Hikayat Raja Budiman
Muka surat 51 hingga 60
Muka surat 51/129
perangnya turun ke dalam dunia pada negeri Padang Kecik.
Telah sampailah ke halaman mahligai Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan maka [memanak] dan berhimpun di hadapan mahligai di medan peperangan. Maka dilaung panggil oleh rakyat yang banyak: Hai Encik orang muda turunlah mari laksana emas kita uji barang siapa yang naik mutunya. Dipanggilnyalah seorang sepatah seperti katak meraung hujan.
Maka Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan pun bangunlah daripada peraduannya berlari-2 ke tingkap panjang dilihatnya di medan peperangan sangatlah banyak rakyat Sheikh Ali datang seperti laut dan seperti ombak tatkala ribut. Dipandang bumi tiada kelihatan bumi dan dipandang tiada kelihatan langit. Tuan Puteri pun berlari masuk ke peraduan lalu dipanggilnya: Ayuhai abang semangat adik bangunlah abang jangan beradu kerana rakyat Sheikh Ali terlalu banyak sudah menanti di medan peperangan kemanalah kita hendak lari melepaskan nyawa. Jika diludah seorang sedikit pun matilah kita oleh kelemasan kerana orang terlalu banyak.
Telah didengar oleh Lela Muda akan perkataan isterinya itu maka ianya pun bangun basuh muka lalu santap sirih serta Tuan Puteri pun menangis bercucuran air matanya. Maka dipandang oleh Lela Muda isterinya menangis itu ia pun berkata: Ayuhai adik semangat
Muka surat 52/129
abang janganlah adinda bersusah hati. Jika sekiranya dalam peperangan ini abang tiada boleh melawan orang sebanyak itu apalah gunanya kekanda meninggalkan negeri. Telah didengar oleh Tuan Puteri maka ia pun sukalah sedikit hatinya lalu menyuruh angkat nasi persantapan. Maka Raja Lela Muda pun santaplah dua tiga suap lalu sudah. Telah itu duduklah kedua laki isteri bergurau senda.
Antara tiada beberapa lamanya Selamat Tandang Desa pun bangkit daripada tidur dengan Cik Dayang Suka lalu pergi mengadap Lela Muda. Maka ia pun berdatang sembah: Ampun tuanku beribu-2 ampun bilalah lagi tuanku hendak mengadap jamuan di tengah medan peperangan itu. Maka sahut Lela Muda: Silalah Abang Selamat pergi dahulu. Maka sembah Selamat: Ayuhai Cik Dayang semangat Abang Mat bawa marilah kain panjang. Maka sekalian dayang-2 pun segeralah memberi kain panjang sehelai seorang. Maka disambut oleh Selamat lalu diikat pada pinggang sampai ke dadanya dan disentak golok besar parang ke kiri pun terang parang ke kanan pun terang terlalu banyak rakyat Sheikh Ali yang mati dan terlalu azimat dengan tempik sorak rakyat bala tentera itu pun bertakar seperti halintar membelah gunung dan seperti guruh di dalam awan. Maka Lela Muda pun berbangkitlah ke udara dan segala senjata jatuh ke atas badan Selamat seperti hujan yang lebat. Maka ia pun mara ke hadapan dengan memejamkan
Muka surat 53/129
matanya memarang dengan kedua belah tangannya bertemu kuda menetak ke bumi hilang jiwa padam darjat. Maka perang itu hingga beberapa hari tiada berhenti siang malam.
Maka Lela Muda pun santap sirih sekapur. Telah itu ia pun mencitakan kuda hijau kesaktian. Seketika itu maka kuda hijau itu pun datanglah masuk ke dalam halaman mahligai itu. Maka Lela Muda pun melompat naik ke atas kuda itu dipetik tali dandang sekawan. Maka kuda itu pun melambung terbang menuju ke tengah tentera yang banyak. Maka dipandang oleh segala rakyat bala tentera kuda itu. Maka berhimpunlah sekaliannya menghujani dengan senjata ke atas Lela Muda seperti hujan yang sangat lebat suatu pun tiada mengenai Lela Muda. Maka ianya pun lalu menghunus pedangnya jenawi kecik yang diberi oleh adiknya anak naga emas itu maka ia pun tampil ke hadapan memarang ke kiri dan ke kanan serta tangkis menangkis. Maka terlalu banyak rakyat yang mati seperti daun kayu jatuh ke bumi lakunya. Maka ia pun mengaruklah di atas udara dengan kuda hijau itu hingga tujuh hari dan tujuh malam tiada bertewasan lagi.
