Nabi SAW menyukai tetamu dan memuliakan tetamu, bahkan Nabi SAW meminta tetamu, dan memuliakan mereka. Ini merupakan antara akhlak Nabi SAW yang agung. Dan Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka dia akan memuliakan tetamunya. Dan Nabi SAW bersabda, “Tiada kebaikan bagi mereka yang tidak menerima tetamu”.

Pada hari ini, kita perlu berfikir mengenai perkara ini. Bagaimana kita menerima tetamu sehingga kita dapat mencontohi sifat Rasulullah SAW. Pada hari ini, ramai manusia yang sibuk dengan kehidupan serba moden tidak mengalu-alukan kehadiran tetamu di sisi mereka. Mereka rasa dibebani dengan kehadiran tetamu. Ini adalah antara perbuatan yang ditegah oleh Nabi SAW.

Nabi SAW mengajar kita jika kita mahu menjemput tetamu, jemputlah mereka yang bertakwa dan jangan menjemput orang kaya sahaja tanpa orang miskin. Baginda SAW bersabda: “Janganlah engkau makan kecuali makanan orang yang bertakwa, dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” Baginda SAW apabila menjemput tetamu, Baginda memulakan dengan orang miskin di kalangan ahli Suffah.

Sesetengah manusia selalu mendahulukan sesuatu yang memberi kepentingan untuknya, dan melupakan orang sebelahnya yang lebih memerlukan, sedangkan itu memberikan pahala sebagaimana yang dipandu oleh Nabi SAW. Penerimaan tetamu dengan baik dan penuh kegembiraan merupakan sebahagian daripada melayan tetamu. Rasulullah SAW menerima tetamu dengan penerimaan yang baik.

Dan Nabi SAW menerima tetamu dengan rasa gembira, riang dan seronok. Ini merupakan antara perkara penting yang perlu didahulukan tuan rumah untuk tetamunya.

Kemudian, menyediakan tempat duduk yang sesuai untuk mereka. Nabi SAW telah didatangi tetamu dan Nabi SAW mempersilakan mereka duduk di atas bantal dan Baginda duduk di atas tanah. Maka memuliakan tetamu dan mempersilakan mereka di tempat yang bersih, baik dan indah merupakan Sunnah Rasulullah SAW dan bukti kemuliaan Nabi SAW serta kemurahan hatinya.

Disunnahkan bagi tuan rumah untuk menyegerakan hidangan makanan bagi tetamunya, Firman Allah SWT: “Maka tidak beberapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka, seekor anak lembu yang dipanggang” kepada Saidina Ibrahim. Maka, tuan rumah tidak sepatutnya lengah dalam menghidangkan makanan, atau menunggu seseorang dan melambatkan hidangan untuk tetamu yang lain, bahkan mendahulukan hidangan pada masa yang sepatutnya. Dengan itu, kamu perlu mendahulukan makanan sekaligus, dan menyediakan makanan sebaik mungkin mengikut kemampuanmu.

Namun di sini, terdapat suatu Sunnah yang penting iaitu tidak berlebih-lebihan (sehingga membazir). Tuan rumah perlu makan dengan tetamunya. Maka janganlah tuan rumah berhenti makan selagi tetamu tidak berhenti makan. Dengan itu, jangan mengangkat makanan sehingga kamu yakin tetamu itu sudah selesai, dan berhenti makan, agar tidak memalukan tetamunya dengan mengangkat hidangan sedangkan dia masih menginginkannya.

Antara perkara yang penting ialah penghuni rumah hendaklah menolong tuan rumah, perempuan dan lelaki dalam menyediakan keperluan tetamu. Kita mengetahui bahawa tetamu datang membawa rezeki dan keluar dengan membawa dosa penghuni rumah itu.

Nabi Muhammad SAW memenuhi jemputan hamba sahaya, orang miskin. Baginda sentiasa memenuhi jemputan walaupun di pinggir Madinah bahkan di luar Madinah dan Baginda mengambil berat terhadap jemputan kerana Allah dan Rasulnya, khususnya, jemputan perkahwinan dan aqiqah. Jangan melengah-lengahkan menghadiri majlis-majlis yang penting di dalam syarak.

