Hikayat Penerang Hati

Jilid 2

Muka surat 11 hingga 20

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 11/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 11/50

diamlah pemburu itu serta kembali ke rumahnya dengan hampa tangannya. Demikianlah halnya [seyogianya] janganlah kita menyembunyikan tulang di dalam sebarang pekerjaan baik di dalam pekerjaan kita sendiri atau di dalam pekerjaan orang adanya.

Ceritera 155 Darihal merak dengan undan

Sekali persetua adalah seekor merak jantan telah berjalan-2 di dalam sebuah padang tiba-2 bertemulah ia dengan seekor undan. Maka dikembangkanlah oleh merak itu akan ekornya yang molek itu seraya berkata kepada undan itu dengan menghinakan bulu undan yang putih itu katanya hai sahabatku lihatlah hamba ini ada memakai pakaian yang bertatahkan ratna mutu manikam seperti keadaan seorang raja yang besar dan berbagai-2 pula corak dan [ragi] pada bulu hamba ini. Pada halnya bulu engkau itu suatu corak pun tiada yang lain daripada putih itu sahaja.

Hatta dijawablah oleh undan itu katanya hai kekasihku. Segala perkataan engkau itu benarlah belaka. Akan tetapi sayap hamba yang putih ini dapatlah membawa hamba terbang ke atas udara dan suara hamba ini bila hamba keluarkan bolehlah kedengaran sehingga sampai ke awan yang biru. Pada halnya engkau itu sungguhpun molek bulu engkau itu tetapi berjalan-2 di tanah jua seperti keadaan burung yang memakan tahi kerbau. Setelah itu diamlah merak itu dengan kemalu-2an. Demikianlah halnya dengan sebab pakaian yang [sikap?] itu janganlah difikirkan boleh meninggikan martabat atau kepandaian adanya.

Ceritera 156 Darihal ayam yang bertelurkan emas

Sekali persetua adalah seorang peladang dengan isterinya telah memeliharakan seekor ayam betina putih. Maka akan ayam itu pada tiap-2 hari adalah bertelurkan sebiji telur emas. Setelah beberapa lamanya dengan hal yang demikian. Makan pada suatu hari berkatalah peladang itu kepada isterinya katanya di dalam perut ayam ini tentulah ada beberapa banyak emas dan jikalau kita sembelih akan dia tentulah kita dapat akan emas itu.

Kalakian lalulah disembelih oleh peladang itu akan ayamnya kerana hendak

Mukasurat 12/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 12/50

mengambil emas itu. Setelah dibelahilah akan perut ayam itu dengan sebesar-2 hairan mereka itu tiadalah didapatnya apa-2 pun di dalam itu yang lain daripada isi perutnya sahaja seperti keadaan ayam yang lain-2. Maka menyesallah peladang itu laki isteri yang terlalu amat sangat akan tamaknya itu oleh mengharapkan mendapat kekayaan dengan sekali gus langsung terhilang perolehan yang didapatnya sehari-2 itu. Demikianlah halnya kelakuan yang tamak itu membawa kepada menyesal akhirnya adanya.

Ceritera 157 Darihal gagak dengan murai

Sebermula adalah seekor gagak terlalulah amat dengkinya kepada seekor murai kerana bunyi murai itu kononnya adalah menyatakan alamat yang baik. Oleh itu sangatlah diperkenan oleh segala orang akan dia. Maka akan gagak itu apakala ia berbunyi berdekatan dengan orang adalah menyatakan padah yang tiada baik.

Hatta pada suatu hari bertemulah gagak itu dengan dua orang perjalanan yang berhenti di bawah sepohon kayu. Maka terbanglah gagak itu ke atas pohon kayu itu serta berbunyi meniru bunyi murai.

Arkian mendongaklah seorang pengembara itu memandang ke atas pohon kayu itu melihat ke tempat bunyi itu. Maka apakala dilihatnya akan gagak itu yang meniru bunyi murai lalu berkatalah ia kepada kawannya katanya hai rakanku baiklah kita berjalan sekarang kerana yang berbunyi itu adalah burung gagak bukannya murai dan bunyinya itu tuan hamba pun sedialah ketahui menjadi padah yang tiada baik. Setelah itu berjalanlah kedua orang pengembara itu. Demikianlah halnya barang siapa yang melakukan dirinya yang bukan taraf baginya [tak ada apa tiada?] dibenci orang akan dia adanya.

