Hikayat Sultan Bustamam

Transliterasi oleh Mahbob Yusof, Juhaida Abdul Rahim, Rohaizah Jaafar, Ratnawati Sari Mohd Amin & Nurani Abdullah, Ogos-2021

Muka surat 21 hingga 30

Muka surat: Mula 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60

Muka surat 21/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 21/479

perempuan itu ditunjukkan mualim surat alamat rajanya berdiamlah mata-mata itu dengan takjub hal raja menjual sahaya seperti kekurangan belanja berbalik fikirnya kalau mualim ini biasa dengan raja dipohonkan pada raja kurnia raja akan dia dengan nama jual ia pergi khabar pada ketua bandar ia pun fikir demikian sudah ada dengan alamat raja tiadalah apa kira lagi maka berlayarlah perahu Malabari itu menuju Pulau Serindit maka angin pun terlalu kuat hampirlah ia menyusur pantai laut. Maka akan dayang-2 kedua telah sudah perahu Malabari itu belayar maka ia kedua pun kembalilah dengan kesukaan mengadap permaisuri khabarkan sudah selesai sudah dibawa orang Malabari itu belayar maka permaisuri pun terlalu suka dipersalinnya akan dayang-2 kedua itu dengan pelbagai kain dan emas perak serta dijadikan ia ketua pada segala dayang-2 [...] sekalian maka permaisuri pun berbuat gempar mengatakan Siti Salmiah sudah lenyap tiadalah di dalam istana disuruh segala dayang-2 daripada segenap ceruk lorong keliling istana langsung keluar kota maka gemparlah di dalam istana raja berlari-2anlah dayang-2 ke sana ke mari segenap pekan lorong beberapa orang pula disuruh pergi maklumkan pada baginda maka berlari-2lah biduanda pergi sembah pada baginda hal Siti Salmiah sudah lenyap dari dalam istana rata sudah dicari tiada berjumpa pagi ini juga yang lenyap itu kerana pagi-2 ini tadi tentu ada maka orang lain seorang pun tiada pergi ke mana baginda pun tiadalah terkata-2 segera naik kuda dipacunya ke dalam kota langsung ke istana serta permaisuri melihat baginda datang maka ia pun berbuat minta murka akan segala dayang-2 ia suruh cari ke sana ke mari segenap serambi tingkap istana itu dengan tangis seperti kasih sangat lakunya segenap perigi pun disuruhnya dayang turun gagau cari sehingga paraulah suaranya dengan menyeru dayang-2 disuruh pergi ke sana ke mari barang yang lambat berjalan disuruhnya palu maka baginda pun masuklah ke dalam istana mendapat permaisuri itu pun tiada dipeduli permaisuri akan baginda [...] ia berlari-2 segenap serambi istana itu mengerahkan dayang-2 disuruh ke sana ke mari heboh mulutnya dengan bagai memaki nista akan dayang-2 [biti …] katanya Aku tidur seketika dibiarkan dirinya berjalan tiada siapa boleh larang atau turut pergi sama gemuruhlah suara permaisuri maka baginda pun hairan tiada berketahuan fikir hendak dikata pekerti permaisuri dilihat kelakuan permaisuri lebih daripada dirinya maka baginda pun bertitah Diamlah tuan perlahan-2 kita cari boleh suruh turut pergi cari ke dusunnya kalau ia balik ke sana maka kata permaisuri Inilah halnya dari dahulu beberapa kali patik peringatkan dahulu Tuanku tiada beratkan sekarang hati patik pun sudah kasih mesra demikian pula jadinya berkata itu sambil menangis maka titah baginda Janganlah tuan merosakkan hati sudah janji Allah tahanlah pada fikir beta tiada ke mana perginya bertemu juga InsyaAllah Taala maka permaisuri pun berkata pergilah Tuanku keluar suruh