Maka Selamat Tandang Desa yang berperang di bumi itu pun lemahlah sudah lakunya oleh mengaruk darah manusia yang telah mati berkeparan di medan peperangan itu. Sedang ramai berperang itu maka Selamat
Muka surat 54/129
Tandang Desa pun bertemulah dengan Tok Misi Jarum lalu berhadap keduanya seperti kerbau hendak berlaga lakunya bertangkap-2. Maka tersilap langkah Selamat Tandang Desa maka ditangkap oleh Tok Misi Jarum serta dihunjamkan ke bumi hingga tujuh depa masuk ke bumi. Maka Selamat pun marah lalu bertempik naik ke gembiranya bangkit menangkap Panglima Misi Jarum lalu dihempaskannya ke bumi hingga tujuh depa masuk ke dalam bumi. Maka Panglima Misi Jarum pun bertempik bangkit menangkap pinggang Selamat seraya berseru kepada bumi: Hai ibuku bumi engkau himpitkan Selamat ini. Telah berkata demikian ia pun segera menghempaskan Selamat itu dan bumi pun memegang akan dia. Maka Selamat pun tiada upaya hendak melepaskan dirinya beberapa kali beberapa kali ia bertempik hendak bangkit tetapi sia-2 sahaja tiada juga dia dapat bangkit maka masuklah ia ke dalam bumi hingga pinggangnya. Telah dilihat oleh sekalian rakyat bala tentera Sheikh Ali hal Selamat sudah tertanam itu maka banyaklah yang mendatangkan senjata ke atas Selamat Tandang Desa. Telah banyaklah sudah rakyat itu datang berhampiran dengan dia maka ia pun segera memarang sekali parang menjadi terang seperti orang membedil lakunya. Demikianlah beberapa lamanya.
Alkisah maka tersebutlah perkataan Mek Sibunga Campa di dalam negeri Serendah Sekebun Bunga. Telah genap bulannya maka ia pun
Muka surat 55/129
sakit hendak bersalin. Maka segeralah disuruh panggil bidan. Maka bidan pun datanglah dipandangnya sungguh Mek Sibunga Campa hendak bersalin. Seketika bidan duduk di situ maka Mek itu pun beranaklah seorang laki-2 keluar daripada jasad ibunya dengan membawa candung sebilah jatuh ke tikar. Maka tikar pun tembus jatuh ke lantai. Maka lantai pun patah langsung jatuh ke bumi masuk kira-2 tujuh depa dihimpit oleh bumi menjadi gelang besi gelang tembaga pada rusuk kiri dan kanannya sampai tujuh hari tujuh malam di dalam bumi itu.
Maka datanglah sekalian keramat aulia mambang dewata mamak jin bujang juara serta diajar segala ilmu hikmat kepada Awang Sibuncui telah itu maka bumi pun membuka sendirinya dan datanglah tok bidan lalu diambil Awang Sibuncui itu dikerat pusatnya. Mandi manda lalu diletakkan di dalam buaian. Maka dengan seketika itu juga Awang Sibuncui pun boleh berkata-2 memanggil emaknya Sibunga Campa seraya meminta nasi hendak makan. Maka bondanya pun segera memberi nasi kepada anaknya. Telah makan ia pun berjalan naik ke atas ribaan bondanya sambil meminum susu badannya. Kemudian ianya turun berjalan pergi bermain-2 dengan segala budak-2 yang banyak. Telah dipandang oleh budak-2 yang banyak itu berkata seorang kepada seorang: Awang Sibuncui tiada berbapa jangan kita bermain dengan
Muka surat 56/129
dia. Maka Awang Sibuncui pun marahlah lalu ditangkap seorang budak itu dihempaskannya ke bumi langsung mati. Maka ibu bapa budak yang mati itu pun bergaduh lalu pergi mengadap Raja berdatang sembah mengatakan: Awang Sibuncui anak Selamat Tandang Desa telah membunuh anak patik.