Ceritera 158 Darihal kayu dengan kapak

Sebermula adalah seorang tukang kayu telah masuk ke dalam sebuah rimba yang besar. Maka apakala sampailah ia ke dalam hutan itu lalulah ia meminta kepada pokok-2 yang besar di situ akan sebatang anak kayu supaya membuat batang kapaknya. Maka dibenarkanlah oleh kayu-2 yang besar itu ditebangnya sebatang anak [tempinis?] akan membuat batang kapaknya itu. Setelah siaplah sudah batang kapak itu dengan tiada

Mukasurat 13/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 13/50

bertanya lagi lalu ditebangnya pula akan batang kayu merbau yang besar-2.

Kalakian menangislah suatu pohon cengal yang besar di dalam hutan itu seraya berkata kepada sebatang pohon meranti oleh terkenangkan kebinasaan kayu-2 yang telah tertebang itu katanya hai anakku maka sebab pun kita mendapat [desakan?] ini semata-2 dengan kerana kesilapan kita jua oleh kita membenarkan tukang kayu itu meminta anak tempinis dahulu membuat batang kapaknya. Maka jikalau kita tiada membenarkan ia mengambil anak kayu itu dari awalnya haruslah tiada kita mendapat kemalangan seperti yang ada ini dan bolehlah kita hidup di sini hingga sampai zaman berzaman kelak. Maka sekarang akan kita ini pun tiadalah sedap duduk sahaja lambat bangat pun akan ditebangnya jua. Setelah itu diamlah kayu-2 itu dengan masyghulnya. Demikianlah halnya jangan diberi Belanda meminta tanah adanya.

Ceritera 159 Darihal pemanah dengan singa

Sebermula adalah seorang pemanah telah masuk ke dalam sebuah hutan pergi mencari perburuan. Maka segala binatang-2 yang di dalam hutan itupun habislah lari cerai berai tiada berketahuan. Di dalam itu bertemulah ia dengan seekor singa. Maka berkatalah singa itu hai pemanah segala binatang-2 yang lain itu takutlah belaka berlawan dengan engkau. Akan sekarang akulah hendak mencuba kekuatan engkau. Maka berkatalah pemanah itu sambil melepaskan anak panahnya katanya hai singa akan sekarang terimalah olehmu akan utusanku dan daripadanya bolehlah engkau ketahui akan gagah perkasa aku tatkala aku sendiri datang berlawan dengan engkau.

Hatta anak panah itupun lalulah mengenai singa itu. Maka apakala dirasanya akan kesakitan itu larilah ia dengan ketakutannya. Maka pada waktu itu adalah seekor musang melihat akan hal itu. Maka berkatalah ia hai singa yang perkasa mengapakah engkau lari sekarang. Manakah gagahmu itu. Maka dijawablah oleh singa itu hai sahabatku tiadalah tertahan olehku berlawan dengan pemanah itu keraana sedangkan utusannya lagikan tiada dapat aku menderitakan sakitnya betapalah lagi jika orangnya itu sendiri datang [menghentam?] akan aku. Setelah itu larilah ia dengan kesakitannya. Demikianlah halnya janganlah kita mengumpat orang di belakang matanya kerana percakapan jauh itu terlebih bisanya sampainya daripada berhadapan adanya.

Mukasurat 14/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 14/50

Ceritera 160 Darihal gajah dengan manusia

Sebermula adalah seorang peladang telah berjalan-2 di dalam sebuah padang tiba-2 berjumpalah ia dengan seekor gajah jinak yang terlalu amat besarnya. Maka terkejutlah peladang itu dengan ketakutan oleh melihatkan rupa gajah itu serta lari rebah rempah yakni jatuh bangun pula kembali ke rumahnya terdehem-2.

Kalakian tiada berapa lamanya di belakang itu berjalanlah pula peladang itu di dalam padang itu lalu bertemulah ia dengan gajah itu. Maka tatkala dilihatnya akan lemah lembut kelakuan gajah itu datanglah berani di dalam hatinya serta dapatlah ia menentang rupa gajah itu. Maka pada tiap-2 hari datanglah ia melihat gajah itu. Dengan hal yang demikian tiada berapa lama di belakang itu beranilah ia menghampiri gajah itu serta dikenderainya dan dibawanya pulang disuruh naiki kepada anaknya. Demikianlah halnya rajin dan usaha itu dapat memudahkan segala pekerjaan yang payah-2 adanya.

