Fasa analisis masalah ialah proses mengenal pasti keperluan program dan mencari sebab sesuatu program dibina.
Langkah-langkah sistematik harus dipatuhi untuk menyelesaikan masalah dan penting untuk kita memahami penyataan masalah dengan jelas.
Permulaannya, analisis masalah yang dihadapi dengan menggunakan analisis IPO iaitu analisis input, proses dan output.
Fasa reka bentuk penyelesaian masalah dibuat setelah analisis IPO yang merupakan set keperluan untuk memulakan fasa mereka bentuk dilakukan.
Walaupun projek yang kecil dan keperluan yang mudah, satu reka bentuk mental untuk pemahaman keperluan dengan penyelesaian perlu wujud.
Fasa ini melihat kepada potensi penyelesaian yang wujud dan menentukan penyelesaian yang efektif dan efisien. Hal ini menjawab “bagaimana” membina penyelesaian terbaik.
Penggunaan algoritma ialah langkah awal bagi penyelesaian masalah dalam fasa reka bentuk penyelesaian.
Pseudokod ialah aturan langkah yang ditulis dalam bahasa pertuturan manakala carta alir adalah satu perwakilan grafik yang menunjukkan langkah penyelesaian sesuatu masalah dan mempunyai hubung kait antara satu sama lain.
Fasa perlaksanaan penyelesaian adalah untuk mengubah reka bentuk kepada program yang akan dipasang pada perkakasan dan bersedia untuk melaksanakan penyelesaian.
Selain itu, fasa ini bertujuan untuk membina dan menghasilkan sistem yang dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Aktiviti pembangunan aplikasi melibatkan pengekodan.
Pengekodan memerlukan bahasa pengaturcaraan seperti Java, Javascript dan sebagainya.
Pengekodan juga mengubah spesifikasi program kepada kod sumber.
Pengkompilan ialah proses menukar kod pengaturcaraan kepada kod boleh laksana (executable).
Dalam fasa ini, kod atur cara yang siap dibina akan diuji. Fasa ini mempunyai beberapa tujuan seperti yang berikut:
Memastikan semua keperluan dipenuhi.
Memastikan semua pengekodan berfungsi seperti yang dikehendaki.
Memastikan semua modul boleh berfungsi bila digabungkan.
Mendapatkan maklum balas daripada pengguna sistem untuk tujuan pembetulan dan penambahbaikan.
Melibatkan pengguna sepenuhnya di peringkat pembangunan.
Mengesan ralat yang tercicir.
Membantu pasukan projek membuat dokumentasi dengan mengesan kesilapan oleh pengguna.
Menyimpan keputusan ujian sebagai bukti penyempurnaan pembangunan sistem.
Dokumentasi merupakan suatu proses mengutip dan mengumpulkan data, mengumpulkan maklumat dan ringkasan seperti laporan pengujian yang dijalankan, carta alir, kod atur cara dan juga carta IPO.
Dokumen-dokumen ini adalah sangat penting untuk rujukan pengguna sistem, pegawai IT dan juga kakitangan baharu di setiap fasa.
Sebagai contoh, carta Gantt ialah dokumen penting kerana carta Gantt menetapkan tarikh akhir untuk setiap peringkat pembangunan.
Setiap fasa perlu disiapkan sebelum ke fasa seterusnya. Hasil bagi satu-satu fasa berfungsi sebagai input untuk urutan fasa yang seterusnya.
Oleh itu, dokumentasi yang sepenuhnya bagi fasa projek dari awal pada setiap fasa akan dijadikan sebagai rujukan untuk fasa seterusnya