KEUTAMAAN DAN KELEBIHAN SOLAH KHUSYUK DAN KHUDUK
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) semua solah fardu dan khasnya solah ‘wusto’ (pertengahan) (yakni solah (asar) dan berdirilah di hadapan Allah (dalam solah kamu) dengan taat dan khusyuk." (al-Baqarah: 238)
"Pohonlah pertolongan dengan sabar dan solah Sesungguhnya solah itu berat kecuali bagi orang-orang khusyuk.” (al-Baqarah: 45)
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman akan berjaya. Mereka ialah orang-orang yang khusyuk dalam solah mereka. (al-Mu‘minun: 1-2)
"Apabila tiba waktu solah fardu lalu mana-mana orang Islam yang memperelokkan wuduk untuk solah tersebut dan menunaikan solah itu dengan khusyuk dan menyempurnakan rukuknya maka solahnya itu akan menjadi kafarah baginya terhadap dosa-dosanya yang sebelum itu selagi dia tidak melakukan dosa besar. Dan ganjaran yang sedemikian untuk solah yang sedemikian akan berterusan untuk ,selama-lamanya." (Muslim).
"Sesiapa yang mengambil wuduk dan dia memperelok wuduknya itu kemudian mendirikan solah dua rakaat dengan tidak lupa yakni dia menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah maka dosanya yang lalu akan diampunkan." (Abu Daud).
"Apabila seseorang Islam mengambil wuduk dan dia meratakan wuduknya itu kemudian dia berdiri dalam solahnya dan dia mengetahui apa-apa yang dia baca maka pasti dia selesai daripada solah dalam keadaan terlepas daripada dosa-dosa sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya, dia tidak lagi menanggung sebarang dosa." (Mustadrak Hakim).
Sayyidina Usman telah meminta seseorang mengambil air untuk berwuduk. Beliau membasuh kedua-dua tangannya tiga kali kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung. Kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali membasuh tangan kanannya hingga ke siku tiga kali dan beliau membasuh tangan kirinya demikian juga. Kemudian beliau menyapu kepalanya dan kemudian beliau membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali tiga kali dan kemudian beliau membasuh kaki kirinya demikian juga. Kemudian beliau berkata, "Saya telah melihat Rasulullah saw berwuduk sebagaimana wuduk saya ini kemudian Baginda bersabda. -Sesiapa yang berwuduk sebagaimana wudukku ini kemudian dia mendirikan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak memikirkan tentang apa-apa pun maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan." Ibnu Syihab berkata. Para ulama kita selalu berkata bahawa wuduk sebegini ialah wuduk yang paling sempurna untuk solah." (Muslim)
"Sesiapa yang berwuduk dan dia memperelok wuduknya kemudian dia bangun menunaikan solah dua rakaat atau empat rakaat dan dia memperelok rukuk dan sujudnya kemudian dia beristighfar kepada Allah maka dosanya akan diampunkan." (Musnad Ahmad: Majma’ uz-Zawa'id).
"Mana-mana hamba yang berwuduk dan dia memperelok wuduknya lalu mendirikan solah dua rakaat dalam keadaan dia menumpukan sepenuh hatinya kepada solahnya dan anggotanya tetap tidak bergerak-gerak maka wajiblah dia memasuki syurga. (Abu Daud).
"Seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah saw lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, solah yang bagaimanakah yang paling afdal?" Baginda saw bersabda, "Solah yang panjang qiyamnya." Ibnu Hibban).
"Nabi berdiri bersolah sehingga kedua-dua kaki Baginda menjadi bengkak maka ada orang bertanya kepada Baginda saw, "Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosa tuan (sekiranya ada sekalipun) sama ada yang telah lalu atau yang akan datang (maka kenapa tuan begitu bersusah payah)?" Baginda SAW menjawab, "Apakah tidak patut saya menjadi hamba yang bersyukur?" (Bukhari).
"Sesungguhnya apabila seseorang itu bersolah maka akan ditulis baginya ganjaran satu persepuluh dari: solahnya atau satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga, atau satu perdua daripada solahnya itu." (Abu Daud).