Ceritera 161 Darihal keldai dengan gembalanya

Sekali persetua adalah seorang gembala keldai telah membawa keldainya pergi makan rumput ke tengah padang. Maka di dalam tengah ia duduk-2 di situ sekonyong-2 kedengaranlah bunyi bahana askar musuh datang melanggar negeri tempat kediamannya itu. Maka berkatalah ia kepada keldainya itu larikanlah aku ini di atas belakang engkau itu supaya terlepaslah kita daripada kena tangkap.

Arkian dijawablah oleh keldai itu katanya hai manusia mengapakah hamba pun hendak lari jua dan adakah engkau fikirkan hamba ini takutkan seteru itu menangkap hamba serta menaruh bebanan ke atas belakang hamba. Maka kata gembala keldai itu sebenarlah seperti kata engkau itu dan jika kita lari terlepaslah kita daripada ditawan dan diperhamba oleh musuh itu. Maka berkatalah pula keldai itu adapun pada pihak hamba ini jika siapa-2 pun menjadi tuan hamba melainkan pekerjaan hamba adalah mengangkat bebanan jua. Oleh itu tiadalah berguna hamba lari. Setelah itu datanglah seteru itu menangkap gembala itu serta dengan keldainya. Demikianlah halnya jika sepuluh pun jong di laut anjing bercawat ekor jua yakni jika siapa-2 pun menjadi raja yang rakyat itu tangannya ke dahi jua adanya.

Mukasurat 15/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 15/50

Ceritera 162 Darihal musang dengan landak

Sebermula adalah seekor musang telah berenang menyeberangi sebuah sungai. Maka oleh deras [harus?/arus?] air itu hanyutlah ia ke dalam suatu teluk yang dalam serta terdampar ke dalam rumput-2 di tepi tebing teluk itu. Maka duduklah ia di situ beberapa lama dengan letih lesu badannya serta tiada larat bergerak. Maka berhimpunlah beberapa banyak pikat dan nyamuk mengetik musang itu serta menghisap darahnya.

Hatta akan hal itu dilihatlah oleh seekor landak jantan. Maka terlalu kasihan ia melihatkan musang itu. Kemudian berkatalah ia kepada musang itu meminta izin hendak menghalaukan pikat dan nyamuk yang mengetik akan dia. Maka dilarangkanlah oleh musang itu seraya berkata jikalau tuan hamba halaukan pikat-2 dan nyamuk-2 yang ada ini nescaya matilah hamba. Kemudian berkatalah pula landak itu tidakkah suka tuan hamba terlepas daripada digetik binatang-2 itu. Maka jawab musang itu jika tuan hamba halaukan binatang-2 yang telah kenyang ini nescaya datanglah pula pikat dan nyamuk yang lapar mengetik hamba dan matilah hamba dengan hal itu. Setelah itu berjalanlah landak itu dan tinggallah musang itu di situ. Demikianlah halnya seyogianya kita syukur atas bala yang sedikit kerana ia itu mengganti bala yang besar yang hendak turun ke atas kita adanya.

Ceritera 163 Darihal anjing dengan arnab

Sebermula adalah seekor anjing telah mengejar akan seekor arnab di tepi sebuah bukit. Setelah beberapa jauh dihambatnya lalulah didapatnya. Maka pada mula-2-nya lalulah digigitnya yang terlalu amat teruk seumpama ia hendak mengambil nyawa itu dan sekali lagi tiadalah digigitnya betul-2 sekadarkan ditokaknya sedikit-2 sahaja seperti kelakuan bermain-2.

Syahadan berkatalah arnab kepada anjing itu katanya hai anjing berkata benarlah engkau kepada aku serta tunjukkan apa-2 maksud engkau. Maka jikalau engkau hendak bersahabat dengan aku mengapakah engkau gigit akan daku yang terlalu amat sakitnya. Dan jikalau engkau hendak membunuh akan daku mengapakah engkau bermain-2 pula seperti kelakuan orang-2 bersahabat. Maka berkatalah anjing itu hai arnab

Mukasurat 16/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 16/50

sebab pun aku menggigit akan dikau kerana aku hendak membunuh engkau dan sebab pun aku bermain-2 dengan engkau supaya engkau berhenti daripada berlari oleh memikirkan barangkali aku hendak bersahabat dengan engkau. Setelah itu dipatahkanlah oleh anjing itu akan arnab itu. Demikianlah halnya janganlah kita menumpahkan rahsia kita kepada siapa-2 mereka yang kadang-2 bersahabat dan kadang berseteru dengan kita adanya.

