Reka bentuk interaksi merupakan satu aspek yang penting dan perlu dititikberatkan semasa membangunkan sesuatu produk atau aplikasi kerana reka bentuk yang menarik dan mudah digunakan akan membuatkan pengguna menjadi selesa dan seronok untuk menggunakan produk atau sistem tersebut.
Reka bentuk ialah susun atur teks, gambar, butang dan menu dalam sesuatu produk. Manakala interaksi pula ialah tindakan manusia semasa menggunakan produk tersebut.
Reka bentuk interaksi membenarkan pengguna untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan produk atau aplikasi.
Reka bentuk perlu mengambil kira penerimaan pengguna yang terdiri daripada pelbagai umur dan persekitaran.
Reka bentuk dan paparan yang mudah dan menarik akan membuatkan ramai pengguna ingin menggunakannya dalam kehidupan seharian.
Bagi menghasilkan reka bentuk interaksi yang baik, terdapat beberapa prinsip yang perlu dipatuhi. Setiap produk atau aplikasi perlu memenuhi kepentingan prinsip ini supaya produk yang dihasilkan dapat memenuhi matlamat kebolehgunaan iaitu pengguna merasa mudah untuk belajar,memberi kesan yang baik apabila menggunakannya dan memberikansatu kepuasan dan pengalaman yang menyeronokkan.
Prinsip reka bentuk interaksi sangat penting dan perlu diberi perhatian kerana aplikasi yang dibangunkan sangat kompleks.