Nabi SAW mengajar manusia perkara yang tidak diketahuinya sebelum ini. Nabi SAW mengajar kita bahawa menziarahi orang sakit mempunyai ganjaran yang besar. Baginda SAW telah meninggikan kefahaman kita dengan melakukan amalan insani yang dapat menenangkan orang lain. Ia juga suatu perintah yang agung bahawa kita sedang bermuamalah dengan Allah SWT.

Baginda SAW telah menyebut kepada kita di dalam hadis yang perlu diambil perhatian dan difikirkan. Nabi SAW bersabda, “Allah SWT telah berfirman kepada anak Adam, Aku telah sakit, dan kamu tidak menziarahiku! Maka hambaNya telah berkata, “Bagaimana aku menziarahimu sedangkan Engkau Tuhan sekelian alam?” Allah SWT menjawab, “Tidak engkau tahu bahawa si polan telah sakit dan engkau tidak datang menjenguknya?” Sekiranya engkau menjenguknya, nescaya engkau mendapati Aku di sisinya!

Perkataan ‘di sisiku’ perlu diambil perhatian, iaitu ia adalah perintah menggembirakan hati mereka yang sakit. Bagi orang yang sakit, Allah berada di sisinya, dekat dengannya. Dan dengan itu, mereka yang menziarahi orang sakit, mengetahui bahawa aku sekarang seperti menziarahi Allah.

Di dalam sebuah hadis lain, “Barangsiapa yang menjenguk orang sakit pada waktu ‘ghudwah’ iaitu waktu subuh, 70 ribu malaikat akan berselawat ke atasnya sehingga waktu petang Dan barangsiapa yang menjenguk orang sakit pada waktu petang, 70 ribu malaikat akan berselawat ke atasnya sehingga ke pagi. Bilangan malaikat yang banyak ini memohon keampunan buatku, berselawat ke atasku, dan mendoakan kebaikan buatku, ketika mana aku menjenguk saudara muslimku yang sakit.

Nabi SAW menjenguk setiap golongan yang sakit di kalangan umatnya. Baginda SAW menjenguk wanita yang sakit, hamba sahaya, orang islam dan bukan islam, para sahabatnya di kalangan tenteranya yang cedera sehinggakan kepada orang badwi bukan Arab.

Baginda tidak meninggalkan satu pun golongan masyarakat yang sakit melainkan pasti dijenguk kesemuanya. Sama ada di dalam Madinah atau kampung dan kawasan di sekitar Baginda SAW.

Maka dengan itu, ketika mana Ummu Saaib sakit, Baginda SAW telah menziarahinya, apabila Baginda SAW menemuinya, beliau sedang mengutuk penyakitnya iaitu demam. Maka Baginda SAW berkata kepadanya, ‘Wahai Ummu Saib, janganlah engkau membenci penyakitmu dengan mencacinya, sesungguhnya ia menghapuskan keburukan seperti terhapusnya kekotoran pada besi semasa dibakar.

Baginda SAW menjenguk orang sakit, menenangkannya serta mengajarkannya. Beginilah seharusnya semasa menjenguk orang yang sakit. Nabi SAW bukan sahaja mengajar para sahabatnya mengenai perintah ini serta mendidik mereka, bahkan Baginda SAW memberi kepada pesakit keyakinan dan semangat yang tinggi.

Sehinggakan baginda telah mengarahkan Saidina Umar al-Khattab dengan bersabda, “Wahai Umar, jika engkau menziarahi mereka yang sakit, maka suruhlah mereka mendoakan untukmu, kerana sesungguhnya doa mereka seperti doa para malaikat.

Adab menziarahi orang sakit – Dalam hal menziarahi orang yang sakit, Nabi SAW telah mengajarkan adab, nilai-nilai dan makna-makna. Adab yang paling penting ialah memilih waktu yang sesuai. Jangan menjenguk orang yang sakit ketika dia agak sibuk atau dia sedang penat atau lewat malam semasa dia hendak tidur. Sesungguhnya ini membebankan orang yang sakit melampaui kemampuannya.