Ceritera 164 Darihal lembu dengan anaknya

Sekali persetua adalah seekor lembu telah berjalan-2 di dalam sebuah padang dengan seekor anaknya. Tiba-2 tersesatlah binatang-2 itu tiada tahu akan jalan hendak kembali ke kandangnya. Maka beberapakah dicari oleh ibu lembu itu akan jalan kembali tetapi tiadalah jua didapatinya.

Hatta berkatalah anaknya itu kepada ibunya katanya hai ibuku biarkanlah hamba pula berjalan dahulu mencari jalan itu mudah-mudahan dapatlah hamba akan jalannya. Maka dijawablah oleh ibu lembu itu dengan perkataan hai anakku ikutlah olehmu akan daku kerana beberapa lama dahulu daripada engkau aku peranakkan telah aku tahu akan jalan ini. Maka tiada beberapa lamanya di belakang itu didapatnyalah akan jalan yang betul itu. Demikianlah halnya seyogianya bagi kanak-2 itu menurut akan nasihat ibu bapanya kerana mereka itu telah terdahulu mengetahui akan hal dunia ini adanya.

Ceritera 165 Darihal rusa dengan serigala serta biri-2

Sebermula adalah seekor rusa telah pergi kepada seekor biri-2 hendak meminjam segantang gandum. Maka kata biri-2 itu jika hamba beri akan maksud tuan hamba itu siapakah yang boleh menjamin tuan hamba. Maka jawab rusa itu apakala tuan hamba sampaikan permintaan hamba ini bolehlah hamba panggil akan seekor serigala menjamin hamba. Maka apakala didengarlah oleh biri-2 akan perkataan rusa itu termenunglah ia sejurus maka di dalam matinya [tak ada apa tiada?] tentulah ada sesuatu muslihat di dalam hal itu. Oleh yang demikian berkatalah ia hai sahabatku betapakah dapat hamba menerima serigala itu akan menjamin tuan hamba kerana ia biasa menangkap dan melarikan apa-2 yang dijumpanya dan kepada tuan hamba sendiri pun tiadalah jua dapat hamba menaruh

Mukasurat 17/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 17/50

kepercayaan kerana tuan hamba itu terlalu cepat berlari hingga boleh mengalahkan hamba. Maka pada tatkala sampai masa mengganti [kandur?] hamba kelak ke manakah hendak hamba cari akan tuan hamba. Setelah itu pulanglah rusa itu dengan putus pengharapannya. Demikianlah halnya orang yang baik berkampung dengan orang yang jahat itu dibilangkan ia orang jahat jua adanya.

Ceritera 166 Darihal enggang dengan kucing dan babi

Sebermula adalah seekor enggang telah berbuat sarangnya di atas pucuk sepohon kayu yang besar dan datanglah seekor kucing berbuat tempat kediamannya jua di dalam lubang di tengah pohon itu. Maka di belakang itu datanglah pula seekor babi berbuat tempat kediamannya di dalam gua di pangkal kayu itu serta beranak bercuculah sekalian binatang-2 itu di situ. Maka apakala dilihatlah oleh kucing itu akan hal binatang-2 itu datanglah geram yakni sakit di dalam hatinya dan berniatlah ia hendak membunuh sekalian binatang-2 itu. Maka pada suatu hari pergilah ia mendapatkan enggang itu seraya berkata hai sang enggang akan sekarang binasalah kita sekalian. Tidakkah tuan hamba lihat ada seekor babi sedang menggali pangkal kayu ini. Maka apakala tumbang kelak bolehlah diambilnya akan anak-2 kita menjadi makanannya.