Muka surat 22/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 22/479

orang pergi lihat ke dusunnya dan suruh siasat di mana berjumpa boleh patik hendak beri dayang-2 pergi ambil maka baginda pun keluarlah ke penghadapan segala menteri hulubalang sudah berhimpun penuh sesak mendengar gempar itu maka titah baginda kepada menteri Aflus Hai menteriku beri menteri hulubalang suruh pergi siasat Salmiah lenyap kalau ia balik ke dusunnya jika tiada di sana disuruh cari segenap jajahan maka menteri Aflus pun bermohon berjalan keluar tiada sempat menyembah disuruh beberapa ketumbukan orang berjalan mencari rata tempat tiada berjumpa khabar pun tiada kedengaran besarlah kemusykilan di dalam hati baginda tiada berputusan disuruh baginda orang berjalan cari maka menteri Aflus pun sangatlah takjub pekerjaan ini di dalam hatinya tiadalah pekerti permaisuri juga jadi demikian sudah mati gerangan Siti Salmiah itu masyghul hatinya belas kasihan akan dia tiada lepas daripada hatinya serta teringat-2 akan kata orang tua di dalam rimba itu antara beberapa lama diketahuinya akan isterinya hamil hilanglah kemusykilannya suka hatinya mendengar isterinya hamil khabarnya permaisuri pun sudah hamil baginda pun terlalu suka hilanglah percintaannya akan Siti Salmiah ditatang permaisuri itulah siang malam barang kehendak permaisuri diturutnya beberapa pula [...] kurnia sedekah akan segala fakir miskin maka permaisuri pun terlalu suka oleh sampai seperti maksudnya telah genap bulan harinya maka permaisuri pun berputeralah seorang laki-2 terlalu suka baginda pada ketika itu [ter…] nobat nafiri dan meriam besar-2 pun berbunyilah terlalu azimat bunyinya alamat baginda beroleh putera banyaklah keluar derma sedekah pada selang empat hari menteri Aflus pun mendapat seorang anak laki-2 juga terlalu suka hatinya kerana ia pun tiada beranak maka pada ketika yang baik baginda menamai anakanda baginda Baharum Shah maka perdana menteri Aflus menamai anaknya Jamalus diperbuat surat beri pergi kepada perdana menteri Taansin khabarkan baginda beroleh putera laki-2 dan ia pun mendapat seorang anak laki-2 selang dua tahun permaisuri pun hamil pula telah cukup bulan maka permaisuri pun berputera pula seorang perempuan telah didengar menteri Aflus diperbuat pula sepucuk surat beri pergi kepada menteri Taansin dimaklum kepada rajanya maka Maharaja Binyasin pun berkirim pakaian dua peranggu bertatahkan ratna mutu manikam dan menteri Taansin pun berkirim pakaian akan menteri Aflus seperanggu duduklah masing-2 memelihara anaknya maka menteri Aflus pun berfikir akan kata-2 orang tua itu terlalu sekali betul dimaklumnya pada baginda telah cukuplah perkataan orang tua itu baginda pun memuji-2 serta yakin hatinya akan kata-2 itu. Sebermula maka tersebutlah perkataan Amir Shah laki isteri berjalan itu sangatlah susah hati ia kedua hendak berjalan tiada boleh tubuhnya pun luka bekas dipalu oleh teman Amir Bahur dan kaki ia kedua laki isteri terlalu bengkak tiada dapat ia berjinjak tiada khali ia daripada menangis akan anaknya berapa harilah ia di jalan sesat pula tiada berketahuan jalan tiadalah terkira-2 lagi lemas hatinya daripada sangat gundah hati akan anaknya digagah berjalan juga

