap bahawa wanita sebagai beban. Suatu masa, salah seorang isteri Nabi dikatakan isteri itu adalah Safiayyah beliau nak menaiki unta tapi tak berjaya lalu Rasulullah merendahkan diri baginda dan menawarkan lututnya untuk membolehkan beliau naik ke belakang unta tersebut. Kita boleh bandingkan situasi ini dengan membuka pintu kereta untuk isteri, siapa yang rela hati bukakan pintu untuk isterinya pada hari ini dengan beranggapan bahawa ia adalah demi mengikut sunnah Nabi SAW.

Peratus wanita di dunia yang didera oleh suami mereka adalah antara 50%- 60%. Dalam riwayat-riwayat hidup Nabi SAW baginda tak pernah walau sekalipun memukul wanita sepanjang hidupnya. Hari ini, jika seseorang anggap dirinya lelaki lalu memukul wanita dia akan merasakan dirinya kuat. Katakan kepadanya, lelaki yang seribu kali lebih lelaki dari kamu iaitu Nabi Muhammad SAW tak pernah mengangkat tangannya ke muka wanita. Bagindalah insan yang sempurna. Jadi, jika ada lelaki yang mengangkat tangannya untuk memukul isteri kelakiannya malahan semakin tercalar. Lelaki yang ingin mencontohi kelakian Nabi SAW, bagindalah seorang yang mengambil berat, sabar, penyayang, sentiasa tersenyum jika berjumpa ahli keluarganya. Inilah insan yang sempurna. Nabi SAW ketua segala lelaki, risaukan kaum wanita. Ini adalah pesanan buat semua wanita, sesungguhnya Nabi SAW sangat mengasihani kalian berbanding kaum lain di dunia ini.

Antara amanat terakhir baginda sebelum wafat adalah mengingatkan kita tentang solat kemudian baginda bersabda: ”Pertahankan wanita dan berbuat baik dengan mereka.” inilah lambang kehebatan Nabi SAW “Lelaki terbaik antara kamu adalah yang berbuat baik dengan ahli keluarganya dan aku adalah yang terbaik untuk keluargaku.” Jika anda nak berada dekat dan disayangi oleh Rasulullah SAW bergaullah dengan isteri anda dengan pergaulan yang baik. Bersabar, berlembut dan bermesra dengan mereka. Berbuat baiklah dengan menunaikan hak-hak mereka. Inilah yang akan membawa anda lebih dekat dengan Rasulullah SAW kerana cuba mencontohi baginda dan ini akan melayakkan anda mendapat tempat berdekatan dengan kolam baginda di hari kiamat kelak insyaAllah.

Allah SWT berfirman: Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah nescaya Allah akan mengasihimu. (Ali-Imran : 31)