Kalakian setelah itu pergilah ia mendapatkan babi itu serta berkata kepadanya hai sang babi tidaklah tuan hamba ketahui adapun burung enggang yang di atas pucuk kayu ini hendak menangkap anak tuan hamba bila-2 tuan hamba keluar mencari makanan. Oleh itu baiklah tuan hamba beringat. Setelah itu baliklah ia ke lubangnya berdiam diri. Maka apakala malam keluarlah ia pergi mencari makanan baginya dan anak-2-nya. Maka tatkala matahari pun terbit masuklah ia ke dalam lubangnya berdiamkan siri pura-2 takut yang amat sangat. Maka akan enggang dan babi itu tidaklah ia bergerak-2 dari tempat masing-2 oleh takutkan terbinasa anak-2-nya. Maka dengan hal yang demikian matilah babi dan enggang itu serta dengan anak-2-nya oleh kelaparan. Setelah itu pergilah kucing itu dengan anak beranaknya memakan bangkai binatang-2 itu. Demikianlah halnya apakala kapal pecah melainkan ikan yu lah yang kenyang adanya.

Mukasurat 18/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 18/50

Ceritera 167 Darihal gagak dengan buyung

Sebermula adalah seekor gagak yang terlalu amat dahaganya telah berjumpa dengan sebiji buyung yang sempit mulutnya. Maka terbanglah ia mendapatkan buyung itu dengan sukacitanya. Setelah sampailah ia kepada buyung itu amatlah duka cita ia oleh didapatinya akan buyung itu berisi air yang terlalu amat sedikit dan tiadalah boleh ia sampai kepadanya. Maka dicubanyalah dengan seboleh-2-nya hendak meminum air itu tetapi sia-2 lah sahaja. Oleh beberapa pun [dicangkirnya?] tiada jua sampai.

Arkian berfikirlah gagak itu beberapa ketika mencari ikhtiar. Setelah timbullah suatu akal di dalam hatinya lalu dikutipnya beberapa banyak batu kelikir serta digonggongnya dan dimasukkannya ke dalam buyung itu. Maka oleh kebanyakkan batu itu lalu naiklah air itu hingga sampai berdekatan dengan mulut buyung itu. Dengan hal yang demikian sampailah paruhnya kepada [itu?/air?] itu dan dapatlah diminumnya air itu sehingga puaslah dahaganya. Demikianlah halnya akal itu tiada terhargakan oleh jauhari dan tiada boleh didapati akal itu melainkan dengan pelajaran adanya.

Ceritera 168 Darihal serigala dengan musang

Sekali persetua adalah seekor serigala telah beranak beberapa ekor anaknya. Maka di dalam anak-2nya yang banyak itu adalah seekor yang terlalu amat besar dan tingginya. Tambahan pula terlalu perkasa serta dengan tangkasnya berlari. Oleh yang demikian digelarlah oleh saudara-2nya akan dia singa. Maka akan serigala itu sungguhpun besar badannya tetapi akal yang di dalam kepalanya itu terlampau sedikit. Jadi timbullah fikirannya mengatakan betul gelaran yang diberi kepadanya oleh serigala yang lain-2 itu.

Hatta dengan hal yang demikian pergilah ia bercampur dengan kawan-2 singa dan ditinggalkannyalah daripada berkumpul dengan serigala-2. Maka akan hal itu dilihatlah oleh seekor musang tua dan berkatalah ia kepada serigala itu katanya hai anakku tiadalah pernah seumur hidupku melihat serigala yag bodoh seperti kamu ini kerana sungguhpun kamu itu tampaknya seperti singa di antara serigala-2 yang lain tetapi tatkala kamu bercampur dengan kawan-2 singa itu

Mukasurat 1/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 19/50

pada pandanganku tiadalah lainnya kamu itu daripada serigala yang banyak itu. Setelah itu kembalilah serigala itu bercampur dengan serigala yang banyak-2 itu. Demikianlah halnya janganlah kita seperti kacang lupakan kulit adanya.

Ceritera 169 Darihal babi dengan buah cempedak

Sebermula adalah seekor babi yang di dalam kelaparan telah berjalan-2 di dalam sebuah kampung. Tiba-2 berjumpalah ia dengan buah cempedak sedang bermasakkan atas pohonnya. Maka dicubalah oleh babi itu dengan sebarang helahnya hendak mengambil buah cempedak itu tetapi hingga penatlah ia tiada jua didapatnya.