Muka surat 23/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 23/479

antara beberapa hari sampailah ia ke dusunnya dilihat rumahnya hampa dicari anaknya tiada berjumpa sangatlah kedua laki isteri dengan sayu yang amat sangat berguling-2 di tanah pengsan berganti-2 disangkakan anaknya sudah dimakan harimau kerana kain bajunya berkaparan di tanah setengah di luar rumah kerana tatkala bernikah dengan baginda itu dikurnia baginda kain baju akan dia jadi tinggal kain bajunya maka ia cari jambianya pun tiada berjumpa jadi tiadalah berketahuan fikirnya duduk bertangis-2an laki isteri telah hari petang keluarlah isteri Amir Shah dari rumahnya hendak mengambil air dan hendak ambil buah-2 makanan barang yang boleh dimakan dalam tamannya maka dilihatnya bekas banyak orang tidur duduk keliling rumahnya maka dipanggil suaminya ditunjukkan segala alamat itu maka [ter…] di dalam hatinya kedua hal anaknya tentu diambil orang maka diambil ubi-2 dan buah buahan barang yang ada di dalam tamannya dibawa pergi makan menghilangkan laparnya tidurlah ia laki isteri serta mengubat sakitnya selang dua hari mesyuaratlah ia dua laki isteri hendak berjalan mencari khabar anaknya tiada boleh kita duduk di sini zalim sangat raja negeri ini mari kita pergi cari tempat lain duduk sambil mencari khabar anak kita kalau berjumpa sambil menangis keduanya setelah hari siang berjalanlah ia kedua menuju jalan bekas orang berjalan di mana berjumpa dusun kampung orang ia masuk bertanya khabar anaknya serta mencari makan antara beberapa hari berjalan sampailah ia kepada suatu dusun terlalu besar hampir dengan negeri Badrani masuklah keduanya mencari khabar anaknya serta mencari makanan maka orang dusun itu bernama Malik Jamal laki isteri mendengar akan halnya maka kata Malik Jamal Sekarang ke mana kamu hendak pergi cari anakmu itu sudah janji Allah Ta'ala ke atas kamu sebaiknya engkau serahkan kepada Allah Taala Ialah sebaik-2 memeliharakan hambanya jika ada janji akan engkau bertemu dengan anak kamu pada fikir hamba baiklah engkau diam di dusun hamba ini buat makan boleh hamba beri seperempat dusun hamba akan dikau banyak sudah ada ditanam hamba daripada ubi dan pisang timun tembikai anggur [zabib kurma badara] dan tempat hendak bertanam gandum jagung semua pun luas ikut suka hendak hatimu boleh bertanam makan kerana kawan hamba pun tiada banyak dan lagi anak hamba pun banyak boleh engkau ambil mana yang engkau berkenan pada hatimu bolehkan penghibur dan lagi tempat ini di tengah jalan besar boleh engkau siasat khabar anakmu pada orang yang pergi mari hamba ambil engkau akan saudara setelah didengar Amir Shah kata-2 Malik Jamal demikian itu serta dilihat baik budi pekertinya masuk hatilah ia kedua laki isteri memberi hormatlah ia akan Malik Jamal kabullah seperti katanya seraya berkata Hamba ini dagang tiada berkeluarga sekiranya maka tuan hamba reda mengasihi hamba sepuluh [gatilah] kesukaan hamba kedua berkirim diri kepada tuan hamba berkenan Malik Jamal mendengar perkataannya lemah lembut maka Malik Jamal pun membawa Amir Shah tunjukkan perbahagiannya maka sukalah sedikit hati Amir Shah diperbuatlah rumah tempat duduk duduklah ia laki isteri berbuat ibadat kepada Allah Taala dipinta doa akan anaknya sambil bertanam barang makanan akan dimakannya tiadalah

Muka surat 24/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 24/479

menjadi kesakitan ia kedua pada makan minum kadar hatinya juga teringat-2 akan anaknya maka diambilnya seorang anak Malik Jamal dipeliharakan penghibur hatinya Malik Jamal pun terlalu kasih akan dia seperti saudara sungguh lakunya sehari-2 diajak pergi bermain tangkap burung dan pelanduk napuh serta bertanam tanaman terhiburlah sedikit hati Amir Shah laki isteri daripada percintaannya akan anaknya segala kafilah yang pergi mari itu sebagai dia bertanya khabar anaknya demikianlah halnya sehari-2.

Sebermula maka tersebutlah pula perkataan orang Malabari membawa Siti Salmiah berlayar itu beberapa hari ia menyusur pantai laut tiada boleh belayar angin dari hadapan serta diketahuilah oleh segala orang yang di dalam perahu itu Siti Salmiah ini hamil maka diperiksalah oleh nakhoda perahu itu dengan siapa engkau bunting ini maka sahut Siti Salmiah tiadalah hamba tahu hamba duduk di rumah raja itulah sambil ia menangis terlalu sangat maka marahlah nakhoda perahu akan mualimnya katanya engkau sekali-2 tiada berakal apakan guna engkau tebus budak raja adakah raja itu kekurangan belanja berjual budak adalah [fiil] dan malang budak ini jadi dijualnya dengan sebab malangnya juga angin pun jadi salah perahu kita tiada boleh belayar dan lagi apakah pula datang kemalangan ke atas segala kita segala isi perahu ini pun berkata benar sangat-2 seperti kata nakhoda jika tiada jahat pekerti budak di dalam istana raja di sana datang [...] jika dibawa sampai ke negeri kita pun apa guna orang semacam ini kurangkah orang perempuan di dalam dunia ini maka diketahui oleh raja kita besarlah murkanya setengah berkata janganlah kita harapkan sampai kita ke negeri kita kerana malang sudah masuk ke dalam perahu ini berbagai-2lah masing-2 berkata maka mualim Kakduni pun menyesal yang amat sangat tiadalah ia terdengar sangat sungut segala orang di dalam perahu itu maka berkata nakhoda perahu itu ada sesuatu bicara mahukah engkau sekalian dengar mereka mengakulah sekaliannya maka kata nakhoda itu kita sekalian di dalam perahu ini mari kita muafakat bayar dirham mualim Kakduni sebahagi kita ambil seorang sedikit bayar mualim Kakduni sebahagi bayar dibawa pergi lepas buang budak ini ke darat dekat negerinya biar ia pulang kepada kaum keluarganya jadi [merdeka] kita sekalian jangan mualim rugi seorang dan kita pun jangan menanggung sengsara di dalam laut ini maka sekaliannya pun kabullah seperti kata nakhodanya maka disuruh nakhoda bawa sampan serta berkata Hai Kakduni kau kabulkan jika kabul bawalah olehmu budak ini pergi lepaskan ia ke darat balik segera kita belayar pulang maka tiadalah terkata-2 mualim Kakduni hatinya sangat belas kasihan akan Siti Salmiah digagah tahani hatinya bawa turun Siti Salmiah ke dalam sampan berdayunglah ke darat telah lepas ke darat maka berkata mualim Kakduni Pergilah engkau bawa dirimu barang ke mana ikut suka hatimu maka kata Siti Salmiah seraya menangis Di tengah rimba ini ke mana hamba hendak pergi hamba takut sangat maka kata mualim Kakduni Jangan kamu takut Allah Taala ada memelihara akan dikau jika tiada engkau berbuat salah kepada Allah Taala engkau mendapat sejahtera ditolong Allah Taala amat mengasihani atas segala hambanya boleh