"Solah ialah dua rakaat dua rakaat, ada tahiyyat pada setiap dua rakaat, hendaklah merendahkan diri, khusyuk dan menetapkan anggota serta diam. Kemudian (setelah selesai solah) maka angkatlah kedua-dua tangan kamu berdoa dalam keadaan kedua-dua tapak tangan kamu bersetentangan dengan wajah kamu. Kamu sebutkanlah, "Wahai Tuhan, wahai Tuhan." sebanyak tiga kali. Sesiapa yang tidak melakukan demikian maka solahnya kurang (dari segi pahala dan ganjaran)." (Musnad Ahmad)
"Allah SWT sentiasa menghadap (menumpukan perhatian) terhadap hamba-Nya semasa hamba itu bersolah selama hamba itu tidak berpaling (tidak memberi tumpuan kepada apa-apa perkara yang lain). Apabila hamba itu memalingkan (tumpuannya daripada solah) maka Allah SWT juga memalingkan tumpuan-Nya daripada hamba itu.” (Nasa’i).
"Apabila seseorang hamba berdiri bersolah maka Allah SWT memberi sepenuh perhatian terhadapnya sehinggalah dia selesai bersolah ataupun melakukan apa-apa perbuatan buruk (yang bertentangan dengan khusyuk). "(Ibnu Majah).
Apabila seseorang kamu berdiri untuk solah maka janganlah dia menyapu batu (tanpa sebarang keperluan) kerana sesungguhnya rahmat Allah SWT sedang menuju ke arahnya." (Tirmizi).
"Rasulullah SAW selalu menyuruh kami semasa kami bersolah supaya duduk tetap di atas lantai terlebih dahulu setelah mengangkat kepala daripada sujud dan supaya kami tidak duduk di atas jari-jari kaki yakni hujung kaki.” (Tabarani)
"Sembahlah Allah SWT seumpama kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak mengalami keadaan itu hendaklah merasakan bahawa Allah SWT melihat kamu. Anggaplah diri kamu dalam kalangan orang-orang yang telah mati (janganlah menganggap diri kamu dalam kalangan orang yang hidup supaya kamu tidak bergembira apabila mendapat sesuatu dan bersedih apabila kehilangan sesuatu). Berjaga-jagalah terhadap doa keburukan daripada orang-orang yang dizalimi kerana sesungguhnya doa mereka akan segera diterima. Sesiapa yang boleh hadir untuk solah isyak dan subuh berjemaah walaupun dengan merangkak maka hendaklah dia melakukan demikian (Tabarani: Majma’ uz-Zawa’id).
“Tunaikanlah solah seumpama solah seseorang yang mengucap selamat tinggal (yakni seperti orang yang menganggap bahawa solah yang dia tunaikan ialah solahnya yang terakhir sebelum dia meninggal dunia). Dan tunaikanlah solah dalam keadaan seolah-olah kamu melihat Allah SWT. Sekiranya keadaan ini tidak dapat dihasilkan maka sekurang-kurangnya hendaklah kamu merasakan bahawa Allah SWT melihat kamu." (Jami’ Saghir).
"(Pada permulaan Islam) kami selalu memberi salam kepada Nabi SAW semasa Baginda SAW sedang bersolah dan Baginda SAW menjawab salam kami. Apabila kami pulang dari Najasyi Raja Habsyah maka kami memberi salam kepada Baginda SAW tetapi Baginda SAW tidak menjawab salam kami maka kami berkata, “Wahai Rasulullah, dulu kami selalu memberi salam kepada tuan semasa tuan bersolah dan tuan menjawab salam kami (tetapi sekarang tuan tidak menjawab salam kami), Maka Nabi SAW menjawab "Semasa bersolah hendaklah sibuk memberi tumpuan hanya kepada solah." (Muslim).
"Saya melihat Rasulullah SAW bersolah dan dari dada Baginda SAW kedengaran bunyi tangisan tersedu-sedu yang berterusan seumpama bunyi deru kisaran." (Abu Daud)
"Perumpamaan solah fardu ialah seperti neraca timbangan. Sesiapa yang menyempurnakan solahnya maka dia akan mendapat ganjaran yang sempurna.' (Baihaqi: Targhib).
"Allah SWT tidak akan menerima amalan daripada mana-mana hamba sehinggalah dia menghadirkan tumpuan hatinya bersama jasadnya." (Ithaf).