Nabi SAW bersabda : Tidaklah seorang Muslim itu ditimpa musibah, melainkan Allah SWT mengampunkan dosanya walaupun duri menusuk badannya.

Antara adab ketika menziarahi orang yang sakit ialah menyenangkan hatinya, dan menyenangkan hati mereka dalam pelbagai bentuk antaranya Nabi SAW bersabda, ‘Apabila kamu menziarahi orang yang sakit, maka hilangkanlah kerunsingan mereka terhadap penyakitnya’. Maka perkara ini akan memulihkan semangat mereka. Katakan kepada orang yang sakit, ‘Insha Allah, engkau akan dipanjangkan umur, Allah akan panjangkan umurmu, engkau akan sihat’. Perkara ini memberi motivasi kepada mereka yang sakit.

Para pengkaji telah menyebutkan bahawa, ianya merupakan antara sebab yang penting di dalam penyembuhan. Memberi motivasi kepada orang yang sakit, kerana ini merupakan salah satu sebab penyembuhan.

Ketika mana Baginda SAW menziarahi orang yang sakit, Baginda SAW mengatakan kepadanya : ‘Sembuh! In Sha Allah’. Ketika menziarahi orang yang sakit, Baginda SAW mendoakannya, ada ketikanya, Baginda SAW meletakkan tangannya di atas bahagian yang sakit dan berdoa dengan sebahagian doa. Antaranya, Nabi SAW berdoa kepada orang yang sakit, :


اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقْمًا

Wahai tuhan manusia, hilangkanlah penyakit, sembuhkanlah sesungguhnya engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan melainkan kesembuhanmu, Kesembuhan yang menghilangkan kesakitan. Dalam riwayat lain, kesakitan dan penyakit.

Nabi SAW mengkhabarkan, ‘Jika kamu menjenguk orang sakit yang belum nazak, iaitu orang yang penyakitnya bukan di tahap kritikal dan belum hampir kepada ajal- nya, maka doakanlah dia dengan doa ini,

أَسْأَلُ الله الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

“Aku memohon kepada Allah, Tuhan Arasyh yang agung agar menyembuhkamu,

dibaca sebanyak 7 kali, nescaya Allah akan menyembuhkannya dari penyakit itu.

Setiap perkara yang diajarkan Nabi dalam menziarahi mereka yang sakit, mem-berikan kita isyarat bahawa Nabi SAW merupakan seorang yang sangat sibuk, juga seorang guru, pembimbing yang mempunyai keluarga yang besar serta memberi sedekah kepada faqir miskin dan mengetuai peperangan, namun tidak pernah mengabaikan perkara penting ini di dalam kehidupannya. Bahkan Baginda SAW sentiasa mengutamakan orang yang sakit.

Dengan itu, ada ketikanya, Nabi SAW menyoal para sahabatnya, adakah di antara kamu yang telah menziarahi orang yang sakit? Maka Abu Bakar sentiasa menjawab, “Aku wahai Rasulullah” maka Nabi SAW pun tersenyum. Soalan ini akan sentiasa ditanyakan oleh Rasulullah SAW kepada setiap anggota masyarakat.

Setiap hari, ingatlah bahawa Rasulullah SAW menyoalmu, “Adakah engkau telah menziarahi orang yang sakit?” Jika engkau membayangkan soalan yang diajukan oleh Rasulullah SAW ini, nescaya ia akan menguatkan ikutanmu dan hubunganmu dengan Nabi SAW.

Maka ini akan menjelaskan makna firman Allah, “Katakanlah (Muhammad) jika engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah.” Semoga Allah mengurniakan kita ‘mengikut’ jalan Nabi SAW dan cintaN- ya (di dalam ayat tadi).