Rasulullah SAW datang kepada manusia, dengan perkara-perkara yang tidak mereka ketahui daripada amalan kebersihan. Antara perkara yang telah diajarkan kepada manusia ialah bersiwak. Bersiwak adalah Sunnah yang mudah, namun pahalanya, kesannya dan faedahnya sangat besar. Antara faedah siwak yang agung dalam aspek keduniaan dan pancaindera ialah ia dapat membersihkan gigi dan memutihkannya, menguatkan gusi, menghilangkan kaviti dan menjauhkan dari bakteria serta memberi manfaat untuk perut dan akal.


Bahkan Nabi SAW menyebutkan bahawa antara faedah maknawinya ialah ia dapat menghalau syaitan. Mereka yang mempunyai siwak maka syaitan akan lari daripadanya. Ia juga dapat menggandakan pahala dan kebaikan. Ia juga dapat menolong dalam ucapan syahadah pada saat kematian iaitu ia merupakan satu sebab ‘husnul khotimah’. Antara faedah siwak yang besar ialah siwak menyebabkan keredhaan Allah SWT seperti yang telah disabdakan Nabi SAW : Siwak ialah keredhaan Allah, membersihkan mulut dan di dalam riwayat lain siwak menghalau syaitan.”


Maka segelintir sahabat merasa kagum bagaimana kayu yang digunakan untuk membersihkan gigi merupakan sebab keredhaan Allah. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjalinkan antara amalan seharian kita yang berfaedah bagi kebersihan dan kesihatan kita, dengan perkara utama bahkan perkara yang paling tinggi iaitu redha Allah SWT.


Disunnahkan penggunaan siwak melebihi 20 kali sehari. Antara perkara penting ialah mengetahui tujuan siwak ialah membersihkan mulut dan gigi serta menyegarkan nafas. Ia boleh dicapai dengan sebarang alat, namun cara yang paling baik dan utama adalah yang diajarkan oleh Nabi SAW iaitu kayu arak yang merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW, kerana ia mempunyai bahan yang membersihkan dan menyahkuman dan bermanfaat untuk semua bahagian mulut, gigi, gusi dan sebagainya.


Namun, jika manusia tidak menemui kayu ini maka dibolehkan dengan kulit batang kurma, dengan batang pokok raihan atau apa-apa batang yang mempunyai bau yang wangi dan juga boleh menggunakan berus dan ubat gigi seperti yang digunakan pada hari ini. Nabi SAW bersabda : Jika tidak memberati ummatku, maka aku akan mewajibkan siwak dengan wudhu. Rasulullah SAW mempunyai kaedah dalam menggunakan siwak. Jika kita bersiwak mengikut kaedah Rasulullah SAW, kita akan melakukan banyak Sunnah yang terhimpun dalam satu Sunnah lalu beroleh ganjaran yang banyak, serta memperoleh banyak faedah dari segi kesihatan dan akhirat. Maka disunnahkan memegang siswak seperti yang diajarkan oleh Rasulullah (SAW).


Disunnahkan siwak dipegang di antara jari kelingking dan ibu jari dan di atas jari-jari selainnya. Kemudian disunnahkan sebelum menggunakan siwak agar mencucinya dan melembutkannya dengan air. Kemudian mulakan siwak dari sebelah kanan dan dari bahagian atas. Maka mulakan dari bahagian atas ke bawah dan menggerakkan siwak dalam bentuk bulatan.   Kemudian lalukan ia bahagian atas gigi kemudian bahagian belakang gigi. Disunnahkan juga menyapu lidah dan lelangit dengan siwak 3 kali.


Rasulullah SAW mengajar kita untuk menggunakan siwak secara melintang. Ada di antara manusia yang mempunyai sesuatu di celahan giginya, dengan itu, Rasulullah SAW memberitahu kita akan Sunnah ‘Tahlil’ (Menyelati). Jika seseorang ingin bersiwak, sebaik-baiknya kita mencungkil gigi dengan ‘floss’ sekiranya terdapat sesuatu di celah-celahnya.

Apabila selesai bersiwak, disunnahkan mencucinya dari kesan air liur. Maka ini merupakan kaedah yang baik dalam menggunakan siwak. Jika seseorang beramal dengannya, ia akan beroleh banyak kebaikan dan dia mengikuti Sunnah Rasulullah SAW.


Kajian membuktikan bahawa kayu Arak mempunyai kelebihan yang besar berbanding teknologi terkini. Rasulullah SAW sangat mementingkan siwak sehinggakan beliau tidak pernah meninggalkannya semasa musafir atau tidak, sehinggakan Baginda melantik Abdullah Bin Mas’ud dalam kesibukan dan pekerjaanya, sebagai pemegang siwak Rasulullah SAW.


Nabi SAW menggunakan siwak dalam banyak keadaan namun antara keadaan yang terpenting ialah sebelum berwudhu’ dan sebelum solat. Kerana Rasulullah SAW telah bersabda kepada kita, “Jika aku tidak memberati ummatku, nescaya aku wajibkan siwak ke atas mereka setiap kali sebelum wudhu’. Dalam riwayat lain, “Setiap kali sebelum solat”.