Nabi SAW bersabda, “Jika aku dijemput di kampung, maka aku akan menerimanya.” Iaitu jika seseorang menjemput aku dan menghidangkan sup tulang pasti aku terimanya. Ini antara sifat tawadhuknya Nabi SAW. Sebahagian manusia, jika dia tidak dijemput ke majlis yang hebat maka dia tidak akan memenuhi jemputan tersebut.

Nabi SAW bersabda : Jika seseorang menjemput kamu ke walimah maka hadirilah ia! (Riwayat Bukhari). Tetamu perlu meminta izin apabila dia ingin masuk, dan duduk di tempat yang disediakan tuan rumah kerana mungkin ada tetamu yang masuk dan duduk di tempat yang tidak disukai oleh tuan rumah.

Maka duduklah di mana-mana sahaja yang telah disediakan tuan rumah atau duduk di mana-mana tempat yang terdapat ramai orang di situ. Dengan itu, apabila tetamu masuk ke rumah, dia tidak boleh memisahkan dua orang di majlis itu, dan jangan memotong perbualan orang lain. Apabila dia melihat perkara mungkar, hendaklah dia segera pulang agar dia tidak menjadi penolong kepada kemungkaran yang terdapat di dalam jemputan itu. Maka dia menjadi orang yang mendiamkan kemungkaran tersebut. Dan janganlah kamu mengingkarinya kerana Allah SWT.

Nabi SAW bersabda : Tidak dihalalkan bagi seorang lelaki memisahkan di antara dua orang kecuali dengan keizinan mereka (Riwayat Ahmad).

Nabi SAW bersama sahabat-sahabat Baginda pernah menjadi tetamu bagi seorang sahabat. Apabila makanan dihidangkan, seorang sahabat telah mengasingkan dirinya. Maka Nabi SAW bertanya, “Apa yang telah menimpamu?”, Dia menjawab, “Aku sedang berpuasa”. Maka Nabi SAW berkata, “Saudaramu bersusah payah untukmu dan engkau berpuasa?” Dengan itu, para ulama’ berkata disunnahkan untuknya mengambil hati saudara yang menjemputnya, dan berbuka puasa sunat serta merta. Namun, jika dia mengetahui bahawa tuan rumah tidak kisah dengan perkara itu, maka tiada masalah baginya untuk terus berpuasa.

Tetamu perlu menikmati hidangan sehingga ia membuatkan tuan rumah merasa bahawa tetamunya gembira dan berpuas hati dengan hidangan tersebut. Dengan itu, tetamu perlu berterima kasih kepada tuan rumah dan mendoakannya. Nabi SAW semasa makan bersama sahabat-sahabatnya di rumah seorang sahabat, Baginda SAW bersabda, “Berterima kasihlah kepada sahabatmu (tuan rumah)” “Bagaimana?”, Baginda bersabda, “Berdoalah untuknya”. Maka di antara doa Nabi SAW yang disunnahkan,

Telah berbuka puasa orang-orang yang berpuasa di kalangan kamu, dan kamu telah menikmati hidangan yang baik, dan telah berselawat ke atasmu para malaikat.

Antara adab-adab tetamu, tidaklah dia membebani tuan rumah. Seperti di dalam firman Allah SWT, “Apabila kamu sudah makan, maka bertebaranlah (di atas muka bumi Allah)” Maka, para tetamu tidak boleh melengah-lengahkan pulang selepas menikmati hidangan sehingga menyusahkan tuan rumah itu.

Muliakanlah tetamumu, nescaya kamu akan dimuliakan Allah Yang Maha Mulia. Mereka yang mengamalkan Sunnah Nabi SAW, mereka akan pulang sebagai tetamu yang agung, pada hari kiamat, hari manusia pulang sebagai tetamu Nabi SAW. Apabila kita meneliti makna firman Allah “Katakanlah (Muhammad), jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya kamu akan dicintai Allah” kita akan minum air dari telaga Nabi SAW dengan tapak tangannya pada hari tersebut, Insha Allah.