"Solah terbahagi kepada tiga bahagian (yakni ganjaran solah yang sempurna akan didapati dengan menyempurnakan tiga bahagian dalam solah), suci (daripada sebarang najis dan hadas) ialah satu pertiga, rukuk ialah satu pertiga dan sujud ialah satu pertiga. Sesiapa yang menyempurnakan hak-hak solah maka solahnya itu akan diterima dan semua amalannya yang lain juga akan diterima. Sesiapa yang solahnya ditolak (kerana tidak menunaikannya dengan betul) maka semua amalannya yang lain juga akan ditolak." (Bazzar: Majma’ uz-Zawa'id).
"Rasulullah SAW mengimami kami dalam solah ‘asar maka Baginda SAW Nampak seorang lelaki yang sedang bersolah lalu Baginda SAW bersabda, "Wahai polan, takutilah Allah SWT. Perelokkanlah solah kamu. Adakah kamu beranggapan aku tidak nampak kamu? Sesungguhnya aku nampak dari belakang sebagaimana aku nampak dari hadapan. Perelokkanlah solah kamu dan sempurnakanlah rukuk dan sujud kamu." (Ibnu Khuzaimah)
Apabila Rasulullah SAW rukuk Baginda SAW akan merenggangkan jari-jari (tangan) Baginda SAW (dilutut) dan apabila sujud Baginda SAW akan merapatkan jari-jari Baginda SAW." (Tabarani: Majma’ uz-Zawa'id).
"Sesiapa yang menunaikan solah dua rakaat dengan menyempurnakan rukuk dan sujudnya (dan selepas itu) dia berdoa kepada Allah maka Allah akan mengurniakan kepadanya sama ada segera ataupun lambat (kerana maslahat tertentu)." (Tabarani dan Ithaf).
"Perumpamaan orang yang bersolah yang tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk dalam sujudnya ialah seperti seorang yang lapar memakan hanya sebiji atau dua biji tamar. Dua biji tamar itu tidak menghilangkan kelaparannya. (Begitulah solah yang sedemikian tidak dapat memberi apa-apa manfaat kepadanya.)" (Tabarani, Abu Ya’la: Majma’ uz-Zawa'id).
" Perkara pertama yang diangkat daripada umat ini ialah khusyuk dalam solah sehingga kamu tidak akan mendapati seorang pun yang khusyuk dalam kalangan mereka." (Tabarani: Majma uz.-Zawa’id).
"Pencuri yang paling buruk ialah orang yang mencuri solahnya." Para sahabat berkata, "Bagaimana dia mencuri solahnya?" Baginda menjawab, "Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Atau dia tidak meluruskan tulang belakangnya semasa dalam rukuk ataupun sujudya” (Musnad Ahmad, Tabarani : Majma uz Zawa’id)
"Allah tidak pandang solah seseorang yang tidak menegakkan tulang belakangnya semasa berada dalam keadaan antara rukuk dan sujud (yakni semasa i`tidal)." (Musnad Ahmad: Fath ur-Rabbani).
"Saya telah bertanya kepada Nabi SAW tentang berpaling ke sana sini dalam solah. Baginda SAW menjawab “Berpaling ke sana sini dalam solah ialah sambaran syaitan akan (tumpuan) seseorang daripada solahnya." (Tirmizi)
"Hendaklah orang-orang yang mengangkat pandangan matanya ke langit dalam solah berhenti daripada perbuatannya. Jika tidak, pandangan mereka tidak akan kembali kepada mereka (hanya tetap melihat ke atas).” (Muslim)
"Apabila kamu berdiri untuk menunaikan solah maka ucapkanlah `Allahu akbar' kemudian bacalah apa-apa yang mudah bagimu ayat-ayat al-Quran. Kemudian rukuklah sehingga kamu sempurnakan tuma'ninah dalam rukuk. Kemudian bangunlah daripada rukuk kamu berdiri tetap. Kemudian sujudlah sehingga kamu tuma'ninah dalam sujud. Kemudian bangunlah daripada sujud sehingga kamu sempurnakan tuma’ninah dalam duduk (antara dua sujud) dan lakukanlah demikian dalam solah kamu keseluruhannya." (Bukhari).