Muka surat 25/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 25/479

aku [surat] beri suatu azimat engkau pakai tiada berani jin syaitan dan binatang yang jahat menghampiri engkau tiadalah apa kata Siti Salmiah sehingga dia menangis sahaja terlalu sangat diambil mualim Kakduni simpanannya dikeluarkan dakwat kalam hendak menyurat azimat berikan Siti Salmiah dicari kertas di dalam simpanan itu tiada hanyalah surat alamat [tebus] itulah yang ada maka diambil surat itu ditatap ada di bawahnya hampa sedikit tiada bersurat maka mualim itu pun [menyuratlah] di bawah itu surat azimat ismu Allah Taala yang amat besar serta dibaca isim pula beberapa banyak isim yang besar-2 dihembuskan dilipat beri pada Siti Salmiah serta didoakannya pinta-2 diselamatkan Allah Taala maka disambut Siti Salmiah surat itu ditaruh bersama-2 […nya] maka mualim Kakduni pun memberi sedikit makanan akan Siti Salmiah daripada roti dan halwa dan […] dan […] […] diterima Siti Salmiah maka orang di dalam perahu pun tiada berputusan menyeru mualim disuruh balik ke perahu segera maka sangatlah belas hati mualim melihat hal Siti Salmiah duduk menangis itu turunlah ia ke sampannya sambil menyapu air matanya berdayung kembali ke perahu layar pun sudah dipasang orang perahu pun belayarlah terlalu laju ke tengah lautan dengan seketika hilanglah daripada pandangan tinggal Siti Salmiah dengan seorang diri di pantai laut itu duduk menangis hendak pergi ke mana pun tiada ketahui jalannya serta takut yang amat sangat tiadalah berhenti tangisnya serta diseru ibu bapanya maka bangkitlah ia perlahan-2 berjalan ke darat dilihatnya hutan yang amat semak tiada bekas orang berjalan maka segala binatang di dalam hutan itu daripada kera lotong berlompatan lari serta berbunyi seperti menegur Siti Salmiah bertambah-2lah takutnya maka Siti Salmiah pun larilah balik ke pantai laut dengan teriaknya takut akan binatang-2 itu berjalan-2 di pantai laut itu sambil [menabik] mergastua di dalam hutan itu pun gemparlah mendengar suara Siti Salmiah berkeliaran ke sana ke mari hendak menghampiri Siti Salmiah tiada diberani berkat isim Allah yang tersurat di dalam surat cap Sultan Yahya yang disurat oleh mualim Kakduni itu berpuak-2lah mergastua itu berhimpun datang melihat dari jauh tiadalah terkira lagi takut Siti Salmiah tiada berhenti ia daripada menangis seraya berkata Hai Tuhanku Tuhan yang menjadikan sekalian alam adakah lagi makhlukMu yang semacam dengan aku ini apa gerangannya derhakaku maka Engkau takdirkan atasku demikian ini serta digagahi keraskan hatinya barang yang hendak jadi pun syukur aku ke mana lagi aku hendak salahkan maka hari pun petang duduklah ia di tepi laut itu makan akan makanan yang diberi mualim Kakduni itu dikoyaknya sekerat kain […nya] dibungkus jadikan bantal kepalanya berbaringlah ia di pasir pantai laut itu makin dilihat hari petang bertambah-2 takutnya hilanglah ikhtiarnya telah kelam dilihat sangat […] tiadalah kelihatan apa terlalulah takutnya tiada didapat ditahani seketika keluarlah mergastua di dalam hutan itu daripada rusa kijang babi diburu oleh harimau lari ke tepi laut gemuruh bunyinya terkejutlah Siti Salmiah

