Antara seni yang perlu dipelajari oleh seseorang ialah seni percakapan. Lawan bagi seni percakapan ialah seni yang kedua iaitu seni berdiam diri. “Bagaimana saya belajar kemahiran berdiam diri dan mampu melakukannya?” Bagaimana Nabi SAW di dalam kebanyakan waktunya, Baginda SAW berdiam diri.

Diam Baginda SAW adalah berfikir / merenung (ke dalam diri). Para sahabat menyifatkan sifat Baginda SAW ini dengan begitu menakjubkan yang mana ramai orang melalaikan hal ini. Baginda SAW menegah lidahnya dari berkata-kata kecuali pada perkara yang bermanfaat kepada orang lain” Perkataan “menegah lidahnya” membawa makna bahawa Baginda SAW menahan lidahnya, Baginda SAW juga tidak berkata-kata dengan hawa nafsunya, kecuali ianya adalah wahyu yang diturunkan ke atas Baginda SAW.


Faedah terbesar berdiam diri ialah karisma, kehormatan dan membangkitkan hikmah di dalam diri. Semakin banyak seseorang itu diam semakin bertambah hikmah di dalam dirinya. Perhatikan ramai cerdik pandai di alam ini mereka sedikit bercakap tetapi kata-kata mereka tepat dan padat.


Nabi SAW bersabda “Allah SWT merahmati seseorang yang apabila dia bercakap dia memperoleh kebaikan dan apabila dia diam dia selamat”. Berdiam diri sentiasa memberikan keselamatan. Diam memberikan manfaat kepada manusia dan menyelamatkan dirinya dari berlaku banyak perkara.

Oleh sebab itu, Nabi SAW semasa malam Mikraj, Baginda SAW telah melihat sebuah peristiwa yang menakjubkan. Gambaran yang mana apabila seseorang membayangkannya pasti dia akan memperhatikan kata-katanya. Terutama pada hari ini, kita mempunyai teknologi dengan aplikasi yang boleh merekod kata-kata kita dan seluruh dunia boleh menyaksikannya.

Semasa peristiwa Mikraj, Baginda SAW melihat seekor lembu besar keluar dari lubang yang kecil, kemudian lembu itu ingin masuk kembali ke dalam lubang itu tetapi tidak berjaya. Baginda SAW bersabda, “Wahai Jibril apakah makna semua ini?” Jibril menjawab: “Ini ibarat seseorang yang mengeluarkan satu perkataan dan ingin menariknya kembali, tetapi dia tidak mampu maka dia pun menyesal.”

Apabila seseorang berbicara, dia boleh berkata perkara yang tidak baik tentang orang lain dan menambah-nambah perkara yang tidak sepatutnya. Dia boleh bercakap akan sesuatu dan tersebar ke seluruh dunia. Tersebar dari seorang ke seorang dan kepada seluruh dunia dan hal ini bermula dari seorang, dan Allah SWT akan mempertanggungjawabkan perkara ini ke atasnya.

Situasi kita pada hari ini ialah seseorang itu bercakap kerana dia memang suka bercakap, Bukan berkata-kata untuk menyampaikan perkara yang bermanfaat, akan tetapi selagi kita duduk, marilah kita bercakap. Perhatikan contohnya seseorang duduk dengan sekumpulan manusia, kemudian bercakap tentang semua topik dan kemudian semua orang hendak bercakap sehinggakan kadang-kadang, tidak tahu siapa yang bercakap dan siapa yang mendengar kerana semua yang ada bercakap.

Bercakap telah menjadi keinginan apabila topik politik disebut semua orang bercakap tentangnya. Begitu juga topik ekonomi, topik agama, topik perubatan, astronomi, bahkan semua topik yang ada di dunia ini!.

Kamu mendapati orang bercakap tentang semua perkara. Jika seseorang membayangkan, jika dituliskan semua perkataan diucapkan dalam sehari dari pagi sehingga tidur semua perkataan dituliskan sehingga menjadi sebuah buku yang lengkap.

Bagaimana jika dia membayangkan apabila buku itu lalu merasa malu akan dirinya sendiri. Apakah semua perkataan yang sia-sia yang aku cakap sepanjang hari ini. Dan semua perkataan itu memang dicatatkan. Tiada perkataan yang dilafazkan kecuali ianya dicatatkan oleh Raqib dan ‘Atid. Malaikat mencatat semua perkataan yang dilafazkan dalam sehari sehingga kamu tidur dan ianya dipersembahkan kepada Allah SWT.


Bagaimana kamu boleh redha melihat banyak perkataan yang sia-sia ini dipersembahkan kepada Tuhanmu?

Antara bahaya kata-kata ialah seperti yang disabdakan Nabi SAW : Apabila seseorang hamba berbicara satu perkataan yang diredhai oleh Allah, maka darjatnya akan ditinggikan disebabkan perkataan tersebut, Hanya satu perkataan! Dan sebaliknya, satu perkataan yang dikatakan seorang hamba yang membawa kepada murka Allah SWT, maka dengannya dia dicampakkan ke neraka. Kita berlindung kepada Allah SWT darinya.

Di dalam sebuah riwayat lain: “Orang yang duduk di sekelilingnya ketawa (kerana kata-katanya)” oleh sebab itu, setiap orang perlu memperhatikan perkataanya. Setiap sifat memerlukan kepada latihan.

Abu Darda RA seorang sahabat yang hebat, pernah berkata, “Kami belajar untuk diam seperti kami belajar untuk bercakap”.

Seperti mana seseorang itu belajar bercakap, begitu jugalah dia perlu belajar untuk diam. Belajarlah bagaimana menahan dirinya dari bercakap. Sekiranya seseorang itu melatih dirinya dan mengatakan, “Hari ini, aku akan bercakap perkara yang penting sahaja”.

Hari ini, aku berdiam diri sepanjang hari. “Sesungguhnya aku sudah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pengasih, maka aku tidak akan berbicara dengan sesiapa pun pada hari ini” –Maryam:26.

Seseorang itu perlu melatih dirinya sehingga ini menjadi sebab utama dia dapat mengawal dirinya, dan dalam meneladani Nabi SAW.