Namun siwak disunnahkan dalam banyak keadaan, semasa keluar rumah dan semasa masuk ke dalamnya, semasa bangun dari tidur dan hendak tidur, semasa bau mulut berubah, semasa membaca al-Quran.


Apa yang penting siwak disunnahkan dalam banyak keadaan bahkan dalam keadaan yang penting. Antara kejadian penting yang menunjukkan kedudukan siwak di sisi Rasulullah SAW ialah seperti yang dikhabarkan oleh Saidatina Aisyah semasa saat kewafatan Rasulullah, Baginda bersandar di atas dadanya (Aisyah). Beliau berkata “Aku melihat Baginda melihat ke arah siwak di atas lantai”.   Maka aku mengambilnya dan menggigitnya supaya ia lembut dengan air liurku. Kemudian aku memberikannya kepada Nabi SAW untuk bersiwak dengannya.


Beliau berbangga kerana perkara terakhir yang masuk ke dalam mulut Nabi SAW ialah air liurnya. Begitu juga siwak, ia layak berbangga kerana alat terakhir yang masuk ke dalam Baginda ialah siwak. Dan bagi Sunnah yang agung ini, jika siwak tidak mempunyai nilai lain kecuali kedudukannya semasa kewafatan Nabi, cukuplah bagi kita untuk tidak meninggalkan siwak sehingga ke akhir hayat kita, dalam merealisasikan maksud ‘mengikut Nabi’ yang ditunjukkan dalam firman Allah “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”.

KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN BERSIWAK

1.  "Sekiranya tidak akan menyusahkan umatku maka pasti aku memerintahkan mereka bersugi ketika setiap kali menunaikan solah (Muslim).

2.  Empat perkara ialah sebahagian daripada sunnah para rasul, 1. malu. 2 minyak wangi, 3. bersugi dan 4. bernikah." (Tirmizi)

3.  Sepuluh perkara ialah antara amalan sunnah para nabi  1. menggunting misai, 2. menyimpan janggut, 3. bersugi, 4. memasukkan air ke dalam hidung (semasa berwuduk),  5. memotong kuku,  6. membasuh tempat-tempat yang berlipat pada sendi-sendi jari (demikian juga bahagian lain pada badan tempat kotoran berkumpul seperti lubang telinga dan hidung, ketiak dan lain-lain), 7. mencabut bulu ketiak, 8. mencukur bulu ari-ari dan 9. beristinja dengan air. Perawi hadis yakni Hadrat Mus'ab berkata bahawa beliau telah lupa perkara yang kesepuluh. Mungkin perkara yang kesepuluh itu ialah berkumur-kumur." (Muslim)

4.  Bersugi akan membersihkan mulut dan menyebabkan keredhaan Allah" (Nasa’i)

5.  "Setiap kali Jibrail datang kepada saya pasti dia benar-benar menyuruh saya bersugi sehingga saya bimbang akan melecet bahagian depan gusi saya (kerana kerap bersugi)." (Musnad Ahmad)

6.  Sesungguhnya apabila bangun daripada tidur sama ada pada waktu malam atau siang maka Baginda akan bersugi sebelum Baginda berwuduk, (Abu Daud)

7.  "Sesungguhnya apabila seseorang hamba bersugi kemudian bangun bersolah maka seorang malaikat akan berdiri di belakangnya mendengar dengan penuh perhatian akan bacaannya kemudian malaikat itu menghampirinya sehingga dia meletakkan mulutnya pada mulut orang itu. Maka segala Iafaz bacaan al-Quran yang keluar dari mulutnya akan terus masuk ke perut malaikat itu (dan demikianlah sehingga hamba itu menjadi orang yang dikasihi oleh para malaikat) Oleh sebab itu, hendaklah kamu membersihkan mulut kamu (dengan mengambil berat untuk bersugi) untuk tilawah al-Quran (Bazzar: Majma uz-Zawa' id).

8.  "Dua rakaat solah setelah bersugi lebih afdal di sisi Allah daripada tujuh puluh rakaat tanpa bersugi." (Bazzar: Majma` uz-Zawa' id)

9.  Apabila Rasulullah saw bangun untuk bertahajud maka Baginda akan membersihkan mulutnya dengan miswak. (Muslim)

10.  "Saya telah bertanya Sayyidatina Aisyah tentang perkara pertama yang Nabi akan lakukan apabila Baginda memasuki rumah, maka beliau menjawab, Baginda sentiasa bersugi." (Muslim)

11.  "Rasulullah tidak akan keluar dari rumah untuk menunaikan mana-mana solah melainkan setelah bersugi." (Tabarani: Majmal uz-Zawa'id)

12.  "Pernah saya berada dalam rombongan yang pergi berjumpa Nabi saw maka Baginda telah membekalkan kami dengan kayu `araak' (pokok miswak) yang kami gunakan untuk bersugi. Kami berkata kepada Baginda "Wahai Rasulullah, kami mempunyai hujung pelepah tamar untuk bersugi. Walau bagaimanapun, kami menerima penghormatan dan pemberian tuan kepada kami." (Tabarani: Majma’ uz-Zawa' id)