Hatta oleh kepenatan itu berhentilah ia sambil berfikir di dalam hatinya katanya apatah gunanya ku berpenat lelah mencari ikhtiar hendak mengambil buah cempedak ini pada halnya buah itu muda lagi serta masam. Dan bila dapat kepada aku pun tiadalah menjadi sesuatu faedah dan jua tiadalah mengenyangkan laparku ini. Setelah itu berjalanlah ia dengan laparnya dari tempat itu. Demikianlah halnya kerap kalilah orang-2 mengeji akan apa-2 yang tiada boleh didapatnya walaupun baik barang itu adanya.

Ceritera 170 Darihal dua ekor katak

Sekali persetua adalah dua ekor katak telah bersahabat yang terlalu rafik yakni akrab. Maka akan katak-2 itu seekornya adalah berbuat tempat kediamannya di dalam suatu kubang yang jauh daripada manusia dan yang seekor lagi itu adalah berbuat tempat duduknya di dalam air yang sedikit di tengah dalan kereta. Maka diajaklah oleh katak yang duduk di dalam kubang itu akan kawannya itu berpindah kerana ia takutkan kawannya itu mendapat marabahaya di tengah jalan itu.

Arkian berkatalah katak yang duduk di dalam air di tengah jalan itu katanya hai kawanku janganlah tuan hamba menaruh bimbang akan hamba ini oleh pada perasaan hamba di sini pun tiadalah mengapa hamba duduk. Tambahan pula hamba ini telah biasa duduk berhampiran dengan manusia. Maka diamlah kawannya itu. Setelah beberapa hari di belakang itu diajaknya pula katak yang duduk di tengah jalan itu berpindah ke dalam kubangnya serta dikhabarkannya beberapa banyak makanan ada sedia di situ. Maka itupun tiadalah jua mahu katak itu.

Mukasurat 20/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 20/50

Pada suatu hari lalulah sebuah kereta di jalan itu dan ditindihilah akan katak itu sehingga hancur luluh. Demikianlah halnya barangsiapa yang tiada mahu mendengarkan nasihat yang kebajikan akan mendapat kecederaan jua akhirnya adanya.

Ceritera 171 Darihal pencuri dengan tuan kedai nasi

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang pencuri telah pergi menumpang diam di dalam sebuah kedai nasi dengan maksud hendak mencuri apa-2 barang yang didapatnya. Maka sungguhpun beberapa hari ia duduk di situ tetapi tiadalah didapatnya lapang hendak mencuri apa-2 pun. Maka pada suatu petang dilihatnya akan tuan kedai nasi itu duduk di pintu kedainya dengan memakai sehelai baju baldu yang mahal harganya. Maka datanglah pencuri itu duduk di sebelahnya berbual-2 yakni bercakap-2 dengannya. Maka tiba-2 menguaplah pencuri itu sambil batuk seperti bunyi serigala.Maka berkatalah tuan kedai itu katanya mengapakah tuan hamba meraung seperti bunyi serigala.

Kalakian dijawablah oleh pencuri itu katanya hai sahabatku peganglah kain hamba ini dahulu kemudian bolehlah hamba ceriterakan semua hal itu. Maka sambil berkata-2 itu menguaplah ia sekali lagi serta meraung seperti serigala jua. Kemudian berkatalah pencuri itu katanya adapun adatnya bangsa hamba ini apakala menguap tiga kali berturut-2 tentulah hamba menjadi serigala serta mengamuk orang. Oleh itu silalah pegang kain hamba ini kalau tidak tentulah habis hamba carikkan sekarang.

Hatta apabila didengarlah oleh tuan kedai itu akan hal itu lalu bangkitlah ia hendak lari masuk ke dalam rumahnya. Maka segeralah dipegang oleh pencuri itu akan bajunya sambil berkata janganlah berjalan dahulu tolonglah pegangkan kain hamba ini. Maka sambil berkata itu lalulah ia menguap yang ketiga kalinya serta meraung yang terlalu amat dahsyatnya. Wah apatah lagi ditanggalkanlah oleh tuan kedai itu bajunya yang dipegang oleh pencuri itu serta larilah ia ke dalam rumahnya menutup pintu oleh takutkan serigala itu. Maka akan pencuri itu tatkala sudah didapatnya baju itu berjalanlah ia langsung tiada kembali lagi. Demikianlah halnya janganlah dipercayai akan sebarang ceritera yang tiada munasabah dengan akal adanya.

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50