Maka titah Raja Budiman: Hai budak kundangku segera engkau pergi panggil Awang Sibuncui itu bawa ke mari. Maka budak kundang itu pun sampailah ke rumah Awang Sibuncui seraya berseru katanya: Ayuhai Awang Sibuncui titah Raja memanggil engkau datang ke balainya. Maka sahut Awang Sibuncui: Siapa panggil aku. Maka jawab budak kundang: Akulah budak kundang Raja Budiman. Telah didengar Awang Sibuncui ia pun turun berlari menuju kota raja. Telah sampai lalu naik mengadap Raja Budiman seraya berdatang sembah: Ampun tuanku apakah kerja memanggil patik ini.
Maka titah Raja: Hai Awang Sibuncui engkau ini sangat jahat. Apakah salahnya engkau bunuh anak orang. Maka jawab Awang Sibuncui: Ia mengatakan patik tiada berbapa. Maka tidah Raja: Hai Awang Sibuncui jangan engkau buat lagi sedemikian. Telah itu maka Awang pun berjalan langsung ke hujung tanah lidah bumi. Maka bumi pun berkata: Hai Awang Sibuncui engkau duduk di sini dengan bersuka-2an pergi mari tetapi engkau tiada
Muka surat 57/129
ketahui bapa engkau Selamat Tandang Desa tengah berperang di negeri padang Kecik sudah ketewasan dihimpit oleh bumi hingga pinggangnya maka Awang Sibuncui pun terkejut seraya berkata: Siapakah yang berkata-2 demikian itu. Maka jawab bumi: Akulah bumi berkata-2 demikian itu.
Maka Awang Sibuncui pun segeralah pulang ke rumahnya mendapatkan bondanya serta minta parang candung. Maka sahut bondanya: Kemana tah Awang engkau hendak pergi. Maka sahut Awang Sibuncui: Aku hendak pergi lihat bapaku tengah berperang di negeri Padang Kecik. Maka ujar bondanya: Jikalau engkau pergi matilah aku apalah yang dapat aku hendak makan. Maka Awang Sibuncui pun segeralah pergi mencari barang-2 makanan bertimbun-2 diserahkan kepada bondanya kerana sudah ia hendak pergi. Baharu setengah Awang Sibuncui berangkut barang-2 itu maka kata Mek Si Bunga Campa: Padalah Awang. Cukup sudah hendak makan di dalam setahun dua antara engkau pergi dan balik.
Telah itu maka Awang Sibuncui pun mengambil parang candung serta lari masuk ke hutan ke rimba belantara seperti bunyi taufan bergemuruh bunyi hutan itu. Maka seketika ia berlari itu lalu sampailah ia ke tengah hutan yang lepas dan rimba yang besar. Maka bertemulah ia dengan seekor badak jantan
Muka surat 58/129
terlalu besar lalu ditangkapnya diambil kulitnya diperbuatkan tudung kepala. Beberapa hari dipakai kulit itu pun menjadi busuk dan naik ulat. Maka kata Awang Sibuncui: Kulit kutuk kulit celaka ini sangat tiada berguna menjadi kutu lalu dibuangkannya. Kemudian ia pun berlari juga tiada berhenti siang dan malam. Antara beberapa lamanya ia berjalan itu maka ia pun sampailah di negeri Padang Kecik dilihatnya terlalu banyak orang sedang ramai berperang. Maka ia pun sudah tiada ketahuan tempat tujunya lalu ia menyerbukan dirinya masuk ke dalam tentera yang tiada terpermanai banyaknya seraya berseru katanya: Hai sekalian tuan-2 undurlah kamu Awang Sibuncui hendak mencari bapanya. Maka sekalian mereka itu dan Sheikh Ali pun tercengang-2 memandang seorang hulubalang tiada tetap keluarnya. Maka orang pun undurlah masing-2 melapangkan jalan.