Muka surat 26/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 26/479

bangkit duduk dilihatnya segala mergastua itu pada perasaannya itu matilah aku dimakan binatang-2 ini tiadalah ke mana aku hendak lari tiadalah berjumpa dengan ibu bapaku berhamburanlah air matanya putus asanya pada hatinya tiadalah sesuatu yang diharapnya gementarlah segala tubuhnya maka segala mergastua itu pun telah dekat dengan Siti Salmiah sekaliannya terhenti akan harimau yang memburu segala binatang itu pun tiada berani hampir berkat isim Allah balik ke dalam hutan maka lepaslah segala mergastua itu duduk di dalam hutan sekaliannya tidur keliling Siti Salmiah oleh lepas dirinya daripada diburu oleh harimau maka Siti Salmiah pun tiadalah berhenti daripada menangis takut segala binatang itu segala anggotanya pun gementarlah tiada dapat ditahani lagi rebahlah ia tidur berdiam dirinya tiada juga matanya mahu lena oleh takutnya maka dilihatnya segala binatang itu berhimpun tidur sekelilingnya hairanlah ia serta dengan takut yang amat sangat di dalam hatinya segala binatang itu menanti aku lena hendak dimakannya aku makin matanya tiada mahu lena tiadalah berani ia bersuara berbagi-2 fikir di dalam hatinya air matanya pun tiadalah kering terkenanglah ia akan ibu bapanya dan teringat akan suaminya tahulah ia akan perbuatan permaisuri akan dia demikian tiada patut suaminya perbuat demikian kerana segala kelakuan kekasih baginda itu akan dia baharulah tampak perhatiannya makin sangat ia menangis terkenangkan nasibnya dan untungnya selama-2 tiadalah lena matanya dengan ketakutan terkejut tersentak-2 kaki tangannya gementar anggotanya dengan demikian hari pun sianglah segala mergastua itu pun berlompatanlah lari masuk ke dalam hutan mencari rezekinya tinggal Siti Salmiah seorang diri di pantai laut itu tiada ia berani berjalan masuk hutan rimba itu berjalan [sahaya] di tepi pantai laut telah keras panas berasalah lapar dan dahaga maka dibuka bungkus makanan yang diberi mualim Kakduni itu dimakan sedikit bertambah pula dahaganya panas pun bertambah keras maka turunlah ia ke tepi laut diambil air dengan tangannya diminum berasa masin pahit pergi pula ke teluk lain diambil air itu dengan tangannya diminum rasa masin juga ditinggalkan tempat itu berjalan pula ke teluk lain ia turun pula ke dalam laut itu mengambil air akan diminum berasa masin juga tiada dapat ditelannya hairanlah ia segala tempat itu menjadi masin belaka maka pergi pula ia ke pantai lain di sana pun dirasa masin juga dahaganya pun makin bertambah tiada dapat ditahaninya keringlah rengkungnya menangis lari dengan tangis yang amat sangat katanya Hai Tuhanku apa gerangan untungku demikian ini air serata-2 tempat habis menjadi garam tiada dapat aku minum maka berjalan pula mencari pantai lain pada sangkanya berubah rasa air itu di sana pun demikian juga lidahnya pun terlalu kering tiadalah dapat ia berjalan lagi [mengetar] kakinya rebahlah ia di pantai laut itu terlali seketika tiada khabarkan dirinya ditimpa panas terlalu hangat ia terkejut bangkit duduk tiadalah ber[…] lagi anggotanya tiada dapat ia hendak berjalan maka ia bernyawa pun

