Sunnah Makan

Antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada kita adalah makanan dan minuman. Allah SWT jadikan makan dan minum sebagai asas penting dalam hidup manusia. Manusia takkan boleh meneruskan kehidupan tanpa makan dan minum. Islam juga mengambil berat tentang makanan. Nabi SAW meninggalkan kepada kita pelbagai sunnah yang berkaitan dengan makan.

Pelbagai amalan yang kita boleh amalkan berkaitan dengan nikmat ini. Perkara pertama yang ditegaskan oleh Allah SWT tentang nikmat ini dalam firman-Nya: “Makan dan minum lah” yang bermaksud makanlah dengan senang hati. Ini adalah nikmat dan pemberian-Ku. Makanlah dan minum lah. Namun ada dua syarat penting. Allah SWT berfirman: “dan janganlah kamu membazir.”

Pertama, Allah menegah kita daripada membazir. Kedua, Allah menegah kita daripada makanan yang haram. Makanan merupakan sumber tenaga kerja untuk tubuh badan.

Terdapat banyak amalan Nabi SAW berkaitan dengan makanan. Sunnahnya yang pertama adalah sunnah membasuh tangan. Kita mesti membasuh tangan sebelum makan. Ramai orang membasuh tangan tapi mereka lupa bahawa ini adalah antara sunnah Rasulullah SAW. Ia bukan hanya untuk kebersihan sahaja tapi ia juga adalah sunnah Rasulullah SAW.

Selepas membasuh tangan, kita disunatkan duduk dengan betul di depan makanan. Nabi SAW duduk dengan kedudukan iftirasy. Dengan cara duduk seperti ini, Nabi SAW bermaksud beradab di depan Allah SWT.

Antara sunnah lain adalah dengan membaca bismillah. Antara sunnah Rasulullah SAW juga termasuklah makan dengan tangan kanan. Sabda Rasulullah SAW: “Wahai anak muda, bacalah bismillah, makan dengan tangan kanan, makanlah apa yang berdekatan denganmu.” Penting untuk kita makan makanan yang berdekatan dengan kita terutama bila berkongsi makanan. Tapi jika makan daripada pinggan yang berlainan bolehlah kita ambil yang mana-mana dulu. Namun bagi makanan yang dikongsi tak elok untuk kita ambil yang jauh. Orang akan berasa tidak selesa jika kita berbuat begitu.

Nabi SAW makan dengan suapan yang kecil. Baginda SAW makan dengan tangan kanan. Nabi SAW juga tak makan makanan yang terlalu panas. Baginda SAW bersabda bahawa tiada keberkatan pada makanan seperti itu. Sabda Rasulullah SAW: “Kalau serpihan makanan jatuh, kutip, bersihkan dan makanlah, jangan tinggalkannya untuk syaitan.”

Kalau kita nak ajar ahli keluarga kita, masaklah makanan yang kita perlukan sahaja. Jika ada makanan lebih, katakan kita akan kurangkannya esok. Untuk mengajar anak-anak, jika mereka tinggalkan baki makanan dalam pinggan katakan padanya: “anakku, apa kita nak buat dengan makanan ini?” Kita bertanggungjawab terhadap makanan ini di hari kiamat nanti.”

Antara sunnah Nabi SAW adalah melicinkan pinggan. Baginda takkan tinggalkan saki baki makanan dalam pinggan. Baginda juga menjilat jari-jarinya dan bersabda: “Kamu tak tahu di cebisan mana terletaknya keberkatan.” Mungkin di sisa terakhir makanan itu Allah letakkan keberkatanNya dan mungkin padanya ada penawar dan menyihatkan tubuh badan anda. Inilah disiplin yang diamalkan oleh Rasulullah SAW berkaitan dengan makanan.

Kadangkala, terdapat lebihan sisa makanan, ini kerap berlaku di restoran dan juga di rumah. Membiarkan makanan dibuang merupakan kesalahan yang besar dan ia juga menjadi sebab timbangan amalan menjadi ringan di hari kiamat. Jika ada lebihan makanan asingkan dan bungkuskannya kemudian berikan kepada mereka yang memerlukan. Tak perlu malu untuk lakukan perkara ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Lembutkan makanan dengan zikrullah dan solat, jangan tidur di atasnya nescaya hatimu akan menjadi keras.” Nabi SAW ada makanan kegemaran. Baginda suka makan thareed iaitu roti dan daging campur berkuah. Masakan seperti ini wujud hingga hari ini dalam pelbagai bentuk Hareez, Thareed, Qursaan, Lasagna. Banyak masakan kini menggunakan bahan-bahan ini. Itulah Thareed, roti daging campur berkuah. Nabi SAW sukakan makanan ini. Nabi SAW makan tembikai bersama kurma. Baginda makan kurma dulu kemudian diikuti dengan tembikai. Kadangkala, baginda makan Qithaa dengan kurma, sejenis timun yang berwarna cerah. Baginda SAW makan kurma dulu kemudian Qithaa.

Nabi SAW bersabda: “Kita leraikan kepanasan makanan ini dengan kesejukan makanan ini.” Nabi SAW sukakan makanan manis. Jadi belilah manisan sama ada coklat, pastri, biskut, kek dan semua jenis manisan termasuk aiskrim. Ada sabda Nabi SAW untuk mereka yang sukakan aiskrim: “Sesungguhnya Rasulullah SAW sukakan makanan manis dan sejuk.” Antara makanan lain yang digemari Nabi SAW adalah cuka dan minyak zaitun. Nabi SAW menyebut kebaikan cuka ketika sebuah keluarga berasa malu untuk hidangkan cuka kepada baginda SAW. Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik kuah adalah cuka.” Cuka bukan makanan yang remeh. Ia adalah makanan yang bagus. Hadis kedua adalah tentang minyak. Nabi SAW sukakan minyak terutamanya minyak zaitun. Sabda baginda SAW: “Ambillah minyak dan sapukannya kepada badan, sesungguhnya ia dari pohon yang diberkati.”

Antara adab makan amalan Nabi SAW adalah dengan memuji Allah setelah selesai makan. Baginda bersabda: “Segala puji bagi Allah yang memberikanku makanan dan rezeki ini dari sisi-Nya, bukan dari kekuatanku.” Selepas makan, kita disunatkan membasuh tangan dan berkumur. Inilah secara ringkasnya, antara sunnah Nabi SAW ketika makan.

Hadis Nabi SAW lain yang menarik perhatian kita adalah: “Sesungguhnya Allah meredhai hambaNya yang makan kemudian mensyukuriNya, yang minum kemudian mensyukuri Allah kerana minuman itu.” Kita akan sentiasa tahu Nabi SAW merupakan contoh terbaik untuk setiap urusan hidup kita.

Allah SWT berfirman: “Katakanlah: Jika kamu benar-benar cintai Allah ikutilah aku. Nescaya Allah akan mengasihimu. (Ali-Imran:31)

Adab & Sunnah

  1. Basuh tangan

  2. Duduk dengan betul di depan makanan

  3. Membaca bismillah

  4. Makan dengan tangan kanan

  5. Makan apa yang berdekatan denganmu

  6. Makan dengan suapan yang kecil

  7. Makan dengan tangan kanan

  8. Kutip makanan yang jatuh, bersihkan dan makan semula.

  9. Jangan membazir

  10. Melicinkan pinggan

  11. Menjilat jari

  12. Membaca doa selepas makan

  13. Mensyukuri nikmat Allah SWT