SUNNAH MENJAGA RAMBUT DAN MENGGUNAKAN MINYAK

Anggota yang mencantikkan manusia ialah rambut. Allah SWT menciptakan rambut sebagai perhiasan untuk lelaki dan wanita.

CIRI-CIRI RAMBUT NABI SAW

Rambut Nabi SAW berwarna hitam pekat, tidak terlalu kasar atau terlalu lembut. Rambut baginda SAW beralun ibarat corak alunan pasir di padang pasir. Rambut baginda SAW dikatakan di paras telinga atau mencecah bahu. Rambut baginda pernah dilepaskan hingga mencecah belakang badan.


HADIS TENTANG RAMBUT

Sabda Nabi SAW “Jika kamu ada rambut maka hormatilah ia”. Kita mesti hargai rambut kerana ia adalah nikmat Allah SWT. Kita mesti hargai penciptaan rambut. Kita patut berhias dengan ciptaan Allah SWT.


CARA NABI SAW MENJAGA RAMBUT

Nabi SAW sangat menjaga rambut. Jika anda rasa dah terlalu menjaga rambut percayalah bahawa Nabi SAW lakukan lebih daripada anda. Nabi SAW sentiasa membawa sikat bersama-sama, baginda akan bawa sikat ke mana-mana saja. Nabi SAW sering sapu minyak di rambut, baginda merapikan rambut menggunakan sikat. Baginda melindungi rambut daripada debu, baginda tidak suka rambut yang berdebu. Baginda sukakan kecantikan. Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah indah dan sukakan keindahan.” Siapa yang sukakan keindahan bererti dia suka apa yang disukai Allah dan Rasulullah SAW.

Nabi SAW mempunyai cermin dan cermin itu dibawa ketika baginda bermusafir. Antara sunnah baginda ketika melihat cermin ialah dengan bersyukur kepada Allah SWT sambil berdoa :

اللَّهُمَّ كَماَ حَسَنْتَ خَلْقِيْ فَحَسِّن خُلُقِي

Ya Allah, seperti mana Engkau telah elokkan rupaku elokkanlah juga akhlakku.”

Menjaga penampilan zahir dan batin, penghayatan terhadap nikmat kecantikan luaran dan mengaitkannya dengan kecantikan dalaman merupakan sunnah yang mulia. Jika kita hayatinya, kita akan dapat rasai kecantikan tersembunyi di dalam diri kita.


CARA NABI SAW MENYAPU MINYAK DI RAMBUT

Antara sunnah Nabi SAW ialah menyapu minyak di rambut. Terdapat ratusan jenis minyak rambut di pasaran sekarang. Kita menyapu minyak di rambut kerana ia tuntutan sunnah Nabi SAW. Tetapi minyak zaitun mengandungi keberkatan selain ia minyak yang digunakan oleh Nabi SAW. Nabi SAW suka meminyakkan rambut dengan minyak zaitun. Sabda baginda, “Makanlah zaitun dan sapulah minyak zaitun sesungguhnya ia daripada pohon yang diberkati.”

Allah SWT menyatakan bahawa terdapat keberkatan pada pokok zaitun. Rasulullah SAW mempunyai cara yang bagus ketika menyapu minyak. Semua pergerakan baginda bertujuan untuk kecantikan. Pada setiap perbuatan tersirat hikmah tertentu. Baginda ambil dan letak minyak di jari telunjuk kemudian disapukan di bulu kening kanan dan kiri, kemudian baginda sapu di bahagian bawah bibir. Seterusnya baginda sapu minyak di mata dan janggut dan akhir sekali baginda sapukan minyak di rambut dan di anggota badan yang lain. Begitulah cara baginda menyapu minyak. Jika kita ikuti cara baginda menyapu minyak percayalah bahawa kita akan merasa dekat dengan Nabi SAW.


MENGUBAH WARNA RAMBUT

Nabi SAW pernah mewarnakan rambut, ketika uban mula tumbuh, di mana para sahabat katakan jumlah uban itu tidak sampai 20 helai pun. Tetapi Nabi SAW mewarnakan rambut menggunakan inai sehingga warnanya berubah. Rasulullah SAW sentiasa suka berhias. Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya Allah indah dan sukakan keindahan” sehingga para sahabat bimbang jika ini termasuk dalam perbuatan sombong. Sabda baginda, “Sombong kerana menghina hak,” ia tidak berkaitan dengan perbuatan berhias dengan memakai pakaian elok dan merapikan rambut ini bukan perbuatan sombong malahan ini adalah sunnah Nabi SAW.


GAYA RAMBUT

Nabi SAW menegah daripada menggayakan sesetengah gaya rambut kerana pada asalnya ia bercanggah dengan fitrah. Agama kita agama yang indah, contohnya botak separuh maknanya hanya sebahagian kepala dibotakkan samada di bahagian atas, sisi atau belakang. Perbuatan ini haram kerana bercanggah dengan fitrah.

Allah SWT ciptakan kita dengan rambut yang penuh. Kenapa perlu dibotakkan sebahagiannya? Perkara ini perlu diberi perhatian.


SUNNAH YANG DIABAIKAN

Antara sunnah yang sering diabaikan manusia ialah menanam rambut. Kita disunatkan menanam rambut dan kuku setelah dipotong kerana kuku dan rambut sebahagian daripada manusia. Kita ditanam setelah meninggal sebagai tanda hormat, begitu juga kita harus hormati anggota badan. Dikatakan bahawa anggota badan ini akan kembali kepada tuannya di hari pertemuan dengan Allah SWT.

Kita semua sukakan kecantikan. Kita ingin berhias. Kita ingin mencantikkan rambut. Ada yang suka simpan rambut panjang ada pula yang suka rambut pendek. Tidak mengapa simpan rambut panjang kerana Nabi SAW turut menyimpan rambut. Hendak potong pendek pun tak mengapa kerana Rasulullah SAW juga pernah potong rambut. Niat mencontohi Nabi SAW itulah yang mencantikkan anda. Berhias untuk mencontohi Nabi SAW turut termasuk dalam makna ayat al-Quran ini “Katakanlah, jika kamu sayang Allah, maka ikutilah aku nescaya kamu akan disayangi Allah.”