Muka surat 27/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 27/479

terlalu lelah air matanya pun tiadalah keluar lagi rebahlah ia di atas pasir itu maka pada ketika itu dengan takdir Tuhan Rabbulalamin dilihat Siti Salmiah ada seorang laki-2 muda belia berkuda berjalan di pantai laut menuju tempat ia duduk pada sangka Siti Salmiah suaminya juga datang mengikut dia adalah berasa sedap hatinya sedikit maka digagahnya bangkit duduk serta membaiki kain bajunya setelah dekat dilihat Siti Salmiah bukan suaminya malulah ia hendak memandang muka orang muda itu maka tunduk kepala berdiam dirinya telah dilihat orang muda itu dikenalnya Siti Salmiah dihampiri dekat katanya Hai Salmiah cucu Amir Talib jangan engkau takut pertetapkan hatimu bahawa sesungguhnya Tuhan kamu sangat menaruh rahim atas kamu engkau mendapat rahmat Tuhan kamu yang amat lemah serta diketahui orang muda itu Siti Salmiah hamil serta ia sangat dahaga setelah didengar Siti Salmiah orang muda itu menyebut namanya dan nama datuk neneknya maka dipanggung kepalanya dilihat akan orang muda itu di dalam hatinya orang mana ini mengenal akan daku rupanya terlalu baik sedap sedikit hatinya berasa pada fikirnya kalau penyuruh suaminya mencari dia maka ia hendak bertanya tiada boleh bertutur tiada keluar suaranya kasihan orang muda itu melihat dia seraya berkata Hai Salmiah bahawasanya suami engkau Sultan Yahya di negeri Samtarani tiada mengetahui hal engkau dianiaya oleh permaisurinya berbahagialah engkau beroleh seorang anak laki-2 engkau hamil pun tiada diketahui suamimu janganlah susah hatimu akan ibu bapamu dan suamimu dan anakmu sekaliannya berjumpa juga dengan kau di negeri [Tahat Yamin] engkau mendapat sejahtera dikurnia Tuhanmu rahmat akan engkau janganlah engkau takut pergilah engkau di sebelah [khairani] tuju gunung yang tampak itu di sanalah engkau mendapat kawan akan jadi pengasuh anakmu serta dipinta jambianya itu lalu diunjukkan Siti Salmiah bersama dengan bungkus makanan yang diberi mualim Kakduni diambil oleh orang muda itu disapu-2 mata jambia diberi balik pada Siti Salmiah katanya tikam jambia ini ke tanah maka keluarlah mata air terlalu deras ikut besar mata jambia ini maka segera disambut Siti Salmiah jambia itu dan ditikamkan ke tanah maka keluarlah mata air terlalu deras ikut besar mata jambia itu terlalu jernih diambil Siti Salmiah sedikit dirasanya tersenyum orang muda itu melihat kelakuan Siti Salmiah disangkanya air itu serupa air laut setelah dirasa Siti Salmiah air itu terlalu sejuk maka diambil dengan tangannya diminum hilanglah dahaganya segarlah tubuhnya maka ia mengucap syukur maka makanan itu pun disapu-2 oleh orang muda itu dengan tangannya diberi balik kepada Siti Salmiah katanya taruhlah makanan ini makan olehmu sampai kepada anak cucumu tiada akan habis serta dipinta surat yang ditaruh Siti Salmiah itu dilihat surat cap Sultan Yahya berjual Siti Salmiah ada sudah tersurat suatu isim yang besar maka ditambahi surat pula suatu isim bersama-2 isim itu diberi balik pada Siti Salmiah katanya Pergilah engkau jangan takut suatu pun tiada dapat

Muka surat 28/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 28/479

perbuat aniaya akan engkau maka ia pun naik kuda berjalan turun ke laut dipacunya kuda berjalan atas air itu hilanglah daripada pandangan Siti Salmiah kepada ijtihad yang empunya yang himpunkan cetera ini orang muda itu tiadalah lain daripada Nabi Allah Khidir Alaihissalam setelah dilihat oleh Siti Salmiah orang muda itu sudah tiada nampak maka ia pun bangkitlah perlahan-2 dirasa tubuhnya kuat yakinlah hatinya akan kata orang muda itu maka ia pun berjalan perlahan-2 menuju gunung yang ditunjukkan orang muda itu barang di mana hangat tiada terjalan berhentilah ia segenap bawah naungan kayu berbaring-2 apabila hilang hangat berjalanlah pula ia barang di mana malam di sanalah ia berhenti tidur tiadalah ia berasa takut dan ngeri di mana-2 lapar dia buka bungkus yang diberi oleh mualim Kakduni itu dimakan kenyang-2 perutnya makanan itu tiada juga susut dan luak barang di mana dahaga dihunjamkan jambianya itu di bumi keluarlah mata air terlalu jernih diminum lalu ia berjalan menuju gunung itu maka berjumpalah ia dengan sebuah dusun orang maka masuklah ia ke dalam dusun itu telah dilihat tuan dusun itu diajaknya bawa ke rumahnya diperjamu makan ubi-2 dan buahan-2 serta ditanya dari mana ia datang maka kata Siti Salmiah ia orang dusun juga sesat jatah kemari diketahui orang dusun itu ia hamil duduklah ia semalam di dusun itu bangkit pagi-2 ia hendak berjalan ditahan oleh orang dusun disuruh berhenti di rumahnya oleh kasihan ia akan hal berjalan seorang dirinya dengan hamilnya di dalam rimba belantara itu tiada Siti Salmiah mahu duduk katanya hendak pergi mencari ibu bapanya beberapa dinasihatkan tiadalah dipakai lalu ia berjalan dari sana antara beberapa hari sampailah ia ke kaki gunung dilihat ada sebuah taman di kaki gunung itu terlalu permai maka masuklah ia ke dalam taman itu dilihat ada sebuah kolam lengkap dengan balai terlalu indah-2 maka air di dalam kolam itu pun terlalu hening jernih maka inginlah dia hendak mandi maka pergilah ia duduk di tepi kolam itu dilihat di dalam kolam itu terlalu banyak ikan berbagai-2 warna sisiknya seperti suasa dan perak bercahaya-2 terlari-2 ke sana ke mari airnya terlalu jernih tampak pasir di bawahnya bercahaya-2 berbagai-2 warna seperti permata pudi terlalu suka Siti Salmiah melihat dia. Adapun gunung ayat bernama Habal Solihin maka di atas gunung itu ada seorang raja jin bernama Maharaja Thalhut ialah ketua menghukumkan segala jin pari dewa mambang daerah itu tiada beri buat aniaya setengah dengan setengahnya dan diatas segala manusia ialah yang mempunyai dusun itu tempat isterinya bernama Dewi Nilawati bermain-2 maka pada ketika itu Dewi Nilawati pun turun dari gunung diiringkan dayang pengasuhnya hendak mandi dan bermain-2 di dalam tamannya telah dekat dilihatnya ada orang di dalam tamannya terlalu marah Dewi Nilawati melihat tamannya dimasuki orang kerana selama-2 tiada pernah siapa pun berani hampir tamannya itu maka disuruh seorang dayang katanya pergi engkau tangkap orang itu lemparkan keluar beri mampus sekali maka pergilah dayang-2 itu hendak tangkap Siti Salmiah serta dekat

