Pakaian

Nabi SAW seorang yang indah dan cantik serta baginda indah dalam setiap aspek. Antara keindahan Nabi SAW ialah adabnya dengan pakaiannya.

Baginda SAW menyukai warna putih dan juga warna hijau. Nabi SAW memakai pakaian berbelang merah dan hijau. Nabi SAW juga memakai warna hitam. Nabi SAW memakai serban, songkok dan Nabi SAW memakai gamis dan gamis yang paling disukai Nabi SAW ialah baju (jubah). Ini merupakan baju yang paling disukai Nabi SAW. Nabi SAW juga memakai ‘hullah’ iaitu potongan selendang dan kain.

Seorang sahabat telah berkata “Aku tidak pernah melihat seorang yang memakai hullah merah di malam yang gelap lebih indah dari Rasulullah SAW”. Nabi SAW juga memakai jubah dan menutup kepalanya dengan selendang. Beginilah keadaan Nabi SAW dan Nabi SAW mempunyai adab dengan pakaiannya. Nabi SAW memakai pakaian, baju dan seluar bermula dari sebelah kanan sebelum sebelah kiri dan menyebut nama Allah SWT (membaca basmalah).

Baginda SAW membaca doa ketika memakai pakaian,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ

“Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku pakaian ini dan memberiku rezeki tanpa daya dan kekuatan dariku”

Jika pakaian itu baru, Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan kebaikan padanya dan menjauhkan ia dari keburukan. Apabila Nabi SAW berjumpa dengan mereka yang memakai baju baru Nabi SAW berdoa kepadanya

الْبَسْ جَدِيدًا ، وَعِشْ حَمِيدًا ، وَمُتْ شَهِيدًا

“Pakailah pakaian baru, hiduplah dengan kemuliaan dan matilah sebagai syahid.

Beginilah sifat Rasulullah SAW, semua perkara ini adalah untuk menunaikan perintah Allah SWT kerana manusia memakai pakaian untuk menutup auratnya dan sebagai perhiasan. Seperti yang telah diperintahkan Allah di dalam firmanNya, “Kami telah menurunkan pakaian untuk menutup auratmu” (al-A’raf : 26). Allah SWT telah berfirman, “Pakailah pakaianmu yang indah setiap kali ke masjid” (al- A’raf : 31).

Maka manusia berhias dengan pakaian yang baik tanpa berbangga-bangga dan bermegah-megah. Nabi SAW berjumpa dengan seorang yang berpakain lusuh. Nabi SAW bertanya, “Adakah engkau tidak mempunyai harta? Jawabnya, “Ya, aku mempunyai harta.” “Maka mengapa engkau tidak menzahirkan nikmat Allah kepadamu? “Dan dengan nikmat Allah, maka ceritakanlah”. Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan nikmatNya ke atas hamba-hambaNya.

Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang memakai pakaian kemahsyuran di dunia, nescaya Allah memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat.

Antara Sunnah Rasulullah SAW apabila Nabi SAW memakai baju baru Baginda menyedekahkan pakaian yang lama. Tidak seperti ramai orang pada hari ini yang mempunyai pakaian yang begitu banyak di dalam almari mereka, Nabi SAW hanya memiliki pakaian yang sedikit. Ada ketikanya, Nabi SAW meminjam pakaian daripada para sahabatnya.

Antara adab Nabi SAW di dalam berpakaian adalah Nabi SAW hanya memakai pakaian yang sedia ada, iaitu Nabi SAW tidak suka berlebih-lebihan dalam berpakaian. Sebahagian manusia berlebih-lebihan dalam berhias. Ini bukanlah dari Sunnah Nabi SAW bahkan Nabi SAW bersederhana di dalam berpakaian dan Baginda SAW tidak suka berbangga-bangga.

Maka Nabi SAW melarang kita memakai pakaian kemahsyuran. Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang memakai pakaian kemahsyuran di dunia, nescaya Allah memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” Baginda tidak memakai pakaian untuk berbangga. Baginda mengelakkan dari ‘menyerupai’ kaum wanita. Kaum wanita tidak menyerupai kaum lelaki. Kaum lelaki tidak menyerupai perempuan pada warna atau cara berpakaian. Apa yang diketahui daripada pakaian wanita, hendaklah lelaki menjauhkan diri daripadanya. Apa yang diketahui untuk lelaki, haruslah bagi wanita menjauhinya.

Nabi SAW melarang kaum lelaki untuk memakai sutera. Barang siapa yang memakainya di dunia, Allah akan mengharamkan sutera baginya pada hari akhirat.

Nabi SAW juga melarang kaum lelaki melabuhkan pakaiannya melebihi paras buku lali. Baginda bersabda: “Apa yang di bawah buku lali, maka nerakalah tempatnya” Nabi SAW mengangkat pakaiannya dengan penuh tawaddhu’ dan beradab dengan Allah SWT.

Maka bagi wanita hendaklah mereka melabuhkan dan memanjangkan pakaiannya dan bagi lelaki pula memendekkan dan mengangkatnya. Beginilah Sunnah Baginda SAW.

Baginda SAW melarang daripada lukisan. Jika Nabi SAW menjumpai salib, maka akan dimusnahkannya. Maka harus bagi mereka yang ingin memakai pakaian yang mempunyai tulisan atau lukisan memastikan apa yang ditulis dan dilukis agar ia tidak bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW.

Sepertimana Nabi SAW menyukai sebahagian warna, Nabi SAW juga membenci sesetengah warna yang lain. Baginda SAW membenci warna merah pekat. Nabi SAW juga membenci warna kuning bagi lelaki. Kita perlulah mengambil perhatian terhadap warna-warna yang dibenci Rasulullah SAW.

Pada hari ini, para saintis telah menemukan bahawa warna mempengaruhi tabiat dan perbuatan manusia. Maka apa yang terbaik ialah menyukai perkara yang disukai Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya Allah itu cantik dan dia menyukai kecantikan.

Allah SWT berfirman kepada kekasihnya, “Dan pakaianmu, maka sucikanlah” Nabi SAW mencintai kebersihan pada pakaiannya, begitu jugalah bagi seluruh orang beriman yang mengikuti Nabi. Dan barang siapa yang beramal dengan Sunnah Rasululah pada pakaian zahirnya, kita berharap agar Allah memuliakannya dengan pakain batin yang telah disebutkan oleh Allah di dalam firmanNya, “Dan pakaian taqwa itulah sebaik-baik pakaian.” (al-A’raf : 26).

Kita juga berharap apabila kita beramal dengan Sunnah Nabi di dalam berpakaian dan dimuliakan Allah dengan pakain batin, kita akan memperolehi kemuliaan dan rahsia firman Allah “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”. Jadi kita ‘memakai’ maksud firman Allah ini di dalam seluruh kehidupan kita, Insha Allah.