Kunci hubungan ialah nama atribut khusus dalam jadual yang digunakan untuk mengekalkan integriti data hubungan.
Terdapat dua kunci hubungan
kunci primer
kunci asing.
Kunci primer ialah atribut (atau gabungan beberapa atribut) dengan nilai yang unik untuk mewakili setiap baris rekod dalam sesebuah jadual.
Kunci primer tidak boleh dibiarkan kosong (null ) dan tidak boleh mengandungi nilai yang berulang.
Secara analogi, kunci primer adalah seperti nombor kad pengenalan yang unik dan sesuai untuk mengenalpasti identiti setiap murid yang merupakan warganegara Malaysia.
Oleh hal yang demikian, penggunaan nama untuk suatu entiti kurang sesuai kerana nama kadang-kadang boleh berulang untuk kejadian entiti yang lain.
Kepentingan Kunci Primer
Memastikan setiap rekod lama yang tersimpan tidak bertindih dengan rekod baharu.
Memberikan identiti yang unik bagi setiap rekod yang disimpan di dalam pangkalan data.
Menjadikan data yang disimpan adalah utuh kerana setiap rekodnya mempunyai satu nilai yang unik sebagai pengenalan diri.
Mengelakkan berlakunya pertindihan data daripada rekod yang sama berulang-ulang disimpan di dalam pangkalan data. Seterusnya, dapat menjimatkan ruang stor komputer.
Memudahkan proses carian dan capaian atas rekod. Rekod yang hendak dicari boleh dicapai dengan membuat carian menggunakan kunci primer.
Kunci asing ialah atribut yang mengandungi nilai kunci primer daripada jadual sasaran.
Dengan kata lain, untuk menghasilkan hubungan di antara dua jadual, jadual yang ingin mewujudkan hubungan akan menambahkan atribut kunci primer daripada jadual sasaran sebagai kunci asing.