Muka surat 29/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 29/479

naik kenaling kaki tangannya gementar segala anggotanya tiada dapat bergerak lagi maka baliklah ia memberitahu segala halnya itu kepada Dewi Nilawati maka makin marahnya disuruh segala dayang-2 inang pengasuhnya pergi membongkar batu yang besar-2 bawa pergi hempaskan ke atasnya biar tenggelam pergi ke bawah bumi sekali maka pergi segala dayang-2 inang pengasuhnya membongkar batu-2 seorang batu seperti gajah besarnya berpuluh-2 dibawa lemparkan ke atas Siti Salmiah dengan berbagai-2 sumpah [serapah] dan maki nistanya suatu pun tiada mengenai Siti Salmiah habis berpelanting balik menimpa dayang-2 patah kaki tangannya maka disuruh Dewi Nilawati panggil segala jin pari yang duduk di kaki gunung itu disuruh tangkap Siti Salmiah lemparkan keluar maka berhimpunlah segala jin pari dewa mambang di kaki gunung itu menghampiri Siti Salmiah serta dekat terpandanglah kepada isim yang ada kepada Siti Salmiah itu masing-2 terkejut gementar segala anggotanya habis lari [bercempera] segenap gunung itu jadi besarlah gempar maka Dewi Nilawati pun segera lari naik ke gunung langsung ke istananya sambil meraung menyeru suaminya Maharaja Thalhut maka Maharaja Thalhut pun terkejut seraya bertanya Apa gempar ini maka kata Dewi Nilawati Apa gerangan gunanya kamu menjadi raja menghukumkan orang taman tempat aku bermain habis jahanam dimasuki orang dikhabarkan segala perintah itu tiadalah aku ketahui apa-2 bangsanya adalah ia sekarang di dalam taman itu maka Maharaja Thalhut pun terlalu marah tiadalah semata ia menilik pestakanya kerana hatinya terlalu marah mendengar kata isterinya berbangkitlah [gemirapnya] Gunung Solihin itu pun seperti akan bergoyang maka ia pun melompat membongkar suatu batu terlalu besar seperti sebuah bukit dibawa hendak hempaskan ke atas Siti Salmiah serta dekat terpandanglah ia akan Siti Salmiah diamat amatinya lihat diketahuilah terlalu besar isim [sikahan] azimat kepada Siti Salmiah itu maka segera dibuangkan batu itu ke tanah serta dihampirinya dekat lalu bertanya [Mika] anak perempuan dari manakah engkau datang siapa memberi surat itu akan dikau maka dipaling Siti Salmiah dilihat ke belakangnya ada seorang orang terlalu besar panjang memakai mahkota duduk dengan hormatnya bertanya ia maka segeralah ia membaiki kain bajunya seraya berkata Hamba datang dari pantai laut surat ini diberi oleh seorang-2 akan hamba tiada mengenal dia maka ditilik oleh Maharaja Thalhut akan Siti Salmiah ini cucu Amir Talib isteri Sultan Yahya di negeri Samtarani sudah hamil dianiayakan oleh suri Samtarani diketahui akan petaka anak di dalam perutnya itu dan sudah ia bertemu dengan khotibulalam beroleh penolong yang amat besar maka ia pun bermohon pada Siti Salmiah balik ke istananya berkhabar kepada isterinya Dewi Nilawati segala perintah itu baharulah Dewi Nilawati ketahui katanya Patutlah beberapa batu yang besar-2 beta suruh dayang-2 hempaskan ke atasnya tiada mengenai dia suatu jua pun habis terpelanting balik segala laskar di kaki gunung seorang pun tiada berani hampir habis lari bercempera maka kata Maharaja Thalhut ia sudah berjumpa dengan khotibulalam sudah baginda itu menaruh belas kasihan atasnya ada sudah sikah

