Dalam proses mereka bentuk laman web, terdapat beberapa prinsip atau elemen reka bentuk laman web yang perlu diberi perhatian agar laman web yang dibina tidak kelihatan pelik atau memberikan pengalaman yang tidak menyenangkan kepada pengguna.
Hal ini dikatakan demikian kerana elemen-elemen tersebut mampu memberikan pengalaman yang berbeza dan mempengaruhi kepuasan pengguna untuk melayari laman web yang dibina.
Antara prinsip asas yang harus diambil kira semasa mereka bentuk laman web.
Persekitaran laman web ini merangkumi beberapa faktor teknikal seperti yang berikut:
Kesesuaian penggunaan pelbagai jenis pelayar
Kelajuan capaian Internet
Keperluan perisian sokongan untuk paparan
Kepelbagaian sistem komputer dan peranti mudah alih yang digunakan oleh pengguna
Kepelbagaian saiz paparan monitor yang digunakan
Terdapat beberapa jenis pelayar yang boleh digunakan bagi memaparkan laman web, Setiap pelayar biasanya mempunyai beberapa versi yang boleh digunakan untuk memaparkan laman web.
Pereka web sewajarnya mempertimbangkan jenis dan versi pelayar yang boleh digunakan untuk memaparkan laman web yang dibina dan seharusnya tidak tertumpu pada satu jenis atau satu versi sahaja.
kepelbagaian kaedah capaian Internet yang digunakan bagi setiap pengguna seperti kelajuan capaian juga harus diambil kira. Sebagai contoh, sekiranya laman web dibina untuk tujuan hiburan seperti permainan dalam talian, permainan ini mungkin memerlukan capaian yang lebih laju berbanding dengan laman web yang dibina untuk sumber maklumat seperti berita.
Kadangkala sesetengah laman web memerlukan perisian sokongan khas untuk menyokong paparan seperti animasi, audio atau video. Perekaweb perlu peka tentang pemilihan jenis perisian sokongan, misalnya memilih perisian yang diketahui umum dan digunakan secara meluas.
Kepelbagaian saiz skrin juga tidak boleh dipandang remeh. Hal ini dikatakan demikian kerana saiz paparan skrin akan memberikan impak secara terus pada kualiti paparan web berdasarkan saiz resolusi yang digunakan.
Semakin tinggi bilangan resolusi, bermakna semakin tinggi bilangan piksel dan semakin jelas dan cantik kualiti paparan. Oleh itu,pereka web harus memastikan laman web yang dipaparkan perlu fleksibelselari dengan kepelbagaian saiz skrin yang tersedia untuk digunakan oleh pengguna.
Prinsip penekanan merujuk maklumat atau kandungan yang ingin diberikan perhatian dalam laman web tersebut.
Dalam setiap laman web yang dibina, pereka web perlu menentukan maklumat atau kandungan penting yang harus diberi penekanan dan teknik atau kaedah yang sesuai yang perlu digunakan untuk menarik perhatian pengguna laman web.
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk menarik perhatian pengguna. Antara caranya adalah seperti yang berikut:
Penggunaan kesan khas seperti drop shadow, tekstur atau cahaya dan bentuk.
Penggunaan ruang putih untuk menjadikan elemen-elemen kelihatan lebih terserlah
Penggunaan fungsi bold, italic, warna yang berbeza dan border.
Konsep perbezaan digunakan untuk menghasilkan tarikan visual terhadap suatu elemen yang ingin ditekankan dalam laman web.
Semakin besar perbezaan suatu elemen yang ingin ditonjolkan berbanding dengan elemen lain di persekitarannya, maka elemen tersebut akan kelihatan lebih berbeza.
Penggunaan konsep perbezaan ini juga mampu menghasilkan sistem navigasi yang lebih mudah dan dapat memandu pelawat untuk mencapai maklumat yang dikehendaki atau mengarah mereka ke tempat yang ingin ditujui.
Antara kaedah perbezaan yang boleh digunakan adalah yang seperti berikut:
Penggunaan label dan pautan yang berbeza.
Penggunaan border, warna yang berbeza dan juga kesan khas.
Penggunaan ruang putih, teks terbalik, teks berhuruf condong (italic) dan saiz teks yang berbeza.
Penggunaan prinsip perbezaan warna dalam memberi kelainan pada butang login
Prinsip typography merujuk penyusunan teks yang dipaparkan dalam laman web.
Penyusunan teks yang baik memudahkan pemahaman dalam proses pembacaan dan juga meningkatkan elemen mesra pengguna dalam laman web.
Penggunaan grafik dan teks yang saling melengkapi mampu membentuk imej dalam minda pembaca.
Typography juga mampu menyampaikan mesej atau idea pereka web yang mungkin bersifat profesional kepada pembacanya dengan lebih baik.
Antara panduan yang berkaitan dengan typography adalah seperti yang berikut:
Seragamkan jenis teks atau fon yang digunakan bagi setiap halaman yang dibina.
Gunakan saiz teks yang berbeza bagi membezakan tajuk dengan kandungan atau huraian.
Penggunaan warna dan grafik dalam laman web mampu menonjolkan imej dan identiti sesebuah laman web.
Penggunaan warna yang bijak mampu menarik perhatian pelawat serta meningkatkan kebolehbacaan mereka.
Penggunaan warna latar belakang dan teks yang senada mampu memberikan pengalaman yang kurang menyenangkan dalam kalanganpengguna. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan ini menyukarkan proses pembacaan mereka.
Penggunaan warna yang agak berwarna-warni juga mampu membuatkan pembaca berasa serabut dan kehilangan fokus.
Keseimbangan visual pula merujuk gabungan elemen visual seperti garisan, imej, teks, bentuk, dan warna dalam laman web.
Bagi menentukan corak gabungan semua elemen visual tersebut, pereka web juga perlu peka tentang pengguna sasaran laman web tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya laman web tersebut dibina untuk golongan kanak-kanak,elemen teks yang banyak perlu dielakkan kerana kanak-kanak tidak cenderung untuk membaca.
Sebaliknya penggunaan unsur grafik dan imej mesti dilebihkan kerana elemen tersebut mampu menarik minat mereka untuk terus melayari laman web
Suatu laman web yang dibina itu akan memenuhi kehendak pengguna apabila laman web tersebut mampu menepati cita rasa pengguna.
Untuk itu, pereka web harus mengenali pengguna sasaran mereka dan perkara diingini oleh pengguna apabila mereka melayari laman web yang dibina.