Telah itu maka Awang Sibuncui terpandanglah pada satu pihak medan peperangan itu terlalu banyak orang. Maka ia pun pergilah menuju kepada tempat itu. Maka dilihatnya di tengah khalayak yang banyak itu adalah bapanya sudah tertanam hingga pinggang sedang dihujani orang dengan senjata. Maka ia pun segera menerkam dan menangkap pangkal lengan bapanya lalu disentap naik ke atas. Maka Selamat Tandang Desa pun lepaslah daripada bumi itu. Maka ia pun bertempek seraya berkata: Ayuhai budak manakah yang
Muka surat 59/129
amat gagah perkasa pada pertikaman seperti rupaku juga budak ini. Dengan hal yang demikian maka Selamat pun segera menetak Awang Sibuncui itu dengan golok besar. MAka diparang ke kiri dilompat ke kanan dan diparang ke kanan dilompat ke kiri seperti kucing bermain-2 daun lakunya. Maka Awang Sibuncui pun melompat naik ke atas bahu bapanya seraya berkata: Bukankah ini Awang Sibuncui anak Selamat Tandang Desa mencari bapanya.
Telah didengar oleh Selamat perkataan itu maka ia pun menghempaskan goloknya sambil memeluk mencium anaknya itu. Maka dipandang oleh sekalian rakyat Sheikh Ali bahawa panglima itu tadi berkelahi sekarang sudah pula ia berpeluk bercium. Jadi tercenganglah sekalian rakyat tentera itu.
Telah itu maka kata Awang Sibuncui: Betapalah bapa hal pekerjaan ini. Cubalah kita berbuat masing-2 bercerai anak di sebelah matahari naik dan bapa di sebelah matahari jatuh. Jangan berdekat takut terkena sama sendiri. Maka Selamat Tandang Desa pun bertempik maka disahut oleh Awang Sibuncui menjadi perang guruh perang perdenah perang tiada teraman lagi perang melengang di negeri Padang Kecik. Mengaruklah Awang Sibuncui di dalam tentera yang banyak dengan Selamat Tandang Desa siang malam serupa meniti segenap atas kepala orang yang banyak itu. Maka mengaruklah ia di dalam darah
Muka surat 60/129
orang banyak itu. Maka banyaklah orang mati seperti batang pisang seperti orang menebas hutan keladi seperti orang menebas hutan menderung tua sekira.
Ada genap tiga hari tiga malam berperang itu maka tinggallah rakyat Sheikh Ali itu jarang-2 maka dikutip oleh Selamat satu dua itu. Maka bertemulah Awang Sibuncui dengan Panglima Misi Jarum itu segeralah disambarnya panglima itu direnyukkan ke dalam bumi hingga pinggangnya. Berkata Awang Sibuncui hapitkan ibuku bumi akan panglima Misi Jarum ini. Maka segeralah Awang Sibuncui mengambil sebatang kayu nipis kulit seraya berkata: Aku hendak cuba palu gendang raya bapaku bagaimana suaranya berbunyi. Segeralah dipalu kepala Panglima Misi Jarum. Maka menjeritlah Panglima Misi Jarum dipalu oleh Awang hingga tiga kali. Maka pecahlah kepalanya terbit otak berjela-2 lalu dibuang ke laut belantara kenyanglah yu dengan buaya.
Hilang kisah Awang Sibuncui timbul pula kisah Sheikh Ali. Maka ia pun pergilah melihat Panglima Misi Jarum yang dikasihnya sudah mati segeralah ia melompat naik ke atas singa api melambung ke tali angin bertemu dengan Lela Muda seraya berkata: Hai Encik orang muda anak lanang laki-2 yang baik rupa paras bagus anum seumpama tanduk bersendi gading bagai bayang