Muka surat 30/479 Hikayat Sultan Bustamam


Muka surat 30/479

khotibulalam padanya siapa berani pengapa akan dia jika berhimpun seisi alam ini sekalipun maka kata Dewi Nilawati Wah jauh hatiku ia akan beta banyak kata tutur maki nista dayang-2 akan Siti Salmiah maka berkata Maharaja Thalhut Pergilah tuan segera mendapatkan dia pinta maaf serta ajak bermain-2 hiburkan hatinya jika diketahui baginda itu kita tiada [memahduli] akan dia besarlah murka baginda itu atas kita hancurlah menjadi angin berkata itu dengan ketakutan maka Dewi Nilawati pun datanglah takut yang amat sangat mendengar kata suaminya segeralah ia turun berjalan ke taman dilihatnya Siti Salmiah lagi duduk di tepi kolam itu setelah dilihat Siti Salmiah banyak perempuan-2 mari mendapat dia suka sedikit hatinya mengucap syukurlah ia kepada Allah Taala serta sampai Dewi Nilawati lalu didakapnya Siti Salmiah diciumnya dengan berbagai-2 pujinya seraya berkata Jauh hatilah tuan akan kak tadi oleh kak tiada mengenal tuan cucu Amir Talib isteri Sultan Yahya raja di negeri Samtarani dikhabarkan oleh suami kak inilah baharu kak ketahui harap kak akan ampun tuan jangan menaruh kecil hati atas kak maka Siti Salmiah pun menyahut perlahan-2 katanya Tiada hamba marah [...] hamba takut lambat hamba bertemu dengan ayah bonda hamba maka kata Dewi Nilawati katanya Apa tuan takutkan lagi jika berhimpun makhluk seisi alam dunia ini pun tiada dapat berbuat kejahatan suatu pun ke atas tuan melainkan barang siapa berbuat baik pada tuan ia mendapat bahagia tuan sudah bertemu dengan khotibulalam sudah mendapat aman peliharanya tiada siapa dapat menyalahi daripada baginda itu jangankan dihukumnya jika datang murka di dalam hatinya pun hancur lebur mereka itu menjadi abu angin besar amat bahagia tuan boleh berjumpa baginda itu segala raja-2 di dalam alam dunia ini jarang amat yang boleh bertemu dengan baginda itu bagaimana gerangan tuan boleh bertemu dengan dia maka diceterakan oleh Siti Salmiah daripada permulaannya datang [kesudahan] ia bertemu itu tiada ia mengenali dia maka dahsyat hati Dewi Nilawati mendengar dia [serta] dipeluk dicium seraya berkata kak boleh menilik mata tuan yang memandang baginda itu pun besar bahagia kak maka segala inang pengasuh dayang-2 Dewi Nilawati pun duduk menyembah Siti Salmiah setengah mencium kaki tangannya duduklah berkata-2 dan bermain-2 sekaliannya maka Siti Salmiah pun pada hari itulah suka hatinya seperti sudah berjumpa dengan ayah bondanya demikianlah rasanya maka diajak Siti Salmiah mandi sambil memungut bunga tanjung telipuk teratai di dalam kolam itu berebut-2an segala dayang-2 terlalu ramai setelah sudah mandi naik bersalin kain buahan-2 sudah dipungut inang pengasuhnya hadirkan naiklah keduanya ke atas balai memakan buahan-2 telah sudah memakan maka Siti Salmiah pun mengeluarkan makanannya yang diberi mualim Kakduni diajak Dewi Nilawati makan maka dilihat Dewi Nilawati makanan itu terlalu lazat terlalu suka hatinya maka diterima Dewi Nilawati barang yang diberi Siti Salmiah itu diberikan kepada inang pengasuhnya sedikit lainnya dibubuh di dalam daun tanjung dibungkus hendak bawakan kepada suaminya dan anaknya setelah

Muka surat: Mula 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60